Pengalaman Suami Dijangkiti Denggi Berdarah

Bismillah dan assalamualaikum buat pembaca IIUM Confession. Jutaan terima kasih kepada admin sekiranya artikel ini dikeluarkan. Jika melihat dari tajuk cerita pasti ada yang boleh mengagak perkara apa yang ingin aku kongsikan.

Sebelum jari jemari lebih rancak menaip kata, sesungguhnya nawaitu perkongsian penulisan aku ini adalah untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman berkenaan seekor serangga yang kecil saiznya namun besar kesannya dalam hidup sekiranya telah dijangkitinya.

Nampak simple dan tidak menarik sahaja tajuk ni kan tapi sekiranya terjadi, dia boleh mengubah graf nikmat kesihatan kita menjadi merosot dan merundum.

Kisah ini berlaku pada tahun lepas di mana suamiku mula demam dan sengal-sengal badan. Risau melihat keadaanya aku bergegas membawanya ke klinik berdekatan.

Setelah diperiksa suami disahkan positif denggi dan harus segera dimasukkan ke hospital. Bermulalah kisah dan pengalaman suami dijangkiti wabak bahaya ini. Suamiku hanya mampu terbaring dan sangat lemah untuk bangun.

Memegang cawan dengan sendirinya untuk minum air pun tidak berdaya. Walaubagaimanpun aku masih bersyukur kerana suami tidak sempat dimasukkan di Unit Rawatan Rapi atau ICU kerana keputusan darahnya telah menujukkan perkembangan ke arah yang lebih baik.

Aku pun masih kurang ilmu mengenai penyakit ini namun menurut doktor bertugas, darah pesakit akan menjadi pekat dan ya suamiku memang mengalami masalah untuk mengambil darahnya.

Hampir 10 hari terpaksa berkampung di hospital, tangan suami mula bengkak dan dan lebam serta perlu dicucuk di bahagian lain pula. Sudahlah keadaan lemah dan tidak larat, suami juga mengalami kemerosotan selera makan yang melampau.

Menurutnya lidah terasa pahit untuk makan dan hanya bergantung pada drip air. Tak silap aku lebih 20 botol juga suami kena dimasukkan air. Seluruh badannya lenguh dan kebas namun walaupun diurut tetap tidak hilang lenguh-lenguh badannya.

Ada yang memberitahu bahawa nyamuk ini mampu menyerang sendi- sendi manusia. Suamiku disahkan terkena denggi berdarah.

Ekoran jangkitan ini juga, ia telah menyerang ke tahap paru-paru suamiku yang boleh menyebabkan sesak nafas. Aku nak cerita detail sangat pasal ni pun kurang mahir tapi menurut penerangan doktor, paru-paru suamiku sudah berair dan lembap. Lebih kurang macam tu la yang aku faham..

Masyaallah, seperti yang aku nyatakan di atas tadi, walaupun kecil tetapi kesan dia buat sistem dalam badan kita sangat besar. Tetapi perubahan ini tidak sama bagi setiap individu kerana ada yang kuat melawan dan ada juga yang sangat lemah untuk melawan penyakit ini.

Jiranku mengalami pendarahan mulut dan gusi yang sangat banyak. Beliau juga disahkan denggi berdarah. Sepupuku pula telah keluar darah di sekitar liang roma tangannya.

Mendengar kisah mereka membutkan aku rasa setiap individu perlu ada rasa tanggungjawab untuk sama-sama membanteras wabak jahat dan bahaya ini. Dan kes ini juga boleh menyebabkan kem4tian. Nauzubillah min zalik. Moga kita semua dijauhi dari wabak ini. Aamiin.

Suami dimasukkan ward ketika bulan ramadhan. Alhamdulillah sehari sebelum raya, suami dibenarkan pulang ke rumah. Dua hari sebelum raya, dua orang anakku mengalami demam panas. Suhunya sehingga 40 darjah.

Risau anak-anak turut terkena aku membawanya ke klinik. Alhamdulillah anakku demam biasa. Aku tak boleh bayang jika anak terkena kerana melihat suami yang tidak larat dan berdaya pun membuatkan aku hiba dan kesian apatlah lagi kalau ia terjadi kepada kanak-kanak.

So baru-baru ni aku sempat bersembang dengan salah seorang yang bertugas di Pusat Kesihatan, menurut beliau,

Masyarakat boleh menggunakan waktu PKP ni untuk mengambil masa yang bukannya lama untuk meninjau kawasan-kawasan yang mudah didekati nyamuk ini. Jangan biarkan air bertakung kerana tempoh kitaran untuk menjadi nyamuk tidak terlalu lama.

Di samping itu dia turut berpesan supaya air bertakung yang dibuang haruslah dicuci bagi megelakkan tempat tersebut lembap dan berlumut kerana walaupun air dibuang, tempat yang lembap dan berlumut tetap membolehkan jentik-jentik itu hidup dan membiak.

Sebenarnya kes denggi ni dah lama berlaku tapi salah satu penyumbang kes penularan wabak ini juga adalah sikap masyarakat kita sendiri yang acuh tak acuh dalam penjagaan menangani tempat-tempat pembiakan nyamuk.

Aku harap kisah ini aku dapat dijadikan iktibar dan kita sama-sama membantu walau dalam apa jua cara dan usaha menangani wabak ini menjadi sifar kes. Kalau semua bekerjasama, in sha allah #kitapastimenang.

Moga dengan usaha dan kerjasama kita semua dapat menjadikan orang lain tidak turut sama merasai pengalaman buruk dan hitam dijangkiti nyamuk ini. Paling kesian kalau ianya terkena kepada semua terutamanya warga tua dan kanak-kanak.

Kesan dari pengalaman ini, suamiku seakan fobia bila melihat walau seekor nyamuk di rumah kami. Dia akan terus sembur ridsect dan kami juga akan pastikan rumah kami sentiasa bersih dan tiada air bertakung yang boleh membuka peluang jentik-jentik membiak menjadi nyamuk.

Malah sekiranya suami terdengar ada yang disahkan positif denggi, dia pasti terkesan dan tumpang bersedih kerana baginya demam denggi adalah satu penyakit yang menyakitkan.

Siapa yang pernah ada pengalaman berdepan dengan jangkitan wabak ni, boleh juga sama-sama kongsikan supaya dari kisah orang lain juga kita boleh jadikan pengajaran untuk kita semua.

So semua, please sama-sama jaga kebersihankan supaya dari satu kes tak merebak menjadi puluh-puluh atau ratus-rauts kes dan disebabkan kesalahan atau kealpaan kita, orang lain yang tidak bersalah yang perlu menanggung kesannya nanti.

Perkongsian pengalaman ikhlas dari,

– Hani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *