Pengalaman Hidup Dengan Biawak

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Namaku Chempaka, berumur 33 tahun, bujang, bekerja tetap swasta.

Aku cuma nak kongsi sebuah kisah (juga nak luahkan apa yang terpendam di dalam hati) untuk pengajaran kita semua. Kisah ini berkaitan dengan saudara terdekat aku, namanya S.

S ni lelaki, umur 32 tahun, dah berkahwin dan anak dua, tiada pekerjaan tetap. Anak ketiga daripada lima beradik.

S adalah sepupu aku (anak makcik aku). S dan isteri duduk asing kerana isteri S bekerja di negeri Johor, dan S menumpang di rumah makciknya iaitu ibuku, di Kuala Lumpur.

Ibuku adalah ibu tunggal, abahku meninggal dunia semasa umurku 20 tahun. Ibuku telah bersara.

Memandangkan ibuku duduk seorang, jadi makcik meminta izin ibuku untuk tumpangkan S sementara dia cari kerja di KL. Ibuku setuju sebab sekurang-kurangnya ada teman. S berjanji akan hulur duit bil-bil dan barang dapur setiap bulan.

Maka S pun berpindah masuk. Jujurnya aku kurang setuju, tidak sedap hati, aku suarakan pada ibu. Tapi ibu baik hati, katanya apa salahnya dia tolong S, bukan orang lain, anak saudaranya juga.

Ibu sediakan satu bilik untuk S. Aku tinggal di negeri Selangor, setiap hujung minggu akan balik ke rumah ibu untuk tolong kemaskan rumah, belikan barang dapur, dan sebagainya.

Bulan pertama, ibuku tunggu bila S nak hulur duit bil elektrik dan air. Akhirnya dah lama tunggu, ibuku minta sendiri. Tak banyak, dalam RM30 sahaja. Ibuku kira dengan jujur, jumlahkan kedua-dua bil dan bahagi dua. Itupun lepas seminggu baru S transfer duit itu.

Bulan kedua, ibuku terbau benda busuk. Jenuh cari seluruh rumah. Bila aku balik ke rumah ibu, ibu tanya sama ada aku ada bau tak busuk tu. Aku cakap ya, kuat sangat, sampai ke ruang tamu.

Kami pusing sekeliling rumah, rupa-rupanya dari bilik S. Bila S keluar, kami masuk buka pintu bilik itu dan terus nak termuntah. Busuk yang amat. Ibu pelik, apa benda yang busuk sangat ni.

Kami cari punya cari, rupa-rupanya ada selonggok baju kotor S yang sangat busuk. Busuknya tu melekat kat langsir dan katil jugak. Ibu pun cakap, padanlah tak pernah tengok S basuh baju atau guna washing machine.

Dalan bilik pula, punyalah kotor, dengan tisu kotor merata-rata, katil tak terurus, suis tak off, cadar berbelak. Aku rasa nak sembur clorox seluruh bilik tu.

Ibu pernah tegur S, tapi S kata nanti dia bersihkan, tapi hakikatnya lansung takde buat apa. Selain tu, bau busuk juga melekat di sofa tempat S suka lepak. Maka, sebenarnya S memang busuk.

Setiap bulan S akan pulang ke rumah isterinya selama seminggu. Ibu pelik S ni cari kerja ke tidak.

Ibu cerita padaku, setiap hari S bangun tidur lambat. Bila bangun, terus tengok TV atau main mobile game. Kekadang sampai ke petang tak mandi. Kekadang bangun tido, main game, lunch, lepas tu tidur balik. Solat pun tak terjaga.

Ibu pernah tanya, ada apply kerja mana-mana ke. S jawab, ada dapat interview, tapi dia tak suka company tu sebab bagi gaji kecil.

Oh ya, S sebelum ni bekerja sebagai pegawai akaun, tapi berhenti sebab ada masalah dengan isteri. Entah apa masalahnya, taknak ambil tahulah.

Sejak berhenti tu, dia langsung tak bekerja. Katanya dia ada pengalaman bertahun-tahun, dia layak dapat gaji lagi besar daripada sebelum ni. Ibuku geleng kepala, sebab sepatutnya kerja dulu apa yang ada, asalkan ada pendapatan.

S kata dia dah apply kerja kat banyak tempat, siap bercita-cita nak buat business. Tapi, takde nampak usaha nak buat business pun. Business apa pun tak tahulah.

Ibuku pernah suarakan kepada makcik, tapi makcik back up anak dia ni, katanya S ni perlu bimbingan. Makcik minta ibuku tolong bimbing S. Ibuku dah rasa lain macam. Aku pulak menyirap dengar. Dah tua bangka, beranak pinak, nak kena bimbing apa lagi.

Selepas setahun lebih ibu tahan sabar, akhirnya ibu suarakan kepadaku untuk minta S keluar dari rumah. Ibu nak cakap pada S masa aku dan seorang abangku ada sekali.

Jadi, masa satu weekend, aku dan abang balik ke rumah ibu, kebetulan pula kakakku juga datang ke rumah ibu, kami duduk sekali dan panggil S.

Ibu cakap pada S elok-elok, ibu nak S pindah, usaha sendiri, hidup berdikari. S diam dan angguk-angguk saja.

Seminggu kemudian S keluar begitu sahaja, tanpa terima kasih pada ibuku, tanpa bersihkan bilik dulu. Segala bau busuk ditinggalkan untuk ibuku cuci. Langsung takde hulur duit bil ke apa ke, keluar macam tu saja.

Aku balik ke rumah ibu untuk tolong cuci bilik busuk itu. Ibu cakap dia bersyukur, macam ada satu batu besar dialihkan daripada kepala dia.

Dia dah tua, tak larat dah nak tanggung beban yang tak sepatutnya. Niat asal nak tolong ikhlas, tapi akhirnya jadi stress, sakit hati, marah.

Kami cuci cadar dan langsir. Berkali-kali kami sembur Febreeze pada tilam, bantal, dan segala fabrik yang ada di dalam bilik itu.

Makcik langsung takde contact ibuku bertanya pasal itu. Marah agaknya sebab dah tak mahu tolong anak dia. Pasti kalian tertanya-tanya macam mana S survive tanpa kerja tetap sepanjang menumpang di rumah ibuku?

Rupa-rupanya makcik bagi duit belanja kepada S setiap bulan. Dalam RM2000-3000 juga makcik hulur. S belanja beli makanan mahal, tapi satu sen pun tak bagi duit bil.

Ini bermakna, ibuku tanggung separuh kehidupan S iaitu tempat tinggal dan utilities. Jadi maid dia juga, tolong cuci cadar, kemas bilik, mop lantai. Dah cakap pada dia pun dia buat tak endah. Mana tahan tengok tempat busuk macam tu.

Apa perasaan isteri S bersuamikan biawak macam tu? Entahlah. Ibuku ada cerita, ada masa S bergaduh dalam phone dengan isterinya. Kuat sangat sampai ibuku boleh dengar. Ibuku pula yang stress jadinya.

Sampai sekarang pun, setelah 6 bulan S keluar dari rumah ibuku, dengarnya S masih menganggur. Kami dah tak peduli pasal dia lagi. Ibuku cakap, dah cukup trauma la tolong orang macam tu. Lepas ni, nak tolong orang kena berpada-pada lah.

Baiklah, sampai di sini saja ceritanya. Rasa lega jugak dah luahkan walaupun menaip saja. Walaupun ibuku yang tanggung derita itu, aku pun terasa sekali sebab aku pun tolong cuci bilik itu, jadi pendengar setia ibuku.

Sedikit sebanyak aku dapat faham perasaan orang lain yang bersuamikan atau berkeluargakan biawak hidup ni. Menderita mental dan emosi kita, tapi biawak hidup ni lansung takde perasaan.

Semoga biawak hidup semua dikurniakan hidayah oleh Allah untuk jadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab. Kalau tak nak ubah juga diri sendiri tu, lebih baik kau pupus sajalah.

Yang benar,

– Chempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *