Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya harap, admin akan siarkan kisah saya ini. Sudah terlalu lama saya pendam, terlalu berat lagi untuk ditanggung.
Saya kehilangan mak saya sejak dibangku sekolah rendah. Saya hanya sempat merasai sedikit kasih sayang dari mak saya. Hanya ada beberapa perkara sahaja yang saya mampu ingat kenangan dengan arwah.
Selepas pemergian mak, saya tinggal bersama nenek dan ayah berkahwin baru. Tapi kehidupan dengan nenek bukan seperti kehidupan yang selalu digambarkan dalam drama-drama tu.
Saya hanya menumpang berteduh dan makan sahaja dirumah nenek. Kebanyakan usia kecil saya banyak membesar sendirian.
Tiada orang yang mendidik saya seperti orang lain dididik. Dari kecil saya yang menentukan pilihan dan cara untuk saya hidup. Saya tidak diajar adab dan akhlak oleh nenek atau ayah seperti orang lain.
Semuanya saya hanya mampu belajar dari pemerhatian. Saya belajar dari pendidikan di sekolah, tv dan bacaan serta dari melihat sekeliling saya.
Apabila ada ibu bapa yang marah anak atau tegur anak dia depan saya, saya belajar apa yang menjadi punca kemarahan ibu bapa tersebut.
Maka lepas itu saya berusaha untuk tidak melakukan perkara yang menjadi punca kemarahan ibu bapa tersebut.
Untuk ke sekolah, mengaji dan lakukan apa apa itu semua pilihan saya. Tiada siapa yang akan marah atau larang saya. Tiada siapa pantau saya. Saya bebas untuk melakukan apa sahaja yang saya mahukan.
Alhamdulillah, akhirnya saya sudah dewasa dan menjadi orang. Bila direnung kembali kisah hidup saya, ada 1 perkara yang saya sangat bersyukur dan saya yakin itulah penyelamat dan perlindung saya selama ini.
Didikan mak waktu saya masih kecil. Seusia saya 5 tahun mama sudah memaksa saya untuk solat dan berpuasa.
Mak sering berpesan kepada saya bahawa Allah sentiasa ada bersama kita. Walau jahat bagaimanapun kita, ingat sentiasa ada Allah untuk kita kembali bersujud.
Bila kita simpan Allah dalam hati kita, Allah akan sentiasa lindungi kita. Mak juga mendidik melalui tauladan. Mak orangnya cintakan al-quran. Di tangan mak sentiasa ada tafsir yang mak selalu baca.
Mak juga suka membaca. Mak mencintai ulama. Kerana mak seperti itu, membuatkan aku juga ingin jadi seperti dia.
Aku mungkin kadang-kadang menyimpang arah, tapi aku tetap akan balik untuk bersujud pada Allah bila aku rasa hidup aku nak runtuh.
Aku bersyukur kerana mak cepat sediakan jiwa aku menghadapi dunia. Aku bersyukur kerana mak kenalkan aku tentang Allah dan qada’Nya pada di awal usia.
Terima kasih mak kerana telah tanamkan benih iman itu lebih awal dalm jiwa anak mak ini. Terima kasih kerana bermula awal.
Anak mak ini tak tahu akan jadi apa kalau waktu mak pergi itu tapi anak mak ini masih belum mengenal Allah.
Mak tahu tak, anak mak ini diuji sangat teruk selepas pemergian mak. Kalau mak tak kenalkan Allah pada anak mak ini, mungkin anak mak sekarang tidak tahu jadi apa.
Mungkin anak mak ini dah berjaya musnahkan hidup dia pada usia remaja. Ialah kerana pilihan hidup anak mak ini betul betul di tangan sendiri. Semua keputusan atas diri sendiri.
Walaupun mak dah lama tinggalkan anak mak ini, tapi mak tetap idola saya. Mak adalah guru pertama terbaik bagi saya. Semoga Allah merahmati Roh mak.
Untuk mak-mak diluar sana, tinggalkanlah Allah dalam hati anak anak kita. In shaa Allah, Allah akan jaga anak kita.
Walau apa yang berlaku dalam hidup dia nanti, jika dia sudah mengenal Allah maka selamatlah hidup dia.
Selamat hari ibu semua.
**Mungkin ada yang berpandangan negatif pada ayah dan nenek saya. Tolong jangan, kerana saya juga tak tahu apa jadi dengan hidup saya.
Keadaan hidup kami terlalu rumit. Saya tidak mahu bercerita lebih mengenai mereka, kerana takut pembaca salah faham.
Mereka orang baik cuma keadaan tidak memihak pada kami untuk jadi keluarga bahagia. Tidak mahu saya ulas lebih lanjut tapi cukup saya mohon doakan kebaikan bagi mak, ayah dan nenek saya
– Anak mak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> http://iiumc. com/submit