Penerokaan Identiti

Ni kisah aku waktu sekolah asrama dulu. Aku tulis masa 2nd year kat uni. Skrg dah final year pun. Aku rasa better aku publish kat sini, so, sama-sama boleh beri iktibar pada org lain juga. Kawan aku tu punn dah blaja dalam negara dah. sila sila kan share eh
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

“Jangan tengok dah cerita Hannah Montana tu”, kata abah. Aku membentak. Haih, takkanlah cerita simple macam tu pun tak boleh? Bukan ada apa-apa yang salah pun. Cerita fasal seorang remaja perempuan 14 tahun yang hidup sebagai penyanyi popular Amerika, tetapi menyamar sebagai pelajar sekolah menengah rendah normal di pagi hari. Apa yang teruk sangatkan?- kata akulah.
*********************************************************************************

Ketika di zaman persekolahan, aku sentiasa mencari-cari, siapakah aku sebenarnya? Adakah aku patut menjadi ‘outstanding’? atau jadi orang yang ‘low profile’? atau patutkah aku bina karakter baru? Siapa aku? Itu sentiasa menjadi tanda tanya. Normal bagi remaja seperti aku untuk memikirkan sangat perkara-perkara seperti itu yang sepatutnya tidak difikirkan pun. Tambahan lagi, aku tiba-tiba dimasukkan ke asrama penuh ketika berumur enam belas tahun. Keselesaan di rumah suatu masa dahulu, secara tiba-tiba hilang. Lenyap.

Aku seperti orang gila kerana ingin ‘fit in’ di tempat baru. Rasanya aku banyak terpengaruh dengan budaya remaja Barat. Ingin jadi sepopular Hannah Montana, kononnya. Patutlah abah larang keras aku menonton drama dan filem mereka. Mungkin kerana abah sudah tahu betapa cepatnya aku akan terpengaruh dengan budaya mereka. Terutamanya budaya-budaya yang tidak elok. Yang ingin popular, tidak mahu jadi si ulat buku atau “nerd”.
Ketika sedang mencari identiti diri, aku dibanjiri oleh karakter yang pelbagai di asrama. Sehingga menyebabkan aku sentiasa memikirkan- patutkah aku jadi seperti dia? Karakter dia macam ok? Atau dia?. Ketika itu bermulalah detik di mana aku mengguna pakai karakter dan persona yang pelbagai. Sehingga kadang-kadang aku rasa seperti mengalami penyakit bipolar. Kejap begini. Kemudian, begitu. Letih. Penat.

Namun, kebanyakan masa, aku banyak “memaparkan diri” sebagai orang yang ceria. Happy-go-lucky. Sentiasa nampak gembira dan tertawa tanpa sebab. Nampak seperti gelak yang dibuat-buat. Tiruan. Aku tidak mahu dilihat sebagai “skema”. Aku ingin kelihatan “cool”. Kadang-kadang aku rasa lelah dalam meneruskan karakter sebegitu. Menyebabkan aku rasa sedih dan penat lepas beberapa ketika. Rasa itu hanya aku pendam seorang kerana aku tidak mahu kelihatan sedih di hadapan rakan-rakan. Hidup untuk menggembirakan orang lain atau “people-pleaser” adalah apa yang aku lakukan pada kebanyakan masa.

Setelah beberapa bulan, aku tiba-tiba menjadi senyap. Sentiasa bermuka muram. Aku cuba ukirkan senyuman tetapi tidak mampu. Terlampau banyak berfikir tentang apa orang lain kata,mungkin. Paling sedih, rakan-rakan dulu yang gelak bersama, jarang sekali menegur tentang perubahan aku. Benarlah kata-kata, “teman ketawa senang dicari, teman bersedih susah sekali”. Lama-kelamaan aku tiba-tiba dihampiri oleh seorang rakan yang aku namakan-Allie.
Allie sangat berlainan dengan yang lain. Dia senyap. Tenang. Itu yang aku perhati. Dia tidaklah berbadan ramping, cantik mahupun tertawa selalu. Namun, ada satu kelainan padanya. Aura positif mungkin. Pada mulanya, ketika aku mengenali dia, dia hanya banyak mendengar dan tidak banyak membantah. Pendapat aku pada mulanya, dia mesti senang dibuli oleh yang lain.Namun, sangkaan aku meleset. Dia dihormati dan disayangi oleh rakan-rakan sekeliling. Mereka nampak selesa berada dengannya. Aku pun.

Setelah beberapa lama berkawan dengan dia, sehinggalah kami di tingkatan 5, aku mula menjadi sangat rapat dengannya. Banyak yang aku belajar dengannya. Dia mengenalkan aku dengan konsep “silence is beautiful”. Walaupun senyap, dan tidak sebising yang lain, Allie adalah seorang insan yang mempunyai prinsip tersendiri dan sangat berkeyakinan tinggi. Semua ini aku belajar hanya dengan berada dekat dengannya. Dan, aku pun perasan, aku berubah menjadi seorang yang lebih rileks, lebih tenang. Tidak perlu terkinja-kinja, bergelak ketawa secara pura-pura, mahupun menarik perhatian orang lain. Cukup dengan menjadi diri sendiri.

Pengaruh luar dan budaya luar tidak perlu diikutkan sangat. Yang baik, kita ambil, yang tidak, jauh-jauhkan. Sekarang Allie sudah berada di luar negara memulakan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan. Hanya Allah tahu betapa aku sayang dan rindu pada segala tingkah laku dan nasihatnya. Aku bersyukur kerana dikurniakan insan seperti Allie yang telah membuka mata aku tentang betapa luasnya dunia, dan jangan terlampau memfokuskan kehidupan hanya pada apa yang ada di hadapan mata. Untuk memandang dunia dengan hati yang lapang. Penuh terbuka. Alhamdulillah.
Sekarang, aku hanya tersengih melihat keletah rakan sekeliling yang dilihat masih ingin mencari identiti masing-masing. Sama macam aku dahulu. Aku harap aku dapat membantu mereka seperti yang dilakukan oleh Allie dahulu. Untuk sentiasa konfiden dan rasa bahagia serta cukup dengan apa yang ada. “Key to happiness is to utilize what you have, and never sigh over what you do not have (yet)”. Dalam erti yang lain, kita kena sentiasa rasa bersyukur dan redha dengan apa yang telah diberi olehNya.

Sekarang, jika aku disuruh mendefinisikan siapakah aku? Karakter aku? Aku hanya akan membiarkan mereka meneka sendiri. Kerana aku adalah aku. Dan aku tidak perlu pergi sekeliling dan memastikan orang lain tahu siapa diri ini. “Im not a people-pleaser no more. Pleasing the Almighty is my ultimate goal, insyaAllah”. Walaupun kadang-kadang aku masih rasa seperti banyak yang perlu aku pelajari, namun, aku tahu aku sekarang lebih berprinsip, lebih berkeyakinan dan lebih gembira berbanding dahulu.
Kepada Allie. Terima kasih. Saya tahu mungkin Allie tidak membaca artikel ini, namun saya sentisa mendoakan yang terbaik buatmu, dan hanya Allah dapat membalas segala jasamu. Saya mendoakan persahabatan kita akan kekal ke syurgaNya. Aamiin.

Ini ada sepotong hadis untuk dikongsi bersama:
Dari Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa percaya kepada Allah dan hari kemudian hendaklah ia berkata baik atau diam.” (Bukhari-Muslim)

– AMAHZS

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *