Pentingnya Ilmu Keibubapaan

Assalamualaikum semua. Aku adalah seorang mangsa kegagalan didikan seorang ibu. Aku berasal daripada keluarga besar, adik beradik yang ramai, pendapatan ibubapa aku hanyalah cukup-cukup makan.

Disebabkan itu, banyak perkara yang kurang dalam kehidupan kami adik beradik. Apa yang aku ingin ceritakan ialah, sikap ibuku terhadap anak-anaknya dan kesannya terhadap aku.

Ibuku seorang yang rajin bekerja, tetapi sikap beliau terhadap anak-anaknya sangat kasar. Zaman kanak-kanakku menyedihkan, selalu dimaki hamun untuk kesalahan yang kecil.

Marah dia bukan biasa-biasa, semua nama binatang dalam hutan disumpahknya. Dipukul tanpa belas kesihan itu perkara biasa. Pernah sekali ibu hampir membaling pisau terhadap aku atas kesalahan yang kecil.

Jika kanak-kanak lain dapat bermain itu ini, tapi aku sebaliknya, pada usia kecil, kami adik beradik terpaksa melakukan kerja-kerja orang dewasa.

Anak-anak yang lebih besar terpaksa menjaga adik-adik yang kecil seperti ibu menjaga anak, terpaksa menjadi buruh kasar untuk membantu ayah bekerja. Kami adik beradik adalah perempuan, kudrat kami tidak sekuat lelaki dewasa.

Tugas memasak diletakkan dibahu kakak yang paling besar. Jika makanan yang dimasak tidak memuaskan, ibu akan marah, padahal di dapur kami, tidak banyak barang yang boleh dimasak.

Sikap ibuku, memberi kesan kepada kami. Waktu kecilku, aku menjadi takut apabila setiap kali bertemu dengannya.

Apabila ibu dirumah, kami adik beradik akan menyorok dibilik atau tempat lain asalkan tidak berjumpa dengan ibu. Sama seperti tikus melarikan diri daripada kucing. Ini kerana, kami sangat takut dimarahi dan dipukul kadangkala atas alasan yang tidak munasabah.

Pernah sekali, aku sedang mengulangkaji pelajaran, tetiba ibu memarahiku, dengan menunding jari tepat pada mukaku dan mengatakan aku b**oh seperti l**bu, sedangkan aku tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Banyak yang ingin diceritakan, tetapi cukuplah. Sampai tahap, aku tidak mampu memandang wajahnya langsung, kerana aku mula benci, marah dan tertekan dengan layanannya terhadap aku.

Setiap kali rasa sedih dan tertekan, aku akan ke kebun bapa dan meluahkan perasaanku kepada pokok, langit atau semut.

Di sekolah, aku menjadi pasif, tidak pandai bergaul dan sangat merendah diri. Kawan sekolah aku pernah tanya mengapa aku dan ibuku seperti janggal apabila bersama, aku hanya mampu senyum.

Aku ditawarkan di sekolah asrama, apabila di sekolah jiwa agak tenang walaupun aku tidak ramai kawan. Jadual untuk pulang ke rumah setiap dua minggu sekali, setiap kali waktu balik asrama, aku lah orang yang paling sedih. Jika boleh tinggal di asrama selamanya pun aku sanggup.

Sama juga zaman universiti, setiap kali cuti semester, aku mula risau dan sedih. Jika kawan-kawan lain, seminggu sebelum jadual balik, mereka sudah mula mengemas, aku pula menjadi orang yang terakhir keluar daripada rumah kolej kami. Aku tiada ahli keluarga lain untuk menumpang.

Pernah berfikir untuk bekerja part time, tetapi banyak yang perlu difikirkan terutamanya tempat tinggal dan pengangkutan. Rumah kolej pula perlu dikosongkan sewaktu cuti semester. Aku tiada pilihan, terpaksa pulang ke kampung dan jalani rutin sama.

Tamat pengajian, aku berkerja dan berkeluarga. Walaupun aku sudah mempunyai kehidupan sendiri, namun, kerapkali bermimpi dimarahi dan dipukul seperti sebelum ini. Mimpi yang hampir sama berulang–ulang.

Aku tiada dendam dengan ibu, Cuma kenangan lalu sukar dilupakan. Ada masa terluang, aku tetap menelefon ibu, bertanya khabar, tetapi agak kekok dan janggal, kerana kami jarang berbual melainkan bercakap hal mustahak.

Aku tidak meyalahkan ibu 100% atas sikap bengis dan kasar dia terhadap kami, aku tahu dia berasal daripada keluarga susah dan tidak berpelajaran.

Bapaku, sering menasihati ibu atas sikapnya, namun ibu tetap sama dari muda hinggalah bercucu, begitulah sikapnya.

Namun, aku tetap bersyukur, walaupan banyak kekurangan, kami adik beradik tetap dapat makan, minum dan bersekolah.

Nasihat aku, jika direzekikan untuk mempunyai keluarga, jagalah keluarga kita sebaiknya, ilmu keibubapaan adalah penting dalam mendidik anak-anak, rancang keluarga ikut kemampuan.

Anak-anak adalah amanah, sikap ibubapa yang baik ataupun sebaliknya akan memberi kesan sepanjang hayat mereka.

– Anak Yang Terkesan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *