Pengalaman Diuji

Assalamualaikum semua. Maaf aku tak perkenalkan nama.

Aku dah berkahwin. Dulu aku pernah sakit tak boleh bangun, kisah aku sakit ni hanya aku dan suami yang tahu. Aku tak tahu benda ni sihir ke, ain ke, ataupun saka.

Masa aku sakit, aku ada minta bantuan seorang ustaz darussyifa ni. Aku tak pernah berjumpa dengan ustaz sebab keadaan tak mengizinkan. Tapi berdasarkan perkongsian aku dan suami tentang apa kami lalui, ustaz agak ianya sihir.

Semasa sakit, ustaz ada ajarkan caranya untuk tahu siapa yang buat dan untuk membalikkan sihir. Masa tu yang penting, aku nak sembuh. Aku tak nak balikkan sihir tu. Aku cuma berdoa dia bertaubat.

Aku ada juga buat apa ustaz ajarkan untuk tahu siapa yang buat, untuk tahu apa yang dihantar sebab benda tu ustaz minta bersihkan dan buang, untuk bantu perawatan aku juga.

Mengikut firasat aku lepas aku solat dan doa berhari-hari, aku boleh agak siapa. Cuma aku tak berani nak bagitau suami sebab orang tu adalah orang yang paling hampir dengan dia. Sesiapa pun takkan percaya, aku juga tak percaya.

Jadi aku diamkan siapa pelaku tu sebab aku tiada bukti. Tetapi suami boleh agak siapa. Sebab masa tu, aku minta tolong suami buangkan barang yang diberi oleh si pemberi.

Aku tak tahu lah ini mainan jin ke apa, barang yang suami dah buang di dalam tong sampah yang berada beberapa meter dari rumah kami, tiba-tiba berada betul-betul di tanah berhampiran tingkap rumah kami.

Sedangkan kawasan itu bukanlah laluan yang suami guna untuk buang barang pemberian tu. Suami pun kelu, sebab dia yang buang barang pemberian tu. Takkan la dia pulak yang letak kat situ.

Suami pun sikit demi sikit terpaksa percaya. Sebab bukan aku je yang sakit, anak-anak aku pun turut dikacau.

Suami yang membacakan sendiri ayat Quran kat anak bongsu aku, ayat yang dia pernah gunakan untuk merawat student yang histeria.

Ayat tu diajarkan ustaz yang merawat student histeria sebab waktu tu ustaz tu tak menang tangan, jadi dia minta bantuan budak-budak yang boleh baca Quran. Kebetulan suami aku di situ, dia tolong ustaz tu.

Suami saksikan sendiri anak bongsu aku meracau bila ayat tu dibacakan. Mujur suami aku ni ada juga sikit ilmu tentang ini.

Aku hanya tahu lepas suami cerita tentang apa yang dia bacakan. Jadi mujurlah suami faham yang aku bukan buat-buat cerita. Akhirnya dia percaya adanya gangguan.

Selepas aku dapat rasa siapa si pelaku. Lama lepas aku sihat, aku cuba reflek balik semuanya.

Si pelaku ni ada pandangan mata yang sangat tajam. Mulutnya sangat manis. Suka memuji.

Sometimes memuji ibadah sendiri, which is dulu aku dengar je lah, sebab waktu tu aku tak tahu apa, so aku rasa takde apa lah.

Tapi sebenarnya bila aku renung balik, seolah-olah dia nak menggambarkan dia seorang yang warak. So that aku atau sesiapa tak suspicious.

Mana ada orang nak cerita kan, kau bangun tahajud bila, kau doa apa, apa je lah benda baik kau buat. Normal ke orang nak cerita benda tu?

Aku rasa tak. Tapi dulu aku dengar je lah cerita dia sebab tak fikir apa-apa.

Dia juga suka bertanya out of sudden tentang amalan aku, hafalan Quran aku. Aku rasa pelik sebab jarang soalan ni ditanya dan bila dia bertanya pulak, macam tak kena dengan situasi waktu tu.

Contohnya kau tengah sembang pasal topik lain, tiba-tiba dia tanya kau hafal surah apa?

Aku pun tergagap-gagap, tak pandai menipu, aku jawab je lah soalan tu kan dengan jujurnya. So aku rasa masa ni lah trick dia nak tahu tahap ilmu dan amalan aku.

Kadang-kadang dia puji aku tentang amalan aku. Padahal aku takde cerita pun, aku jawab apa dia tanya je. Bab pujian ni, hati-hati lah ya.

Bahaya. Boleh juga jadi asbab penyakit ain.

So nak jadi kisahnya sebelum aku sakit tu, si pelaku ni datang ke rumah aku. Dia bermalam dalam seminggu juga.

Kali pertama tu, aku ingat dia ok je. Aku perasan je dia menjeling dengan tajam, dia perhatikan aku dan suami. Tak nampak benda yang pelik sangat, mungkin sebab suami dia ada sekali.

Aku perasan dia buat muka bila aku dan suami macam baik dan rapat dengan suami dia.

Actually dia ada problem dengan suami dia. Jadi aku ingat dia tak suka aku dan suami rapat dengan suami dia.

Kali kedua, dia datang bermalam dia bawak orang-orang lain. Waktu ni kami baru beli kereta baru. Masa ni baru aku tersedar watak sebenar sebab aku terdengar perbualan dia dengan orang-orang lain tu.

Aku baru tahu betapa tak suka nya dia kat aku dan suami, dan dia ajak orang-orang lain tu mengumpat tentang aku dan suami. Tapi sebab mereka tetamu, aku layanlah sebaiknya sampai mereka balik.

Actually selepas kali pertama dia datang dulu. Aku dah perasan benda pelik kat rumah aku. Tapi masa tu aku tak tahu kan, so aku ingat takde apa lah.

Tapi lepas kali kedua ni, aku sakit tak boleh bangun, ustaz pula tanya ada tak tanda-tanda yang dia tanya ni. Aku pun reflek balik lah.

Aku jadi panas dengan suami. Anak-anak yang selama ni penyejuk mata aku, tiba-tiba jadi sangat keras dan degil.

Rumah aku yang tak pernah ada lalat, tiba-tiba ada lalat dan lalat tu mengekori aku. Aku ingat aku seorang je perasan, rupanya anak aku pun perasan.

Aku tak boleh khusyuk waktu solat. Tiap kali solat, aku rasa nak menangis sebab aku tak boleh fokus, ibarat kau berada dalam sampan yang berayun. Kau tak boleh stopkan ayunan tu.

Badan kau berat macam ada batu besar kat badan. Nak rukuk dan sujud punyalah berat.

Kali kedua lepas mereka datang ni, aku jadi lemah, tak boleh solat berdiri dah, sampai aku solat duduk. sampai aku terbaring. Aku langsung tak boleh baca ayat Quran.

Hanya mampu baca di hati, tu pun penat sangat. Ustaz kata aku kena lawan. Lalat tu pula makin lama jadi sangat banyak dalam rumah aku.

Aku pun pelik dari mana datangnya dalam masa yang sekejap.

Semasa aku pagarkan rumah dengan ayat Quran (ini antara ikhtiar yang ustaz cadangkan), kedengaran bunyi pintu rumah yang dicakar dengan kuku tajam. First time aku alaminya.

Tiap kali terasa kehadirannya, ustaz pesan baca ayat Qursi dan ludah ke kiri (tak ingat sangat dah caranya).

Ada sekali waktu tu aku di dapur, aku tengah buatkan susu anak, aku masa tu boleh rasa dia duduk belakang aku, aku bacakan ayat Qursi dan ludah ke kiri.

Rupanya anak aku yang perhatikan aku dari tadi, tanya aku apa benda makhluk yang duduk kat belakang aku tadi. Aku tanya makhluk apa.

Anak aku bagitau cirinya. Lepas tu makhluk tu lari masuk ke bilik. Astaghfirullah anak aku yang sulung boleh nampak rupanya dari tadi.

Masa kali kedua lepas mereka datang ni lah aku ada minta suami buangkan barang yang diberi si pelaku selepas ustaz advice untuk cari barang tersebut.

Ajaran ustaz tu takde apa yang tak kena ya. Hanya solat dan doa. Aku pun berdasarkan panduan hati sahaja. Boleh jadi betul atau tidak. Aku anggap ia ikhtiar.

Of course lah suami akan terasa dan boleh agak siapa sebab kemungkinan si pelaku ni keluarga suami.

Baik aku atau suami, kami hanya diam dan tak berbincang tentang kejadian ni. Tumpuan hanya untuk merawat aku. Masa ni lah aku buat ruqyah mandiri.

Penat tu Tuhan je tahu. Dari aku tak mampu baca Quran, sampai akhirnya aku mampu duduk dan baca Quran kembali. Kami pasang ayat ruqyah 24/7 selama berbulan.

Ustaz dah pesan, aku kena kuat sebab semuanya bergantung pada kekuatan sendiri. Ustaz juga solat hajat bersama yang lain doakan kami.

Sakitnya hanya berbulan, tapi aku rasa bertahun-tahun ibarat aku dah di penghujung hayat.

Ajaibnya bila aku sembuh dah boleh bangun solat macam biasa, fikiran aku pun normal macam biasa, takde rasa khayal dah. lalat-lalat tu pun semua hilang.

Sampai sekarang tak ada lalat kat rumah aku dah, ibarat kembali normal. Anak sulung aku pun tak nampak dah benda pelik ni. Anak bongsu aku pun tak pernah meracau dah. Kami dah mampu bergelak ketawa.

Ibrahnya kejadian ni, aku dan suami makin mesra, anak-anak pun takde pun kejadian degil macam dulu. Baik-baik je semua.

Aku masih terus amalan membaca doa pelindung diri. Aku minta suami dan anak-anak amalkan juga.

Sampai sekarang kami tak bercakap soal kejadian ni. Ibarat tertutup dah bab kisah ini dari hidup.

Di sudut hati suami sebenarnya dia terasa. tapi sebab kami tak bercakap soal ni, jadi dia diam. Dia sedar sejak kejadian tu aku menghindarkan diri untuk terlalu rapat daripada si pelaku dan mereka.

Aku melayan mereka macam biasa. Cuma aku tak beriya, kalau suami tak cakap tentang mereka atau tak ajak apa-apa, aku pun tak bertanya.

Aku juga hindarkan diri daripada makan makanan pemberian mereka, selalunya kami dah makan siap-siap di rumah sebelum berjumpa mereka.

Setiap kali aku ingatkan suami dan anak-anak untuk baca doa kalaupun makan di sana. Aku jadi sangat berhati-hati sebab taknak kejadian sama berulang.

Takde siapa pun tahu baik si pelaku atau mereka tahu pasal kisah ni. Kami hanya simpan kisah ni kami berdua.

Akhirnya setelah berbelas tahun, aku baru tahu rupanya si pelaku ni biasa je jumpa tok bomoh. Aku je yang tak tahu dan baru tahu.

Aku pun baru perasan solatnya yang tunggang langgang, tak sepatutnya begitu. Sebab selama ni dia selalu cerita pasal dia tahajud lah, berdoa lah, belajar ni lah belajar tu lah.

Aku pun bukan jenis perhati amalan orang. Cuma lepas kejadian ni baru aku perasan. Kain telekung solat yang berbau, berkulat dan bergulung.

Bukanlah macam orang yang alim suka solat. Kalau alim, pasti dijaga kebersihan kan. Macam satu persatu hijab aku terbuka untuk melihat perkara sebenar.

Apapun, pengajaran pada aku. berbaik berpada-pada, kita tak tahu isi hati perut orang. Apa yang zahir, tak semesti itu yang di batin. Minta perlindungan daripada Allah sentiasa.

Aku pernah dengar pasal sihir, ain, saka.. Tapi bila dah rasa sendiri gangguan tu, baru aku tahu.

Jangan ingat kita takkan diuji. Lepas aku kena ni, baru aku tahu rupanya Rasulullah saw juga pernah disihir. Dan sifatnya seperti aku katakan, ibarat kita berkhayal, berada dlm sampan berayun.

Susah nak cerita sebab suami aku pun tak percaya dan tak faham. Tapi bila dah sihat ni, dah boleh grasp your mind, macam orang normal lah. Ibarat berpijak di bumi nyata kembali dah. So, sihir itu benar tau guys.

Pesan aku, amalkan doa pelindung, ayat qursi, surah 3 qul dalam kehidupan sehari-hari. Takde daya kekuatan melainkan dengan izin Allah.

– Tanpa nama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *