Kisah ini terjadi kepadaku hampir 20 tahun lepas sebelum mendaftar di Matriks UIA, Petaling Jaya. Kisah yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Diharapkan ada pengajaran yang dapat diambil.
Aku terus kepada kisahnya.
Selepas mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Matriks UIA, pelajar perlu melakukan x-ray dan keputusan x-ray perlu dibawa bersama pada hari pendaftaran pelajar.
Aku tinggal di kawasan pedalaman di sebuah negeri pantai timur. Jarak hospital dan rumahku dalam 20 minit perjalanan. Pada hari tersebut, aku dan ayahku menaiki motosikal ke sana.
Selepas selesai mendaftar di kaunter hospital dan menunggu beberapa ketika, aku dipangggil untuk melakukan ujian x-ray.
Seorang juru x-ray lelaki membawaku ke bilik x-ray. Di dalam bilik x-ray, terdapat sebuah bilik persalinan. Di situ aku perlu menanggalkan baju dan memakai baju khas.
Selepas itu, aku perlu lekapkan badanku pada alat x-ray dalam keadaan kedua-dua belah tangan dihalakan ke belakang. Hanya aku dan juru x-ray tersebut sahaja berada di dalam bilik tersebut.
Ketika badanku berada pada alat x-ray dan tangan dihalakan ke belakang, juru x-ray tersebut memegang-megang dan menolak-nolak bahagian tepi buah dadaku.
Aku terlalu naif pada ketika itu sehingga menyangka dia sedang membetulkan kedudukan badanku sebelum melakukan x-ray.
Agak lama dia “membetulkan” kedudukan buah dadaku. Aku langsung tidak terfikir yang dia sedang mencabulku.
Selepas selesai melakukan x-ray, aku ke bilik persalinan untuk menanggalkan baju x-ray dan memakai baju asalku.
Ketika itulah, aku melihat seperti kelibat juru x-ray berada di luar pintu yang sedikit renggang sedang mengintaiku. Dia berlalu pergi selepas aku memandang ke arahnya.
Agak lambat untuk aku “menangkap” apa yang terjadi kepadaku.
Bila aku kaitkan dua perbuatan juru x-ray itu, aku keliru dan tertanya-tanya adakah dia telah melakukan perbuatan tidak baik kepadaku? Ketika itulah aku tersedar perbuatannya salah.
Naif sungguh aku ketika berumur 17 tahun.
Selepas menunggung seketika, aku dipanggil ke kaunter untuk untuk mengambil keputusan x-ray.
Juru x-ray sama sama menyerahkan sampul tersebut kepadaku sambil tersenyum. Aku langsung tidak senyum dan masih keliru pada ketika itu.
Mengingati peristiwa ini membuatkan aku tertanya-tanya bagaimana prosedur x-ray di masa sekarang atau masa depan, ketika anak-anakku memerlukan khidmat x-ray dan yang ada bersama hanyalah berdua dengan juru x-ray berlainan jantina.
Aku harap kisahku ini dapat diambil pengajaran oleh ibu bapa atau sesiapa sahaja yg perlu di x-ray supaya berjaga-jaga.
Diharapkan pihak hospital dapat memastikan proses x-ray dapat dilakukan dalam keadaan “selamat”.
Sekian.
– Kak Amy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit