Pengalaman Menyakitkan Yang Tidak Disangka

Assalamualaikum. Nama saya Maryam (bukan nama sebenar) berusia pertengahan 30an, masih bujang, mempunyai kerjaya tetap (dalam sektor kerajaan) dan ibu ayah masih dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t. tapi diuji dengan penyakit (kedua-duanya sakit serentak) sejak saya berusia 29 tahun dan berulang ke hospital sejak dari itu hinggalah sekarang.

Saya tergerak hati nak berkongsi pengalaman hidup saya tanpa mendedahkan identiti sebenar. Saya anak sulung dari dua adik beradik, mempunyai adik lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai dua cahaya mata. Saya masih belum berkeluarga kerana saya diuji kedua ibu bapa jatuh sakit serentak saat saya merancang untuk menamatkan zaman bujang (masa itu saya bertugas di negeri P dan merantau sendirian ditempat orang manakala kekasih di negeri S).

Saya lepaskan jodoh yang baik masa tu kerana sedar diri tak mampu memberi komitmen berkeluarga kerana ingin menumpukan pada mak ayah yang jatuh sakit tiba-tiba dan kerjaya pada masa itu (saya anak sulung dan perlu membantu keluarga, jadi kerjaya memang sangat penting untuk saya).

Sementara ayah hanyalah pesara kerajaan dengan pencen yang sangat sedikit dan ibu hanya suri rumah tangga. Ketika itu, adik saya dan adik ipar (mereka bernikah semasa belajar dalam usia muda) baru sahaja memulakan kerjaya dan jarak tempat kerja masing-masing agak jauh dan adik ipar sedang hamil anak sulung.

Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat asal saya,di negeri K kerana ibu dan ayah memerlukan sokongan moral dan anak yang boleh menjadi tempat mengadu dan menguruskan appointment hospital mereka.

Dan bermulalah pengalaman yang tidak pernah saya jangka dalam hidup saya. Sebelum berpindah, saya tidak pernah mengalami masalah ditempat kerja, malah hubungan saya dengan rakan sekerja amat baik, kerjaya saya berada dikemuncak dan dipercayai oleh majikan, malah diberi kepercayaan menjawat jawatan penting dalam usia muda dan saya rasa amat dihargai semasa bekerja ditempat orang walaupun pada masa itu saya merantau seorang diri tanpa ada saudara mara terdekat yang tinggal berhampiran.

Majikan lama saya juga amat berat untuk membenarkan saya pindah ke tempat asal namun atas sebab dia faham saya memohon kerana masalah kesihatan ibu-bapa yang memerlukan perhatian, akhirnya majikan saya sudi meluluskan dan menyokong permohonan saya untuk bertukar balik ke tempat asal supaya saya boleh bekerja dan berbakti pada orang tua pada masa yang sama. Oleh itu, pada hemat saya apabila berpindah ke tempat asal sendiri pastilah lebih mudah, namun Allah menguji saya dengan pengalaman yang sangat saya tidak terduga.

Pada mula saya masuk bertugas di tempat kerja baru, saya positif dan tiada masalah besar di tempat kerja. Sangkaan saya kalau saya boleh bertahan di tempat orang, pastinya saya tiada masalah ditempat sendiri. Namun takdir Allah nak menguji, enam bulan pertama saya bekerja di situ, setiap hari saya rasa tidak sedap hati nak pergi ke tempat kerja.

Sangkaan saya itu mainan perasaan saja kerana saya masih baru, sehinggalah kemudian saya diuji dengan gurauan-gurauan gatal dari rakan sekerja disitu (ada sesetengahnya berstatus suami orang) kerana status saya yang masih single. Saya mula rasa tidak selesa namun saya abaikan dengan niat ingin mencari rezeki halal dan gurauan masih tidak keterlaluan.

Akhirnya gurauan tadi semakin berlarutan menjadi semakin teruk selepas setahun saya bekerja disitu. Seorang rakan sekerja (bujang) meminta untuk mengambil gambar bersama melalui rakan saya sewaktu satu majlis ditempat kerja, dan untuk mengelakkan menjadi bahan bualan rakan sekerja yang lain.

Saya ajak kawan-kawan yang ada disekitar situ untuk masuk bergambar bersama tapi setelah beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu dari rakan sekerja yang lain kononya gambar tersebut telah dicrop sehingga menampakkan seolah-olah kami bergambar bersama dan disebarkan melalui wassap dan ditunjukkan kepada rakan-rakan sekerja yang lain kononya atas sebab ingin menyatukan kami berdua.

Rasa malu dan marah saya tahan dalam hati kerana tidak mahu menimbulkan masalah ditempat kerja, namun hanya Allah saja yang tahu betapa nak meletupnya hati saya masa tu kerana hal saya sudah dijadikan bahan gosip ditempat kerja dibelakang saya (saya dan rakan yang dicrop gambar tak pernah berbual pun, sedar-sedar sudah menjadi bahan gosip ditempat kerja).

Pada saya, kalau niat yang baik tentu caranya perlu baik bukan dengan menyebarkan gambar yang boleh mengundang fitnah pada saya. Saya betul-betul rasa malu dan marah namun saya diamkan kerana tak ingin menimbulkan masalah ditempat kerja dan berlanjutan menjadi bahan gosip yang tak berfaedah.Waktu itu, saya sudah hampir setahun setengah bertugas disitu.

Tak lama selepas itu, saya mendapat berita rakan sekerja yang dicrop gambarnya bersama saya itu ditukarkan tempat kerja atas sebab tertentu. Sangkaan saya, selamat sudah diri saya dari menjadi bahan fitnah dan boleh bekerja dengan tenang namun ternyata meleset.

Tidak lama selepas itu, saya menerima tawaran kenaikan pangkat disitu. Saya ingatkan ini rezeki dan peluang yang baik untuk saya memajukan diri namun sekali lagi saya diuji. Tawaran itu menyatakan saya memperoleh kenaikan pangkat dan ditempatkan ditempat yang sama. Namun, majikan pada masa itu meletakkan syarat pada saya. Sekiranya saya menolak tawaran tersebut, saya masih boleh kekal berkhidmat disitu tetapi sekiranya saya menerima maka saya perlu berpindah keluar dari situ dan bertugas di tempat lain.

Oleh kerana saya rasa malu dan terkesan dengan kejadian sebelum ini (yang saya pendamkan saja rasa marah dan malu dalam hati dengan niat tak mahu menimbulkan masalah) maka saya terima tawaran tersebut dan bersedia ditukarkan bertugas di tempat lain. Saya memohon bertukar kerana itu syarat yang diletakkan oleh majikan sekiranya saya menerima tawaran tersebut (sedangkan dalam surat tawaran menyatakan sebaliknya) tapi hati redha dan bersedia keluar sekiranya itu yang perlu.

Tidak lama selepas itu, saya mendapat kenaikan pangkat yang dijanjikan namun saya agak pelik sebab saya tidak ditukarkan tempat kerja seperti yang asalnya dinyatakan oleh pihak majikan pada masa itu. Sangkaan saya majikan saya berlapang dada menerima saya disitu dan sudi memberi peluang pada saya.

Sekali lagi saya silap dan kesabaran saya diuji sekali lagi. Tidak selepas saya menerima kenaikan pangkat, ada seorang pekerja baru yang sudah senior berpindah masuk dari cawangan lain bertugas disitu, saya panggil dia kakak A. Oleh kerana tempat disebelah saya kosong, maka kakak A duduk ditempat kosong sebelahmeja kerja saya dan kami menjadi rapat kerana kakak A rasa selesa dengan saya (kami serasi dan boleh berbual mesra walaupun beza umur agak jauh).

Disinilah bermulanya sekali lagi ujian yang saya tidak pernah jangkakan. Rupa-rupanya kemesraan saya dan kakak A dicemburui oleh rakan-rakan sejawat senior yang lain disitu (orang lama disitu) sehinggalah ada yang sanggup menfitnah kakak A keluar dari pejabat sewaktu bekerja untuk menganiayai kakak A.

Malah menghasut majikan saya pada masa itu untuk mempercayai fitnah tersebut sedangkan kakak A sudah menafikan dia tidak berbuat demikian. Saya jelas dan tahu itu fitnah yang ditabur, kerana kakak A setiap masa berada bertugas di sebelah meja saya. Akibatnya, tidak lama selepas itu kakak A ditukarkan bertugas di cawangan lain selepas hanya 6 bulan sahaja bertugas disitu.

Saya mulai rasa gelisah dan tidak sedap hati sekali lagi. Seolah-olah Allah memberi petunjuk yang saya tidak serasi bertugas disitu namun saya masih bersabar. Saya masih perlu bekerja disitu demi menanggung kos hidup dan membantu menyara ibu-ayah jadi saya pendamkan sekali lagi rasa terkilan dalam hati.

Sehinggalah satu hari, saya ditugaskan untuk melaksanakan satu tugasan diluar bidang tugas saya tanpa dimaklumkan terlebih dahulu (tanpa surat pemberitahuan atau sebarang makluman). Saya mempersoalkan kenapa saya diberi amanah untuk menjalankan tugas tersebut sedangkan itu bidang tugas orang lain.

Kebetulan pada masa itu, seorang rakan sekerja (lelaki) yang terlibat dengan perkara tersebut lalu dan saya ambil kesempatan untuk bertanya. Dan disitu tanpa belas kasihan saya diherdik dengan kasar dan suara yang kuat depan semua orang lain kerana saya bertanyakan hal tersebut. Beberapa kali saya dijerkah dengan suara kuat dan kasar depan semua rakan-rakan sejawat yang berada dalam ofis.

Bayangkan perasaan saya masa itu, rasa malu dan marah yang amat sangat namun tak dapat diluahkan . Saya menangis teresak-esak kerana saya sudah tak mampu bertahan dengan satu-persatu dugaan yang saya lalui disitu. Maruah saya hancur dipijak dan hati saya rasa sedih kerana selama saya bertugas disitu saya sudah berusaha memberi yang terbaik namun layanan majikan dan rakan sekerja disitu sangat menyakitkan hati tanpa saya tahu apa salah saya. Sudah dua kali saya kena harrasment di tempat kerja dan surat kenaikan pangkat saya juga diberi syarat pelik, malah kakak A yang baik dengan saya ditukarkan kerana fitnah.

Disebakan kejadian itu, saya nekad mengambil keputusan untuk memohon bertukar segera, dan saya mengadu pada pihak atasan (yang lebih tinggi dari majikan saya) namun tidak diendahkan. Janji untuk menukarkan saya hanya dibiarkan sepi sedangkan pada masa kejadian itu berlaku ibu-ayah saya sekali lagi serentak masuk wad di hospital kerana sakit dan saya sudah mengalami tekanan emosi yang sangat teruk (saya sudah jumpa psikiatris masa itu kerana depression akibat tekanan ditempat kerja) dan rasa tidak boleh nak bekerja ditempat itu lagi.

Disinilah titik perubahan dalam sisi hidup saya, dari perwatakan lemah lembut dan diam mengalah akhirnya saya fikir saya perlu membela nasib saya sendiri. Saya sudah penat teraniaya dan kawan saya yang tahu masalah saya pada masa itu menasihatkan saya buat repot polis untuk membela diri kerana saya sudah dikira kena harrasment ditempat kerja dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Katanya, hanya repot polis akan membolehkan saya ditukar segera dan saya terima nasihat dia.

Hasilnya, saya ingatkan saya akan bertukar tempat kerja rupa-rupanya Allah Maha Besar. Majikan yang menganiaya saya ditukarkan tidak lama selepas itu. Namun kesannya, bekas majikan yang ditukarkan hantar nama saya pada pihak atasan kononnya saya ingkar perintah dengan tujuan supaya rekod saya buruk dan kenaikan gaji saya tersekat.

Hanya Allah saja yang tahu bebanan emosi yang saya tanggung pada masa itu (kebetulan masa itu, Allah uji ibu-ayah saya sakit serentak pada masa itu dan berulang ke hospital dan keluar masuk wad dan saya terpaksa menguruskan kedua-duanya bergilir dengan adik yang bekerja diluar tempat asal kami, di negeri lain). Saya menangis semahu-mahunya, rasa teraniaya dan sedih dengan ujian yang bertimpa-timpa yang berlaku. Apalah daya saya masa itu, saya tiada siapa-siapa untuk membela nasib saya dan saya tak nampak jalan lain selain mengadu pada Allah Taala.

Sungguh-sungguh saya menangis sesudah solat dan berdoa sepenuh hati Allah bela nasib saya dan tolong saya kerana pada masa itu, saya benar-benar buntu dan saya sudah hilang kepercayaan pada manusia. Allah itu Maha Kaya, Dia bantu saya melalui majikan baru saya (yang menggantikan majikan lama saya yang ditukarkan).

Atas dasar simpati, majikan baru saya tolong bersihkan semula rekod kerja saya dan saya tunjuk bukti saya difitnah dan segala rekod saya yang elok semasa saya berkhidmat ditempat lama (dinegeri P) sebelum saya berpindah balik ke negeri K. Dari kejadian ini, saya belajar sesuatu, sesungguhnya kuasa Allah itu Maha Penyayang. Saat kita rasa lemas tanpa tempat berpaut, doa yang dipohon sungguh-sungguh pada Allah Taala sahajalah mampu melepaskan kita dari kemelut masalah yang kita hadapi.

Sekarang saya sudah bertugas ditempat baru dan kesihatan ibu-ayah saya semakin pulih walaupun masih kerap berulang ke hospital kerana appointment yang berderet-deret sejak beberapa tahun yang lalu (masih di negeri K) dan syukur Allah memakbulkan doa saya untuk memperoleh persekitaran kerja yang lebih tenang.

Mohon pembaca doakan saya bertemu jodoh yang baik, bertanggungjawab dan ikhlas menerima saya seikhlas hati selepas ini. Moga kisah yang saya kongsikan dapat memberi keyakinan pada pembaca yang mengalami masalah hidup agar sentiasa tidak putus doa dan memohon bantuan Allah dalam apa jua keadaan dan masalah yang dihadapi.

– Maryam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *