Aku duduk berehat sebentar melepaskan lelah. Sejak masuk kerja pagi tadi sehinggalah tengahari ni asyik berdiri saja.
Ini baru sempat duduk mengambil nafas sementara menunggu azan zohor berkumandang pada waktu rehat ni. ‘Aduhhh dahaganya ya Allah.’ Aku menelan liur.
‘Sabar-sabar. Bulan puasa ni kena banyak sabar’. Aku menenangkan diri sendiri. Kalau bukan bulan puasa, waktu begini aku sudah selesai habiskan bekal makanan yang selalu aku bawa daripada rumah.
‘Haishh nafsu jangan dilayan sangat’. Aku menampar perlahan pipiku berkali-kali.
“Kenapa Asyraf? Yang kau tampar pipi tu kenapa? ” Ada tangan sasa yang menampar bahuku perlahan. Aku berpaling. Terlihat senyuman pada wajah lelaki itu. Dia melabuhkan punggung dihadapan ku.
“Tak ada apa la Adry. Dahaga sikit hari ni. Panas betul hari ni ya.” Dia mengangguk mengiyakan kata-kata ku. Mulutnya masih tak lekang dengan senyuman.
“Kau tak penat ke Adry? Tak haus? ” Aku bertanya. Hairan melihat wajahnya seakan segar.
“Oooo.. Kau tak puasa ya? “aku menebak.
“Wuishhhh kau ni Asyraf. Aku puasa la” dia pantas menafikan. Aku ketawa.
“Aku bergurau ja lah. Tak la. Aku pelik. Kau ni nampak segar ja hari ni. Macam orang tak puasa”
“Ni dah masuk 15 Ramadan. Aku dah biasa dah Asyraf. Tipu la kalau aku cakap tak penat. Dahaga tu jangan cakap la wei. Tapi aku dah nekad Ramadan tahun ni aku nak puasa penuh. Bila rasa dahaga dan lapar tu datang aku cepat-cepat zikir macam yang kau ajar aku tu”
Banggggg. Aku rasa macam kena tembak dekat dada. Aku yang ajar dia tapi aku pula tak zikir pun bila dahaga tadi ya.
Aku pandang dia. Kagum betul dengan lelaki asal Sabah yang berada di hadapan aku. Pertama kali jumpa dia ketika masuk kerja di sini, aku nampak kesungguhannya dalam merubah kehidupan samada dunia atau pun akhirat.
“Kau tahu kan kisah hidup aku Asyraf. Aku tak dibesarkan macam muslim yang lain. Ni kali pertama dalam hidup aku berpuasa dalam bulan Ramadan. Aku harap aku dapat laluinya walau sesusah mana pun dugaan nya.”
Senyuman sudah hilang dari wajahnya. Digantikan dengan wajah yang agak sedih. Mungkin mengenangkan episod hidupnya sebelum ini.
“In shaa Allah. Aku yakin kau boleh. Tengok gaya kau ni, dua bulan pon boleh lepas ni. Kan dah praktis” Aku ketawa.
Sebelum masuk Ramadan lagi Adry dah praktis puasa pada bulan Rejab dan Syaaban. Katanya supaya mudah dia berpuasa pada bulan Ramadan. Dia turut ketawa. Kemudian diam kembali.
“Allah terima ke puasa aku Asyraf? Aku banyak dosa sebelum ni. Aku jahil. Aku Islam daripada kecil tapi Islam aku betul-betul pada Ic ja” Dia pandang aku.
Aku diam. Mencari-cari jawapan yang sesuai. Kisah hidup Adry tak sama dengan orang yang berada di sekeliling aku. Kita membesar dengan diajarkan solat dan puasa. Hukum hakam serba sedikit. Kalau tak banyak pon, pengetahuan asas tu pasti ada.
Tapi tidak bagi Adry. Adry lahir sebagai Islam tapi dikelilingi dengan orang-orang beragama Kristian, animisme serta pagan.
Dalam keluarga dan perkampungannya, hanya dia, ayah dan ibunya yang beragama Islam. Namun, keduanya jugak mualaf. Mereka betul-betul Islam pada IC tapi tidak pada pegangan. Dia tidak diajar solat dan puasa.
Adry pertama kali solat dan puasa pun ketika berada di Semenanjung bila berkawan dengan muslim di sini. Ketika pertama kali sampai di sini, baru dia tahu bahawa arak dan babi itu haram.
Kalau bab perayaan pula, keluarganya tidak merayakan Aidilfitri dan Aidiladha seperti Muslim yang lain sebaliknya merayakan Hari Krismas.
Seringkali Adry ungkapkan, “Aku menghabiskan masa hidup aku sebelum ini dalam keadaan betul-betul jahil sebagai orang Islam.” Setiap kali berbicara hal ini, pasti wajahnya berubah sedih.
“Allah itu kan Maha Penyayang. Dosa kau yang telah lalu yang kau tak tahu, kalau kau bersungguh bertaubat pasti Allah ampunkan. Soal terima atau tidak. Tugas kita hanya buat. Yang membalasnya dan memberi ganjaran adalah Allah. Serahkan pada dia”
Aku menepuk-nepuk bahunya perlahan. Ada senyuman segaris yang diukirkan.
“Kadang aku cemburu dengan kau orang di Semenanjung. Kalian mendapatkan ajaran agama sejak kecil. Tapi aku umur 24 tahun ni baru belajar solat dan mengaji” Tiada apa yang mampu aku nafikan.
Sejak mengenali Adry dan mendengar kisah-kisahnya, aku jadi sedar betapa ramai di luar sana yang masih tidak dapat pendidikan agama.
Yang membuat aku bertambah terkesan, berapa ramai mualaf-mualaf di luar sana yang tidak dibantu.
Cukup sekadar hanya ucapan syahadah daripada mereka, kemudian mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa pengetahuan dan tidak diajar tentang agama ini. Aduhaiii betapa pedihnya hakikat ini.
“Kita memang bernaung bawah langit yang sama, tapi kisah hidup kita berbeza. Tuhan tak melihat awalnya, tapi yang dinilai akhir hidupnya. Boleh jadi yang dulu jahil, tapi matinya soleh. Boleh jadi juga yang dulunya alim, tapi matinya toleh.
Toleh ni lawan kepada soleh la dalam bahasa Arab. Maksudnya jahat. Selagi hidup, kita masih mampu ubah diri ke jalan yang lebih baik” Aku dah macam ustaz tetiba berceramah pada dia.
“Nasib baik kau bagi tau maksud toleh tu. Kalau tak aku dah tanya dah” dia ketawa perlahan.
“Tapi tak mudah Asyraf baru kenal agama waktu umur aku macam ni. Aku bersyukur juga Allah kenalkan aku dengan orang-orang macam kau dan kawan-kawan yang lain yang bantu aku kembali pada agama Islam. Baru sekarang aku rasa aku jadi hamba Allah” Benar tak mudah.
Bukan semua menyokong dan membantu. Ada yang mengeji dan dan memandang sinis.
Aku ingat pertama kali dia cuba-cuba puasa pada bulan Rejab lalu. Dia tak dapat bertahan. Selalu terbengkali ditengah jalan. Puasanya berkecai ditengah hari. Dia diejek beberapa teman serumah. Katanya macam budak 7 tahun baru nak mula puasa.
Dia juga pernah ditempelak oleh seorang teman serumahnya yang selama ni dia kira paling wara’ antara mereka bila mana dia meminta untuk diajarkan cara berwuduk ketika pertama kali dia ingin belajar solat. ‘Kau dah tua bangka macam ni pon tak pandai ambil wuduk ke? ‘
Aku ketikamana mendengar apa yang diceritakan Adry sungguh rasa marah dan malu. Disebabkan orang sebegini lah orang yang ingin belajar agama lari dan kembali ke jalan asal mereka.
“Asyraf, tolong ajar aku cara solat taubat boleh? ” Adry tiba-tiba membuat permintaan.
“Boleh je bro. Nanti waktu zohor aku ajar kau” Adry ni walaupon baru mula belajar. Tapi dia cepat belajar dan istiqamah amalkan apa yang dia belajar.
Macam sebelum ni, dia pernah tanya ‘Asyraf, solat apa yang orang buat tengah-tengah malam tu? Bukan kita ada 5 waktu ja ka solat?’
Soalan ni keluar lepas dia ternampak teman serumahnya lakukan solat tu ketika pagi-pagi dia bangun untuk ke tandas. Tapi dia tak berani bertanya selepas kes ditempelak disebabkan bertanya pasal cara berwuduk.
Tak semena aku kena terangkan pasal solat-solat sunat dan apa yang dilihat itu adalah solat tahajud serta kelebihan-kelebihannya.
Lepas tu, tiap-tiap malam dia bangun buat. Ya Allah, aku pon tak mampu tiap malam bangun. Malu kadang-kadang dengan Adry ni.
“Thank you bro. Nanti aku doakan kau dapat jodoh dalam doa aku” Dia ketawa lepas.
*********************
25 Ramadan
Aku segera capai handphone yang berbunyi sejak tadi. Whatsapp masuk bertalu-talu. Aku membuka aplikasi itu. Wuishh dah beratus mesejnya. Apa benda la yang dibincangkan teman sekerja aku dalam group sampai beratus mesej.
Fikir ku. Aku buka group dan baca satu persatu-persatu mesej. Makin lama tangan aku makin menggeletar. Belum habis baca aku terus mencapai kunci motosikal dan bergegas keluar.
Aku tak akan lupakan malam tu. Malam kau tinggalkan kami Adry. Bukan tinggal yang sementara. Tapi selamanya. Aku sempat melihat kau buat kali terakhir. Kau senyum. Wajah kau bersih dan bercahaya.
Walaupon kematian kau asbabnya kemalangan tapi jenazah kau elok Adry. Kau tak sempat tunaikan hajat puasa penuh tahun tu.
Tapi aku yakin Allah terima puasa kau. Aku jadi saksi kau betapa kau telah berusaha untuk kembali jadi hamba dia yang sebenar-benarnya.
Macam aku bagi tau kau sebelum ni, ada yang awalnya baik tapi matinya belum tentu. Ada yang awalnya kurang baik tapi di hujung ajalnya dia berubah.
Dan aku yakin matinya kau Husnul Khotimah. Tapi Adry….. aku yang kau tinggalkan hidup ini belum tentu pengakhirannya. Semoga syurga Ar-Rayyan tempat kau Adry. Aku rindu kau sahabat.
– Si Tupai (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit