Penipuan Baru Kenal Ajak Kahwin

Hai semua. Setelah membaca beberapa kisah cubaan mencari jodoh yang dikongsi di dalam page IIUMC ini saya merasakan perlu untuk saya berkongsi satu pengalaman yang baru lagi terjadi kepada kenalan saya sebagai peringatan kepada kaum hawa.

Kisah ini saya kongsi agar pembaca atau sesiapa yang mempunyai ahli keluarga perempuan yang sedang mencari jodoh lebih berhati-hati dalam proses mengenali lelaki yang baru dikenali melalui media sosial atau lain-lain medium.

Kisah ni saya kongsi sama sekali bukan berniat untuk memburukkan kaum lelaki. Kisah ini adalah mengenai taktik penipuan yang dikenali sebagai ‘love scam’ tetapi kali ini versi lelaki tempatan bukan lelaki luar negara.

Penipuan mereka adalah dengan cara menghubungi perempuan ‘single’ dan hanya dalam beberapa jam atau beberapa hari perkenalan terus mengajak mangsa untuk berkahwin.

Sekiranya mangsa ragu-ragu untuk meneruskan perkenalan, lelaki tersebut akan menghubungi wali mangsa.

Mereka akan meminta kebenaran untuk berkawan dan sedaya upaya meyakinkan mangsa serta wali (ayah atau abang) dengan menggunakan ayat berunsurkan agama untuk menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan mereka.

Tujuan mereka terus memberitahu niat untuk berkahwin adalah untuk memudahkan proses mendapat kepercayaan mangsa serta ahli keluarga mereka.

Apabila diminta untuk datang bersemuka dengan keluarga lelaki tersebut akan menggunakan alasan kerja di luar Semenanjung Malaysia dan PKP yang menyebabkan mereka sudah berbulan tidak pulang ke Semenanjung serta meminta diberikan masa beberapa bulan.

Masa beberapa bulan itu digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengambil hati dan meyakinkan mangsa dengan perbincangan fokus kepada urusan sebelum dan selepas kahwin.

Apabila mangsa meminta gambar, mereka akan memberi gambar yang seakan-akan seiras atau gambar beramai-ramai,

Dan sekiranya mangsa mempertikaikan perbezaan antara gambar dengan rupa sebenar semasa video call alasan yang digunakan adalah berat naik, gambar lama dan sebagainya.

Ciri-ciri penipu ini hampir sama iaitu sangat pandai memanipulasi keadaan, pandai bercakap mengenai pelbagai topik (kemungkinan besar suami orang), ‘sweet talker’, pandai serba sedikit ilmu agama dan ‘confident’.

Mereka akan menghubungi mangsa setiap hari, sentiasa ‘update’ kegiatan harian dan menggunakan panggilan mesra bagi menambat hati mangsa.

Penipuan bermula apabila lelaki tersebut yakin mangsa sudah mulai rasa sayang dan percaya kepada mereka.

Mereka akan memulakan drama samada sakit di tempat kerja, kemalangan atau lain-lain dan meminta mangsa mendahulukan wang bagi keperluan keluarga di kampung atau bil hospital yang diperlukan pada kadar segera.

Mereka akan sedaya upaya memancing mangsa untuk bersimpati.

Alhamdulillah kenalan saya akhirnya tersedar yang dia telah ditipu selepas berkongsi cerita dengan rakan-rakan di dalam ‘WhatsApp Group’.

Rupa-rupanya ada rakan yang saya namakan sebagai A juga mengalami hal yang hampir sama tetapi dengan lelaki yang berlainan.

Disebabkan A tinggal berjauhan dari keluarga dan lelaki tersebut tinggal di daerah yang sama, mereka telah berjumpa di sebuah pusat beli belah.

Kesempatan itu digunakan oleh lelaki terbabit untuk meyakinkan A menyerahkan sejumlah wang yang kononnya akan digunakan bagi urusan pernikahan. Setelah diselidik rupa-rupanya lelaki tersebut sudah berkahwin.

Berdasarkan dua kisah penipuan ini saya berharap sangat semua wanita di luar sana sentiasa berhati-hati.

Bukan semua lelaki jahat tetapi jangan terlalu cepat menaruh harapan dan terlalu mudah simpati terhadap lelaki yang baru dikenali. Siasat latar belakang mereka terutama keluarga mereka sebelum berkawan apatah lagi berkahwin.

Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis dan perwatakan baik atau alim. Bagi pencari jodoh, semoga urusan jodoh anda dipermudahkan dan ditemukan jodoh dikalangan yang baik-baik. Amin.

– Insan biasa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *