Pengalaman Ngeri Nahas Aircraft

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua Pembaca IIUM Confession..

Terima kasih admin. Saya Ana (bukan nama sebenar) sudah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak.

Saya bekas penduduk sri menanti, yang terletak di hujung airport tawau. Itu saja yang saja yang boleh saya kongsi memandangkan ramai family dan kawan yang ada dalam page ini.

Dua tiga hari ni betapa sukarnya saya nak lelapkan mata, keringat dingin, hati berdebar – berdebar dan berdegup kencang, mendengar berita kes kapal terbang jatuh di elmina dan mengorbankan nyawa seramai 10 orang. Salam takziah buat semua keluarga yang ditinggalkan.

Teringat kembali pada tanggal 15 September 1995 tepat jam 12. 55 di hari jumaat jatuhnya kapal terbang fokker 50 milik MAS, di kampung sri menanti (setinggan).

Ini bukan kali pertama kapal jatuh di kampung kami, 2 kapal pertama yang jatuh adalah milik pos malaysia, tetapi tidak melibatkan nyawa, hanya kerosakan harta benda kerana kecekapan ahli bomba dan penduduk kampung.

Masih segar di ingatan, waktu itu saya sedang bersiap untuk pergi ke sekolah.

Ketika kejadian, memang ada terdengar bunyi yang amat kuat tetapi tidak mempedulikannya, kerana bunyi bising kapal terbang landing dan take off sudah lali di telinga.

Sehingga la adik yang sedang bermain di bawah kolong rumah, berlari memberitahu ada kebakaran dan ternampak kapal terbang jatuh.

Masih tidak mempercayai apa yang berlaku, saya menuju tingkap bahagian dapur ingin melihat apa yang berlaku, terasa satu bahang yang amat panas dari arah luar, rupanya sebahagian rumah penduduk telah terbakar dan api yang marak menuju ke arah rumah kami.

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, perkara pertama ialah bagaimana nak menyelamatkan, adik yang berusia 2 tahun, 3 tahun dan 12 tahun, kerana kedua ibu bapa kami tidak ada di rumah ketika itu.

Asap tebal hitam dan api marak sudah masuk ke kawasan rumah kami. Abang sulung mengarahkan adik yang berusia 12 tahun membawa adik ke tempat yang selamat, sementara kami menyelamatkan barang berharga.

Dalam masa beberapa jam api berjaya dipadamkan dan alhamdulillah rumah kami berjaya diselamatkan. Tetapi banyak kecurian yang berlaku seperti kehilangan tong gas dan barang berharga.

Dalam keadaan yang huru hara, adik saya 2 orang hilang terpisah, sementara adik yang berumur 12 tahun masih mencari keberadaan mereka di lautan orang ramai. Kami berpecah mencari risau apa yang berlaku.

Ketika itu orang luar mula membanjiri dan ingin melihat keadaan sebenar yang berlaku, mujur zaman itu belum ada yang namanya media sosial dan viral.

Kampung kami mula di banjiri para wartawan, waris dan sanak saudara. Pita kuning mula dipasang bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan siasatan.

Kami masih lagi dalam misi mencari keberadaan mereka. Dan cari dari semua sisi masih belum nampak lagi kelibat mereka, ibubapa kami membuat laporan kehilangan.

Ketika kejadian ibu bapa kami ditahan dan dilarang memasuki kawasan kejadian atas faktor keselamatan.

Sehingga saya meminta kebenaran pihak polis dan bomba untuk menghampiri bahagian kapal terbang jatuh, untuk mencari adik yang hilang, kerana ada satu bahagian di situ tempat mangsa berkumpul dan mencari orang yang hilang.

Terkejut dan terkejut tidak terkata melihat dengan mata sendiri, mangsa korban di keluarkan dari kapal terbang tersebut.

Bau rambut dan mangsa hangus menusuk ke hidung, suara waris menangis penuh hiba, suara siren kereta polis, bomba dan ambulan semua menyatu dalam satu.

Senja mula berlabuh, risau adik masih belum ditemui, dengan letrik, air terputus, penat dan lapar, membuat kami hampir putus asa, tetiba teringat kembali jalan yang dilalui, sewaktu berlakunya huru hara tadi,

Baru tersedar, saya ada memanjat pagar sebuah rumah banglo, dan meletakkan barang-barang dan adik kat sana, entah la kenapa tiba tiba hilang ingatan pula.

Berlari la kami menuju rumah banglo tersebut. Rumah itu dihuni dua orang tua dalam lingkungan 50 an yang berbangsa cina.

Menangis mereka melihat keadaan kami. Isterinya meminta maaf hanya mampu menghidangkan biskut dalam tin kerana kami muslim.

Keesokan harinya barulah kami mendapat berita yang tepat dan melihat berpuluh rumah musnah. Fokker 50 yang membawa seramai 53 orang penumpang itu, mengorbankan 34 orang termasuk juruterbang dan pembantunya.

Ada juga penduduk kampung meninggal terkejut kerana terkena serangan jantung. Dan paling tidak terduga, mak kepada kawan dan adiknya melecur teruk hingga di kejarkan ke hospital kota kinabalu.

Lebih mencemaskan 2 hari selepas kejadian, penyelamat masih bingung memikirkan misteri kehilangan seorang lagi mangsa tragedi.

Berita misteri itu terungkai, setelah mengetahui namanya tersenarai dalam mangsa korban tersebut, dia bergegas ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Dalam laporan, dia berkata sebaik saja berjaya keluar dari kapal itu, dia terus menaiki teksi dan terus pulang ke rumahnya akibat terkejut.

Setelah 3 tahun berlalu, hasil siasatan mendapati nahas itu berpunca daripada kesilapan manusia, manakala pesawat foker 50 berada dalam keadaan baik dan bukan punca nahas tersebut.

Sebaliknya kesilapan juruterbang dan kegagalan pembantunya memberi amaran selepas menyedari penerbangan mereka tidak mengikut prosedur, dan dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat fokker 50 tersebut.

Trauma menaiki kapal terbang sampai umur 40 masih tidak hilang lagi. Berpuluh tahun tak makan daging akibat terhidu bau mangsa rentung.

Dan minta maaf andai ada waris, keluarga dan kenalan mangsa yang membaca tulisan ini.. Salam takziah buat semua.

*Sampai sekarang menjadi tanda tanya?? Bagaimana saya boleh memanjat pagar tinggi, dan membawa tv 24 inci tanpa pertolongan orang lain (tv zaman dulu besar dan berat).  Masa ni saya baru berusia 13 tahun dan memiliki tubuh yang kurus dan kecil.

– Ana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *