Pengalaman Bersalin Czer

Pertama sekali nak ucap terima kasih admin kalau approve. Saya cuma rasa nak share pengalaman saya bersalin secara operation baru-baru ni.

Para pembaca yang kalau jenis cepat loya mohon jangan baca… Detail saya beri mungkin agak terperinci. Tak lain tak bukan cuma nak para pembaca sedar besarnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan anda ke dunia ini.. Dan jugak untuk kaum suami supaya lebih menghargai isteri.

Pertama sekali, contraction. Contraction ni bahasa mudah sakit nak bersalin. Contraction yang betul bila selang 5 minit.

Saya tengah main robot dengan anak yang sulung. Tiba-tiba rasa perut mengeras selang 10 minit. Tapi tak sakit sangat. Sakit macam nak berak je… Tapi hati dah tak sedap. Lagi pulak saya dah cukup 40 minggu.

Bangun ke dapur nak minum air, tiba-tiba saya rasa ada air bocor dari seluar saya. Air warna koko kemerah-merahan. Penuh lantai. Menjerit panggil suami. Gelabah la kawan tu capai beg ibu dan baby, dalam masa setengah minit semua dah siap dalam kereta. Haha. Kalah Barry Allen…

Tiba di hospital terus check in dan admit ward bila bagitahu ada discharge (keluar) ketuban. Masa ni pukul 12 malam. Suami takleh tunggu. Tapi sebelum apa2 misi suruh buka barang kemas semua dan serah kat suami.. Bukan suruh pi gadai ye. Haha.

Memang SOP bila nak bersalin.. Selesai tukar baju ke baju pink wad bersalin, masuk bilik ctg. CTG ni apa?

Ctg ni sejenis mesin untuk detect contraction dan jantung baby. Satu sesi ctg 20 minit. TAPI TAPI TAPI sebelum apa-apa, misi akan buat VE. VE ni apa ye tuan tuan dan puan puan…

VE ni vaginal examination, maksudnya SELUK. Dua jari akan diseluk ke dalam vagina sedalam mungkin untuk tahu berapa cm bukaan pintu rahim. INILAH saat paling para ibu-ibu tak suka. Sakit dan tak selesa. VE ni akan dibuat kerap sampai lah kau bersalin.

Belum cukup 4cm jadi saya kena tidur dulu di katil wad. Ahh masa ni mimpi ngeri bermula. Rakan sebelah katil saya menangis huuuuuu huuuuuu huuuuuu. Itu bukan hantu ye kawan-kawan. Itu wanita tengah tahan contraction.

Kemudian giliran saya pulak. Contraction makin kuat. Rasa macam ada orang tengah nak cabut buah kelapa dari perut saya secara paksa. Sakit dia Masya Allah…

Baring tak kena, duduk tak kena, berdiri tak kena. Benda ni berlarutan selama 5 jam. Masa ni tudung kau dah jadi roti canai banjir. Lunyai dan basah.

Waktu ni segala dosa-dosa akan terngiang-ngiang di kepala. Sebab sakitnya macam nak mati. Dan wajah ibu akan bermain di minda sebab mengenangkan “Oh macam ni lah mak lahirkan aku dulu”.

Tiba-tiba POMMMMM! Disusuli bunyi SRREHHHHHH… Air ketuban pecah daa..

Basah katil, selipar basah, kain basah, semua basah. Saya cepat-cepat tekan lampu emergency. Datang lah misi-misi jelitawan usung saya ke labor room. Ahh babak tolak katil ke labor room ni sebijik cam dalam drama. Cemas-cemas gitu.

Masuk labor room terus kena buat CTG. Dan sudah semestinya VE aka SELUK kena buat… Ahh saya tak suka saya tak suka. Saya tengah sakit menggelupur macam cacing kena air panas. Time tu jugak kena seluk. CTG menunjukkan contraction kuat, bukaan pulak dah 9cm. Tapi teran tak lepas.

Masa teran ni kalau ada olimpik acara teran konfem saya paling tak layak masuk. Memang saya tak kuat. Lagipun tenaga dah habis menahan contraction 5 jam tadi.

Teran tak lepas ni bahaya, baby boleh lemas. Jadi pakar datang tengok. Pakar ni lelaki ye tapi masa ni kau punya malu tu dah takda… Otak kau cuma akan pikir BERANAK BERANAK BERANAK je. haha

Pakar seluk (SELUK LAGI!) dan tekan-tekan perut dan dia cakap “Baby awak besar ni puan. Saya terpaksa buat emergency czer sebab baby dah distress (baby dalam bahaya).”

Maka saya setuju je sebab memang dah tak tahan sakit. Dipendekkan cerita, saya tiba di bilik bedah. Sebelum masuk, kau akan ditanya bila last makan, dan diorang akan bagi kau minum 1 cawan kecik air yang pahit gila. Air ni untuk mengelakkan kau muntah bila operate nanti.

Kau akan kena sign surat macam-macam. Time ni saya dah tak kisah surat apa pun kalau diorang hulur surat laki kawen satu lagi pun saya sign je sebab memang dah tak tahan sakit! Haha.

Korang kena ingat ye, segala aktiviti di atas berlaku sambil saya menahan contraction yang maha dahsyat. Badan saya mengeliuk mengeliat merengkot macam orang kena rasuk jembalang.

Tolak masuk bilik bedah, akan ada orang angkat kau pindah katil. Dalam bilik bedah ni kakitangan ramai ye macam ada parti harijadi gitu. Meriah nau.

Saya disuruh bangun duduk dan peluk bantal. Doktor nak cucuk bius. Cucuk di tulang belakang. Cucuk ni tak sakit pun.. Lepas je cucuk tu saya terus rasa di awang awangan… Contraction dah hilang… Saya lumpuh separuh badan.. Badan saya lembik cam sotong…

Saya dibaringkan. Tirai di letak kat tengah badan saya. Saya tak nampak pun siapa yang bedah saya. Tapi yang pasti dua orang. Saya rasa perut saya digoncang-goncang. Bergedik-gedik cam puding karamel. Memang tak rasa sakit langsung. Sepanjang masa cuma rasa perut bergoyang-goyang.

Saya mula rasa sejuk. Tak tahu kenapa. Sejuk ya amat macam duduk dalam salji tanpa berbaju. Tangan tak boleh peluk tubuh sebab tangan saya didepa macam lambang salib tu. Saya menggeletar sangat-sangat. Ketar-ketar yang kalau kau genggam cawan memang tumpah semua air.

Agak lama jugak perut saya bergoyang-goyang bak puding laici. Sambil-sambil tu misi akan datang jenguk saya dan tutupkan badan sebab saya menggeletar kuat sampai baju bedah nak terlucut.

Kemudian saya rasa ada orang mengoyak-ngoyak perut. Dan terasa satu benda di tarik keluar dari perut..

HUERGHHHH HUERGHHHHH HUERGHHHHH !

Ya itulah bunyi tangisan raksasa saya. Tak lama kemudian raksasa tersebut ditayang depan saya dan misi tanya “Lelaki ke perempuan ni puan ?” Saya pun jawab “Pppppe rempppuan..” ye lah saya kan tengah ketar-ketar sejuk. Raksasa saya tu memang besar, 4.2kg.

Okay selesai bab baby Alhamdulillah. Masa ni perut saya dah tak bergoyang. Tapi masih rasa disentuh-sentuh. Rasa ditarik-tarik. Kemudian bunyi darah disedut. Tarik lagi. Sedut lagi.. Agak lama jugak.. Tarik-tarik tu ialah tarik benang jahit ye kawan-kawan… Tapi tak sakit jangan risau.

Selesai jahit, satu tape macam musking tape akan dilekat kat tempat jahit tu. Selesai.

Saya diselimutkan seluruh badan sampai bawah dagu. Disorong ke satu sudut. Saya disuruh berehat.

Masa ni memang tak boleh berbantal sebab misi kata kalau berbantal nanti muntah. Lagipun masa ni ubat bius masih ada. Saya masih lumpuh separuh badan…. Saya pun tidur2 ayam.. Ketar-ketar masih ada.

Lepas tu, saya ditolak masuk wad. Masih sama. Takleh bantal. Takleh makan. 6 JAM.
Masa ni memang letih, saya lena. Dah tak ketar-ketar.

Kawan-kawan, masa ni saya berpampers ye. Bukan pad. Dan saya berak. Tapi saya tak sedar. Yelah masih lumpuh. Memang tak rasa apa. Kenapa saya berak?? Kenapa saya berpampers?? Saya pun tak tahu tapi rasanya ada kaitan dengan soalan “BILA LAST MAKAN?” sebelum ni tu.

Misi akan basuh berak kau. Masa ni kau persis macam atuk tua nyanyuk yang lumpuh. Misi akan gerakkan badan, lap najis dan basuh kemaluan kau.. Besarnya jasa misi misi kita kan..

Perlahan lahan saya mula rasa kaki saya.. Dah boleh angkat kaki.. Tapi nak bangun ? SAKIT NAK MAMP*S. Saya tak boleh bangun langsung. Rasa macam ada pedang terhunus kat perut.

Masa ni dah boleh berbantal. Jadi suami suapkan air.. Lapar gila rasa waktu ni.. Tapi nampak wajah suami rasa terubat sikit. Aceewahhh. Tapi tak boleh makan lagi.. So malam tu tidurlah dengan pedang yang terhunus di perut dan rasa kebulur ya amat..

Mana raksasa saya? Dia tak tidur dgn saya malam tu sebab dia terlalu besar jadi dia kena masuk ke NICU kejap.

Pendek cerita, hari ketiga kami berdua discaj dan boleh balik… Masa ni berjalan rasa sakit, kalau tak pegang perut masa berjalan rasa sakit sangat macam nak terburai perut. Kelajuan jalan kau masa ni cuma 0.03 cm per hour je. Haha.

Jadi boleh bayang tak macam mana ibu-ibu czer ni pergi toilet? Tak ke macam siput babi berkawad…

SELESAI.

***Maaf kalau terlalu panjang.. Kalau ada sambutan Insya Allah saya share bersalin secara normal pulak.. Itu lagi seksa..

Okay, Assalamualaikum…

– Mak Raksasa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *