Pengalaman di Wad Psikiatri

Asssalamualaikum semua. Aku merupakan seorang pesakit mental dan apa yang bakal aku ceritakan ini adalah pengalaman aku berada di dalam wad psikiatri.

Aku disahkan mengalami MDD dan PDD oleh pakar psikiatri yang merawat aku. Aku diberikan ubat lexapro, lorazepam, xanax dan juga risperidone untuk di makan supaya aku boleh berfungsi setiap hari.

Punca aku masuk ke wad psikiatri adalah kerana aku telah membuat percubaan membunuh diri dengan mengambil semua ubat yang diberikan oleh doktor (overdose). Kawan aku telah menghantar aku ke hospital dan pakar yang merawat aku mengambil keputusan untuk meletakkan aku di wad psikiatri sementara sehingga aku stabil. Aku berada di sana dalam 2 minggu.

Masuk sahaja ke dalam wad, jururawat telah memberikan sedikit penerangan kepada aku tentang peraturan di dalam wad. Tiada telefon bimbit dibenarkan di dalam wad, larangan untuk membawa peralatan tajam, bahkan pin tudung di larang sama sekali. Tali di baju sejuk aku pun digunting kerana sebarang tali tidak di benarkan di dalam wad.

Hari pertama aku di dalam wad, aku menangis teruk sebab tak biasa berada di dalam wad. Tambahan pula dengan jeritan oleh pesakit lain membuatkan aku bertambah panik. Ada pesakit yang diikat, di marahi jururawat dan pelbagai perangai pelik manusia ada di dalam wad.

Malam pertama di sana aku tidak dapat tidur dan jururawat memujuk aku supaya tidur dan memberikan ubat lorazepam supaya aku boleh tidur. Oh, di dalam wad pesakit dibenarkan untuk mengambil lorazepam sekiranya kami tidak dapat tidur dan waktu dibenarkan untuk mengambil ubat tersebut adalah jam 12 tengah malam sehingga pukul 3 pagi sahaja.

Bangun pagi pula pesakit akan dikejutkan oleh jururawat dan kami akan diarahkan untuk mandi. Waktu mandi aku ditemani oleh seorang jururawat kerana aku tidak dibenarkan mandi seorang diri. Ye, aku mandi depan jururawat dan masa tu tiada rasa malu dan kerana terpaksa. Setelah mandi, katil akan di kemaskan oleh jururawat supaya kelihatan kemas.

Waktu makan pula sekitar 8 pagi. Setelah itu, jururawat akan memberikan ubat kepada kami dan setelah makan doktor yang merawat aku akan datang untuk bertanyakan tentang keadaan aku pada hari tersebut.

Hari kedua di dalam wad, selera makan aku tiada langsung dan pada hari ke 4, doktor menyuruh jururawat untuk memasukkan air garam dan pergerakan aku menjadi terbatas kerana tidak boleh bergerak disebabkan kena masuk air garam tersebut.

Kebiasaannya pada hari isnin sehingga jumaat, therapist akan datang di dalam wad pada pukul 10 pagi dan akan membuat pelbagai aktiviti seperti mewarna, bermain permainan seperti UNO, sahibba, atau berzumba dan menari untuk mengisi waktu lapang pesakit sementara menunggu makan tengah hari.

Selepas makan tengah hari, tiada aktiviti sehingga waktu melawat pukul 3 sehingga pukul 7 petang. Pada waktu melawat ini aku boleh melihat gelagat pelawat yang datang. Ada yang memandang sinis kepada kami, ada juga pesakit yang tiada orang datang melawat sehingga menangis. Ada pesakit yang berkeliaran mengganggu pelawat.

Waktu makan malam pula adalah pada pukul 6 petang dan setelah pelawat pulang pada pukul 7, kami diberikan ubat oleh jururawat yang bertugas. Jururawat akan memanggil seorang demi seorang pesakit dan kami akan makan ubat di hadapan jururawat, ini untuk memastikan kami makan ubat tersebut dan tidak membuang ubat itu.

Selepas makan ubat, kami dibenarkan untuk tidur atau membuat apa sahaja aktiviti sehingga pukul 10 malam. Televisyen juga akan di tutup selepas jam 10 dan lampu akan mula digelapkan. Selepas jam 10, kami diarahkan untuk tidur dan tidak membuat bising tidak mengganggu pesakit lain.

Tetapi ada juga pesakit yang degil. Mereka menjerit, membuat bising dan juga menyanyi sehingga jururawat mengambil keputusan untuk mengikat mereka. Aku juga pernah diikat sekali kerana mengganggu pesakit lain.

Beginilah rutin harian aku selama dua minggu di dalam wad psikiatri. Selama dua minggu di sana, aku mengenali beberapa orang yang kini menjadi kawan aku sehingga sekarang. Terdapat pelbagai pengalaman yang aku dapat selama berada dua minggu di dalam wad yang memang susah untuk dilupakan. Jika ada peluang akan aku ceritakan lagi.

Untuk pembaca semua, jika akan merasakan seperti anda mengalami gangguan emosi sila cepat dapatkan rawatan dan ikut nasihat yang diberikan oleh doktor. Pedulikan stigma masyarakat tentang penyakit mental dan terus dapatkan rawatan yang sewajarnya.

– Pesakit mental (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *