Pengaruh VS Kejujuran

Assalammualaikum. Sekiranya kisah ini disiarkan, aku berharap dapat menjadi pengajaran untuk membentuk keperibadian diri masing- masing.

Aku Wahida ( bukan nama sebenar ). Aku berusia dalam lingkungan 20-an, sudah bekerja tetap dan bujang. Tempatku mencari rezeki agak jauh dari kampung.

Sebelum ini, aku sentiasa ‘dimomokkan’ dengan kehidupan luar yang sangat dahsyat.

Aku berkenalan dengan A, rakan sekerjaku pada hari pertama aku bekerja. Pada waktu itu, ada 2 orang lagi yang mula bekerja pada hari yang sama. A sudah 4 tahun bekerja di situ.

Pada awalnya, A sangat baik, peramah, suka membantu. Sikapnya yang peramah membuatkan aku selesa berkawan dengannya.

Oh ya, dia juga merupakan rakan serumahku. Pada minggu- minggu pertama bekerja, A selalu berada bersama kami. Maklumlah, kami masih baru dalam dunia pekerjaan tersebut.

A juga menasihati kami agar berhati- hati dengan rakan sekerja yang lain kerana segelintir daripada mereka tidak senang dengannya. Malah, dia kata ramai rakan sekerja yang pernah menfitnah dan memulaukan dirinya.

Pada mulanya aku agak hairan melihat A senang berkongsi hal seperti itu kepada kami. Tetapi, aku terfikir mungkin dia sudah selesa dengan kami.

Aku tetap dengan prinsipku. Aku hanya mendengar dan jangan mengambil kisah. ‘Jangan membenci seseorang dari mulut orang lain’.

Aku manusia yang fleksibel. Aku suka untuk berkawan dengan ramai orang sejak dari zaman belajar lagi. Aku suka berkenalan dan mencari teman, tetapi tidaklah rapat.

A selalu menasihatiku aku dan rakanku yang lain agar mengelak diri daripada individu tertentu di tempat kerja kami. Aku hanya berdiam dan hakikatnya aku kurang setuju dengan kata- kata itu.

Bagi aku, kalau aku tidak bermasalah dengan mereka dan mereka juga tidak bermasalah denganku, untuk apa aku turut serta membenci. Hubunganku dengan semua rakan sekerjaku baik.

Lama kelamaan, sikap A dan 2 lagi rakanku mula berubah. A mula menarik muka apabila aku bergaul dengan rakan sekerjaku yang lain. Begitu juga dengan 2 rakanku itu.

A mempunyai pengaruh yang besar. Ini kerana dia seorang yang lantang berkata- kata. Kalau A kata dia pernah pergi ke bulan pun, orang tetap percaya.

Kerana apa? Cara bercakap dan pengaruh. Aku mula merasai perubahan yang amat ketara pada mereka dan segelintir rakan sekerja yang rapat dengan A.

Tetapi aku tidak mahu memikirkannya, mungkin bagiku itu hanyalah mainan perasaan. Aku masih positif dan melayan mereka dengan baik.

Sehinggalah pada suatu hari, aku mendengar sendiri dari mulut A tanpa pengetahuannya. Dia berkata buruk dan menyatakan sesuatu yang tidak benar tentangku dengan rakanku yang lain. Dia memfitnah aku.

Sedih, hancur perasaanku apabila berdepan dengan situasi di mana rakan sendiri menghentam, memfitnah aku dari belakang.

Tetapi aku masih berdiam dan berkelakuan seperti tiada apa- apa yang berlaku. Setelah itu, barulah Allah membuka satu per satu kisah yang sepatutnya aku ketahui dari dulu.

Rakan- rakan sekerja yang ðikatakan memfitnah A dahulu juga adalah mangsa kepada fitnah A sebelum ini. Bukan seorang dua, tetapi ramai.

Ramai saksi, ramai bukti dan ramai mangsanya. Aku sahaja yang tidak mengetahui kerana mereka ini tidak mahu berkata buruk tentang A di hadapanku. Padahal A selalu berkata buruk tentang mereka.

Apa yang diceritakan oleh A kepadaku sebelum ini semuanya palsu dan fitnah belaka. Allahuakbar. Ya, aku mangsa seterusnya.

Ramai beranggapan yang A berkelakuan begitu kepadaku kerana dia sering ingin menonjol berbanding yang lain dan perasaan takut yang melampau apabila aku bergaul dengan orang lain.

Risau tembelangnya pecah mungkin. Wallahualam. Walau bagaimanapun, masih ada juga sekelompok rakan sekerjaku yang percaya dengan fitnahnya dan memandang serong terhadapku sehingga hari ini.

Apa yang ingin aku sampaikan di sini bukanlah tentang kisah aku semata- mata. Di luar sana lebih ramai yang diuji dengan dugaan yang lebih hebat walaupun dalam krisis yang sama.

Sejujurnya, aku terkilan. Bagaimana PENGARUH itu boleh mengatasi KEJUJURAN manusia?

Benarlah kata orang, bercakap tidak semestinya benar, diam tidak semestinya salah. Aku hanya diam, berserah kepada Allah. Aku tahu ini ujian untuk aku. Aku redha dan ikhlas menerimanya.

Semoga kita dijauhkan dari manusia yang menggunakan KELEBIHAN BERCAKAP DAN PENGARUH YANG KUAT walaupun hakikatnya semua itu palsu belaka.

Kesannya sangat teruk. Sehingga kini, aku masih trauma. Setiap kali bangun dari lena, fikiranku kusut, hatiku bergelombang dengan rasa takut, aku menggigil tanpa sebab, aku jadi takut dengan orang di sekelilingku.

Masih ada juga yang percaya kepada fitnah si A. Aku rasa dipulaukan dek kerana fitnah tentangku yang disebarkan olehnya. Di hadapan orang aku tersenyum, tetapi dalam hati Allah sahaja yang tahu.

Jangan kita menganiaya orang lain. Kesannya kepada hati dan emosi sangat dahsyat. Doakan aku segera sembuh dari rasa ini.

Doakan juga Allah sentiasa melindungiku dan membuka mata hati mereka untuk melihat kebenaran. Jangan gunakan kelebihan untuk mempengaruhi orang dengan cara yang salah.

Jangan berhasad dengki dan menganiaya orang. Jangan percaya sepenuhnya dengan orang sekeliling walau serapat manapun kita.

Berkawan dan berbuat baiklah dengan semua orang. Bagi yang melalui ujian yang sama, semoga Allah memberikan kekuatan kepada anda. Jangan pernah berniat untuk membalas.

Don’t become a bad and cruel human being, all you need in this life is to become a good Servant of Allah.

From that moment you choose to sealed your mouth from saying any words to hate to anyone as silence is something great. InsyaAllah, Allah ada. Allah ada. Allah ada.

– Wahida (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *