Salam semua kepada warga IIUM Confession,
Kalau ikutkan saya nak sahaja komen diruangan IIUM Confession ketika membaca artikel mengenai ‘diintai ketika solat’ (https://iiumc.com/kelibat-intai-solat/).
Namun kerana penulisan akan jadi panjang dan tidak mahu dedahkan diri saya maka saya tulis disini.
Saya juga punyai pengalaman diintai oleh benda-benda yang kita tidak tahu wujud atau tidak secara zahirnya. Semua bermula ketika saya berusia 15 tahun.
Setiap kali solat saya seolah merasakan ada yang duduk dibelakang.
Kadang kala mandi seakan ada mata ditingkap bilik air melihat. Ketika tidur ada yang menghimpit.
Mak kata itu hanyalah perasaan sahaja.
Maka saya abaikan dan anggap ia adalah perasaan takut semata-mata.
Ia berlanjutan sehingga saya berusia 27 atau 28 tahun dimana saya mulai mendengar dan kadang kala melihat kelibat.
Selain itu saya mulai alami mimpi. Terjatuh dari bangunan tinggi atau gunung. Mimpi dibawa masuk kehutan.
Namun, apa yang paling ketara saya berubah menjadi panas baran.
Panas yang saya maksudkan adalah saya tidak boleh bertembung dengan emak. Rasa benci dan marah meluap-luap.
Jadi saya ambil keputusan untuk ruqyah diri pada seorang ustaz.
Iyalah saya dah la tinggal sekali dengan emak dan abah tak akan nak jadi anak derhaka setiap hari.
Maka, saya beritahu emak dan abah saya nak berubat. Alhamdulillah mak dan abah bersetuju.
Sewaktu diruqyah oleh ustaz terbabit. Saya sedar tubuh badan saya meronta-ronta, suara bertukar menjadi garau tapi saya seolah terperangkap dalam badan sendiri.
Saya ingat bagaimana ustaz membaca ayat suci saya meronta minta dilepaskan. Tangan, kaki dan badan saya dipegang erat oleh ayah dan abang.
Ustaz bertanya siapa kamu. Apa kamu mahu dari budak ini?
Hati saya jawab lain tapi mulut saya jawab, ‘budak ini milik aku!!!! Dah lama aku berdamping dengan dia. Dia milik aku!!!!!’
Setelah hampir 2 jam bergelut dan meronta akhirnya ustaz hentikan ruqyah dan minta saya mandi limau selama 7 hari.
Kalau masih boleh melihat dan merasa kelibat dia minta datang balik untuk berubat.
Pada malam ke 3 atau ke empat mandi limau. Saya tidur ditemani oleh adik.
Bahu saya digerakan oleh seseorang sehingga saya terjaga, namun saya tak mampu buka mata.
Tangan saya seolah menggenggam ibu jari makhluk terbabit dan jari jemari makhluk itu menggenggam tangan saya.
Yang saya rasakan jari jemarinya penuh luka luka torehan dan ia 2 kali ganda besar dari tangan saya.
Namun, ada satu perasaan dalam hati ketika itu. Saya menangis tersedu sedu dan bersungguh-sungguh. Kerana genggaman itu makin lama makin terlerai.
Apa yang boleh saya katakan benda tu melepaskan tangan saya tapi saya genggam erat ibu jarinya. Saya siap berkata dalam hati jangan pergi dan jangan tinggalkan saya.
Tiba-tiba adik tarik tangan saya yang sedang baring sehingga badan saya terangkat.
Adik tanya kenapa nangis dalam tidur? Tiada jawapan nak diberi. Apa yang saya tahu perasaan sedih yang teramat sangat.
Dua minggu perasaan tu menyelubungi hati. Hingga kini memori itu masih ada.
Jadi kepada si penulis yang diintai itu. Saya nasihatkan pergilah berubat pada mereka yang bijak pandai.
Terima kasih sebab sudi membaca.
Perasaan yang Hilang,
– Melati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit