Cerita yang ingin disampaikan ini tidaklah seindah yang difikirkan. Tetapi lebih kepada sebuah penghargaan buat pembaca mahupun admin jika ianya disiarkan.
Aku kenalkan diri aku sebagai F dan seorang lelaki berusia lewat 20an. Dengan Izin Allah, Aku juga seorang suami dan ayah kepada seorang anak yang kian membesar berusia sekitar 6 bulan.
Perkahwinan yang tercipta atas dasar suka sama suka, berjanji sepakat mencipta bahagia baru berusia sekitar 2 tahun yang boleh dikategorikan “umur setahun jagung”.
Sejujurnya aku bukanlah pakar bermadah mahupun berpuisi dalam penulisan seperti penulis diluar sana tetapi yang ingin aku titipkan adalah terima kasih kepada curahan nukilan hati terutama isteri terhadap suami ataupun pasangan kalian.
Banyak yang aku belajar dari luahan tersebut. Dari segenap sisi aku ambil ikhtibar setiap coretan dan nukilan kalian dalam menzahirkan rasa yang terpendam walaupun isteri aku tidak pernah ungkapkan apa yang dia rasa.
Alhamdulilah, aku belajar memahami dan menyelami setiap yang dicoretkan untuk aku menjadi seorang suami dan ayah yang baik buat mereka. Perlahan aku jadikan rutin jemur pakaian, kemas rumah, masak sebagai tugas rasmi aku.
Secara jujurnya sedikit penat kerana setiap hari aku akan lakukan OT yang memerlukan aku pulang setiap jam 8 malam. Tidaklah lain difikiran kecuali untuk memberi kesenangan dan keselesaan buat isteri dan anak aku.
Sedikit penat tapi aku bahagia kerana aku merasakan aku melakukan tugas yang sebetulnya perlu aku lakukan sebagai suami.
Isteri aku suri rumah dan aku faham kepenatan dalam menjaga anak yang kian membesar. Cukuplah melihat dia tersenyum setiap kali aku pulang.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa isteri boleh lakukan kerja rumah jika anak tidur, ya benar tidak aku nafikan.
Ada hari isteri aku masak, kemas rumah, jemur pakaian. Cuma yang ingin aku tekankan bantuan suami kepada isteri memberi impak kepada rumah tangga.
Menjadi pendengar yang baik setiap cerita yang ingin dikongsikan.
Aku berpegang kepada pepatah “kalau kita penat ditempat kerja, mereka juga penat dalam melayani anak”.
Adakala aku terlihat jam 1 pagi anak aku masih bermain bersama isteriku yang memberi sedikit keinsafan kerana waktu tidur isteri aku tidaklah seperti dulu sekitar jam 11 mahupun 12 malam.
Ibu suri rumah mahupun bekerja pastinya faham situasi yang aku sampaikan. Tidur lewat malam hingga jam 2 pagi dan terpaksa bangun awal pagi kerana tanggungjawab kerja.
Sebab itu aku letakkan kerja rumah biarlah dibahu aku. Sungguh aku tetap bangga kepada ibu diluar sana atas pengorbanan kalian buat keluarga.
Buat suami, isteri bukanlah hamba, dia pendamping kita hingga syurga. Aku bukanlah suami yang baik untuk menasihati jauh sekali untuk berkongsi.
Cuma sedikit pesanan dari jauh disudut hati hargailah mereka, bantulah mereka.
Ingat kembali sewaktu akad yang kita lafazkan untuk menghalalkan mereka dimana kita berjanji untuk menjadikan hiasan rumah tangga sebagai perjalanan hingga ke syurga
Buat pembaca, aku dengan rendah diri memohon doa dari kalian agar aku terus istiqamah dengan cara aku sekarang. Mudahan Allah tidak sasarkan hati aku, tidak bolak balikkan hati aku. Aku mohon doa dari kalian.
Mudahan kalian juga terutama buat suami dan isteri terus Bahagia hingga syurga. Terima Kasih IIUM Confession kerana penyiaran yang kamu lakukan terhadap kisah isteri diluar sana membuka hati aku sebagai suami.
Terima kasih aku ucapkan. Sekadar ini sahaja perkongsian aku. Jika ada rezeki mungkin cerita lain pula aku akan kongsikan sebagai suami setahun jagung. Dengan izin Allah. Terima kasih.
– F (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit