Pengaruh Nikah Muda

Assalamualaikum. Terima kasih jika confession ni disiarkan. Aku kakak sulung kepada beberapa orang adik. Aku dah berumah tangga dan mempunyai beberapa orang anak.

Confession aku ni bukan balasan atau berkait dengan mana mana confession sebelum ni. Ini berkaitan dengan adik aku sendiri. Masih belajar tapi dah fikir nak kahwin.

Yang mana jodohnya dah sampai semasa masih muda, awal 20an dan masih belajar, lagi lagi yang masih bersekolah, TOLONGLAH jangan pengaruh orang lain untuk ikut jejak langkah korang.

Aku bukan nak cakap nikah awal tak elok. Kau nak nikah, mampu nak nikah, nikah la. Cuma jangan pengaruh orang lain.

Sebenarnya aku serabut sekarang. Adik aku yang masih belajar, sumber pendapatan tak ada langsung, spender pun parents yang belikan lagi, dah fikir nak nikah.

Nak nikah sebab nak halalkan hubungan. Banyak kali aku gaduh dengan dia pasal ni.

Bila tanya macam mana dia nak bagi nafkah kat bini? Dia cakap bagi singgit takpe kalau isteri redha.

Pehhh… senangnya kau. Nafkah pun kau tak faham tapi fikir nak kahwin. Nafkah bukan duit ye adik adik sekalian. Nafkah perlukan duit tapi bukan asal bagi duit, nafkah kau dah settle.

Punca dia sekarang ni awek dia la dok ajak nikah. Pening aku. Dengan parents yang tak berapa sihat.

Harapan parents aku nak tengok adik aku tu grad dan terus sambung belajar lebih tinggi. Tak payah la cakap boleh belajar sambil kerja sebab aku tahu kemampuan adik aku. Aku kenal dia lebih 20 tahun.

Ye. Aku tahu ada istilah nikah khitbah yang tidak mewajibkan nafkah zahir selagi tidak bersama. Yang tu lah adik aku nak. Aku faham yang tu tapi aku tak prefer.

Dulu masa aku student, aku pun fikir nikah khitbah ok. Macam kenapa tidak untuk nikah khitbah? Tapi takde lah aku mintak nak nikah masa tu.

Aku lebih kepada nak ada duit sendiri, nak enjoy zaman sebelum kahwin, baru aku kahwin. Tapi bila dah umur lebih 30 dan dah faham apa itu nikah, aku rasa, better tak perlulah untuk adik adik aku.

Jika family korang ok, parents korang ok, teruskan. Ok je. Benda halal kan.

Kenapa aku tak setuju adik aku nikah khitbah atau dalam bahasa kita nikah gantung?

Pertama sekali sebab dia masih belajar dan masa depan dia masih tak jelas.

Lepas grad terus dapat kerja ke? Dengan keadaan sekarang ni dimana peratusan pengangguran agak tinggi, macam mana dengan yakinnya lepas grad, kau dapat kerja dan boleh tanggung anak bini?

Kedua, aku taknak parents aku susah hati. Anak dah kahwin, masih kena fikir pasal anak.

Adik aku tiada bantuan belajar. Parents tanggung 100%. Lagi nak fikir pasal kahwin? Ni geng geng yang sokong nikah gantung mesti hentam aku kot.

Jangan pulak korang cakap, yakin rezeki lepas kahwin la, nak elak maksiat la… Adoilaa… Korang nak nikah, silakan. Jangan galakkan orang lain buat sama sebab situasi setiap orang berbeza.

Sebenarnya adik aku terpengaruh bila baru baru ni ada viral budak sekolah nikah. Dia persoal kenapa parents budak tu kasi tapi parents kami tak.

Aku cakap la, tu parents dia, bukan mak ayah kita. Jadi, jangan samakan. Lepas tu yang dah nikah tu up macam macam kat socmed tentang bahagianya nikah awal. Adoilaa… kalau aku la.

Aku tak rasa orang yang baru nikah ni sweet. Aku lagi suka tengok orang yang dah puluh puluh tahun nikah macam atok nenek.

Bila tengok mereka masih seperti baru nikah, siap pegang tangan, cium pipi, naik motor sama sama macam arwah atok nenek aku dulu, senyum sorang aku.

Tu la yang boleh jadi relationship goals. Ni kau tengok orang yang baru nikah inai tak hilang lagi dah fikir relationship goals.

Adik adik, nikah bukan sekadar nak elak maksiat dan halalkan hubungan. Banyak lagi kena fikir bila dah nikah. Banyakkkk sangat.

Bila aku tanya adik aku kenapa nak nikah, jawapan dia macam tu la – nak halalkan hubungan, nak elak maksiat. Entahlah.

Aku takleh terima jawapan ni. Sebab aku rasa macam, “eh senangnya kau.” Aku yang baru nikah 6-7 tahun ni tak boleh terima jawapan tu.

Entahlah. Aku rasa jawapan tu ringan sangat bila dibandingkan dengan apa yang kena lalu bila dah nikah. Tentang tanggungjawab, pengorbanan dan kesabaran.

Adik aku tu pulak, bila aku tak setuju dia nikah, dia macam provoke aku. Status wasap dia, aku je dalam family yang boleh tengok sebab aku tanya parents dengan adik beradik lain semua tak boleh tengok.

Dia tau aku tak suka, dia up lagi pasal dia keluar date, gi rumah awek dia. Saja nak bagi aku panas.

Apa motif dia hide dari semua orang tapi kat aku dia tunjuk? Aku syak dia nak buat sampai aku fedup, jadi aku pujuk parents untuk bagi dia nikah sebab sekarang aku je kunci yang boleh pujuk parents.

Adik beradik lain pun fikir macam tu. Memang takkan laa… Kau kalau lepas nikah masih nak susahkan mak ayah, tak payah kau fikir nak nikah. Tu yang aku bagitahu adik adik aku. Aku tak bagi dia nikah sebab parents.

Kalau dia nikah, susah senang dia memanglah masalah dia. Takde kaitan dengan aku. Tapi mak ayah aku la nanti susah hati tengok anak dia susah.

Kau nak nikah bila kau tengok ok je orang lain nikah awal. Berapa orang je yang kau tengok ok tu? Kau cek tak berapa ramai lagi yang cerai?

Bak kata ayah aku, enjoy dulu masa muda, enjoy dulu duit gaji untuk diri sendiri. Nanti dah kahwin tak adalah tak puas enjoy hidup bujang.

Bila cakap macam ni, pernah ada yang jawab balik, lepas kawen pun boleh enjoy dengan suami/ isteri. Susah tau tak nak bagi diorang ni faham.

Kau tak nak ke spend duit kau belanja parents kau yang selama ni berhabis duit kat kau?

Bila dah berumah tangga, kau bagi parents duit tapi kena fikir anak bini dulu. Sebelum nikahlah kau boleh belanja mereka macam macam takpa fikir komitmen besar lain.

Walaupun parents kau tu dah kaya, tapi bila anak yang kasi ni lain tau. Macam parents aku. Mereka mampu beli apa je yang mereka nak.

Boleh cakap parents aku lagi senang la dari family kecil aku ni. Tapi bila aku bagi hadiah walaupun mereka mampu beli yang lagi mahal, nampak sangat mereka seronok.

Aku tak tahu la kalau adik aku fikir tak ada masalah nak kahwin sebab apa apa boleh mintak parents tolong. Geram betul aku kalau dia fikir macam tu.

Adik adik sekalian, ni pesanan ringkas dari kakak. Kalaulah parents korang tu dari golongan berkemampuan sekalipun, janganlah korang fikir nak bergantung hidup dengan mereka.

Itu usaha mereka dari muda untuk dapat hidup yang macam tu. Korang usahalah sendiri untuk hidup korang.

Cukuplah parents dah senangkan korang, korang hidup selesa hasil titik peluh mereka sampai korang habis belajar. Bagi aku, setakat tu sahaja untuk parents tanggung. Bila dah kerja, sampai masa untuk korang balas jasa mereka.

Ambil iktibar dari mereka yang tak berkemampuan, masa belajar kena kerja sebab nak kasi duit kat family.

Entahlah. Aku penat. Akhir kata, kalau kau mampu kahwin awal, silakan. Aku tak negatif pun pasal tu. Tapi jangan pengaruh orang lain sebab kau tak faham situasi orang lain.

Kau tak sampai sebulan kahwin, kat socmed dok sembang pasal indahnya kahwin muda dengan tips bagai. Dahlah weh. Tak payah. Kau tunggu nanti anak 2, 3 orang esok baru sembang pasal indahnya berumahtangga.

Masalahnya yang dah lama kahwin tak ada pulak sembang macam tu. K lah. Maaf kalau aku ada terkasar bahasa.

Assalamualaikum…

– Kaklong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *