Assalamualaikum dan salam sejahtera, merujuk artikel pertama (https://iiumc.com/penganggur-berduit/) aku berterima kasih atas saranan dan sokongan yang diberikan.
Pertama sekali, aku memohon maaf atas kekhilafan diri. Mungkin ramai yang beranggapan orang seperti aku adalah orang yang mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain. Bukan begitu sebenarnya. Dalam bisnes sublet, aku banyak melihat kegagalan tuan rumah menguruskan rumah sewa dengan baik. Bil maintenance blok yang tertunggak begitu banyak sehinggakan penyewa dikunci paip air oleh Jawatankuasa Pengurusan Blok. Bukan penyewa tak bayar tetapi tuan rumah tidak menguruskan secara betul.
Aku sendiri pernah menyelesaikan hutang bil maintenance rumah sublet aku yang tertunggak hampir RM 2000. Hak penyewa seperti gagal mendapatkan kembali wang deposit walaupun dengan cara yang betul dengan memberi notis dua bulan tetapi tidak juga diendahkan oleh tuan rumah kerana tuan rumah mengatakan hanya ‘janji mulut’, tak dapat dibuktikan hitam putih. Jadi, aku mengambil langkah proaktif menyediakan perjanjian dua hala antara penyewa sublet aku dan tuan rumah bagi melindungi hak dan kepentingan masing2.
Manakala aku juga pernah berhadapan dengan tuan rumah yang dihimpit antara belas ihsan dan masalah kewangan. Penyewa yang menyewa tidak membayar sewa hampir 4 bulan atas alasan baru diberhentikan kerja atas sebab pecah amanah manakala tuan rumah tersebut pula dihimpit dengan komitmen bayaran rumah kepada bank secara bulanan. Jadi aku jugalah yang menyelesaikan masalah tuan rumah tersebut.
Berbalik kepada harga sewaan yang melampau, prinsip aku, aku menyediakan rumah yang hampir lengkap dengan perabot. Rumah yang kadangkala aku ambil dari tuan rumah seperti reban ayam, aku keluarkan modal sendiri, baiki dan cat kembali seperti baru. Aku pernah mengeluarkan modal hampir RM 2000 untuk satu rumah sublet. Kelengkapan rumah cukup lengkap. Katil beserta tilam setiap bilik, dipasang kipas siling, rumah dilengkapi dengan meja makan, mesin basuh, dapur, tong gas, peti ais dua pintu dan sebagainya aku lengkapkan di dalam rumah sewa. Penyewa hanya masuk dengan membawa pakaian sahaja.
Penyewa sudah dimaklumkan dengan harga sewaan beserta perabot dan kelengkapan yang disediakan. Mereka bersetuju dengan harga sewaan kerana memadai dengan apa yang mereka perolehi. Sebenarnya disini tiada unsur penindasan atau paksaan yang berlaku. Tak dapat dinafikan ada penyewa aku yang tidak berkemampuan, jadi aku tampung dahulu bayaran sewa dengan keuntungan yang aku dapat kepada tuan rumah dan apabila mereka ada duit barulah mereka langsaikan. Aku cukup gembira kerana dapat menyediakan rumah sewa yang mereka cukup selesa untuk tinggal disitu.
Tidak cukup dengan kelengkapan rumah, pembaikian rumah juga kadangkala aku sendiri yang tampung sebab aku dulu pun adalah pelajar. Tiada duit untuk membaiki apa-apa kerosakan rumah dengan serta merta walaupun dalam perjanjian adalah tanggungan penyewa itu sendiri. Sekiranya peti ais atau mesin basuh yang rosak, aku jugalah yang akan membayar segala kos pembaikian/penukaran baru. Tukar baru dan penyewa tidak mengeluarkan apa-apa duit sekali pun.
Kapitalis dan bangsat? Terserah pada kalian. Aku bukanlah orang yang mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain. Aku juga tidak pernah memaksa penyewa aku menyewa dengan aku. Bila aku tanyakan pada penyewa aku, mereka memberitahu rumah yang aku sediakan berbaloi di mata mereka. Aku disini hanya menyediakan perkhidmatan sewa rumah yang terbaik kepada penyewa-penyewa aku. Aku bukanlah nenyediakan rumah sewa kosong (tiada apa-apa kelengkapan/tidak elok ) dan mengambil keuntungan atas angin semata-mata. Mungkin ada orang yang sebegitu tetapi bukan aku. Aku masih rasional dan tidak mengambil keuntungan yang melampau-lampau sehinggakan memerah kantung duit penyewa rumah aku. Penyewa aku yang paling lama menyewa adalah dari bulan Januari 2017 sehinggalah sekarang, tidak pernah sekali pun sekali pun aku naikkan sewa.
Bagi aku, apa yang aku lakukan adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang lain. Aku tidak dapat menutup pandangan dan buah pendapat orang lain tapi aku percaya dengan apa yang aku buat. Penyewa rumah aku pun tidak pernah sama sekali menuntut untuk mengurangkan sewa rumah kerana mereka sendiri selesa dengan rumah yang aku sewakan dan berikan kepada mereka. Banyak pilihan rumah sewa yang mereka boleh cari di kawasan ini tetapi mereka pilih menyewa sublet aku. Aku memberi manfaat kepada kedua-dua pihak sama ada tuan rumah mahupun penyewa aku.
Pada pihak tuan rumah, bayaran sewaan dan rumah terjaga. Di pihak penyewa, mereka menikmati rumah sewa dan kelengkapan dengan sebaiknya. Pada pihak aku, aku mendapat kebahagiaan dalam membahagiakan dua pihak yang lain. Begitulah diri aku, seorang pejuang sublet. Sekian sahaja dari aku. Terima kasih.
– Abang H
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit