Assalammualaikum buat semua pembaca IIUM Confession.. Terima kasih admin sudi terima & siarkan cerita ni. Saya tak pandai nak mengarang cerita.
Tapi saya harap apa yang ingin saya kongsikan ini dapat memberi manfaat buat mereka yang sedang mengharungi perjalanan mendapatkan cahayamata, inshaAllah..
Dan, post ini juga dituju kepada confessor ‘Aku yang Masih Trying to Conceive’ (https://iiumc.com/aku-yang-masih-try-to-conceive/).
Sedikit pengenalan mengenai diri saya, saya berumur lewat 30an. Sudah mempunyai sepasang cahayamata lelaki & perempuan, berumur 10 tahun & 6 tahun. Merupakan seorang profesional yang bekerja di sektor awam.
Saya berkahwin ketika lewat 20an (agak lewat sedikit berbanding rakan sebaya yang lain, disebabkan ingin mencapai kestabilan kerjaya).
Alhamdulillah bulan kedua kahwin dikurniakan double line pada UPT. Seterusnya selesai maternity leave, saya kemudian menyambung pelajaran ke luar negara, membawa bersama bayi saya.
Tak perlulah diceritakan struggle belajar & dalam masa membesarkan bayi berseorangan, tu bukan mainpoint cerita ni (suami tak dapat ikut atas kekangan kerja).. pada tahun ke 3 pengajian, baru suami dapat ikut sekali & kemudian, saya hamil anak kedua..
Emang kami planning untuk dapatkan cahayamata seterusnya dengan jarak 4 tahun dengan anak sulung. Memang struggle juga nak siapkan thesis sambil jaga bayi baru lahir. Alhamdulillah, beberapa bulan selepas tu saya berjaya menggulung ijazah doktor falsafah.
Kemudian, masuk kerja kembali setelah 3 tahun cuti belajar, saya dinaikkan pangkat & memegang post penting dalam jabatan, ini membuatkan impian untuk mendapatkan anak ketiga ditangguhkan.
Sebab utama, saya rasa selama saya sambung belajar hinggalah dah bekerja, saya sibuk sentiasa 24/7, jadi kurang masa dengan anak-anak yang juga sedang membesar.
Selain itu, saya dah rasa bagaimana sukarnya mengandung & berpantang ketika sibuk dengan penulisan tesis. Kasihan dengan anak. Jadi, family planning adalah pilihan terbaik untuk semua.
Apabila anak kedua masuk 6 tahun, barulah terdetik untuk mendapatkan cahayamata ketiga. Jauh juga gap tu. dengan usia yang makin meningkat, sudah pasti kesuburan pun mungkin akan terjejas.
Beberapa bulan juga kami ‘cuba’, tetapi tidak membuahkan hasil. saya memang bergantung sepenuhnya dengan apps untuk kiraan waktu subur berdasarkan kitar haid. Lama2 kami dah almost give up, just go with the flow..
Tetapi kemudian, datang balik perasaan rindukan bau baby, menyusu anak. Hehe. Jadi, kali ni saya banyakkan membaca artikel berkaitan, bagaimana nak meningkatkan kadar kesuburan, bagaimana nak meningkatkan peluang ‘conception’..
Satu cara yang saya jumpa adalah menggunakan kit kesuburan. Cara penggunaan sama sahaja spt kit pengesan kehamilan (urine pregnancy test, UPT).
Yang penting catat bila anda mula period dalam kalendar setiap bulan, supaya boleh nampak trend kitar haid kita berapa hari & juga waktu subur..
Ada yang 28 hari, agak mudah untuk tahu waktu subur.. ada yang 30, 31, 32, 33, 34 hari. saya dalam kategori yang agak berubah-ubah, mengikut tahap stress.
Apabila saya mula period, saya akan terus catat.. kemudian, hari ke10 selepas mula period, saya akan mula menggunakan kit kesuburan ni SETIAP HARI.
Dan, saya akan catat serta ambil gambar untuk tengok trend line mcmna. Apabila hampir mendekati waktu subur, kita akan lihat line pada T (test) started to hv 2 blurry lines…
sehinggalah hari yang memang anda subur, ia akan jadi double line yang ketara. Jadi, tanpa melengahkan masa, do what you have to do (fahamkan maksud saya?). jangan buang masa, sebab tempoh subur akan berakhir in less than 36 hrs.
Oh ya.. sebelum mempersiapkan diri anda, juga suami, ini adalah apa yang saya dan suami amalkan BEBERAPA BULAN sebelum..
1. Ambil asid folik setiap hari (sebab kita takkan tahu bila conception akan berlaku, and by the time kita tahu, ia telah melepasi fasa kritikal janin develop saraf tunjang.. kalau kita kurang folic acid dalam tubuh, bayi akan berisiko mendapat neural tube defect. Pls google up!)
2. Suami & isteri ambil supplement vitamin E. Banyak kajian telah dijalankan yang mana, vitamin E supplementation membantu meningkatkan kesuburan buat suami & isteri, setiap hari. jangan culas!
3. Suami juga digalakkan mengambil supplement Zinc, setiap hari. Kedua supplement ni memang saya akan pastikan suami ambil tanpa gagal setiap hari.
4. Pada hari-hari menghampiri waktu subur, saya akan buatkan kurma milkshake. Ada petua yang saya baca, ambil segenggam kurma & blend dengan susu kambing.
Tapi sebabkan saya tak minum susu kambing, saya hanya guna susu kotak full cream sahaja dan 7 biji kurma. yang ini, both suami & isteri kena minum malam sebelum tidur.
5. Saya juga mengamalkan makan sesudu kecil madu yang dibeli di kedai arab yang khas untuk kesuburan suami isteri. Boleh tanya pada orang kedai, mereka pasti tahu. Ia ada habbatus-sauda dan herba tertentu.
6. Sentiasa berdoa kepada Allah swt semoga dikurniakan zuriat. saya berdoa, sekiranya mendapatkan zuriat ketiga adalah yang terbaik & bersesuaian buat kami, perkenankanlah doa kami ini. Baca juga doa-doa kesuburan (boleh google)
7. Saya bangun sembahyang tahajud, sembahyang hajat & taubat.. berdoa sesungguhnya untuk dikurniakan cahayamata, lebih baik kiranya diiringi dengan linangan air mata.
Kebetulan, pada ketika itu adalah bulan puasa. Jadi 10 malam terakhir itu, saya paksa diri untuk bangun bertahajud. Mungkin ada di antara malam2 itu yang Allah makbulkan doa. InshaAllah
8. Saya juga bernazar pada diri sendiri, sekiranya Allah memperkenankan permintaan saya ini. saya akan berpuasa nazar 3 hari berturut-turut.
9. Satu lagi amalan yang saya lakukan adalah menderma. Sepanjang 30 hari berpuasa, selepas Subuh, saya akan derma secara random pada tabung-tabung atau orang persendirian yang saya jumpa di social media yang perlukan sumbangan..
Kemudian pada reference note, saya letakkan begini, ‘Tolong doakan saya mengandung’.. mungkin ada di antara doa-doa anak yatim, orang susah yang sampai terus kepadaNya. InshaAllah
Inilah di antara amalan saya, saya tiada niat untuk membangga diri apatah lagi menunjuk baik. Hanya sekadar berkongsi segala usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan zuriat yang boleh pasangan suami isteri yang sedang mencuba boleh amalkan. InshaAllah.
Pada saya, yang penting jangan stress, always percaya ‘Rezeki akan datang tepat pada masanya’..
Alhamdulillah sekarang saya sedang hamil & mohon kalian mendoakan agar proses kehamilan & bersalin dipermudahkan.
Saya juga mendoakan semoga mereka yang sedang dalam usaha, diperkenankan doanya untuk menimang cahaya mata. Aamiin ya rabbalameen.
Yang baik semestinya datang daripadaNya & yang buruk datangnya daripada saya.
– Rose (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> htetapis://iiumc.com/submit