Assalamualaikum wbt. Kenalkan diri saya, Ummul Elzayn. Dan, tulisan saya ini khusus buat ibu yang berniat untuk mendapatkan suntikan vaksinasi tetapi dalam masa yang sama sedang menyusukan anak.
Semoga pengalaman yang bakal saya ceritakan ini memberi manfaat. Sebelum itu, maaf jika bahasa yang digunakan caca marba.
Seperti tajuk di atas, saya adalah bonda kepada anak lelaki yang berumur hampir setahun (Elzayn) dan telah mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca beberapa hari yang lalu.
Sebagai pengenalan, Elzayn telah diberi susu ibu sejak lahir dan hanya diperkenalkan dengan susu formula selepas sembilan bulan. Itupun kerana Elzayn perlu dihantar ke rumah pengasuh.
Manakala, makanan tambahan lain telah diperkenalkan selepas Elzayn berusia enam bulan.
Jadi, bayangkanlah berbulan-bulan lamanya saya telah menyusukan Elzayn pada waktu siang & malam (direct feeding dan bukan bottle feeding tau). Dalam masa yang sama saya sedang bekerja dan belajar dari rumah.
Jujurnya, perasaan saya agak teruja sebelum disuntik. Lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan oleh KKM bahawa ibu menyusukan anak juga dibenarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin samada AstraZeneca atau Pfizer berdasarkan beberapa faktor.
Boleh rujuk dilaman sesawang KKM seperti di pautan ini, http://covid-19.moh.gov.my/
Sebab itu, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan pembukaan tempahan vaksin AstraZeneca, saya dan suami terus sahaja mendaftar tanpa ragu.
Namun, saya agak terkilan dan sedih apabila saya dinasihatkan oleh pegawai perubatan untuk tidak menyusukan anak untuk beberapa hari (tiga hari) selepas menerima suntikan.
Malah, maklumat ini hanya saya ketahui ketika saya telah berada di pusat vaksinasi.
Semua ini atas faktor risiko kepada anak sekiranya mempunyai alergik. Saya faham dan saya juga risau sekiranya apa-apa terjadi kepada Elzayn disebabkan oleh kecuaian saya sendiri. Oleh itu, saya akur dengan nasihat tersebut.
Yang saya kesalkan disini adalah maklumat ini kurang dihebahkan kepada umum. Atau mungkin sudah dihebahkan tetapi saya yang kurang peka. Wallahualam.
Jika begitu, memang salah sayalah sebab tidak ambil tahu. Tak apalah perkara pun sudah berlalu dan saya tidak boleh nak undurkan masa.
Oleh sebab itu, saya tidak mahu perkara ini berulang kepada ibu-ibu lain diluar saya. Memang menangis saya dibuatnya sebab tak dapat nak menyusukan anak macam biasa. Hatta untuk tiga hari sekalipun.
Buat para ibu yang bakal mengambil vaksin atau berhasrat untuk mengambil vaksin, ada tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian:
1) Sediakan susu EBM sebanyak mungkin. Macam kes saya, saya tiada simpanan EBM. Hal ini kerana sebelum dan selepas pulang dari rumah pengasuh, Elzayn mesti akan menyusu.
Oleh sebab ini, saya tiada simpanan susu sebab tak sempat nak pam dan kuantiti susu yang semakin berkurang.
Malah, susu yang dipam semasa dalam tempoh tiga hari ini pun perlu dibuang. Membazir dan sayang rasanya sebab terpaksa buang susu tu. Maafkan bonda yea sayang.
2) Biasakan anak dengan susu formula. Macam kes saya, jika Elzayn dirumah saya tidak memberi susu formula. Jadi, tiga malam Elzayn tak dapat menyusu badan dan hanya menyusu formula.
Hampir 5-6 kali bangun untuk buat susu sebab tak biasa sampai tak lena tidur anak. Dengan saya pun menangis sebab tak dapat nak kasi susu pada anak. Mujur suami bantu. Terima kasih abang.
3) Jika ibu tiada masalah kesihatan, ambillah vaksin seperti saranan KKM.
Padangan peribadi saya, Covid-19 ini, masalah negara yang perlukan kerjasama daripada semua pihak. Bukan petugas barisan hadapan sahaja yang perlu berkorban dan berjuang, malahan, kita sebagai rakyat juga perlu berkorban dan berjuang bersama-sama.
Sekalipun kerajaan kurang berjaya menangani masalah ini pada masa kini, janganlah kita menambah ketidakjayaan masalah ini lagi.
Perkara yang paling saya takut adalah kita secara tidak langsung menyebarkan virus dan menjadi penyebab kepada orang lain mendapat penyakit.
Sesungguhnya, kisah seorang bapa yang meninggal di Kedah akibat kecuaian anak menantu yang pulang beraya dari Johor amatlah mendukacitakan hati saya.
Tapi, saya bukanlah orang yang berhak untuk menuduh atau menilai anak menantu tersebut. Takziah kepada keluarga mangsa dan seluruh keluarga yang telah kehilangan insan tersayang akibat Covid-19.
Sebab itu, cukup-cukuplah menuding jari dan mencari salah orang lain samada daripada golongan kayangan, Menteri, artis atau sebagainya. Siapa pun kita, ia tidak menghalalkan kesilapan yang kita lakukan.
Sekalipun, “mereka” mampu lepas dan merentas negeri/ daerah dengan jayanya atas tiket apapun, ianya bukan lesen untuk mereka tidak dijangkiti.
Lebih-lebih lagi varian baharu ini amat pantas dan ganas dalam mencari mangsa. Hipotesisnya, semakin lama kita terdedah kepada persekitaran luar, semakin tinggi peluang untuk dijangkiti.
Akhir kata, jika anda layak untuk disuntik vaksin seperti saranan KKM dan mempunyai peluang, ambillah.
Kita perlu wujudkan kelompok immuniti (sekurangnya 75% daripada populasi Malaysia) untuk mengawal dan membendung Covid-19 ini. Tiada jalan pintas dan tiada jalan lain. Prinsipnya mudah, kalau tak nak dijangkiti, jangan menjadi punca orang lain dijangkiti.
Sekian.
– Ummul Elzayn (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit