Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum. Perkongsian pada kali ini adalah berkenaan PERJALANAN HAJI 2019/1440.
Alhamdulillah dikurniakan keizinan oleh Allah s.w.t. untuk menunaikan ibadah dan Rukun Islam yang kelima yakni HAJI bersama kedua ibu bapa saya.
Untuk kali ini, saya akan kongsikan mukadimah kepada perihal kita. Mukadimah ini meliputi dari permulaan sesi Kursus Haji, kepada persediaan mental dan fizikal, persediaan kewangan, persediaan cuti bekerja, gaji, bil utiliti, anak-anak, keluarga, ubat-ubatan dan lain-lain.
KURSUS HAJI.
Bagi calon JEMAAH HAJI (JH) anda akan dimaklumkan berkenaan Surat Tawaran Menunaikan Ibadah Haji bagi tahun 2020 sebelum bulan Syaaban biasanya. Seperti saya dan mak ayah saya kami terima surat tawaran sebelum Syaaban dimana kami selesai urusan Medical Check-up sebelum Ramadhan tahun 2019/1440. Ataupun dalam tahun masihi kami terima surat tawaran pada pertengahan hujung tahun 2018.
Kursus Haji dilaksanakan sebanyak Tiga (3) kali. Kursus pertama adalah selama 15 minggu biasanya sehingga sebelum Ramadhan dikenali sebagai Kursus Asas Haji (KAH). KAH dan kursus lain-lain dikelola oleh Tabung Haji (TH). KAH adalah satu program yang bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi. Namun, bergantung kepada keadaan mungkin masa akan berubah-ubah.
Kursus Asas akan mengajar kepada seluruh orang awam dan merupakan satu sesi kursus di masjid-masjid. Namun, sesi soal jawab masih lagi terbuka pada akhir sesi. Suka untuk saya tekankan, perihal paling penting dalam sesi kursus ini adalah bagi wanita, aurat dan wudhu. Perihal wanita adalah berkenaan dengan darah. Hal ini sangat penting. Apabila ada ruang untuk soal jawab perlulah bersediaan dengan pelbagai jenis dan keadaan tersebut.
Kursus seterusnya dikenali sebagai Kursus Intensif Haji (KIH). KIH adalah sesi kursus yang diberikan kepada calon-calon yang telah disahkan dan diperakui akan laksanakan Haji pada tahun berkenaan. Kursus ini dilaksanakan sebulan sebelum penerbangan pertama berangkat ke Tanah Suci. Kursus terakhir dikenali sebagai Kursus Perdana Haji (KPH) dimana kursus ini akan dilaksanakan dua minggu sebelum penerbangan pertama.
KPH adalah sesi kursus yang memerlukan Jemaah Haji (JH) untuk bermalam dilokasi kursus dan calon akan dibawa ke tempat kursus dengan menaiki bas yang bermaksud seluruh calon dari setiap daerah di negeri masing-masing akan hadir dilokasi kursus yang ditetapkan. Namun, saya perlu ingatkan semasa KPH ini berikan kerjasama dan maklumkan sebarang bentuk pergerakan persendirian kepada Pengurusan TH dilokasi kursus.
Ini kerana ada beberapa JH yang tidak maklumkan kepada pengurusan dan menyebabkan tergendala pergerakan balik bas ke destinasi masing-masing. Sekiranya disini pun telah menyusahkan orang lain dan fikir diri sendiri disana nanti akan berlebih-lebih lagi. Ini berdasarkan pengalaman sendiri.
Baik selesai untuk kursus, kita lanjutkan kepada Medical Check-up.
Medical Check-up akan dilaksanakan hanya setelah dapat surat tawaran dan buku kesihatan yang mempunyai bar code pada buku tersebut. Ada kod warna pada muka hadapan buku tersebut dan hanya setelah diterima barulah buat medical Check-up. Medical Check-up boleh dilaksanakan di klinik-klinik kesihatan yang telah dinyatakan dalam surat yang dikepilkan bersama buku kesihatan.
Walaubagaimanapun, sekiranya anda mempunyai penyakit berisiko seperti perlu dialisis anda serta merta dianggap tidak layak mengerjakan ibadah haji dan boleh terus Badal Haji. Dialisis terlalu berisiko untuk dibawa ke sana kerana dialisis perlu berulang-ulang. Namun, jika Allah izinkan pergi maka teruskan. Hal ini kerana, semuanya adalah atas izinNya jua untuk dapat hadir kesana.
Baik selesai perihal perubatan dan kursus kita lanjutkan kepada Persediaan Mental dan Fizikal. Untuk urusan Haji mental dan fizikal perlulah kuat. Ini kerana urusan haji dan umrah akan memerlukan kita berjalan kaki ke destinasi yang dituju disana nanti. Mental kita perlu kuat supaya kita dapat kekal positif walau apa jua rintangan dan dugaan yang menimpa kepada diri kita.
Oleh itu, sekiranya ada masalah semput, letih berjalan jauh maka bolehlah mula berjalan kaki bermula selepas dari baca artikel ni tapi jangan jam 2 pagi baca terus pergi jalan, saya tak tanggung kalau orang kata buang tabiat. Untuk lanjutan kepada perihal fizikal saya akan kongsikan suasana disana nanti dan cubalah bayangkan bagaimana keadaan itu. Bolehlah kalau masjid dalam 600 meter dari rumah, untuk bakal-bakal Haji berjalan kaki daripada menggunakan motorsikal.
Persediaan Pakaian.
Topik ini berbeza-beza bagi setiap orang. Namun, adalah lebih baik jika saya tekankan jugak sebab saya sendiri alami hal ini. PAKAIAN BAWA SEDIKIT SAHAJA BAGI LELAKI. Untuk jemaah lelaki bawa jubah sehelai dua, seluar panjang dua helai tracksuit atau seluar tahan lasak, baju t-shirt, kurta. Ini kerana pasti akan membeli disana nanti. Bagi jemaah wanita, bawa jubah HITAM empat helai, tudung solat, telekung dan peralatan kebersihan diri. Pun akan membeli jubah yang lagi warna warni dan pelbagai bentuk.
Persediaan Kewangan.
Baik ini topik yang berkaitan. Bawalah sejumlah wang yang dimasukkan terus kedalam akaun Tabung Haji. Kalau boleh seorang RM 5000 dan keatas. Jika anda bukan orang ada-ada bawa sekadar untuk membeli di hari-hari akhir di Tanah Suci nanti. Jangan letak duit banyak-banyak dalam pouch beg yang dibawa untuk tawaf, saie dan “melontar”. Dikhuatiri dicuri atau diseluk saku di Tanah Suci. Kerana ada ramai Jemaah Haji yang lalai dan tidak ambil peduli isu ini walaupun telah dipesan berkali-kali.
Kewangan ini sangat penting untuk tidak boros. Turun saja dari penginapan ada orang berjualbeli. Berjalan saja ke Masjidil Haram jumpa kedai dan akan singgah untuk membeli. Sentiasa beringat sebelum membeli. Beli hanya apabila perlu. Saya bersyukur kerana duduk di Abraj Janadriyah. Kedudukannya agak jauh dari kawasan Menara Jam jadi jarang nak membeli yang branded.
Souq Jaafariyah.
Namun, ada godaan lain pula iaitu Souq Jaafariyah. Tempat ini sangat menggoda dengan pilihan harga yang pelbagai. Harga paling murah untuk ditawarkan SAR 2… Sila pandai-pandai kemahiran tawar menawar…
JANGAN BOROS.
saya ingatkan sekali lagi kepada bakal-bakal Haji dan Hajah sekalian supaya jangan boros. Sentiasa ingat kita jauh dari sanak – saudara. Kalau dekat pun kadang-kadang nak menghulur tu susah sangat nak dapat inikan pula jauh dari mata mereka. Sentiasa ingat sekarang kita sihat disana belum tentu. Kadang-kadang sampai perlu masuk ke Hospital Arab. Saya tekankan berkenaan kos ya. Fikir-fikirkan.
SAKIT DAN KEMATIAN.
Ini satu topik yang mendebarkan hati. Apabila di Malaysia setakat marathon 45 km itu biasa. Tapi bila sampai disana jarak masjid dengan hotel penginapan 50 meter ke 1 km pun tak larat nak berjalan. Semua atas kudrat yang Allah kurniakan. Perihal sakit ini tadi berkaitan dengan ubat-ubatan yang perlu dibawa. Antara ubat yang biasanya dibawa seperti PANADOL, VOREN, STREPSILS, AIR GARAM. Namun, yang sering digunakan adalah PANADOL. “Anda fikir saya ada masa untuk sakit kepala?” Gitulah.
Disana jangan tunggu hingga sakit bersangatan tu baru nak makan ubat. Dah RASA sakit. Terus telan ubat dan REHAT. Namun, sekiranya boleh kepada pesakit-pesakit kronik seperti jantung, darah tinggi, kencing manis. TOLONG bawa ubat-ubatan anda. Medical Check-up di klinik kesihatan masing-masing dua minggu sebelum berangkat atau seminggu sebelum berangkat minta ubat-ubatan dari klinik untuk dua bulan. Nyatakan pada doktor bahawa anda akan ke Mekah selama 50 hari.
Nanti mereka akan serahkan ubat untuk tempoh masa yang panjang. Baik. Kadang-kadang ada yang sakit bersangatan dah di Malaysia tiba disana sihat malah lebih gagah lagi dari orang yang sihat ni. Namun, sentiasa ingat jodoh maut pertemuan ditangan Tuhan. Kita fikir di Malaysia sihat takkan mati disana, tidak juga. Kematian boleh berlaku bila-bila. Perihal kematian ini saya perlu tekankan bahawa jika bukan jemaah yang meninggal, kaum kerabat di Malaysia yang meninggal.
Pada tahun ini ada Dua jemaah meninggal sebelum sempat tunaikan sendiri Haji tersebut namun telah selesai melaksanakan Umrah Wajib. Ada juga setelah Arafah dan selesai Haji meninggal. Namun, meninggal di Mekah usah bimbang tak perlu keluar RM 2000 baru ada yang uruskan. Mereka disana dah siap sedia dan pengalaman dengan macam-macam jenis jenazah mereka ada. Beruntunglah dan berbahagia mereka yang dapat jadi penduduk disana. Allahummagh firlahum warhamhum wa’afihi wa’fu’anhum.
PERSEMADIAN ABADI.
Di Madinah bagi mereka yang meninggal disana. Mereka akan disemadikan di Perkuburan Baqi’. Perkuburan ini sangat istimewa dan sangat menakjubkan mata yang memandang. Bayangkan sekiranya anda terakhir kali ziarah Madinah untuk umrah pada tahun 2013 kemudian hadir untuk Haji tahun 2020. Bukankah ramai yang meninggal. Tapi bayangkan. Perkuburan itu masih cukup luas untuk didiami oleh ratusan jemaah.
“Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.” Hadith riwayat al-Tirmidzi: (3917)
Boleh tengok di YouTube dan baca diblog berkenaan Perkuburan Baqi’. Namun, jika anda tanya dimana tempat dikuburkan di Baqi’ dan sebagainya. Namun, mengikut kata mutawif yang bawa kami. Dikhabarkan bahawa apabila anda masuk sahaja dari pintu utama jalan ke depan menuju ke maqam Saidina Uthman ibn Affan r.a. anda pandang sebelah kanan dan ada satu kawasan lapang dan disitu ada pekerja yang sedang menggali kubur dan disitulah tempatnya disemadikan. Perihal pindah memindahkan jenazah ke tempat lain itu saya tidak pasti kerana tidak dikhabarkan oleh mutawif.
Seterusnya, jika meninggal di Mekah. Dahulunya akan disemadikan di Ma’la. Mudah sahaja nak ke Ma’la jika berjalan kaki mengambil masa kurang lebih 20 minit. Anda hanya perlu berjalan kaki ke Souq Jaafariyah. Sebelum sampai ke Jaafariyah anda akan sampai di Ma’la dahulu. Namun, dimaklumkan kepada kami kini jika ada jemaah luar meninggal maka tidak dikebumikan di Ma’la. Dikebumikan disekitar tanah perkuburan di Mekah sahaja. Andaikata bertuah. Mungkin atas izinNya dikebumikan di Ma’la.
PROSES BERANGKAT KE TANAH SUCI.
Baik disebabkan situasi kelam-kabut tu dialami sendiri oleh kami maka suka saya ingatkan. Telefon terus kepada Bahagian Operasi Haji berkenaan keberangkatan anda ke TANAH SUCI. Pada asalnya dalam surat pemakluman perlu daftar masuk ke lounge adalah jam 9.30 pagi, tiba-tiba kami dikerah untuk masuk sebelum jam 9 pagi.
Bayangkan sanak-saudara yang hadir dapat peluk cium mengalir air mata kelam kabut letih penat, emosi marah-marah dan ia sepatutnya tidak berlaku. Namun, terjadi pada kami. Jadi saya pesan. Confirmation dengan Tabung Haji jam berapa perlu ada disana. Jika jam 9.30 maka anda hadir dan daftar jam 9.30 kerana jadual sudah disediakan. Abaikan segala paksaan itu. Mereka kata dah lambat dan sebagainya maklumkan pada mereka daftar 9.30 buat 9.30 jangan bagi pening.
Ini kerana ada jemaah yang dalam surat dimaklumkan jam 10.30 perlu daftar masuk jadi dia pergi sarapan dulu jam 10.15 baru masuk sebab surat kata begitu. Bila tiba dikaunter dan digesa untuk cepat, dah sebabkan delay apa semua, apalagi dia sound semula. “Dalam surat jam 10.30 kenapa panggil masuk jam 9.30?” Jangan kelam kabut. Hayati betul-betul perjalanan HAJI ini. Baik.
Jemaah kemudian akan menunggu di lounge menunggu sebelum naik bas. Oh ya, lokasinya adalah di Hotel Movenpick TH di Sepang. Setelah anda masuk sanak saudara boleh terus pulang namun, jika mahu buat lambaian terakhir bolehlah sanak saudara lakukan di sebelah kiri bangunan tersebut. Pintu masuk disebelah kiri. Maka anda hanya perlu kekiri bangunan. Ada ruang untuk buat demikian.
Kemudian anda akan dieskort oleh Polis Trafik kemudian tanyalah pada diri anda “berapa banyak nikmat Allah bagi sampai nak pergi Haji pun ada orang eskort?” Dan anda akan dibawa terus ke lokasi penerbangan. Namun, jika penerbangan anda jam 2.30 petang anda akan duduk dilounge penerbangan khas Makkah Route yang dibuka setahun sekali sahaja di KLIA2 untuk musim Haji. Tabung Haji akan sediakan makanan tengahari dan anda bolehlah terus makan. Kemudian, jika telah masuk waktu zohor.
Maka teruskan solat. Kerana dalam kapal terbang anda sukar untuk solat namun perlu solat duduk. Tiada masalah kerana ada Rukhsah disitu. Gunakan rukhsah yang diberikan. Makan, makan juga. Apabila perlu qadha hajat segerakanlah. Kerana atas flight untuk memerut adalah sangat menguji kesabaran.
Oh ya, di dalam flight anda akan duduk ditempat yang disediakan. Jika nombor anda 1 hingga 40 anda akan duduk di first class. Jika anda di Zon A anda akan duduk di first class atau business class. Rezeki allah kurniakan gunakanlah. Bila lagi nak rasakan. Pada tahun ini flight yang digunakan adalah Airbus A380 boleh memuatkan 486 jemaah. Pada tahun hadapan mungkin akan gunakan flight yang sama. Wallahua’lam.
KETIBAAN DI TANAH SUCI.
Ada dua jalan masuk ke Mekah. Pertama, melalui Madinah dan kedua Melalui Jeddah. Jika anda penerbangan awal maka anda akan laksanakan Haji Tamattu’. Jika anda masuk lewat atau penerbangan terkakhir anda boleh pilih Tamattu’ atau Ifrad. Haji Tamattu’ dikenakan dam Tamattu’ dan ifrad tidak dikenakan dam. Semua ini akan dikursuskan semasa KAH, KIH dan KPH. Bagi jemaah Haji yang masuk madinah dahulu anda akan berniat ihram Umrah di Bir Ali. Kemudian berhenti solat zohor di RnR Zain. Jangan tidak niat ihram Umrah jika tidak lakukan demikian anda dikenakan Dam.
Oh ya, kepada jemaah Wanita andaikata anda datang haidh tetap wajib niat ihram umrah. Baiklah. Kemudian, bagi yang masuk melalui Jeddah anda akan siap sedia memakai ihram dari Malaysia lagi. Anda akan niat ihram di Qarnul Manazil. Jadi, kapten akan mengingatkan bahawa anda boleh niat ihram apabila tiba dilokasi itu. Jadi anda perlu jaga pantang larang ihram. Jika anda niat ihram haji untuk laksanakan Haji Ifrad maka anda perlu jaga betul-betul larangan ihram.
PENGINAPAN DI TANAH SUCI.
Jika di Madinah anda akan duduk dizon masing-masing. Seperti kami duduk di Hotel Al Haram di Zon A. Jadi kami perlu masuk ke Masjid Nabawi melalui hadapan pintu 25 yang mana pintu 25 adalah pintu muslimat dan dua pintu sebelahnya adalah pintu terus ke Raudhah.
Maaf saya tidak pasti zon lain berada dimana. Di Mekah ada empat zon. A,B,C dan D. Seperti kami di zon A duduk di Abraj al Janadriyah. Jaraknya dengan bangunan Masjidil Haram adalah 750 meter untuk ke pintu masuk andaikata belum ditutup atas faktor sesak ramai jemaah maka tambah lagi 500 meter. Anda jika berniat untuk kuruskan badan maka kerapkalilah berjalan jauh. Insyaallah dengan kurangkan makan dan lebihkan jalan kaki anda akan dapat bentuk ideal dalam masa sebulan. Terjadi pada saya.
Jika berkesempatan saya akan kongsikan suasana dan pintu mana yang strategik. InsyaaAllah. Semoga bermanfaat.
– JH Abraj Janadriyah Tgkt 11 1440/2019 (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit