Pengakhiran Terbaik Menganggung Rindu

Assalammualaikum, aku merupakan seorang isteri dan juga seorang ibu. Ibu kepada anak yang telah meninggalkan dunia. Ya, menanggung rindu yang tiada penghujung itulah yang paling sakit.

Aku dikurniakan seorang cahaya mata yang pertama pada tahun ini namun rezeki bersama dengan cahaya mata ini, Allah kurniakan hanya sebulan.

Pabila diuji, semestinya pertama sekali yang akan terlintas di hati adalah Allah, Allah berikan aku ujian yang sangat berat, setelah aku dan suami menerima berita mengenai keadaan sakit anak yang sangat complex memerlukan operation segera,

Terus aku ucapkan syukur pada Allah atas ujian ini, kerana apa, kerana aku sudah terlampau jauh dari Nya. Ya, aku hamba yang sangat hina.

Allah uji tanda Dia sayang,

Allah uji tanda Dia rindu.

Benar, Allah rindu pada aku, aku dah terlampau jauh dari Nya, betapa sombongnya aku pada Allah sanggup meninggalkan perintah Nya, betapa sombongnya aku,

Sepanjang aku mengandung tempoh sembilan bulan, aku hanya berdoa ‘Ya Allah berikan aku pengakhiran bersalin yang terbaik’.

Tiada langsung doa untuk anak yang dikandung, tiada langsung doa buat sang suami yang selalu melayan kerenah mengandung aku,

TIADA! hanya satu doa aku iaitu pengakhiran terbaik.

Anak aku memerlukan pembedahan segera di IJN, aku pikir ujian aku yang paling berat, aku silap, Allah hanya jodohkan aku untuk berkawan dengan dua orang ibu,

MasyaAllah ujian seorang ibu ini lagi berat dimana rezeki anaknya lahir hasil tabung uji (IVF) namun kelahiran bayinya itu pramatang,

Ditambah lagi dengan masalah jantung, masalah usus, masalah paru paru, malah immunity badan anaknya juga rendah dimana senang mendapat jangkitan kuman.

Namun ibu tersebut tetap senyum dan sentiasa positif walaupun umur anak sudah menjengah setahun dan masih berada di hospital menerima rawatan.

Percayalah, Allah tidak akan pernah menguji hambaNya diluar kemampuannya.

Allah Maha Hebat, Maha Penyayang,

Sepanjang aku diuji dengan anak tidak sihat tetap juga ada ujian yang lain, antaranya kenderaan yang aku dan suami gunakan untuk melawat anak mengalami kecelekaan,

Bukan satu tetapi dua buah kereta yang berlainan mengalami kecelakaan dalam jarak tempoh seminggu, kos beratus ringgit dikeluarkan demi membaiki kecelakaan tersebut.

Terus aku tersenyum sendiri saat melihat duit dihulurkan bagi membaiki kereta, ‘Allahuakbar, aku dah lama tak sedekah, tu pasal Allah tarik nikmat duit’.

Macam yang aku cakap Allah Maha Hebat dan Maha Penyayang, kerana apa: Nikmat yang Dia kurniakan pada aku sepanjang aku diuji

MasyaAllah terlampau banyak.

-Nikmat kesihatan fizikal dan mental, Allah bagi luka cser aku sembuh cepat supaya aku boleh datang melawat dan menjaga anak, Allah bagi aku kesihatan mental yang terbaik, jika Allah tarik nikmat tu, aku mungkin akan depressed sampai gila (postpartum blues).

-Nikmat rumah tangga yang tetap bahagia walaupun diuji, boleh sahaja Allah tarik nikmat kebahagiaan saat diuji, bergaduh besar dengan suami mengenangkan nasib anak yang tidak sihat,

Namun Allah bagi nikmat extra, kami suami isteri saling mengingati sesama sendiri ‘Jom kita solat sunat Dhuha, jom kita baca Mathurat, jom solat jemaah sekali’, dialog yang tak pernah muncul dalam rumah tangga aku sebelum aku diuji.

-Nikmat dikelilingi kawan kawan serta rakan sekerja yang baik, aku terkedu menerima wang sumbangan yang dikutip oleh rakan sekerja tanpa pengetahuan aku, wang sumbangan beribu ringgit,

Walaupun duit aku dan suami banyak keluar (bayar duit tol, duit minyak, duit makan, duit kos rawatan, duit kereta rosak), Allah gantikan nikmat duit melalui duit sumbangan di mana duit yang aku terima tu lebih dari apa yang aku keluarkan.

-Nikmat dikurniakan anak tidak sihat, walaupun takdir aku tertulis rezeki dengan anak hanya sebulan, namun Allah jualah sebaik baik Penjaga, barangkali jika anak aku survive, aku mesti risau mengenangkan nasib dia,

Boleh kah anak aku melakukan aktiviti lasak, berlari laju seperti anak yang lain dengan keadaan jantung yang complex, kini aku tidak perlu risau kerana di Syurga Allah, anak akulah yang berlari paling laju saat main bersama anak anak syurga yang lain.

Aku sangat sangat yakin, Inilah pengakhiran terbaik Allah kurniakan buat aku dan suami, walaupun pengakhirannya, anak itu kembali kepada Allah,

Aku sering berdoa moga Allah jadikan kematian anak aku asbab untuk Allah bagi syafaat buat aku dan suami agar disatukan kembali berlari lari bersama anak comel kami di Syurga Allah.

Buat rakan rakan, yang sedang diuji, prasangka baiklah pada Sang Pencipta iaitu Allah.

Allah sebaik baik Perancang, boleh jadi perkara yang kau suka sangat bukanlah yang terbaik dan perkara yang kau benci sangat adalah yang terbaik untuk kau, didiklah hati untuk terus rasa beryukur atas nikmat lain saat diuji,

Alhamdulillah Allah kurniakan aku rezeki merasa kehadiran anak untuk tempoh sebulan, apa pula perasaan ibu lain yang susah menerima zuriat,

Apa pula perasaan ibu lain yang mengandung cukup bulan namun bayi meninggal dalam kandungan dan apa pula perasaan ibu lain yang mengandung cukup bulan namun bayinya lahir hanya beberapa jam.

Didik hati untuk sentiasa sabar dan bersyukur.

Yakinlah, pasti ada rezeki Allah yang lain kerana rezeki Allah itu luas. Sedih memang sedih menganggung rindu yang tiada penghujung, sakit memang sakit,

Doalah moga Allah lindungi diri dari hasutan dan bisikan syaitan saat diri diselebungi perasaan sedih, mohon moga Allah gantikan perasaan sedih dengan rezeki yang lebih baik, rezeki yang tidak tersangka sangka, rezeki yang luar biasa.

Akhir kata, anak aku dah selamat bergelak ketawa, bermain main berlari lari bersama sama anak anak syurga yang lain dalam Syurga Allah,

Aku pula sebagai ibu, apalah nasib aku, layak kah untuk diterima masuk ke dalam Syurga Allah?

Dunia hanya sementara, akhirat itu pasti, moga aku terus istiqamah untuk terus dekat dan dekat dengan Allah.

Alhamdulillah, Terima Kasih Ya Allah, pengakhiran bersalin yang terbaik kau kurniakan bagi aku.

Mama anak syurga,

– Mama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *