Untuk part I, (https://iiumc.com/pengalaman-menunaikan-haji/).
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah posting saya sebelum ini telah diizinkanNya untuk dikongsikan melalui laman IIUM Confession. Saya berharap posting saya yang tersebut menjadi manfaat buat semua ya.
Seperti yang dijanjikan posting pada kali ini saya kan ceritakan suasana dan keadaan di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Namun, sebelum itu saya akan mulakan dahulu dengan beberapa peringatan penting berkaitan dengan emosi, mental dan fizikal bakal-bakal Haji dan Hajah sekalian.
Emosi, Mental dan Fizikal
Ini merupakan satu topik berkaitan dengan diri seseorang. Namun, ianya berkait rapat juga dengan Ibadah kita. Oleh itu, sila baca dan hadam dengan penuh berhati-hati serta terima dengan hati yang terbuka. Ini kerana, ada selingan teguran dan nasihat yang saya nak berikan dan ada juga kejadian yang terjadi pada diri saya sendiri selama berada disana.
Teguran dan nasihat saya kepada semua, NAFSU AMARAH. Nafsu ini adalah sangat paling bawah tingkatannya namun, paling tinggi kesannya pada diri seseorang hingga boleh merosakkan hidup dan ibadah seseorang itu. Ingat ya, hidup kita adalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah.
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku” – Az Zariyat ayat 56.
Sekiranya nafsu amarah yakni nafsu yang penuh kebencian, hasad, riak dan ujub menggunung dalam diri kita semua maka sedarlah bahawa segala amalan kita dan kita sendiri soal “adakah Allah terima amalan aku sedangkan aku sentiasa mencaci maki, riak, hasad, ujub dengan apa yang diberikan olehNya?”
Bakal-bakal Haji dan Hajah sekalian, saya maklumkan ini kerana sekiranya di Malaysia masih tidak mengurangkan sikap-sikap demikian maka sedarlah bahawa disana nanti andaikata masih juga tiada perubahan maka balik semula di Malaysia maka akan lebih teruk atau sama saja seperti sebelumnya.
Jika sebelum berangkat, dah ada di Movenpick TH Sepang, anak beranak saudara mara sanggup datang untuk hantar, tapi disebabkan mereka terlewat sikit saja kita dah maki dan marah-marah mereka, maka percayalah sikap itu akan dibawa kesana.
Jika di Malaysia tiada siapa sanggup atau pernah berikan teguran tapi dia memarahi semula orang yang tegurnya maka di Tanah Suci kelak andaikata ALLAH jua tidak tegurnya maka sedarlah diri itu, bahawasanya tiada sesiapa lagi akan menegur anda sampai bila-bila. Bayangkan di Malaysia tiada yang tegur, sedangkan Allah jua tidak akan tegur lagi dah, maka siapa lagi yang akan tegur dan layak untuk menegur? Fikir-fikirkan.
Mental bakal-bakal Haji dan Hajah perlu diperkuatkan dengan amalan sunat, tadarus Al Quran dan zikir yang berpanjangan. Apa jua masalah kehidupan selesaikan sebelum berangkat. Jangan pernah bawa segala masalah di Malaysia ke TANAH SUCI. Saya pesan jangan bawa.
Kita kesana atas jemputan ALLAH, kita TetamuNya. Kita dah ada dirumahnya, namun kita lebih suka lalai dengan kehidupan dunia daripada nak kumpulkan kekayaan akhirat. Di Tanah Suci, kekuatan diri kita dimulai dari Malaysia. Jangan kata “ah disanalah baru nak belajar mengaji.” “Ah disanalah baru nak mula solat.” Saya pesan JANGAN.
Bawa hanya mental yang telah kukuh dan jiwa yang sentiasa kuat untuk Allah. Jangan sampai dah nampak Makan Rasulullah dah nampak KAABAH pun masih juga teringat pada kerja yang menimbun tidak selesai, maka kita akan rugi. Namun, jika kita ada benar-benar permasalahan peribadi kita nak luahkan pada Rasulullah dan pada Allah. Maka, luahkanlah kerana kita jangan sangka bahawa ALLAH dan Rasulullah tidak dengar tetapi lebih rapat dan rindukan kita untuk mengadukan pelbagai masalah kita padaNya.
Fizikal bakal-bakal Haji dan Hajah perlu diperkuatkan dengan sentiasa melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Sentiasa ingat, sihat disini tidak semestinya sihat disana. Sakit disini tidak semestinya sakit disana. Hidup disini tidak semestinya hidup disana. Andai mati disana dambakanlah mati disana kerana moga-moga Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam berikan syafaat pada kita kelak.
Baik cukup untuk teguran dan nasihat emosi, mental dan fizikal. Kita lanjutkan pada topik asal berkenaan suasana dan keadaan disana.
Masyaallah tabarakallah.
Rasa takjubnya dan gembira dan hibanya apabila kaki ini melangkah dan menjejakkan kaki dan tiba di Madinah. Jejak sahaja kaki di Madinah dari kejauhan selepas turun Flight di Lapangan Terbang Madinah kurang lebih 60 km dari Masjid Nabawi hati ini sudah rasa rindu bersangatan untuk ziarah kepadanya.
Siapa tidak rindu padanya? Angkat tangan siapa yang tidak rindu pada Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam? Pasti tiada yang angkat tangan! Semua rindu padanya.
“Nabi rindu tidak pada aku?” “Nabi tahu tidak aku datang padanya?” “Nabi dengar tidak apa aku katakan?” “Aku layak atau tidak dapat syafaat nabi sedangkan aku ini banyak dosa?” Ini persoalan-persoalan saya soal selama saya berada di Masjid Nabawi. Saya soalkan ini sambil saya menangis. Saya tulis ini sambil saya menangis.
“Layakkah seorang pendosa yang tahu dirinya pendosa dapat syafaat nabi?” “Layakkah pendosa ini dapat lihat nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam di Mahsyar nanti?”
Sesampainya dihadan Hotel Al Haram di Madinah. Jaraknya dari Pintu 25 sebelah kiri sekali dari belakang Masjid Nabawi adalah sejauh 150 meter. Untuk masuk sehingga ke Pintu Bab Al Salam untuk ke Makam Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam adalah kurang lebih 600 meter kehadapan. Biarlah jauh sekalipun namun rasa rindu yang membara ini penat baru turun flight tidak hilang lagi sudah terus mandi, berwangian dan terus ke Masjid Nabawi.
Ah, kami tiba dari Malaysia ke Madinah pada jam 1700 atau jam 5 petang waktu Arab Saudi. Sejurus sampai kami telah dipesan supaya rehat dahulu sebenarnya nanti subuh baru dibawa oleh petugas TH untuk ziarah. Tapi disebabkan sudah ada pengalaman hadir ke sana maka sebelum maghrib selepas sahaja sampai itu saya terus bergegas ke Masjid Nabawi biarlah solat di saf paling belakang sekalipun, tetapi dapat juga iktikaf di Masjid Nabawi. Alhamdulillah.
Kita jangan buang waktu solat berjemaah selama berada di Madinah. Kecuali rasa penat bersangatan dan kita ini akan hadir lagi pada bulan seterusnya maka silakan rasa rehat secukupnya. Bagi saya waktu yang diperuntukkan di Madinah sangat pendek maka saya tidak mahu hanya buang masa tidur dan berehat. Lebih baik saya berlinangan air mata rindu Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan ziarah berulang-ulang.
Kita jangan jadi jemaah yang lebih suka habiskan masa bukan di Masjid Nabawi tetapi lebih habiskan masa dengan makan-makan dan beli belah. Masa diperuntukkan di Masjid Nabawi dua(2) jam, tetapi di pusat beli belah enam(6) jam. Rugi. Kita rugi.
Suhu pada hari sampai di Madinah adalah 48 darjah celcius. Semasa kami sampai di Madinah dan Mekah sememangnya suhu sedang mencanak naik. Dan ianya memberikan kesan pada kesihatan andaikata tidak cukup rehat dan tidak jaga kesihatan.
Masjid Nabawi lima(5) tahun dahulu tidak sama dengan tahun ini. Sudah ada bangunan baru disebelah kanan bangunan dan kiri bangunan utama Masjid Nabawi. Di Masjid Nabawi bangunannya tertutup jadi penghawa dinginnya sangatlah sejuk. Jadi saya pesan supaya bawalah baju sejuk sehelai yang sekadar cukup untuk bertahan pada tahap sejuk kering disana. Saya tidak bawa baju sejuk sebab saya tahan sejuk tapi sekali kena demam hilang segala jenis tahan tersebut. Menggigil tak tahan sejuk kemudiannya. Baik.
Jalan Kaki ke Masjid Nabawi.
Selama berada disana kenderaan yang selalu digunakan adalah tapak kasut, kasut dan selipar. Itulah kenderaan utama untuk ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Saya panggil ianya kenderaan hanya disana sebab belum pernah lagi ada yang naik motor dan kereta masuk terus Pintu Bab al Salam dan turun bagai Raja kecuali Raja Salman sebab dia memang Raja Arab Saudi.
Pastikan kasut bakal-bakal Haji dan Hajah sekalian adalah tahan lasak dan tidak melukakan kaki anda. Lembut dan tahan panas. Seperti saya katakan jarak ke Pintu saja sudah 500 meter kehadapan inikan pula jarak dari hotel di Mekah nak ke Masjidil Haram lebih daripada itu.
Baik. Makan dan minum disediakan oleh Muassasah TH. Sarapan pagi, makan tengahari dan makan Malam. Tiga juadah disediakan selama di Madinah dan hanya dua Juadah disediakan di Mekah.
Di Madinah, orang-orangnya ramah-ramah. Mereka suka bersedekah mungkin disebabkan itu adalah tanah yang adanya Jasad Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Ibrah kenabian itu sepanjang masa maka ianya berikan kesan pada penduduk disana. Namun, hah ini penting, kita nampak mereka seperti orang Arab tapi sebenarnya bukan.
Ramai yang penjual-jual disana adalah bukan pun orang Arab tetapi Bangladesh, Pakistan dan India. Mereka dah lama menetap disana dan berpendudukan disana telah berikan kesan pada tutur kata dan peribadi mereka. Bukan saya hendak katakan penduduk di Mekah tidak sopan tetapi kalau nak dilihat dari segi ramah mereka di Madinah adalah lebih lagi.
Bersedekahlah.
Ah topik ini penting. Ini soal harta kita. Miskin didunia tidak miskin diakhirat. Kalau sekalipun kita sedekah 1 riyal sahaja tidak mengapa dah. Ini kerana itu ada lebih ramai lagi yang ada disana yang boleh terima sedekah daru kita. Asalkan sentiasa istiqomah dalam bersedekah. Ingat ya, kita berada disana untuk buat amalan ibadah.
Apalah salahnya jika kita hulurkan. Tetapi berhati-hati kerana ada yang kita gelar sebagai Penyeluk saku. Jangan bawa wang ribu-riban ke mana-mana. Kalau nak bawa juga boleh diselitkan dimana-mana poket yang ada. Poket dalam poket luar jangan letak dalan seluar tiga segi sudah. Uish tak mampu saya bayangkan orang yang perlu terima tu. Menangis.
Pintu di Masjid Nabawi.
Seperti saya katakan banyak juga pintu di Masjid Nabawi hingga saya tak sempat untuk mengira ada berapa jumlah kesemuanya mungkin disebabkan faktor jetlag pada masa tersebut. Tapi dua pintu ini sangat terkenal yakni Pintu Bab Al Salam (BAS) dan Pintu Baqi’. Pintu BAS adalah pintu yang menuju terus ke Makam Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Namun sebelum pintu BAS ini ada dua pintu sebelumnya. Hah dua pintu sebelumnya ini adalah pintu yang akan menuju terus ke Raudhah. Mesti rasa “nanti aku pergi aku cari pintu ini.” Carilah ya, tak hilang punyalah. Kekal disitu hingga akhir masa, insyaaAllah.
Pada pintu BAS ini di sebelah kanan ada seperti satu pintu masuk namun maaf saya tidak ingat ianya tertulis apa. Nanti anda pergi anda boleh tengok dalam-dalam apa yang tertulis. Namun, anda boleh terus tengok di Youtube ada pelbagai Channel ada yang paling menarik adalah channel Nurul Taufik. Seorang warga Indonesia yang belajar disana. Beliau ada kongsikan suasana live di Arab Saudi.
Raudhah.
Seperti saya katakan ada dua pintu untuk menuju terus ke Raudhah. Dua pintu ini adalah sebelum pintu BAS. Saya tak ingat apa nama pintunya. Saya lebih suka ingat nama pintu daripada ingat nombor pintu, tapi disebabkan nama pun saya tak ingat maka nombor lagi hilang kemana. Tak mengapa janji anda ingat pintu sebelum pintu BAS sudah cukup. Dahulunya Karpet Raudhah adalah berwarna Hijau. Tetapi sekarang tidak lagi. Semuanya sudah berwarna hijau. Karpet hijau.
Jadi nak tak nak, kena ingat hal ini TIANG YANG LAIN DARIPADA YANG LAIN. Boleh ya. Anda cari TIANG YANG LAIN DARIPADA YANG LAIN, maka itulah tempatnya Raudhah. Raudhah pula ada Raudhah yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan Raudhah yang difatwakan sebagai Raudhah oleh penguasa Saudi.
Namun, ramai yang berebut-rebut untuk ke Raudhah tetapan Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Tidak perlu berebut-rebut asalkan anda masuk pada waktu yang sepatutnya maka anda boleh selesa untuk beribadah. Ingat ya, ini perjalanan kerohanian bukan perjalanan memijak jemaah lain dan bergaduh bertengkar dengan jemaah lain.
Pernah sekali semasa di Raudhah, saff telah penuh datang jemaah dari Pakistan. Diselit juga maka nak sujud kita jadi tidak selesa, cuba bayangkan bagaimana hati kita pada masa itu. Mesti rasa sakit hati dan sakit jiwa jadi tidak khusyuk. Maka saya pesan, jangan buat sedemikian pada orang lain. Boleh ya. Biar saf penuh janji kita dapat sujud rukuk sempurna. Kesempurnaan solat itu sangat penting.
Waktu Paling Sesuai Masuk Raudhah.
Baik saya katakan ini, waktu paling sesuai adalah selepas Zohor dan sejam sebelum Asar. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa di Madinah. Pada mulanya saya hanya ingin cuba-cuba tapi setelah banyak kali dapat masuk ke Raudhah maka saya pun dah pasti waktunya adalah demikian.
Tapi yang paling penting mungkin disebabkan saya dah kata dan minta pada Allah sejurus selepas sampai sahaja di Masjid Nabawi pada hari tiba itu dimana saya katakan “Ya Allah aku nak masuk dan duduk dalam Raudhah untuk beribadah lama-lama, izinkanlah ya Allah” dan saya solat hajat segalanya. Maka allah izinkan. Mungkin itu sebabnya saya dapat banyak kali.
Masa yang sesuai untuk masuk dan solat di Raudhah yang mana anda akan duduk di Raudhah bermula dari Asar sehinggalah selepas Isya adalah SELEPAS waktu Solat Zohor dan SEJAM SEBELUM SOLAT ASAR. Contohnya solat zohor jam 12.30 tengahari kemudian Asar jam 3.45 petang. Maka anda boleh turun dari hotel dan bergerak ke Masjid Nabawi dan masuk ke Raudhah Pada Jam 2.15 petang. Ini waktu yang saya katakan anda akan duduk lama-lama dalam Raudhah. Ini saya buat sendiri ya. Dan saya memang dapat.
Kalau anda cuba untuk masuk pada waktu selepas Asar dan sebelum maghrib maka ianya akan Hanya jadi angan-angan dan akan jadi sesi tolak menolak. Ingat ya, kita nak beribadah bukan nak tolak menolak. Dan ingat jika anda kecil orangnya kalau tersadung dan jatuh pada masa tolak menolak tersebut maka boleh dah siap sedia dengan syahadah kerana pasti boleh mati kerana dipijak oleh sekalian jemaah yang berebut-rebut untuk masuk ke Raudhah.
Baik, apabila anda dah dapat masuk ke Raudhah pada waktu yang saya maklumkan tadi tu, anda langsung tidak akan dihalau keluar sehinggalah selepas waktu Isya yakni jam 2100 atau 9 malam. Pada selepas waktu isya jemaah muslimat akan masuk pula. Ingat ya, ini tips yang penting untuk masuk Raudhah dan saya tidak kongsikan kecuali saya sendiri alami dan saya dapat manfaat darinya.
Saya dapat duduk di Raudhah menangis berkali-kali dapat duduk pula betul2 disebelah Makam Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Dan saya sentiasa tanya “aku layakkah dapat syafaat nabi?” “Aku ni umat nabi tak diakhirat kelak?” “Aku ini pendosa, nabi tengok dan pandang tak aku?” “Aku ni banyak dosa, Allah bagi macam-macam tapi aku bagi SEDIKIT kembali padanya, kemudian aku minta pula lagi yang lain, aku ini hambanya yang tak tahu malu.” Saya persoalkan ini bukan kerana ragu-ragu namun ianya untuk sedarkan diri ini.
Kemudian sekiranya, anda dah masuk ke Raudhah anda boleh solat pelbagai jenis solat. Mintalah apa jua. Saya minta supaya saya dapat kembali lagi kesana. Lima hari sahaja di Madinah sekejap saja, habiskanlah banyak waktu disana. Nak beli belah lepas waktu Isya boleh lagi. Lepas subuh boleh lagi. Janganlah hanya banyakkan masa di pusat beli belah tapi di Masjid Nabawi kita berkira. Rugi.
Namun ingat ya, ini Masjid Nabawi bukan Masjidil Haram. Selepas solat asar di Masjid Nabawi tiada lagi solat lain kecuali solat jenazah dan solat qadha. Di Masjidil Haram anda boleh solat pada waktu-waktu yang diharamkan ini berdasarkan hadith Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam
______
Tidak dimakruhkan solat di sana sekalipun pada waktu yang makruh sama ada bersebab ataupun tidak bersebab. Ini berdasarkan hadis daripada Jubair bin Mut’im RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تَمْنَعُوا أَحَدًا يَطُوفُ بِهَذَا الْبَيْتِ وَيُصَلِّي أَىَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ
Maksudnya: Jangan kamu halang seseorang yang ingin melakukan tawaf di rumah Allah ini (Ka’bah) dan solat pada setiap waktu yang mereka inginkan pada waktu malam ataupun siang.
Riwayat Abu Daud (1894) & Al-Nasa’ie (586)
Jadi, hadith diatas ini merujuk hanya untuk Di MASJIDIL HARAM sahaja. Di Masjid Nabawi tidak boleh solat sunat selepas asar dan selepas subuh dan lain-lain waktu yang diharamkan. Boleh faham ya. Kerana anda akan jumpa pelbagai jemaah yang tiba-tiba solat selepas Asar mana mereka belajar pun kita tak tahulah.
Baik seterusnya, kepada jemaah lelaki sangat mudah untuk masuk ke Raudhah tapi jemaah wanita sangat sukar. Tapi percayalah Allah akan permudahkan jika kita permudahkan urusan orang lain. Kita minta pada Allah “ya Allah bagilah aku dapat banyak kali masuk Raudhah dan beribadah didalamnya” insyaallah pasti dapat.
Untuk jemaah wanita, andaikata anda didatangi haidh pada waktu tersebut yakni selama berada di Madinah maka janganlah rasa tertekan dan emosi. Dan kepada suami jangan jadi bodoh sombong, dahlah tak reti pastu tak belajar kemudian tambah lagi tekanan pada si isteri. Saya pernah jumpa jemaah wanita, dia didatangi haidh kemudian dia tidak dapat ziarah nabi untuk solat di Masjid Nabawi juga tidak dapat dan ditambah tekanan oleh suami asyik nak berjalan beli belah. Maka berlaku pergaduhan suami isteri.
Kadang-kadang saya tak faham ada wujud juga lelaki bodoh sombong sedemikian bukan dia tak tahu isterinya didatangi haidh sepatutnya dia berikan sokongan mental seperti kata-kata semangat “tak apalah nabi tahu awak dapat datang, nanti ada rezeki lebih kita datang lagi.” Kadang-kadang wanita tidak perlukan harta kekayaan cukup sekadar si lelaki faham. Tapi ramai lelaki tidak faham. Suruh fokus dengar taklimat perihal darah haidh si suami duk borak dibelakang.
Kadang-kadang ada suami tidak tahu beza antara darah haidh dan darah istihadah. Kadang-kadang tidak tahupun tempoh masa haidh. Lepas tu berlagak cerdik depan ustazah yang mengajar. Saya pernah sekali semasa kursus intensif haji. Dapat satu jemaah lelaki ni bagi saya dia terlalu angkuh dan tidak boleh diajar. Telah ditegur masih lagi buat keras kepala. Semasa ustazah tengah terangkan dihadapan dia sibuk tengok YouTube sambil buka sound kuat.
Bila ustazah tegur, dia menjawab kata “tak payahlah cerita bab haidh ni bukan orang lelaki dengar pun” ini antara ciri-ciri apabila tiba di Tanah Suci nanti akan dapat mudarat disana. Mudarat yang bagaimana wallahua’lam. Ada jemaah wanita didatangi haidh sehingga 15 hari kemudian beliau bertanya pada si suami, saya dah boleh solat ke sebab hari ni dah hari 16 darah masih turun.
Si suami marah “awak tanya saya mana saya tahu, pergilah tanya ustazah” wanita tersebut down dahlah dalam larangan ihram umrah wajib untuk haji Tamattu’ si suami pulak bodoh sombong rasa dia saja yang betul, saya selaku jemaah mungkin adalah secebis ilmu kata padanya, dah boleh solat dan pergi selesaikan umrah wajib. Ini kerana dah lebih dari tempoh 15 hari maka boleh dah solat seperti biasa.
Kepada jemaah wanita sekalian, sila catitkan berapa hari anda datang haidh dan tidak datang haidh supaya mudah nanti semasa buat medical check-up anda boleh terus maklumkan pada doktor perubatan. Kesian, tapi percayalah pegang kata-kata saya ini. Allah yang bagi cuti, Allah nak bagi ganjaran pahala yang besar buat anda. Kepada jemaah lelaki jangan bodoh sombong, tak tahu pergi belajar. Kita akan jadi imam, jadi betul-betul.
Baik dah jauh sangat saya dalam bab darah tu tadi. Tapi jangan risau akan ada satu sesi khas berkaitan darah ini untuk wanita yang lelaki jangan fikir anda turun darah anda tak boleh solat. Tampar nak. Lelaki kalau keluar darah masih perlu solat, kecuali darah tu tadi bawa sehingga anda hilang kewarasan maka tidak wajib solat. Faham tu.
Perkuburan Baqi’.
Perkuburan Baqi’ adalah dikenali juga sebagai Jannatul Baqi’. Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dalam sabdanya menyebut
“Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh Allah) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Tabrani: Hasan Sahih).
Ini sangat didambakan untuk dapat syafaat nabi. Rajinkan berselawat keatas Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam selama berada di Madinah. Selawatlah ribuan kali. Insyaallah ganjaran besar dapat kelak disana. Di Jannatul Baqi’ adanya Makam ahlul bait di sebelah kanan pintu masuk.
Kemudian belok kekiri akan ada makam isteri nabi, dan kemudian ada makam imam malik r.a dan imam nafi r.a. dan makam anak lelaki nabi dan kemudian ada makam syuhada al hurrah dan makam ibu saudara nabi. Dan jalan terus ke hadapan lagi akan ada makam saidina uthman ibn affan.
Semua ini nanti, anda boleh tanya dengan lebih jelas kepada mutawif dan boleh juga tengok di YouTube.
Ziarah wada’.
Dan apabila tibanya mada untuk anda berangkat meninggalkan Madinah ketahuilah bahawasanya mungkin ini adalah kali terakhir akan jejakkan kaki di Madinah dan kemudian nanti tidak akan jejakkan lagi disana. Dan baru- baru ini tiga hari lepas ada jemaah TINGKAT 11 telah kembali ke rahmatullah dan ianya adalah Hajjatul wada’ buatnya. Semoga Allah ampunkan dosanya.
Apabila tiba saatnya untuk berpisah dengan Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam,
اللهم صلي على
محمد وعلى اله وصحبه وسلم.
Semoga Allah izinkan diri ini hadir lagi kesana. Saya pada masa disana saya dapat satu saat Saya dekat betul dengan makam nabi dan pada waktu itu tiada langsung polis disana nak menghalau. Allah izinkan saya untuk lihat lama ke Makam Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Saya rasa rindu bersangatan hinggakan kalau saya kata air mata perpisahan itu adalah seolah-olah berpisah kita tinggal tidak kembali lagi.
Cuba bayangkan bagaimana bumi Madinah suatu ketika dahulu apabila Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam diangkat kembali kepada Allah, wafatnya Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan suasana suram Madinah pada waktu itu. Itulah perasaan saya untuk berpisah dengan Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dah rindukan kita lebih awal lagi dari kita rindukan baginda.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”
Sahabat Baginda bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasa’ie dan Imam Malik)
Selawatlah banyak-banyak keatas baginda Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam.
Ladang Kurma.
Alhamdulillah kami dibawa untuk berziarah di Madinah dengan dibawa ke Masjid Qiblatain, Masjid Quba, Makam Syuhada Uhud dan seterusnya ke Ladang kurma. Alhamdulillah semasa musim kali ini buahnya sangat banyak dan sememangnya setiap kali musim haji kurma pun telah berbuah dan membuahkan hasil yang sangat banyak.
Yang paling penting sila kosongkan perut anda apabila berziarah luar di Madinah kerana anda akan menuju ke ladang kurma dan pastinya “Halal Halal hajah haji kurma ajwa, ajwa, ajwa sekilo 40 riyal” begitulah kurang lebih kata-kata penjual diladang kurma tersebut. Apabila dia kata halal maka makanlah sebanyak yang anda mahukan asalkan anda beli. Saya terlupa bawa duit sebab tak ingat akan ke ladang kurma. Jadi saya makan dan makan sajalah. Segala macam kurma ada disana. Masyaallah bumi penuh berkat.
Bergerak ke Mekah.
Dan pada hari untuk bergerak ke Mekah kita akan menaiki bas berdasarkan nombor bas yang telah diberikan sehari sebelum berangkat ke Mekah. Beg kargo akan dikutip dua hari sebel berangkat. Jadi sekiranya anda ingin beli barangan kurma dan sebagainya boleh beli dan pos terus balik ke Malaysia. Alhamdulillah pada kali ini Pos Laju telah menyediakan khidmat penghantaran barang ke Malaysia.
Tapi sediakan juga kos penghantaran tu ya. Air zam-zam 5 liter 90 riyal. Dan kilogram yang lain belas-belas riyal. Anda boleh pos air zam-zam yang dipack masuk sendiri melalui pos laju disana. Belilah pack air yang berharga 5 riyal berwarna biru untuk kuantiti 5 liter atau 10 liter balik ke Malaysia. Tapi pastikan pack air itu berisi air jangan hantar kosong memang tak dapat apa.
Apabila anda berangkat ke Mekah, petugas TH akan memeriksa samaada anda naik bas yang betul atau tidak. Jangan konfius. Tapi kadang-kadang kita tak konfius petugas yang bagi arahan tak jelas. Sabar sahajalah. Oh ya, disebabkan anda akan berangkat ke Mekah jadi anda akan pakai ihram. Anda akan berniat ihram di Bir Ali. Bir Ali lebih kurang 10 km dari Masjid Nabawi. Maka buatlah lambaian terakhir pada Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Moga-moga dapat hadir lagi kesana insyaallah.
BIR ALI.
Tibanya di Bir Ali petugas TH telah siap sedia menunggu disana. Seperti pada tahun ini, petugas TH ada dua jenis satu petugas TH dari Malaysia dan petugas TH menetap di Arab Saudi. Bagi petugas TH dari Malaysia mereka memakai baju t shirt Merah dan petugas TH menetap di Arab Saudi mereka memakai baju t shirt kuning. Yang berbaju kuning ini mereka lahir di Mekah atau Madinah ataupun mereka asal dari Malaysia atau dari Patani dan menetap di Tanah Suci. Ada yang boleh bercakap lancar bahasa melayu dan ada yang langsung tidak faham bahasa melayu.
Petugas TH akan berikan arahan dan ingat ya di Bir Ali anda wajib niat ihram. Jemaah wanita yang datang haidh juga wajib niat ihram umrah. Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah ta’ala. Dan ingat setelah sahaja anda berniat di miqat bir Ali anda terikat dengan 13 larangan ihram.
Ah ya, sebelum niat ihram tu, buatlah solat sunat tahiyatul masjid, solat sunat wudhu, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat musafir dan kemudian solat sunat ihram. Boleh ya.
Sentiasa jaga pantang larang ihram. Langgar salah satunya kena bayar dam. Dam ada banyak jenis. Tapi yang paling ditakuti sekali ada dam tercabut bulu dari badan. Kulit kering tidak dikenakan dam. Bulu dan kuku kalau terpotong dikenakan dam ya. Satu bulu 5 riyal. Lebih dari dua bulu 60 riyal.
Dam ini dikenakan samaada sengaja atau tak sengaja. Kecuali ianya gugur sendiri disebabkan anda tidur dan sebagainya. Kalau anda bersin hembus hingus keluar bulu hidung tidak dikenakan dam. Anda cabut kena dam. Gatal sangat ni jangan garu sebab perbuatan tangan itu akan memberikan kesan cabutnya bulu dari badan. Kena dam ya.
Larangan yang lain-lain seperti patahkan dahan pokok, cabut rumput, itu kebiasaanya jarang dibuat. Semuanya berkaitan larangan ihram ini akan dikursuskan semasa KAH, KIH DAN KPH. Oh ya, air di Masjid Bir Ali sangat kecil. Halus saja airnya. Kalau anda kencing lebih laju air kencing dari air tempat wudhu. Jadi sila berjimat cermat. Peringatan utama, airnya sangat panas. Lebih dari suhu badan anda. Hadap sajalah. Tapi belum pernah lagi masak telur guna air tersebut.
Oh ya, jangan lupa setelah niat ihram dah didalam bas maka lafazkan talbiah sebanyak-banyaknya. Bila lagi bukan. Tapi disebabkan bas yang saya naiki jemaahnya sangat pasif, dan tidak aktif, kita seorang sahaja bersemangat bagai nak tercabut anak tekak jadi talbiah bersendirian sahajalah. Apabila ada yang pasif dan anda seorang sahaja yang aktif maka ianya sangat memenatkan otak.
Makan di RnR Zain.
Di RnR zain akan ada petugas TH yang tunggu juga. Disini anda akan berhenti rehat selama 45 minit sebelum terus menuju ke Mekah. Di RnR Zain anda akan makan minum bayar sendiri ya. Ada pelbagai juadah. Nasi kambing, nasi ayam grill, nasi ikan panggang, shawarma dan lain-lain. Tapi tengok harga boleh menangis. Semuanya 20 riyal keatas. Menangis. Sebab itu saya katakan pada posting sebelum ini. Sediakan duit yang cukup sebab semua akan beli. Kecuali ada rezeki Allah murahkan rezeki tiba-tiba ada yang belanja.
Kemudian setelah makan semua itu maka naiki bas anda semula dan duduk ditempat duduk asal anda didalam bas. Dikhuatiri akan merumitkan proses pergerakan. Disini ujian bermula ada yang nak tunjuk lagak dan sebagainya. Sabar sajalah.
Baiklah untuk posting seterusnya saya akan share suasana di Mekah. Suhu masih sama namun peningkatan suhu yang sangat mendadak hingga mencapai suhu paling tinggi ialah 52 darjah celcius. Kemudian baru suhu turun sehingga sekarang yakni telah capai 37 darjah celcius.
Baiklah selesai untuk di Madinah saya akan kongsikan pula pada posting seterusnya suasana dan keadaan di Mekah. Namun, jika sekiranya ada persoalan boleh tanya terus diruangan komen nanti saya akan jawab di posting seterusnya. Terima kasih.
اللهم صلي على محمد وعلى اله وصحبه وسلم.
– JH Abraj Janadriyah Tgkt 11 1440/2019 (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit