Pengalaman Mendewasakan Kita

Aku rebah di sudut bilik pembedahan minor. Lemah gemalai. Fikiranku menerawang. Beberapa jururawat berjalan melepasi ku. Mereka tidak memperdulikan aku, masakan tidak, mereka sibuk menguruskan pesakit. Pesakit yang baru aku bedah, dan pembedahan tidak berjalan lancar.

Aku mempunyai seorang pesakit di wad buah pinggang, Pakcik Hamid namanya. Dahulunya bekerja sebagai pemandu lori, dan isterinya, Puan Halimah, bekerja menjual cendol di sebuah gerai di Alor Setar. Kedua-dua mereka berusia di awal 50-an, dan Pakcik Hamid memerlukan rawatan cuci buah pinggang untuk sepanjang hayatnya. Dia pesakit biasa.

Dah 3 bulan Pakcik Hamid jadi pesakit di wad buah pinggang. Dan hubungan antara aku, seorang perawat dan dia, seorang pesakit makin erat kerana beberapa kali dia dimasukkan ke wad tersebut.

Maklumlah, pesakit buah pinggang, banyak komplikasi yang ada pada mereka. Jangkitan kuman, kurang darah, tekanan darah rendah atau garam kalium terlalu tinggi. Itulah antara komplikasi penyakit ini. Aku anggap Pakcik Hamid macam ayah aku sendiri. Yalah, ayahku sudah lama pergi meninggalkan aku sewaktu aku di sekolah perubatan.

Tak sempat aku menunjukkan kepadanya ijazah yang aku perolehi. Tak sempat aku menunjukkannya jubah dan topi yang aku pakai sewaktu konvokesyen dahulu. Aku “rebound”, itulah perkataan bahasa inggeris menunjukkan apabila kehilangan seseorang, kita ada kecenderungan untuk mencari seseorang yang lain untuk mencurahkan kasih sayang, serta berkongsi apa sahaja, dan dalam situasi ini, berkongsi kasih sayang antara ayah dan anak.

Gelak tawa Pakcik Hamid di wad, bersama isterinya, dan anak perempuannya yang masih bersekolah, memang aku tak dapat lupakan. Ada sahaja cerita-cerita terbaru saat aku berjumpa dengannya.

Bila berjumpa dengan pelanggan di gerai cendol isterinya, ada sahaja cerita baru, samalah macam kami, bila berjumpa dengan pesakit, ada sahaja benda yang nak digossipkan. Namun, tugas tetap tugas. Apabila kekerapan Pakcik Idris dimasukkan ke wad semakin meningkat, doktor pakar mengarahkan kami untuk mendapatkan tarikh serta persetujuan daripada doktor pakar bedah untuk membuat operasi di bahagian salur darahnya.

Pembedahan ini dinamakan AVF (Atriovenous Fistula), atau bedah urat bak kata orang di sini. Hal ini dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman di tiub yang berada di tengkuknya, maknanya, setelah pesakit Berjaya menjalani pembedahan AVF, tiub tersebut akan dibuang, dan tiadalah lagi benda asing di bahagian badan yang boleh meninggikan risiko untuk jangkitan kuman

Namun, pakcik Hamid tidak sesuai menjalani pembedahan tersebut, kerana salur darahnya terlalu halus. Aku biasa menjadi assistant dalam pembedahan tersebut, dan biasanya diketuai pakar bedah hospital tersebut.

Dr Chong adalah pakar bedah yang sangat dihormati di hospital, biarlah dia sekadar Medical Officer, yang tiada kelulusan Master, namun pengalaman mengatasi segala-galanya. Dalam kata lain, beliau adalah seorang chronic MO, dan telah menjadi MO bapa mertua (bekas) aku semasa dia seorang house officer.

Jadi boleh bayangkan pengalaman beliau dalam pembedahan urat tersebut, puluhan tahun. AVF adalah satu pembedahan dimana bahagian vena kita akan disambung dengan bahagian artery, jadi anda boleh bayangkan betapa rumitnya pembedahan tersebut.

Pakar bedah terpaksa memakai surgical loop, atau kanta pembesar bagi membolehkan pembedahan ini dilakukan dengan mudah. Setelah diperiksa, salur darah pakcik Hamid terlalu halus, dan Dr Chong mensarankan pakcik Hamid melakukan senaman tangan lebih lagi

Ayat cliché Dr Chong ketika menemui pesakit yang dijadualkan untuk menjalani pembedahan AVF

“Ada buat senaman tangan tak? Bola getah tu awak perlu genggam dan lepas, 2 juta kali sehari, baru urat pun boleh timbul”

Ya, lima pesakit yang ingin menjalani pembedahan AVF, lima kalilah Dr Chong mengulangi ayat yang sama…

Pakcik Hamid diberi masa 3 bulan untuk datang semula untuk pemeriksaan sama ada salur darahnya sudah sesuai untuk menjalani AVF ataupun belum. Namun, keadaan amat terpaksa.

3 kali Pakcik Hamid dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman pada tiub di tengkuknya dalam masa sebulan, dan untuk menunggu 3 bulan, agak mustahil untuk dia bertahan. Pakar buah pinggang kami, Dr Aaron mensarankan Pakcik Hamid untuk bertukar ke cucian air, dimana satu tiub dimasukkan kedalam perut melalui pembedahan.

Tenchkoff catheter namanya, keadaan yang terpaksa, pakcik Hamid bersetuju. Aku amat rapat dengan Pakcik Hamid, dan setiap perkara yang diterangkan oleh pakar semasa morning round akan aku terangkan kembali sekiranya dia tidak memahami sesuatu perkara.

Dr Aaron adalah salah seorang pakar buah pinggang, dan beliau amat mempercayai aku sebagai pembantunya semasa pembedahan Tenchkoff catheter insertion. 30 lebih pesakit kami bedah bersama sama tanpa komplikasi setakat ini sepanjang posting aku di situ.

Kemudian, tiba giliran Pakcik Hamid. Aku memakai gown operation theatre, dan pakcik Hamid dibaringkan di atas meja pembedahan

“Pakcik Hamid ok tak, risau je saya tengok pakcik hari ni”, aku berkata dalam nada bergurau

“Ish, ok je doktor, Cuma pakcik sejuk…”, ujarnya sambil tersenyum

“Tidak mengapa pakcik, saya bagi pakcik panas sikit”,

dan aku terus mengarahkan jururawat OT meletakkan saluran udara panas berdekatan dengan kaki Pakcik Hamid Pembedahan dimulakan, tepat jam 9.00 pagi. Dr Aaron menandakan satu tempat, dibana trocar ataupun batang besi perlu dicucuk menembusi kulit pesakit.

Dan seperti biasa, aku memasukkan trocar pertama, dan setelah itu, satu skop, dipanggil peritoneoscope dimasukkan bagi membolehkan kami melihat bahagian usus dan peritoneum pesakit.

Satu lagi trocar aku masukkan, tiba-tiba…

“Dr Aaron, looks like there is bleeding at second trocar insertion site”, aku terus berkata

“Yup, I see it”, katanya sambil memfokuskan kamera ke tempat tersebut Setitik demi setitik darah mula keluar, dan semakin lama semakin laju.. Aku cuak.

“Give IV Tranexamic acid 500 mg STAT, Onn, you go and call the surgeon!!”, terus sahaja bagi arahan, dan aku terus membuat tanpa berlengah

Aku call operator, Alhamdulillah, berjawab dengan pantas. Terus dia hubungkan aku kepada Dr Shahrul. Alhamdulillah, doktor baik. Dr Shahrul adalah medical officer pembedahan, dan aku mengenali beliau sewaktu aku posting di jabatan pembedahan.. Dahla handsome, baik pulak tu, nasib baik dia dah kahwin, kalau tak, dah lama aku nak recommend sepupu aku pada dia (sempat lagi)

Terus aku menerangkan keadaan pesakit, dan beliau bergegas ke OT secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, aku terus meminta bekalan darah 4 pints daripada blood bank

“Onn, you need to call the ward, ask 2 MOs come down to OT STAT, and ask your colleague to pickup the blood at the blood bank now” kata Dr Aaron dengan nada tegas.

“Weh, Izreena, tolong aku ambik blood dekat blood bank, patient bleeding nih”, aku menghubungi fellow house officer di wad. Suara dia putus-putus. Memang mencarut dalam hati aku dengan telco yang aku pakai ni. Linenya sekejap ada, sekejap tidak

“Ok Onn, aku pergi ambil sekarang” kata Dr Izreena. Dia seorang rakan dan HO yang sangat bagus. Tiada sibuk nak bertanya banyak, hanya membuat sahaja perkara yang sudah diketahui emergency.

1 demi 1 botol normal saline dimasukkan, aku memasukkan satu lagi jarum di tangan kirinya, dan ubat dimasukkan

“Pakcik, pakcik ok ke?”, suara aku menembusi mask bewarna hijau yang aku pakai

“Ya doktor, pakcik ok je, ada apa-apa yang tidak kena ke doktor?”, kata Pakcik Hamid, yang sememangnya tidak merasakan apa-apa gejala lagi akibat pendarahan

“Pakcik ada pendarahan di dalam perut, tapi kami tengah berusaha nak berhentikan”.

Aku memberi semangat kepada Pakcik Hamid. Aku mengenggam tanganya erat-erat. Dia hairan, masakan tidak, dia tidak merasa apa-apa pun. Namun, kena cepat sebelum keadaan semakin teruk

Dr Shahrul sampai kurang 7 minit di dalam OT. Tercungap-cungap nafasnya. Dr Aaron menerangkan kepadanya, beliau segera scrub in dan meneliti keadaan pesakit.

“The bleeder is on the other side of the abdominal wall, I try to catch it”, katanya kepada Dr Aaron. Walaupun berlainan department, begitulah adabnya seorang doktor kepada doktor lain yang lebih tinggi pangkatnya.

Forsep dimasukkan kedalam lubang trokar tersebut, namun gagal untuk menghentikan pendarahan. Beberapa kali Dr Shahrul cuba, namun tak berjaya. Degil nak mampus salur darah tu dalam hati aku…

“We have to send the patient to Major OT now”, kata Dr Shamsul.

Tindakan refleks aku, terus menelefon OT1, iaitu emergency OT, and nasib baik OT tersebut tidak digunakan. Cepat-cepat aku book case, kemudian aku telefon wad, meminta Puan Halimah turun ke minor OT untuk berjumpa Pakcik Hamid.

Aku terkaku sebentar, baju aku dipenuhi darah pesakit… Aku terduduk, kelemahan di sudut OT. Salah aku kah? Apa yang aku buat kali ni? Kalaulah aku berhati-hati tadi…kalaulah itu, kalaulah ini.

Jururawat OT berlari sana sini, mana sempat nak pedulikan aku yang tengah down. Ini bukan masa untuk berdrama, untuk bersedih. Aku bingkas bangun. Melihat Pakcik Hamid, ya, masih bernafas seperti biasa, dan masih boleh becakap

“BP 80/60 mmHg, and its still maintaining that way doctor” kata jururawat di situ.

“Yup, keep on running the fluid, and once the blood is here, transfused it ASAP”, itu sahaja arahan yang aku mampu berikan. Tekak aku berasa pahit, kering saat otak aku masih memikirkan, apakah ini salah aku.

Dr Aaron memukul bahu aku, “Hey, calm down!, we will settled this together okay?”, begitulah kata-kata Dr Aaron yang menaikkan semangat aku.

OT emergency sudah bersedia, segera aku menolak katil keluar. Puan Halimah berada di pintu, kaget dan kaku melihat betapa paniknya aku. Tak pernah dia melihat aku sedemikian.

“Puan, pembedahan tadi ada komplikasi, Pakcik Hamid mengalami pendarahan, dan kita perlu menghantar dia ke OT Emergency” kata aku, sambil berjalan.

Air mata mula berlinangan di mata Puan Halimah, beliau memegang tangan suaminya

“Abang, bertahanlah ya, jangan tinggalkan saya” kata-kata Puan Halimah menyebabkan aku berasa begitu sedih.

“In Shaa Allah abang bertahan, jangan risau akan keadaan abang, semuanya akan jadi elok” kata Pakcik Hamid.

Begitulah dia, saat sedemikian, masih mampu memotivasi isterinya, dan memberi semangat. Betapa mereka menyayangi satu sama lain. Sebak di hati aku, di saat itu, terasa kelenjar lakrimal mula menghasilkan air mata.

Tetapi tidak, aku tidak boleh menunjukkan kesedihan di depan pesakit

“Pakcik Hamid, stay strong ya, I’ll see in in wad, kita sambung cerita yang customer makan cendol tak bayar tu, janji tau”, kata aku.

“Baik doktor, doktor jangan risau, pakcik kuat” katanya dengan senyuman yang masih aku tak dapat lupakan

Dan terus aku menghantar pesakit ke Emergency OT. Aku ingin duduk dan melihat pembedahan tersebut, dan kalau boleh nak tolong apa yang aku mampu, namun 5 minit kemudian Dr Aaron menelefon aku

“Onn, where are you now? come down to minor OT now, we have another 2 patient to operate” kata Dr Aaron

Sememangnya begitulah adat sebagai seorang doktor. Satu kes tak jadi, tidak bererti kita boleh berputus asa. Masih ramai lagi pesakit yang memerlukan bantuan. Tiada masa nak sedih, nak emotional.

2 pembedahan berjalan dengan lancar. Aku memaksa diri untuk fokus sepenuhnya, walaupun di sudut hati, teringat apa yang akan terjadi terhadap Pakcik Hamid.

3 jam kemudian, aku balik di wad

“Dr Onn, tu ha, pesakit nama Hamid daripada tadi dok panggil Dr onn, Dr Onn…” kata seorang jururawat di ward 4D berbangsa SIam itu sebaik saja aku tiba di dalam wad

“Patient kat mana kak Kriss?”, tanya aku, walaupun sememangnya sangat terang dan nyata jururawat tersebut jauh lebih muda daripada aku, namun, memang aku dah biasa panggil semua kakak, sebab memikirkan mereka bekerja lagi lama daripada aku.

“Katil 15 doktor” katanya, sambil menunjukkan sebuah katil di kubikel akut. Kulihat, kak Kriss pun penat, menyebabkan aku rasa yang dia baru sahaja prepare katil dan memindahkan Pakcik Hamid ke situ.

Melihat pakcik Hamid tebaring, dan luka di perut yang asalnya kecil kini sudah menjadi sejengkal, aku mula nak salahkan diri aku lagi. Emergency Laparotomy and evacuation of blood clots nama pembedahanya. 2 Liter darah dikeluarkan daripada bahagian perutnya, dan ajaibnya, Pakcik Hamid masih boleh tersenyum melihat aku.

Dan masih boleh bersembang sedikit sebanyak dengan Puan Halimah, walaupun kesan ubat bius tidak hilang sepenuhnya. Aku terus meminta maaf kepada Pakcik Hamid dan isterinya, dan beliau menerimanya tanpa sedikit pun ada rasa marah. Dan aku sungguh bersyukur…

5 hari kemudian, pakcik Hamid dah pun boleh discharge.

Sewaktu itu, ku sedang duduk di kafe berseorangan, dan terserempak dengan Dr Shahrul

“Bos, sorry hari tu susahkan bos sebab saya buat patient bleeding”, aku cuba nak minta maaf, tenggelam dalam “self-guilt”

Jawapan beliau, sangat mendalam dan aku masih ingat sehingga hari ini

“We are human, we tend to make mistakes, but its how you deal with the mistake is actually the most important part. You are a good doctor, I saw the way you comforting the patient, and even send the patient to Major OT on your own, while I met some of the doctors who make mistake, then simply ignore the patient, simply break down and give up”

3 minggu berlalu, aku terserempak Pakcik Hamid di wad saya bertugas, dan semasa itu aku tidak lagi berada di wad buah pinggang. Tetapi di wad lain.

“Eh Pakcik Hamid, apa khabar, kenapa datang wad ni..?”, tanya aku

“Saja je doktor, nak jumpa doktor, Pakcik pun orang susah nak bagi doktor apa-apa sebagai balasan tolong pakcik pun pakcik tak mampu, pakcik datang. Cuma nak jumpa doktor dan nak ucapkan terima kasih”

Ayat tersebut menusuk di dalam dada. Sebak, dan sangat terharu. Anda boleh bayangkan pesakit tersebut sanggup mencari aku semata-mata untuk mengucapkan terima kasih, walaupun dia berada di atas wheelchair…

Terus aku peluk Pakcik Hamid erat-erat, dan saat itu aku menitiskan air mata kerana terlalu sebak. Bukan akibat kesedihan, tetapi lebih kepada terharu. dan doa di dalam hati semoga beliau dipanjangkan usia dalam keadaan yang berkebajikan.

P/s – Encik Hamid bin Sidek, telah pun kerahmatullah pada tahun 2017 akibat daripada jangkitan kuman di paru-parunya. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada pesakit ini.

————————————————————

– ilzanno sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *