Pengurusan Kewangan Untuk Graduan Baru Bekerja

Assalamualaikum. Seorang ibu kepada seorang anak. Berumur awal 30an. Berkelulusan ijazah. Seorang pegawai kerajaan yang telah berkhidmat selama hampir sepuluh tahun. Saya ingin berkongsi tentang pengurusan kewangan yang selesa tanpa perlu join MLM atau buat part time Uber atau main pelaburan hartanah tapi masih boleh memiliki kereta, rumah dan tanah sebelum usia 30 tahun. Perkongsian ini berdasarkan pengalaman saya sendiri yang bermula dengan gaji RM2300 sebulan dan tinggal di sebuah bandar di selatan semenanjung Malaysia.

1. Kenalpasti keperluan dan kehendak. Contohnya kereta. Tujuannya adalah mobiliti. Jadi belilah sekadarnya. Sifir mudahnya adalah harga kereta mestilah tidak melebihi jumlah pendapatan tahunan kita. Jadi kereta proton n perodua adalah pilihan terbaik untuk graduan yang baru mula bekerja. Kalau ikut kehendak memang sedap nak pakai honda atau toyota. Tapi nanti susah pula nak beli rumah, menyimpan, travel dan macam-macam lagi tok nenek yang perlukan duit. Maklumlah, zaman sekarang ni kentut dan bernafas sahaja yang percuma. Hehehe. Tapi, kalau yang kerap buat perjalanan jauh, contohnya balik kampung 400 km jauhnya 2 atau 3 kali sebulan, bolehlah beli T atau H. Itu pun kalau dah habis bayar kereta pertamalah. Ingat, kereta tu liabiliti tau, bukan aset. Jangan ingat komitmen utk kereta terhad kepada ansuran bulanan. Kena ambil kira juga duit minyak, maintainance, tayar, insurans, road tax, tol dan saman tak kiralah trafik, jpj atau majlis.

2. 10% pendapatan kita bukan milik kita. Jadi sedekahlah bahagian tersebut kepada orang tua kita. Insya-allah, semakin berlipat ganda rezeki yang masuk nanti. Kedekut dengan orang lain takpe, tapi jangan pernah kedekut dengan orang tua kita. Asbab doa merekalah kita berjaya. Takkanlah gaji RM3000 bagi mak pak RM100 jek kot. Hehehe. Lagi satu zakat jgn lupa. Buat potongan bulanan. Pegi pejabat agama utk urus. Kejap jek.

Saya sendiri bukan setakat beri kepada ibu saya, malah beri juga kepada atuk dan nenek juga memandangkan mereka yang menjaga kami sekeluarga sejak arwah ayah saya meninggal dunia semasa saya tadika lagi. Tapi sebenarnya mereka tidak mengharapkan pun duit yang kita beri. Ibu saya simpan duit pemberian saya hinggakan masa saya masuk rumah baru (beli), ibu hadiahkan saya perkakasan dapur hingga mencecah ribuan ringgit. Dia kata itu sebahagian duit yang saya beri setiap bulan. Sweet sangat ibu saya kan? Itulah namanya rezeki yang datang tidak diduga asbab sedekah.

3. Buat tabung berjangka pendek, sederhana, panjang. Pendek mcm main kutu utk kumpul duit insurans n roadtax kereta atau makan angin. Sederhana macam tabung kahwin atau tabung umrah. Panjang macam takaful, ASB dan haji. Isi tabung ni tak perlu banyak sampai setengah ribu tapi yang penting mesti konsisten.

Saya berkahwin dua tahun selepas saya bekerja tapi saya telah mula menabung untuk tujuan itu sejak mula bekerja. Secara konsisten saya simpan RM400 sebulan walaupun belum mempunyai teman lelaki jauh sekali calon suami. Jadi bila tiba jodoh saya, saya sudah ada hampir RM10k untuk majlis saya. Duit hantaran yang saya perolehi pula saya gunakan untuk memulakan hidup berkeluarga, menyewa sendiri dengan rumah yang fully furnished dengan hasil duit hantaran tersebut. Jadi tiadalah episod tidur atas toto, cuci kain guna tangan atau makan bersila atas lantai untuk pengantin baru.

4. Beli rumah secepat mungkin. Rezeki saya berkhidmat dengan kerajaan maka urusan pembelian rumah agak mudah. Tidak perlu deposit, pembiayaan 100% dengan kadar faedah tetap 4%. Saya beli rumah teres dua tingkat dengan keluasan 22×75 kaki dengan harga bawah RM250k (tahun 2011). Saya beli ketika tiang rumah baru nak naik. Walaupun potongan bulanan agak besar tapi saya tidak rasa terbeban memandangkan komitmen bulanan saya hanyalah kereta dengan ansuran kurang dari RM500 sebulan selain hutang PTPTN yang saya bayar secara konsisten RM100 sebulan. Kalau saya beli kereta import, mungkin saya terpaksa tangguhkan beli rumah. Jiran saya beli rumah dengan harga menghampiri RM300k sebab rumah sudah siap ketika itu. Jauh sangat beza harga walaupun cuma setahun sahaja sela masa pembelian kami. Alhamdulillah rezeki saya dapat murah.

5. Akhir sekali bersederhanalah dalam berbelanja. Jangan terikut-ikut sangat dengan trend semasa. Shopping spree, makan cafe hipster, pakai barang berjenama mahal, travel back to back. Sedari kemampuan diri. Kalau anda anak orang kaya tiada masalah. Tapi kalau anda datang dari keluarga tidak seberapa seperti saya, berpada-padalah mengatur duit sendiri. Jangan sampai berhutang sana sini untuk mencapai kepuasan diri. Bukan tak boleh untuk reward diri sendiri tapi berpada-pada.

Sekian sahaja pengkongsian daripada saya. Semoga bermanfaat kepada semua. Yang mungkin tidak bersetuju dengan saya, saya minta maaf ye. Saya bukan lulusan ekonomi. Saya ni orang sains hehehe.

– Kinki

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit