Disclaimer penulis: Tulisan ini hanyalah pendapat penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak.
Bermula akhir 2019, dunia diberitakan dengan penularan wabak virus baharu yang dimulai dari negara yang terletak dia Asia. Ia masih lagi terkawal sehinggalah Februari 2020, virus tersebut telah sampai ke bumi Malaysia melalui imigran yang transit dari negara jiran.
Negara jadi tidak terkawal kerana virus telah menular dalam kalangan rakyat tempatan. Sekali gus pergolakan politik yang terjadi asbab peletakan jawatan oleh Perdana Menteri semasa pada waktu itu.
Keadaan pada waktu itu terpecah kepada dua bahagian iaitu ahli politik yang berusaha untuk merebut kuasa dan naik sebagai kerajaan dan juga rakyat yang risaukan penularan wabak yang menjadi-jadi akibat pintu sempadan negara tidak ditutup.
Keputusan terletak di tangan YDPA untuk memilih ketua baharu bagi mengawal huru-hara yang berlaku.
Keputusan telah dimuktamadkan dan bertukarlah kerajaan yang baharu. Seperti biasa, ada kerajaan, ada pembangkang. Tetapi kali ini, rebutan kuasa lebih teruk kerana pembangkang bermodalkan penularan virus.
Rakyat berpecah mengikut ideologi politik masing-masing disebabkan propaganda ahli-ahli politik. Tetapi bukan itu yang ingin dibahaskan.
Kucar-kacir politik itu biasa jika tidak berlandaskan dan mengikut syariat Islam.
Disebalik kucar-kacir politik yang melanda, timbul gerakan anti-v4ksin yang mana menolak sekeras-kerasnya penggunaan v4ksin untuk mengawal penularan wabak virus korona.
Ya, di saat negara telah menjumpai sinar, muncul individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa virus dan v4ksin hanyalah propaganda jahat kafir untuk merosakkan umat Islam dan memerintah dunia.
Sehingga timbulnya keraguan terhadap proses perubatan dan mempertikaikan kenapa pesakit perlu ditidurkan, dikuarantin dan sebagainya.
Mengapa ya, kita nasihatkan anak supaya belajar rajin-rajin, hantar masuk universiti, menelaah buku-buku ilmiah tulisan karyawan-karyawan hebat, mengkaji tentang pelbagai perkara dari sudut sains dan agama, bahkan menghantar anak belajar Quran dan hadis.
Kita menolak hujah mereka tetapi sewenang-wenangnya dan bulat-bulat membenarkan diri kita menerima teori tanpa bersumberkan syariat agama.
Muncul juga individu yang mengaku telah bermimpi tentang perjalanan dan rentetan sebelum berlakunya kiamat yang telah dijanjikan.
Sangat sayang, pendengar dan penontonnya mempercayai dan menyokongnya. Masyarakat menjadi takut dan membuat pelbagai persediaan yang berlebih-lebihan.
Persediaan lari ke hutan dengan menyediakan peralatan ‘survival’ hanya untuk mengelak daripada serangan bom dan sebagainya. Sedih melihat golongan ini.
Logiknya, kenapa mereka boleh mempercayai dan mengikutnya tanpa soal selidik dan kajian? Tanpa merujuk kepada mana-mana pakar ulama?
Sedih kerana pemilik mimpi terang-terangan menceritakan mimpinya kepada masyarakat. Sedangkan Allah telah menceritakan kepada kita di dalam Al-Quran kisah mimpi Nabi Yusuf.
Di dalam surah Yusuf bermula daripada ayat keempat yang bermaksud : (Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; aku lihat semuanya bersujud kepadaku.”
Dan Allah menceritakan bahawa ayah Nabi Yusuf iaitu Nabi Yaakub menjawab pada ayat kelima yang bermaksud:
Ayahnya berkata: “Wahai anakku! Janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakan mu). Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Kenapa kita tidak mengambil ini sebagai pengajaran? Bahawa menceritakan mimpi-mimpi kita kepada orang yang tidak sepatutnya adalah sangat bahaya.
Iblis telah berjanji kepada Allah akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam. Jadi mereka pasti akan menyelit dan membisikkan sesuatu yang akan buat kita terpesong.
Di dalam terjemahan ayat Al-Quran di atas menyatakan jangan menceritakan mimpi kepada saudara yang mana adik-beradik Nabi Yusuf sendiri.
Sedangkan adik-beradik pun Nabi Yaakub melarang, apatah lagi kalau kita terang-terangan membuat video bahkan mewujudkan kumpulan di media sosial menceritakan perihal mimpi kita.
Entah siapa-siapa yang mendengarnya. Bahkan di dalam group yang ditubuhkan itu tidak ada seorang pun yang arif dan alim perihal ilmu agama.
Semuanya mengeluarkan pendapat dan teori masing-masing secara melulu tanpa merujuk Quran dan Sunnah. Oleh itu, kita dinasihatkan supaya merujuk kepada yang alim akan perihal menakwilkan mimpi.
Logik yang seterusnya, mengapa masyarakat kita perlu takut atau bahasa pasarnya terlebih gelabah dengan mimpi kiamat tersebut. Atau lebih spesifiknya, mengapa baru sekarang kita tergesa-gesa dengan mimpi individu terbabit?
Tanda kiamat itu benar-benar hampir adalah dengan kewafatan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Al-quran dan hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam telah ada lebih 1400 tahun yang dulu.
Di dalamnya telah lengkap akan rentetan terjadinya kiamat, kaifiah menjadi muslim yang beriman dan ciri-ciri orang yang dijanjikan syurga.
Di dalamnya juga ada ancaman dari Allah bagi yang ingkar. Tetapi kita masih leka mengejar habuan dunia, solat akhir waktu, Quran sekali sehari pun berat, tahajud liat, zikir kurang.
Mengapa kita biasa-biasa sahaja? Mengapa kita tidak gelabah untuk melakukan persediaan menuju akhirat seperti kita menyediakan peralatan ‘survival’ untuk lari ke hutan? Mengapa?
Kita mempercayai akan agenda cip 5G dalam v4ksin, menolak sekeras-kerasnya sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat Islam bahkan dalam kalangan keluarga dan kaum kerabat. Kita menyibukkan diri dalam mengkaji agenda kafir yahudi.
Kalau kita ada banyak masa untuk itu, bukankan lebih baik kita menggunakan masa tersebut dengan mengkaji dan belajar Quran dan Sunnah? Quran dan Sunnah adalah sebenar-benarnya. Dengan mempelajarinya dan mengikut syariatnya, kita tidak perlukan mimpi apa pun.
Allah berjanji akan ada dengan orang yang ada bersama-NYA. Allah tidak pernah memungkiri janji. Datanglah agenda yahudi dan kafir sehebat mana pun, kalau kita yakin seyakin-yakinnya dengan Quran, tiada apa yang boleh hancurkan umat Islam melainkan dengan izin Allah.
Ya betul, kita tak sepatutnya terlampau takut dengan virus sehingga menyatakan kita perlu v4ksin, kalau tak kita akan mati. Bukan begitu, kita niatkan v4ksin sebagai ikhtiar untuk mengelak dari terkena wabak.
Jangan niatkan v4ksin untuk bercuti, dine in dan bersosial, tapi jadikan ia peluang yang Allah berikan kepada kita untuk bertaubat. Allah tak ambil kita lagi kerana nak beri kita masa bersihkan segala dosa yang ada.
Pedulikan agenda kafir dan teori 5G yang tidak diketahui kesahihannya. Apa yang sahih, Allah dah berjanji Islam akan bertapak semula di bawah pimpinan Imam Mahdi. Tugas kita adalah mempertingkatkan kualiti ibadah dan mengumpul pahala sebanyak-banyaknya.
Usaha untuk menjadi orang yang mendapat syafaat Nabi dan mendapat rahmat Allah.
Ingat ya, kita masuk syurga bukan kerana pahala, bukan kerana apa-apa. Tapi kerana rahmat Allah. Tanpa rahmat Allah, kita jadi debu sekarang ni. Kalau kita umat Islam bergaduh dan berpecah, macam mana kita nak dapat rahmat dan redha Allah?
Apa yang terjadi sekarang-politik, anti-v4ksin dan sebagainya-semuanya ujian Allah untuk kita. Allah nak kita kembali kepada-NYA. Ambil v4ksin bukan bererti kita melupakan sunnah sebagai ikhtiar dan beriman dengan WHO.
Anti-v4ksin bukan juga bermakna tawakkal kosong tanpa usaha. Kita sama-sama gunakan kedua-dua kaedah. Nabi tak mengajar kita hanya bergantung kepada Allah 100%.
Ikhtiarlah dengan cara yang sesuai mengikut peredaran zaman dan tidak melanggar syariat. Contohnya, peristiwa Rasulullah s. a. w dengan seorang pemilik unta.
“Telah datang kepada Rasulullah S. A. W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W.
“Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?” Rasulullah S. A. W. menjawab, maksudnya : “Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal.”
(Hadis Riwayat al-Tarmizi)
v4ksin telah diluluskan dan diiktiraf oleh ulama dunia berpandukan sumber hukum Islam yang disepakati ulama iaitu Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak Ulama. Kita bukan di zaman Rasulullah, bukan di zaman Khilafah Islam, Tabi’in atau Tabi’ Tabi’in.
Ilmu agama kita juga cetek. Ulama’ lah menjadi rujukan kita sekarang di samping Quran dan Sunnah. Kita umat akhir zaman umpama hanya menadah cawan di mesin Coway. Semua sudah tersedia dan disediakan oleh ulama terdahulu. Cuma tinggal ambil dan minum sahaja.
Jangan disebabkan hal yang remeh-temeh kita berpecah dan bergaduh. Nasihat saya, ambillah v4ksin dan bertawakkal. Hidupkan Sunnah.
Pedulikan hal yang tiada kesahihan dan kembali kepada asas iaitu, Quran dan Sunnah. Nescaya, terselamatlah kita dari sebarang bahaya dengan izin Allah.
Bagi yang memilih untuk tidak v4ksin, tak mengapa. Itu hak anda, hak masing-masing. Jangan memaksa antara satu sama lain.
Tapi, jagalah SOP, sentiasa pakai sanitizer dan jaga kesihatan. Itulah ikhtiar anda. Kalau premis tidak menerima pelanggan tidak cucuk v4ksin, jangan masuk.
Kita ada pendapat masing-masing. Patuhilah peraturan kerajaan kerana ia adalah kewajipan kita selagi tidak melanggar syariat Islam. Jangan tipu status v4ksinasi dan bangga tanpa v4ksin anda mampu dine in, mampu rentas negeri dan tidak terkena virus dengan alasan anda tawakkal.
Nasihat saya, jangan buat begitu. Allah Maha Adil dan DIA tahu apa yang terdetik dalam hati kita. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi, paling menyedihkan dalam keadaan kita berbangga itu, kita ialah pembawa virus tanpa sedar dan menyebarkannya.
Kita negatif, tetapi orang lain positif kerana kita pembawa. Berdosa kita kerana menjadi penyebab orang lain merana.
Nota kaki: Semua orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat masing-masing. Tetapi, saya tiada hak untuk memaksa anda menerima pendapat saya. Maafkan saya jika tulisan ini ada mengguriskan hati mana-mana pihak. Terima kasih.
– O Leo (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit