Pengalaman Menjadi Banduan ‘Sementara’

Berpeluang untuk mewakili seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 tuduhan kes Penipuan melibatkan jual beli kenderaan.

Coretan saya bukan untuk dedahkan fakta kes ini kerana ia sulit dan masih dalam proses Mahkamah.

Namun saya ingin kongsikan pengalaman dan liku hidup OKT ini sebagai ‘banduan sementara’ sejak tempoh remand (roadshow),

Kemudian dituduh di Mahkamah, dan sehinggalah keluarga ada duit untuk bayar jamin jika tidak mengaku salah. Atau bayar denda jika mengaku salah.

OKT ini pernah ditahan di Penjara K kerana pada ketika itu dia dituduh di Mahkamah SA, sementara tunggu pelupusan kes dia tidak dijamin sehinggalah dia mengaku salah, bayar denda dan keluar.

OKT ini ceritakan kepada saya pengalaman menjadi banduan sementara, bagaimana suasana dalam penjara, layanan Pegawai / staff Penjara, keadaan / kualiti makanan dalam penjara, aktiviti, dan sebagainya.

OKT ini kata so far Pegawai Penjara K sangat baik hati dan membantunya. Dia tidak murung atau depresi di sana kerana tiada kes buli, pukul atau politik Penjara.

Menurut beliau, sejak berada di dalam, ada banyak perkara dan hikmah yang dia perolehi.

Contohnya kembali kepada Tuhan, sedar akan makna kebebasan, sedar betapa penting dan bernilainya masa bersama keluarga, anak dan ibu bapa,

Sedar bahawa suami yang beliau kasihi itu hanya inginkan wang ringgitnya dan kemudian menceraikan beliau sewaktu dalam kesusahan dan apabila sudah tidak berguna untuk disimpan.

Kemudian OKT ini dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi kes di Johor pula yang mana saya mewakili OKT ini diperingkat ini.

Sementara menunggu keluarga jamin OKT ini, dia ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang.

Beliau menceritakan kepada saya dengan tenang dan tersenyum. Tanpa air mata atau dendam.

Menurutnya sekurang kurangnya saya masih ada ibu bapa, adik dan anak yang menyayangi saya yang sentiasa ada waktu susah dan senang.

Cuma kelihatan sedikit sebak apabila tidak dapat menghantar anak masuk ke Universiti, keluarga terpaksa berpakat kata ibunya bekerja di Sarawak.

Tak dapat pulang sebab sekatan perjalanan dan sebagainya tetapi kerap menelefon keluarganya untuk bertanya khabar dan lain lain.

OKT ini juga banyak belajar supaya tidak mudah percayakan orang, perlu ada hitam putih dalam transaksi jualan dan lain lain.

Selepas selesai sesi luahan hati, saya seterusnya kembali kepada isu sebenar iaitu kes beliau, memberi nasihat perundangan tentang proses Mahkamah, apa yang perlu dilakukan untuk bicara kelak dan lain lain.

Ini kali pertama saya lihat OKT yang cukup tenang, tidak kusut masai dan murah senyuman serta peramah.

Berkali kali beliau ucapkan terima kasih kerana membantunya. Menurutnya sangat besar bantuan ini walaupun sebenarnya saya sekadar menjalankan tugas atau membuat kerja saya sahaja.

Semoga Allah permudahkan urusan beliau dan semoga beliau berjaya menegakkan keadilan bagi pihak beliau.

– Nur Shuhadah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *