Pengalaman Hidup Yang Mematangkan Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca IIUM Confession. Aku harap luahan aku ini dapat disiarkan untuk perkongsian dan pengajaran untuk semua, In Shaa Allah.

Aku seorang wanita dan seorang yang bekerjaya.

Apa yang aku nak kongsikan di sini adalah tentang perjalanan hidupku ditemukan dengan manusia yang pelbagai ragam dan sesungguhnya pengalaman itu mendewasakan kita.

Aku ada berkenalan dan bersahabat dengan sorang lelaki. Dia aku kenalkan sebagai F, berasal dari negeri pantai timur, manakala aku dari selatan tanahair.

Kami berkenalan masa belajar di universiti di mana dia senior 2 semester dari aku. Dari berkawan biasa menjadi rapat kerana aku senang dengan caranya yang tidak memaksa.

Oh ya, dia ada penyakit sawan yang aku tak tahu pada awalnya.

Tiba-tiba masa aku sedang makan berdua dengan dia lepas belajar di library, dia kekejangan, air liur keluar dari mulutnya, nasi yang dia makan dimuntahkan secara tidak sengaja dan terus terjatuh dari kerusi.

Aku panik dan tak tahu apa nak buat. Dia yang separuh sedar menggelupur dan seakan-akan terkena kancing gigi. Aku lihat ada darah keluar dari mulutnya dan aku terus minta bantuan dari orang sekeliling.

Ada sorang pakcik yang kebetulan duduk di meja makan sebelah kami terus ngangakan mulut F dan masukkan garfu ke dalamnya. Aku speechless.

Dalam 10 minit lepas tu, F kembali sedar dan terus makan nasi yang dia muntahkan tadi seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Aku senyap tak berkata apa. Pengalaman pertama berhadapan dengan orang berpenyakit sawan membuatkan aku berfikir banyak kali samaada boleh ke aku nak handle jika berlaku lagi benda ni pada masa akan datang.

Esoknya hari cuti dan F ajak aku berjumpa di library, port kami belajar dan saling berkongsi ilmu.

Dia berterus terang dengan aku pasal penyakit sawan dia. Dia minta maaf kerana tak bagitahu awal. Alasan dia tak nak kehilangan aku sebab dah sayangkan aku lebih dari seorang kawan.

Aku minta bagi masa untuk berfikir dan dia setuju. Kami bersahabat seperti biasa. Bila tiba hari lahir aku, dia tak pernah miss bagi hadiah yang aku tak pernah minta.

Sebab aku tahu, kami berasal dari keluarga yang susah dan tiada keperluan untuk membazir untuk perkara tidak perlu. Aku cuma nasihat F supaya lebih berjimat untuk perkara lebih penting.

Sepanjang kami bersahabat dan berjumpa, banyak kali F sakit dan aku akan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan terjadi. Garfu dan tuala selalu aku bawa dalam beg tangan jika F tiba-tiba sakit.

Ada 1 semester sebelum kami kenal, duit PTPTN F digantung sebab masa final exam dia sakit dan result drop teruk. Pointer bawah 2.7 dan atas dasar simpati, aku menghulurkan bantuan seadanya.

Kami saling menyokong antara satu sama lain. Aku nampak ada kesungguhan dalam diri dia untuk yakinkan yang dia betul-betul serius jadikan aku miliknya yang halal lepas habis belajar.

Aku mula buka ruang lebih luas tuk kenal hati budi dia dan luahkan perasaan pada dia. Aku nampak dia gembira sangat.

Tapi tak sangka, dia ada skandal dengan junior perempuan yang baru register di universiti kami menuntut. Sahabat baik aku terserempak dengan mereka dan bagitahu aku.

Bila ditanya, dia tak mengaku dan apabila didesak, baru mengaku yang dia hanya nak bersuka-suka dengan junior tu. Aku namakan dia D.

Dengan rasa lapang hati, aku bagitahu F yang aku nak putus. Bukan tak sedih tapi aku rasa hubungan kami takkan kekal lama. Sedangkan dalam berkawan rapat pun dia boleh mengayat perempuan lain.

Tambah sakit hati, bila aku first time cek hp F, nama yang disimpan atas no aku ialah nama penuh aku, sedangkan D dia namakan sayang. Mesej dia bersayang- sayang dengan D aku tatap tanpa ada perasaan.

F sedih sangat dan minta maaf berkali-kali sampai dia melutut dan sakit dia datang kembali. Yang aku tahu orang berpenyakit sawan ni tak boleh stress, tak boleh panas sangat dan tak boleh sejuk sangat. Itu yang F penah bagitahu aku sebelum ini.

Aku yang biasanya akan suakan garfu ke dalam mulut F dan lapkan air liurnya bila dia diserang sawan, hanya melihatnya sakit dan menggelupur keseorangan tanpa rasa apa-apa. Aku tak tahu kenapa hati aku agak keras masa tu seperti orang takde perasaan.

Aku terus melangkah pergi. Seminggu F call dan mesej aku. Satu pun aku tak balas. Hati aku macam batu.

Aku berfikir dan muhasabah diri. Sepatutnya F lebih hargai aku yang dah banyak menghabiskan masa dengan dia, support waktu dia dalam susah dan paling penting menerima dia seadanya.

Dipendekkan cerita, aku tak sangka F satu jabatan dengan aku setelah bertahun kami tak berjumpa. Kami sama- sama hadiri kursus 3 hari di Selangor.

Masa itu dia minta maaf sungguh-sungguh dengan aku dan bagitahu penyakitnya telah sembuh. Dia juga bagitahu dah bersedia nak berkahwin. Kereta dan rumah pun telah dibelinya 2 tahun lepas.

2 hari berkursus, F tiba-tiba diserang sawan dan dibantu oleh peserta kursus lelaki yang ada pada masa itu. Aku hanya melihatnya dan mendoakan dia akan sembuh dari penyakit serta dimudahkan segala urusannya.

Hari terakhir kursus, F jumpa aku dan bagitahu nak cantumkan kembali hubungan kami. Dia mintak peluang kedua.

Aku senyum dan katakan, hati aku dah takde untuk dia. Begitu masa dah merubah segalanya. Aku selesa dengan hidup aku sendiri selain berbakti untuk keluarga.

Kecewa F dengan pengakuan aku. Setelah selesai kursus, aku meneruskan kerja seperti biasa.

Di tempat kerja aku ada sorang staff lelaki telah berkahwin meluahkan perasaan pada aku. Dia bagitahu tak gembira dengan perkahwinannya kerana isterinya lebih tua dari dia. Aku namakan dia S.

Aku cepat-cepat reject S dan bagitahu tak berminat untuk jalinkan hubungan dengan suami orang. S belikan aku hadiah, sepasang baju kurung moden. Aku pulangkan balik pada dia. S belikan aku nasi lemak, aku bagi pada makcik cleaner ofis aku bekerja.

Aku taknak termakan budi. S bersungguh-sungguh nak halalkan aku dan berjanji akan lepaskan isterinya jika aku terima dia. Aku terus reject dan bagi amaran jangan ganggu aku lagi.

S akhirnya akur dan berhenti ganggu aku. Aku lega dan kembali tenang.

Satu hari ibu aku bertanya, ada tak aku berkawan rapat dengan mana-mana lelaki. Aku tahu ibu risaukan aku sebab dengan usia aku yang makin meningkat, aku sepatutnya dah ada calon suami.

Ibu aku bagitahu sekurangnya dia akan berasa lega kalau aku ada seseorang yang akan menemani dan saling menjaga.

Takdir Ilahi aku ditemukan dengan seorang lelaki yang baik dan kami telah selamat diijabkabulkan. Kami bahagia menjalani kehidupan walau bermacam ujian yang kami hadapi.

Aku doakan F berjumpa dengan wanita yang jujur dan ikhlas menerima dirinya seadanya.

Perkongsian aku ini lebih kepada, dalam kita nak menemui cinta sejati, kita mungkin ditakdirkan berjumpa dengan orang yang salah untuk kita muhasabah diri.

Juga peluang kedua itu tidak salah untuk diberikan tetapi jika aku memberikan peluang kedua kepada F, mungkin aku tidak berjodoh dengan suamiku. Hehe.

Kisah aku dengan suamiku jumpa dan bersahabat juga terselit pelbagai cerita. Sampai dia gelar aku minah rempit tapi bawak motor tegak, haha.

In Shaa Allah kalau ada kesempatan, aku akan berkongsi kisah kami di medium ini.

Adios… sayonara.. Assalamualaikum.

– Mira Edora (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *