Pendam

Saya tidaklah begitu beruntung sepertimana orang lain yang dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam dan menjadi muslim secara automatik sejak dibesarkan. Tetapi Tuhan itu tidak zalim, ia menjadikan saya untuk dilahirkan dalam keluarga yang berada walaupun bukan sebagai penganut yang beragama Islam.

Selama beberapa tahun saya memendam perasaan saya untuk memeluk Islam. Pertama kalinya apabila saya ingin memeluk agama Islam pada usia saya dibawah umur iaitu bawah 18 tahun. Tuhan saja yang tahu bagaimana rasanya apabila diri ini terlalu ingin tetapi terpaksa dibatalkan. Disebabkan beberapa kekangan yang ada pada ketika itu, memaksa saya untuk berdiam diri walaupun saya telah nekad. Saya fikir tidak mengapa kerana mungkin saya perlu dalami tentang Islam terlebih dahulu. 4 tahun saya belajar tentang Islam dengan membaca buku-buku Islam dan melalui pemerhatian saya terhadap penganut Islam secara diam-diam. Boleh dikatakan saya sudah pandai menghafal syahadah saat ini.

Cuma apabila saya semakin matang, ada sesetengah perkara yang mengganggu saya pada saat ini untuk memeluk Islam. Saya takut apabila saya memeluk Islam, saya kehilangan kesemua yang saya dakapi dan nikmati pada saat ini. Saya takut keluarga yang saya sayang akan membuang saya memandangkan keluarga saya memang cukup pantang apabila saya menyebut untuk belajar tentang Islam. Saya hampir-hampir dipukul dan dimarahi. Abang saya memang garang apatah lagi dalam soal agama. Keluarga saya juga pernah mengugut saya untuk buang saya dari keluarga jika saya tak membuang kesemua buku-buku agama yang saya beli. Saya sayangkan ayah, mak, dan abang. Tapi naluri saya untuk memeluk Islam semakin mendesak saya. Secara jujurnya, saya rasa inilah jalan saya.

Saya takut apabila saya memeluk Islam, saya tak mampu untuk menjalankan perintah-perintah dalam agama. Dan sudah tentunya saya akan berdosa. Saya tahu yang Islam memerintahkan penganutnya untuk solat 5 waktu, puasa selama sebulan dan sebagainya. Dan saya rasa ini juga turut menganggu fikiran saya.

Dan lagi satu, tentang pelajaran saya. Segala perbelanjaan saya di universiti termasuklah yuran pengajian, yuran kediaman, buku-buku hingga makan minum segalanya ditanggung oleh ibubapa saya. Saya takut saya kehilangan tempat bergantung memandangkan saya memang tiada sumber pendapatan pada ketika ini. Saya buntu, celaru dan tak mampu untuk membuat keputusan. Haruskah saya memendamkan lagi niat saya ini? Hati saya memang dah tak mampu untuk menanggung keinginan ini. Kalau boleh biarlah saya menoktahkannya dengan kalimah syahadah tapi….

– Mel

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *