Hai semua. Aku pasti semua orang ada pengalaman shopping online di app yang paling terkenal di Malaysia ni kan. Pernah anda terkena, atau kecewa ketika berurusan?
Aku ni pembeli dan juga penjual di app tersebut. Sebagai pembeli kebanyakan urusan aku ok saja, cuma aku perhatikan ramai orang nak jadi seller tapi tiada kualiti baik sebagai seorang seller.
Contohnya, seller yang berhadapan dengan buyer yang agak “Karen”, mereka juga ikut jadi Karen.
Apabila mendapat review yang menyakitkan hati, seller begini akan membalas berjela-jela mempertahankan diri.
Ada juga yang membalas dengan nada sombong dan egois. Ada yang seolah meratapi nasib di ruangan reply review. Apakah? Sepatutnya sebagai seorang seller anda bersikap professional.
Hanya jawap apa yang perlu. Usahlah dilayan penuh perasaan kerana reply anda akan dibaca oleh bakal pembeli seterusnya. Mereka menilai kredibiliti anda.
Sebagai seller, online mahupun offline, selain daripada mencari keuntungan kita juga ada tanggungjawab untuk memenuhi keperluan pembeli. Apalagi jika barang yang kita jual tu tidak banyak dijual oleh orang lain.
Contoh, buyer sudah buat pesanan tapi seller agak lambat hantar pesanan (sekalipun pre-order seller boleh saja jawab dengan berhemah)
Buyer bertanya bila akan pos, jika lambat akan cancel order.
Seller yang berjiwa halus ni balas, silakan cancel ya, jangan pening-pening, saya akan approve cancellation awak.
Di sini nampak jelas seller hanya pentingkan perasaannya saja, mungkin trigger dengan ayat kalau lambat saya nak cancel.
Jadi di mana tanggungjawab sebagai seller untuk memenuhi keperluan pelanggan? Pelanggan mahu cepat bermakna barang itu penting untuk dia.
Namun bagi seller-seller professional terutama seller type C, maaf aku bukan nak rasis tapi ini kenyataan, mereka biasanya tidak ambil hati dengan ayat pedas buyer.
Mereka hanya jawap apa yang perlu dan proceed dengan menghantar pesanan.
Banyak kali juga aku jumpa rungutan buyer yang dah lama buat pesanan tapi di akhir tempoh penghantaran lah baru seller beritahu stok tiada. Suruh pilih variasi lain atau minta cancel order. Panas tak jika anda terkena begini?
Masa 5 hari tu sangat berharga tau, terutamanya jika kita sangat perlukan barang tersebut. Tapi seller jenis cap ayam begini, mereka akan kata kalau nak cepat pergilah beli di kedai.
Iya, setiap orang yang beli online tu dah tahu pun harus menunggu, bukan boleh dapat hari yang sama pun, tapi kenapa seller harus memperlekehkan buyer yang nak cepat? Dah pasti mereka ada alasan tersendiri.
Bagaimana aku tahu cara fikir seller cap ayam, cara mereka berinteraksi dengan buyer, cara mereka kutuk buyer. Kerana aku selalu baca perbincangan mereka di group Facebook.
Di sini tempat berkumpulnya seller-seller yang baru nak up, seller yang berniaga isi masa lapang, seller yang tak mahir Bahasa Inggeris (kemudian reply kepada buyer dengan ayat kelakar nak mati),
Seller yang tiada ilmu langsung tapi gigih nak berniaga, seller hati tisu dan sebagainya. Ada juga seller professional yang berkongsi tips berniaga online.
Seller cap ayam ini ada kesannya kepada pembeli ya. Contohnya mereka ada isu dengan order.
Mereka nak bertanya dalam group jadi mereka printscreen details order customer siap dengan data sensitif seperti nama, nombor telefon dan alamat lengkap. Sikit pun tak censor ya.
Tahukah mereka data ni perlu dilindungi dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010? Yang tahu tu tahu tapi sangat ramai tak tahu kerana apa? Kerana mereka seller cap ayam.
Ada yang terjah masuk ke dunia jualan online tanpa sebarang ilmu asas pun.
Contohnya berapa fee yang dikenakan oleh app ke atas setiap jualan, bagaimana nak set berat dan ukuran parcel, apakah perkataan sensitif yang tidak boleh ditaip ketika chat dengan buyer, apakah basic rules yang ditetapkan oleh app.
Semua tu mereka tak tahu tapi berani-berani letak barang jualan. Kemudian mereka tanggung kerugian contohnya app tolak hasil jualan untuk cover kos postage, padahal mereka yang tidak set berat dan dimensi parcel dengan betul.
Ada yang item jualannya dipadam oleh pihak app kerana menggunakan atau menulis nama khusus brand sedangkan mereka bukan authorized seller untuk brand itu.
Aku tak kisah pun semua orang nak jadi peniaga tapi kenalah berilmu. Ini dah kena tolak yuran perkhidmatan baru gelabah nak tanya dalam group, sedangkan benda asas macam tu ialah yang pertama kau kena tahu sebelum menceburkan diri.
Mereka jenis ni suka disuap, apa2 perkara asas tanya saja dalam group kerana akan ada sellers cap ayam juga yang akan melayan setiap soalan asas tu. Akibatnya group hanya dipenuhi soalan sama berulang-ulang daripada orang berlainan.
Sedangkan sepatutnya group itu tempat berkongsi rahsia jualan, cara dapat customer dengan cepat, tips tingkatkan jualan atau tips yang tidak ada dalam manual.
Di mana nak dapat ilmu asas sebelum menceburkan diri sebagai seller? Banyak sumber.
Dalam app itu sendiri ada manual, ada pusat khidmat pelanggan untuk seller, ada artikel untuk seller. Kalau malas membaca, boleh cari video perkongsian di YouTube. Ada ebook cara buat jualan.
Ada ramai seller otai yang sudi berkongsi ilmu dengan yuran yang amat murah, dapat support seumur hidup pula tu. Tapi tidak bagi mereka ini, mereka lebih suka semberono dan hanya minta disuap sahaja bila2 mereka mahu.
Dan style ini akan berterusan kerana seller cap ayam yang lain sudi menjawap pertanyaan remeh mereka, atas dasar berkongsi ilmu. Ilmu?
Apa yang mereka tanya itu bukan ilmu pun cuma secebis maklumat yang boleh didapati dengan mudah.
Aku minta maaf jika tulisan ini ada yang terkena batang hidung pembaca. Bagi aku kita harus maju dan professional walau apa pun yang kita buat, hatta menjual tahi ayam di app shopping online. Galilah ilmu dengan segenap usaha.
Ya, tiada salahnya bertanya dalam group, tapi sukakah anda menjadi bangsa yang lembab, tidak professional, asyik melayan soalan sama setiap hari.
Dan kerana ketidakprofesionalan anda juga mungkin memberi effect kepada customer anda.
Sekian.
– Puteri Salju (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit