Aku tak pasti admin akan approve ke tak cerita aku ni. Aku S, aku seorang bekas pelajar MRSM.
Memandangkan sekarang cerita ni tengah meletup, aku nak kongsikan apa yang aku lalui masa di MRSM dulu.
Benda ni jadi dah lama. Aku tak pernah menceritakan kisah ini kepada ahli keluarga kerana aku rasa benda ini memalukan.
Semasa kejadian tu, aku tak rasa benda tu sebagai sexual harassment pun. Aku hanya rasa benda itu memalukan dan tak patut dikongsi kepada sesiapapun.
Jadi aku simpan peristiwa malam tu sendiri.. sehinggalah aku terbaca kisah adik-adik di MRSM.
Masa tu MRSM tak ada aliran yang banyak macam sekarang. Aku tak ingat bila exactly benda tu terjadi. Tapi apa yang pasti, ianya sekitar tahun 2002-2003 macam tu. Waktu tu aku form1-form2.
Macam biasa, pada waktu maghrib, semua pelajar akan pergi ke surau untuk menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjemaah.
Bagi pelajar perempuan yang tak boleh solat, akan ada usrah dan biasanya kami akan membaca al-ma’surat beramai-ramai.
Aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar-pelajar sahaja. Tak ada warden pun. Cuma kadang-kadang warden akan lalu untuk memantau dari jauh.
Selalunya lepas usrah, mana yang tak boleh solat akan balik ke bilik masing-masing sementara menunggu pelajar-pelajar lain pulang dari surau.
Selepas solat berjemaah/ usrah, para pelajar akan pergi ke kelas prep. Itulah antara rutin kami.
Aku nak ceritakan sedikit tentang layout aspuri pada masa itu. Jika pembaca merupakan bekas pelajar dari MRSM ini, pembaca akan tahu yang ini cerita benar.
Di aspuri (berdekatan dengan Dewan S), ada tiga block sahaja. Block A, B dan C.
Masa tu aktiviti ini dilalukan di bilik iron Block A kerana bilik itu agak luas jika dibandingkan dengan Block C (Block B tak ada bilik iron. Share dengan Block A).
Bilik iron ni, bilik tempat pelajar menggosok baju. Block A dan B ni berbentuk L.
Jadi dari pandangan atas, Block A dan B membentuk segi empat dan di tengah-tengahnya kosong dan ada ditanam pokok-pokok renek secara jarang-jarang.
Pada hari minggu, selepas gotong-royong, pelajar-pelajar perempuan akan roll call di situ. Bilik warden pula terletak di Block A dan C.
Sekarang banyak yang sudah berubah. Pengambilan pelajar pun dah ramai. Dahulu ada tingkatan 1 sehingga 3 sahaja. Kini sehingga ke tingkatan lima.
Pada suatu hari, bila tak boleh solat, aku pun pergilah ke Block A untuk menjalankan aktiviti membaca al-ma’surat.. Setelah selesai bacaan, kami ditahan oleh warden dan tidak boleh balik ke bilik.
Semasa hari kejadian, bukan semua warden aspuri ada. Apa yang aku nak katakan, bukan semua warden terlibat masa tu.
Aku hairan kenapa kami semua ditahan pada waktu itu. Rupa-rupanya, ada aduan tentang beberapa orang pelajar telah ponteng sembahyang di surau.
Jadinya, pelajar-pelajar yang ada di situ perlu membuktikan yang dia benar-benar datang bulan.
Ya, kena buktikan. Tak tahu nak gambarkan perasaan masa itu macam mana.
Kami diajar untuk menutup aurat dengan sempurna. Pakai stokin, pakai tudung mesti menutupi dada dan sebagainya.. Tiba-tiba diminta beri bukti.
Cuba pembaca bayangkan, macam mana nak buktikan? Jika ada laporan tentang pelajar sekian-sekian, mengapa tidak dipanggil sahaja pelajar yang terlibat?
Pada mulanya, warden nak periksa setiap orang. Nak check pakai pad atau pun tidak.
Bila dah kecoh-kecoh sebab ada yang protest, kami diberi dua pilihan. Jika tak nak diperiksa, pelajar hendaklah bersumpah yang dia benar-benar tak boleh solat.
Bagi yang rela diperiksa, warden akan rasa pakai pad atau tidak menggunakan “hanger” baju. Jadi pada malam itu kami terbahagi dua.
Ada yang nak bersumpah dan ada yang membenarkan dirinya diperiksa. Walaupun warden tu warden perempuan, aku tak boleh nak bayangkan macam mana bila hanger tu menyentuh pad yang dipakai.
Malam tu aku memilih untuk bersumpah dari diperiksa.
Dalam situasi ni, tak kisahlah jika seorang pelajar itu betul-betul di pihak yang benar sebab mana-mana pilihan pun tetap akan meninggalkan kesan kerana mentality pada waktu tu:
Jika benar dan diperiksa.. bagai menyerah diri diperlakukan sebegitu..
Jika bersumpah, sudah tentulah tak pakai. Sebab tu lari dari diperiksa.
Itulah kali pertama dan terakhir. Selepas itu, tidak ada lagi kejadian serupa. Mungkin benar tak ada lagi atau masing-masing memilih untuk tidak bercerita apabila kejadian seumpanya berlaku.
Selepas tamat tingkatan 3, aku berpindah ke MRSM lain. Alhamdulillah, di MRSM yang baru, semuanya baik-baik sahaja.
Untuk mengelakkan kejadian macam ni berlaku, aku menyeru ibu bapa untuk ajar anak-anak lebih cakna tentang sexual harrassment.
– S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit