Pengalaman Menjaga Mak Di Hospital

Assalammualaikum admin dan para pembaca. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah selalu. Sedikit perkongsian pengalaman tidak seberapa saya menjaga Mak dihospital semasa hayatnya.

Mak telah kembali ke rahmatullah pertengahan oktober lalu. Moga setiap kebaikan dari penulisan ini jadi sedekah amal jariah ilmu buat almarhumah mak dan almarhum abah saya.

Terima kasih jika tulisan tidak seberapa ini dapat dikongsi dan dimanafaatkan bersama.

Bekas plastik untuk muntah dan kahak di hospital. Plastik ni nanti kena masuk dalam bekas khas untuk bahan bahan buangan klinikal sahaja.

Lampin pakai buang dan tisu basah juga termasuk dalam sisa klinikal ye. Perlu dibungkus dalam plastik macam ni juga, dan buang dalam tong sampah klinikal juga. Bukan tong sampah biasa.

Kesian pada pekerja pembersihan tau jika anda buang di tong sampah biasa, kerana cara pelupusan sampah sampah klinikal berbeza dengan sisa sampah biasa.

Jumpa ni terselit dalam beg. Lebihan masa jaga mak dihospital hari tu rasanya.

3 tahun berulang alik ke hospital. Banyak belajar macam-macam. Dari mula mula sikit sikit mintak kat misi, jadi dah pandai ambik sendiri. Dah tahu apa fungsi sekian sekian alat, dah tahu kat mana nak ambik baju salin dan air masak/air panas.

Dah boleh salinkan lampin pakai buang mak, walaupon kadang tu senget benget.

Ni antara cabaranlah buat saya, sebab saya banyak buat sewaktu saya jaga mak diwad dan keadaan mak tak berupaya untuk gerakkan badan. Pergerakan kita sendiri pon terbatas.. tambah tambah bila wad penuh dan katil rapat rapat. Kadang kadang langsir penutup pendek, so kena pandai pandai lah cover.

Teringatlah.. mak selalu cakap.. akak jangan ketat sangat, akak mak nak kena pusing banyak mana? Comelkan mak saya.

Ialah saya ni pulak risau pakaikan longgar2 takut mak pulak tak selesa, atau najis boleh tercicir keluar bila lampin pakai buang tak ngam elok. Nak tolak dia pelan pelan tak tertolak, kuat kuat nanti terlbih pusing pula.

Kat hospital juga belajar kaler bŕanula, tiub kencing, tiub pernafasan orang kurang oksigen dalam darah dengan orang asthma tu lain.

Dah mula tahu, hospital sekian2 doktor datang jam berapa, misi tukar cadar jam berapa. Doktor pakar round jam berapa. Berapa jam sekali misi check bp dan gula dalam darah. Buat sedikit catitan, untuk senang kita rujuk dan pantau keadaan sakit pesakit.

Saya memang akan ambik catitan result tekanan darah dan gula mak setiap kali nurse buat pemeriksaan, untuk rujukan saya dan saya send juga pada group wasap adik beradik. Dialisis macam mana. Lain hospital lain cara, hospital daerah dengan cara dia, hospital besar dengan cara dia.

Macam tu juga dengan dialisis, baru tahu apa itu fistula, IJC, apa itu cuci darah dengan beg air. Berapa kali dialisis setiap minggu. Ubat2 pon dah mula kenal walaupon tak sehebat kakak ipar, hehehe.

Dan lagi satu, patuhilah peraturan peraturan hospital. Jika anda menjaga pesakit di hospital kerajaan, kena ambik pas penjaga dari Matron bertugas. Kena renew setiap 3 hari sekali, bergantung pada hospital juga.

Pastikan barang barang kita bawa tersusun rapi. Termos air, bekas makanan, stok stok makanan kering. Makanan yang sedia dimakan tu letaklah elok2 di tempat yang disediakan. Bila doktor pakar melawat, ambik perhatian.. tunggu diluar semasa mereka buat pemeriksaan. Bagi mereka selesaikan tugas mereka.

Biasanya lepas tengok keadaan pesakit, mereka akan panggil waris untuk apa2 procedure dan bagitahu keadaan pesakit. So tak perlu nak menempel sama masa mereka buat pemeriksaan. Bagi ruang.

Pada sahabat2 yang sedang menjaga ibu bapa. Sesungguhnya.. tak mudah hendak menghadapinya jika kita berseorangan. Sama2lah berganding bahu adik beradik ye. Dari segi wang ringgit bagi yang berkemampuan, agak mudah. Tapi yang paling utama sokongan tenaga tu.

Sekali sekala dapat peluang jaga tu, bantulah bersihkan mak ayah kita yang terlantar, syampookan rambut, sabun dan lap badan, tukarkan lampin pakai buang, siapkan bagi wangi wangi, ambikkan wudhu’, bacakan ayat2 suci al quran, Urut urut dan berbual. Ni pon salah satu terapi juga untuk pesakit. Juga untuk orang yang menjaga berehat seketika.

Jangan biarkan seorang sahaja yang menjaga. Gilir2lah membantu… luangkan masa. Rajin2lah menjenguk dan saling bantu membantu. Barulah ringan urusan… jadi happy2 je bila buat sama2.

Pada yang ada ibu bapa masih sihat pula, santunilah mereka, sekali sekala balik luangkan masa sembang sembang dengan diaorang. Layan hobi mak ayah. Kalau yang suka berkebun.. belikanlah pokok2 yang derang suka. Balik tanam sama2, ikut mereka berkebun.

Yang mana mak ayah suka masak.. ajaklah pergi pasar. Layankan mereka nak beli apa masak untuk cucu cucu dan anak menantu. Sama sama buat riuh dan kecahkan dapur. Nanti makan bersama, jadi darah daging dan eratkan hubungan sesama ahli keluarga.

Mak ayah ni bukan nak benda mewah pon. Asal kita ingat apa yang dia suka, dia akan rasa bahagia. Bila bahagia..bsakit pon rasa berkurang, yang sihat makin bertambah sihatkan… InshaaAllah.

– Makcik kola Bear (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *