Pendam Seorang An4k

Nama aku Nana (bukan nama sebenar). Aku anak ketiga dari empat adik beradik yang kesemuanya perempuan.

Keluarga aku boleh dikatakan keluarga yang agak susah dan ibu ayah yang strict dalam mendidik. Ibu tidak bekerja untuk menjaga kami empat beradik di rumah. Ayah jarang berada di rumah kerana sibuk bekerja.

Ceritanya bermula di sini, aku dari kecil selalu di didik dengan tamparan dan makian. Maki hamun itu memang wajib keluar dari mulut mereka ketika marah. Aku sering ditarik rambut, dibaling dengan barang, dicaci maki oleh ibu bila dia marah akan aku.

Jujur setiap kali aku dimarah dan dipukul aku tidak pernah sedih malah aku makin membenci akan ibu. Aku tidak rasa bersalah sama sekali kerana membuatkan ibu marah.

Dendam mula bertitik di hati aku hari demi hari dengan perasaan cemburu yang melampau kerana aku merasa aku sering diperlakukan buruk dari adik beradik yang lain walaupun ibu ayah cakap mereka tidak memilih kasih dalam mendidik tetapi tetap berat sebelah di mata kami adik beradik.

Aku cemburu dengan adik, kakak-kakak cemburu dengan aku. Sifat cemburu itu bukan yang biasa biasa malah membuatkan kami tidak rapat dan jarang bertegur sapa antara satu sama lain seperti anak orang lain.

Aku pernah ditampar oleh ayah ketika berumur 5 tahun kerana membuat adik aku menangis ketika dia berumur dua tahun.

Ketika aku berumur 9 tahun aku dikurung diluar rumah pada pukul 10:30 malam kerana menyepak adik yang cuba bergurau mengurung aku dalam bilik dengan keadaan gelap.

Aku menangis teresak-esak ketakutan disebabkan aku ni seorang yang takut gelap. Ayah cuba mendidik aku dengan mengusik aku membiarkan pintu terbuka perlahan-lahan dari dalam dengan keadaan gelap pada pukul 12 malam dan menyergah dari dalam. Ingat kelakar haha sungguh tidak.

Aku makin membenci ayah sejak itu. Kedua-dua ibu ayah aku, aku makin membenci hari demi hari. Ibu jangan kata la dia lah yang paling aku benci pada mulanya kerana dia sering meluangkan masa dengan aku di rumah disebabkan dia tidak bekerja dan hanya ayah seorang saja yang bekerja.

Aku mula bergaduh besar dengan ayah ketika aku berumur 12 tahun dikala aku akan menghadapi UPSR. Kami tidak bercakap dalam tempoh yang sangat lama disebabkan salah faham yang kecil iaitu aku merajuk dengan ayah dan mogok dengan berpura-pura dia tidak ada di depan mata aku.

Korang tengoklah siapa yang ego sekarang. Aku cuma merajuk sedikit tapi dia mengambil serius dengan merajuk aku dengan mengabai aku kembali.

Sehinggakan janjinya yang dulu mahu memberikan aku telefon pintar selepas aku habis UPSR dimungkiri sehinggalah umur aku menjelang 15 tahun baru diberinya telefon itu sekali dengan ibu serta kakak :)

Perasaan aku begitu hancur kerana 2 tahun lebih aku menanti pemberian janji itu tetapi diberinya aku telefon itu dengan membeli sekali untuk orang lain.

Aku mula membuat perangai dengan mengurung diri di dalam bilik, makan di dalam bilik, baju-baju kotor dibiarkan bertebaran di dalam bilik kerana ibu tidak mahu membasuh baju aku sekali disebabkan aku tidak mahu menyidai baju.

Pinggan mangkuk kotor dibiarkan busuk di dalam bilik tanpa membawa keluar dan basuh di sinki. Aku semakin menjadi anti sosial dan tidak mahu bercampur dengan keluarga di saat makan malam bersama.

Aku kecewa kerana aku harus mengalah untuk duduk di penjuru sekali meja makan dan tidak dapat memilih tempat yang aku nak menyebabkan aku untuk memilih makan di bilik.

Aku tidak mahu melakukan sebarang kerja rumah dan bilik tidur aku teramat lah busuk dan kotor seperti ruang sampah.

Solat jangan katalah sejadah pun tak pernah sentuh apatah lagi telekung. Aku mula membenci kewujudan aku di muka bumi ini. Aku tidak boleh menerima kenyataan yang aku ditakdirkan untuk mendapat keluarga sebegini.

Hidup aku seolah-olah munafik kerana luaran aku seperti ayu muslimah tetapi dalaman aku seperti syaitan yang bencikan kewajipan agama dan sukakan kebebasan.

Aku mula memasang niat dari kecil untuk melarikan diri dan tidak mahu bersama keluarga lagi.

Macam macam perkara aku pernah buat untuk lari dari rumah tetapi aku sedar aku tidak mampu dengan faktor diri aku pemalu yang takut akan risiko di report polis dan wajah disiarkan di televisyen akibat melarikan diri dari rumah dan ketiadaan wang untuk sara diri.

Aku pernah ikut kawan aku lari ke rumahnya dan aku berjaya dicari oleh ibu. Aku ditampar dan disiku di tempat kejadian serta-merta.

Aku tak faham akan ibu, dia kata aku ni seorang yang menyusahkan dan banyak membebankan dia tapi kenapa dia mencari aku dan tidak biarkan aja aku lari dari rumah? Kan boleh mengurangkan beban dia untuk menjaga aku di rumah itu.

Tapi dia seolah-olah mahu mendera aku dan mengongkong aku dari keluar rumah dan biarkan aku menjadi katak bawah tempurung di rumah yang macam neraka itu. Aku sering kali dia anggap memalukan dalam pelbagai perkara.

Ibu malu akan aku dengan rakan-rakannya kerana aku ini seorang yang lekeh dan tidak pandai menjaga penampilan diri ketika aku pulang dari rombongan sekolah dengan berpakaian t-shirt dan seluar track lusuh.

Ibu mengugut aku tidak akan membenarkan aku untuk pergi lagi rombongan sekolah dan sejak itu aku tidak pernah lagi dapat pergi.

Namun suatu hari ibu membawa juga aku pergi mengikutinya rombongan keluarga bersama yang dianjurkan persatuan dalam taman kami berserta kakak dan adik.

Aku sememangnya seorang yang mabuk kenderaan dari kecil oleh sebab itu aku sering kali ditinggalkan setiap kali ibu akan keluar, dia hanya akan membawa adik seorang sahaja untuk mengikutinya perjalanan jauh.

Ditakdirkan dalam perjalanan rombongan itu aku muntah teruk dalam bas dan tidak sempat muntah dalam plastik lalu terkena keseluruh baju dan tudung di dalam bas. Habis satu bas busuk dek bau muntah aku itu.

Ibu apa lagi mengamuklah dia disebelah aku sambil mengelap muntah aku disertakan makian dan cubitan berbisanya. Aku kecewa dan teramat menyesal kerana mengikutinya dalam rombongan tersebut.

Setiap kali dia hendak kemana-mana dia akan gunakan alasan aku memalukannya di dalam bas itu untuk menolak membawa aku sekali berjalan jalan.

Aku tidak pernah kenal dunia sejak itu. Hidup aku hanya di kawasan rumah dan sekolah tidak lebih dari itu. Bahkan aku tidak mampu mengingati jalan ke bandar walaupun berkali-kali sering ke sana.

Hari demi hari di saat aku hampir mengambil peperiksaan SPM aku membuat keputusan untuk mencapai cita-cita aku iaitu menyambung pelajaran jauh dari rumah dan tidak akan pulang ke rumah lagi sejak itu.

Matlamat aku ini aku pendam dari sebelum mengambil SPM lagi dan aku sangat tekad untuk melangsungkan hidup sendirian dengan bebas dari belenggu trauma keluarga yang tidak aku inginkan.

Bermulalah di saat keputusan upu keluar dan alhamdulillah aku ditakdirkan menyambung pelajaran yang teramat jauh dari rumah. Aku mendapat bantuan biasiswa hasil kerja keras dan kegigihan aku dengan mencari sendiri tanpa bantuan orang lain.

Di kala aku sedang bergembira dengan rezeki yang ditakdirkan untuk aku rupa-rupanya ibu tidak merestui keputusan yang aku ambil. Dia menyuruh aku menolak tawaran tersebut dan menyambung tingkatan 6 di sekolah berhampiran rumah.

Ibu sama sekali tidak gembira dengan keputusan upu aku dikala ibu bapa lain bergembira dan bersyukur untuk anak mereka. Tetapi aku?

Disuruhnya aku menolak tawaran tersebut bersama biasiswa yang aku dapat hasil kerja keras aku.

Sungguh dia tetap mahu mendera dan mengongkong aku lagi sebab itulah dia tidak mahu melepaskan aku kan kan? Tapi kali ini aku tidak akan biarkan. Matlamat aku tetap akan aku capai kan walau bagaimana sekalipun.

Alhamdulillah takdir Allah ibu aku terpaksa melepaskan aku pergi walaupun aku tahu dalam hatinya masih tidak restu dengan keputusan aku. Ayah aku usah cakaplah dia tidak pernah pun ambil tahu pasal aku nak sambung belajar ke taknak ke.

Yang dia tahu sibuk dengan kerja dia yang tidak seberapa itu dari dulu. Bukannya hidup makin senang, makin susah adalah. Pembelajaran aku ditempatkan baru berjalan dengan lancar.

Aku begitu gembira dan bersemangat kerana saat ini aku telah menantikan begitu lama. Korang bayangkan aku tidak pernah homesick sama sekali.

Yang lebih menghairankan rakan aku yang pernah terbiasa sekolah berasrama penuh pulak yang lebih homesick dari aku. Awalnya aku tidak pernah menelefon ibu, hanya ibu je yang sering menelefon aku terlebih dahulu walaupun aku jarang jarang nak angkat panggilannya.

Namun sejak rakan rakan aku sering membuat panggilan video dengan keluarga mereka aku pun kadang kadang menelefon ibu aku berpura pura tanya khabar cerita tentang keadaan di sana walaupun aku tidak tahu nak berbual apa dengan ibu.

Yelah aku di rumah pun bukannya selalu berbual dengan ibu. Kami lebih dengan membuat kerja sendiri. Aku tak terbiasa dan tak pernah ingin bercerita tentang masalah aku dengan ibu. Bagi aku ibu tidak memahami aku.

Ibu bukan seperti ibu orang lain yang suka mengambil tahu masalah anak mereka. Ibu tidak pandai untuk mengambil hati anak anak dengan memahami masalah mereka. Sebab itulah aku lebih meluahkan kepada rakan rakan rapat aku sahaja.

Rancangan aku untuk menjauhkan diri dari keluarga ketika awal semester di kolej tidak menjadi bila ibu sering mengambil berat tentang aku, banyak menasihati aku, bertanya khabar tentang aku. Terdetik dalam hati aku ibu sebenarnya rindu bila aku berjauhan darinya.

Bila aku di rumah dahulu tidak pulak seperti ini. Hati aku mula terpujuk untuk berbaik dengan keluarga.

Saban hari aku makin terbiasa untuk bercerita masalah di kolej dengan ibu walaupun tak sepenuhnya aku bercerita tetapi aku nampak ibu betul betul mengambil berat tentang aku bila aku dah semakin jauh darinya.

Ayah aku seperti biasalah perangai kebapaannya tidak pernah hilang. Selalu berlagak tidak peduli, tanya khabar pun tidak, duit belanja pun tidak diberi.

Bagi ayah biasiswa yang aku dapat tu sudah mencukupi untuk mengcover nafkah yang sepatutnya dia bagi dekat aku. Sepanjang aku belajar satu sen pun ayah tidak pernah beri.

Ayah cuma menyumbang beberapa untuk membeli keperluan aku untuk dibawa ke sana. Sikapnya yang terlalu berjimat itu membuatkan aku menganggap dia kedekut dengan anak sendiri. Aku tahu ayah tidak cukup duit dan perlu menyimpan duit tersebut.

Tapi… Disebabkan aku tidak dapat apa yang aku nak dari kecil membuatkan kehendak nafkah aku semakin membuak-buak. Aku mahu menuntut hak aku sebagai anak. Aku mahu keinginan aku dipenuhi.

Aku mahu dia belikan apa sahaja yang aku nak kerana dia tak pernah memberi langsung duit kepada aku ketika di kolej. Perasaan yang aku pendam dari kecil semakin membuak-buak sehinggalah pada cuti semester kedua.

Dikala aku pulang bercuti raya korban di rumah aku dapat merasakan yang aku tidak akan gembira untuk pulang ke rumah. Seperti yang diandaikan memang betul. Masalah kewangan di rumah makin teruk.

Stock makanan terhad dan aku tidak dapat makan apa yang aku nak. Di rumah hanya ada masakan simple ikan goreng dengan sambal kosong. Menjelang raya korban lagilah aku tidak gembira rumah hanya dipenuhi masakan daging korban yang diterima.

Aku tidak makan daging jadi terpaksa aku membeli makanan luar untuk makan. Begitulah hari hari aku di rumah tidak dapat makan makanan yang digemari dan hanya mampu makan makanan yang dimasak mengikut selera orang lain.

Seminggu sebelum pulang ke kolej untuk semester baru, aku telah bergaduh dengan ayah disebabkan keberanian dan ketegasan aku untuk meminta ayah membeli charger phone baru kepada aku kerana sudah rosak dan aku taknak membelinya sendiri. Aku mahu ayah belikan untuk aku.

Disaat itu ayah sedang menghadapi masalah kekurangan wang dan dia meminta duit aku untuk membelinya. Aku tetap tegas mahu ayah belikan untuk aku guna duitnya.

Bermulalah disitu aku dengan ayah bertengkar, ayah marah aku sebab aku menganggapnya kedekut dan langsung tidak memahaminya. Aku kecewa dengan pergaduhan tersebut dan menolak untuk tidak mahu mengambil charger baru yang telah dibeli itu.

Ibu marah dan maki hamun aku sebab membuatkan ayah marah terhadap aku. Ibu menyuruh aku minta maaf dan memujuk ayah kembali. Tapi aku telah berkecil hati dengan makian ibu terhadap aku.

Aku tidak akan meminta maaf kepada ayah kerana aku menganggap itu salah ayah dan bukannya salah aku. Aku hanya menuntut hak aku yang tidak seberapa itu tetapi cukup berkira untuk membelinya.

Dua hari sebelum pulang aku tidak bercakap dengan ibu ayah. Aku diam tidak bertegur sambil mengemas barang untuk pulang ke kolej.

Ibu dan makcik menghantar aku ke stesen bas menggunakan kereta makcik kerana keluarga aku tidak mempunyai kereta. Perjalanan ke sana aku hanya diam seribu bahasa.

Cakap sepatah pun tidak. Hati aku benar benar hancur dengan peristiwa tersebut. Ibu tidak sedar akan perubahan aku di mana pada malam itu aku telah tekad tidak akan pulang ke rumah dan tidak akan berhubung lagi dengan keluarga.

Ketika di atas bas perjalanan pulang ke kolej aku telah menyekat kesemua nombor telefon keluar aku dan tidak mahu lagi diganggu dari mereka. Aku sering menangis di kolej mengenangkan apa yang telah terjadi.

Di mata rakan-rakan aku cuba menjadi seorang yang periang seperti kebiasaan sehingga seorang pun tidak perasan akan masalah dan kesedihan yang aku alami.

Sehinggalah di saat cuti pertengahan semester di mana semua pelajar diwajibkan pulang ke rumah aku kebuntuan dan menangis disebabkan tiada hala tuju. Masalah yang aku pendamkan terpaksa luah kepada beberapa rakan yang lain.

Mereka tidak boleh membantu dan cuma mampu mendengar kerana masing masing ada hal tertentu. Mereka cuba memujuk aku untuk pulang ke rumah tetapi mereka tidak faham situasi yang aku hadapi.

Bagi orang lain masalah itu tidak besar tapi bagi aku disitulah trauma yang aku pendam semakin menggangu pemikiran aku. Aku terpaksa berbelanja banyak duit untuk tinggal di hotel sepanjang cuti tersebut.

Rakan rakan aku yang tahu akan hal tersebut menganggap aku seperti mengada dan cuba memperbesarkan hal yang kecil. Betul lah orang cakap masalah kita hanya kita yang fahami.

Orang lain takkan faham dan tak akan pernah faham pun masalah yang kita alami.

Genap dua bulan aku mendiamkan diri dari keluarga, aku cuba menelefon ibu aku untuk memberitahu bahawa aku tidak akan pulang lagi ke rumah. Tetapi hati ini tidak kuat, dengar sahaja suara ibu, aku terus nangis.

Kata-kata yang nak aku ungkapkan jadi terbantut. Akhirnya aku cuma mampu beritahu aku tidak akan pulang ke rumah lagi dah. Dan terus tamatkan panggilan berserta esakan.

Aku sengaja tidak menyekat semula ibu dan membiarkan dia spam mesej di whatsapp. Awalnya dia cuma memesan jaga diri, jaga solat kalau taknak pulang. Lama-kelamaan dia mula mengugut aku untuk mereport polis.

Aku sememangnya tidak akan angkat setiap kali ibu telefon. Aku hanya membiarkan dia spam mesej sahaja di whatsapp tanpa aku perlu reply.

Aku sangkakan ibu sedar apa yang cuba aku sampaikan selama ini bahawa aku sedih, kecewa dan trauma rupa-rupanya sangkaan aku meleset sama sekali.

Ibu marah aku sebab buang keluarga, ibu kata aku tak sedar diri dengan pengorbanan dia hantar aku sambung belajar. Pengorbanan apakah itu kalau tidak restu?

Aku hanya mengharapkan pengakuan maaf dan rindu sahaja dari keluarga. Mereka sama sekali tidak memahami mengapa aku bertindak sedemikian.

Aku kecewa sungguh kecewa. Segala pelbagai cara yang aku cuba sampaikan apa yang aku rasai dan mahukan tetapi dianggap seperti memberontak dan lupa diri bagi ibu bapa.

Apakah bagi mereka tidak ada salah terhadap anak-anak? Hanya anak-anak yang mempunyai salah dengan ibu bapa adakah begitu?

– Nana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *