Assalammualaikum semua. Sudah lama rasanya saya tidak menuliskan sesuatu di lama confession terhangat di media sosial ini.
Bagi yang tidak mengenali saya, nama saya Kamariah Abidin, ibu tunggal kepada 5 cahaya mata.
Saya terpanggil untuk menulis tentang topik ini selepas membaca beberapa komen pembaca tentang kesan broken family di beberapa confession.
Tidak dinafikan, membesarkan anak sendirian sangat mencabar. Berpasangan pun mencabar apatah lagi berseorangan.
Tapi kelebihan berseorangan ni, tak payah pening dengan masalah pasangan (sekiranya pasangan bermasalah). Boleh fokus 100% pada diri dan anak-anak.
Bagi yang mempunyai pasangan yang baik, syukur Alhamdulillah, saya doakan semoga anda terus bahagia till Jannah!
Untuk makluman para pembaca, anak-anak saya terdiri dari 3 perempuan dan 2 lelaki.
Yang sulung (kakak) berumur 15 tahun, abang berumur 13 tahun, yang ketiga perempuan 11 tahun, yang keempat, lelaki 8 tahun, dan yang tercomel, hasil perkahwinan kedua saya, yang turut gagal, akan menjengah usia 2 tahun.
My first 4 kids from the first marriage, zaman kanak-kanak mereka penuh dengan kesedihan dan ketakutan, akibat baran dan sikap narsistik bekas suami.
Saya berjaya melepaskan diri dan membawa anak-anak keluar dari masalah.
Namun masalahnya tidak berhenti dengan perceraian. Anak kedua saya, akan saya namakan Mat dalam penulisan ini, ketika saya bercerai berusia 8 tahun, juga mewarisi baran abahnya.
Sekiranya Mat marah, memang akan terbalik sofa-sofa di rumah, memang akan menjerit-jerit dan mengamuk. Suka melawan dan sangat rebel.
Ketika itu, saya duduk bersama parents, menyebabkan saya sangat malu dan stress dengan sikap Mat.
Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Allah hadirkan bapa saya yang sangat prihatin.
Abah tiap-tiap hari bawa Mat ke masjid berjemaah. Waktu sekolah, Magrib dan Isya’. Kalau hari cuti, Asar, Magrib dan Isya serta solat Jumaat.
Bukan saja berjemaah, Mat bantu kemas masjid setiap hari, bentang sejadah, gulung sejadah, cuci cawan lepas orang selesai minum, sapu, susun selipar dan anak suka sebab katanya pakcik-pakcik suka bagi upah.
Lama-kelamaan memang lembut sangat anak saya. Tuturnya lembut, rajin solat, berbudi bahasa. Sangat menjaga hati saya. Rajin di rumah.
Selepas saya keluar dari rumah parents dan menyewa sendiri, Mat sudah jarang ke masjid kerana tiada yang bawa.
Tapi dia konsisten dengan sikapnya yang baik. Suka kemas dapur. Sejuk hati bila balik kerja pinggan mangkuk sudah disusun dalam kabinet, sampah sudah dibuang.
Sehinggalah kini, Mat sudah duduk di asrama, bila telefon, lembut tuturnya. Bila minta belikan barang, pasti dia pilih yang termurah sebab taknak susahkan saya. Alhamdulillah.
Anak-anak yang lain juga tidak menyusahkan saya. Masing-masing mudah dibentuk dan mendengar kata dan sangat memahami. Masing-masing mempunyai kelebihan yang menyejukkan hati saya.
Kuncinya, sering berkomunikasi dengan mereka.
Saya selalu berterus-terang sekiranya ada masalah, selalunya masalah kewangan,
Dengan tujuan untuk memahamkan mereka kenapa tak boleh beli itu ini sewenangnya atau makan luar dengan kerap dan kenapa kita kena berjimat-cermat. Mereka faham dan hati mereka penuh dengan rasa empati.
Selain komunikasi yang baik, sebagai wanita yang gagal 2 kali dalam perkahwinan, saya mesti berada dalam emosi yang stabil.
Saya sering ingatkan diri, yang saya tidak seharusnya melempiaskan kekecewaan kepada sesiapa pun, terutamanya anak-anak.
Saya hilangkan rasa kecewa dengan menanamkan rasa redha dengan semua ketentuan Allah, memaafkan bekas-bekas suami dan move on dengan baik.
Dengan memaafkan mereka, hati saya rasa lapang dan dapat meneruskan hidup dengan tenang.
Memaafkan tidak bermakna saya menerima perbuatan mereka, perbuatan dan sikap buruk mereka tetap salah.
Tetapi kemaafan pada saya menandakan yang kita redha dan menerima konsep yang sesuatu itu berlaku semuanya di atas izin Allah dan penuh dengan hikmah.
Para pembaca sekalian, sekiranya ada ibu tunggal yang membaca tulisan ini, sedarilah, anda adalah orang yang sangat penting dalam institusi kekeluargaan.
Anda yang mencorakkan kehidupan anak-anak, dari sesuap nasi yang and cari setiap hari untuk anak-anak, dari setiap helai pakaian yang anak-anak sarungkan, dari setiap kata yang anda tuturkan buat anak-anak, semua menjadi tugas anda. Besar sangat tanggungjawabnya.
Jangan putus menyelitkan doa buat anak-anak supaya sentiasa di dalam lindungan Allah SWT, dan diberikan kejayaan hidup dunia dan akhirat.
Lenturlah anak-anak sebaiknya. Tanamkan rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul. Saya pun bukanlah seorang yang alim, saya biasa-biasa sahaja. Tapi saya amat menekankan solat dan berbuat baik sesama makhluk.
Saya selalu pesan pada anak-anak, rugi kalau tak solat sebab antara waktu-waktu yang mustajab doa ada semasa dan selepas solat.
Ada juga masa-masa anak malas solat, saya akan ingatkan mereka potongan laungan azan “hayaa ‘alal salat” diikuti dengan “hayaa ‘alal falah” yang bermaksud marilah menuju kejayaan.
Mana mungkin boleh berjaya kalau tak solat, sebab itu dalam laungan azan, diajak kita solat dahulu barulah menuju kejayaan.
Saya berharap, anak-anak saya tidak akan termasuk dalam statistik yang mengatakan anak-anak dari keluarga broken selalunya bermasalah.
Mohon titipkan doa kepada anak-anak saya semoga dikurniakan Allah kepada mereka kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga Allah membalikkan titipan doa-doa ini kepada para pembaca sekalian.
Sekian buat kali ini.
– Kamariah Abidin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit