Pentingnya Perempuan Mempunyai Pendapatan

Kenapa aku kata penting?

Sebenarnya, seorang wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara diri sendiri & keluarga. Sebelum berkahwin, dia adalah dibawah tanggungjawab ayahnya atau walinya. Dan selepas berkahwin, dia adalah tanggungjawab suaminya.

Tapi hakikat dunia sekarang, sebagai seorang wanita aku sendiri tak mampu menafikan yang aku memerlukan sumber pendapatan aku sendiri.

Mak aku seorang ibu tunggal, bercerai hidup dengan bapak aku. Selepas aku & adik beradik mula bekerja, kamilah yang menyara kehidupan mak. Mak bernasib baik sebab ada rumah peninggalan arwah atuk. Sekurang-kurangnya, tempat berteduh tu ada dan tak perlu terikat dengan sewa bulanan.

Setakat bil rumah, makan dan minum mak, kami adik beradik masih mampu. Tapi, kalaulah aku & kakak aku tak ada pendapatan, mak pun tak ada duit belanja bulanan yang mencukupi bila hanya mengharapkan sumbangan abang & adik lelaki aku. Adik lelaki aku pula keadaan ekonomi dia sendiri terumbang-ambing. Mungkin sesak juga untuk dia bagi duit bulanan yang mencukupi untuk mak.

Alhamdulillah bila 2 anak perempuan mak turut mempunyai pekerjaan tetap yang stabil, kehidupan mak sedikit terjamin.

Sebagai seorang perempuan, kita ada keinginan sendiri yang bukan kewajipan seorang ayah / suami untuk melunaskan. Aku sendiri sebagai seorang isteri dan ibu, aku faham keadaan kewangan suami aku yang menanggung keseluruhan perbelanjaan keluarga.

Untuk yang berpendapatan tinggi, mungkin tak menjadi masalah. Tapi untuk yang berpendapatan sederhana dan rendah, dapat pastikan dapur sentiasa berasap, rumah bercahaya lampu, kereta berisi petrol, pendidikan anak-anak lengkap, itu sudah memadai. Lain-lain keinginan mungkin tak mampu dipenuhi oleh suami.

Jadi sedikit sebanyak aku sendiri mampu mendapatkan keinginan aku tanpa membebankan suami. Sesekali mampu bawa suami & anak-anak bercuti. Sebulan sekali mampu belanja keluarga makan yang istimewa.

Perempuan juga berhutang & perlukan sumber kewangan untuk melangsaikan hutang. Macam aku sendiri, sebelum ni aku ada hutang PTPTN, kereta, rumah, credit card.

Alhamdulillah 60% dari hutang-hutang aku dah berjaya langsai. Aku tak sanggup nak minta suami aku bayarkan hutang-hutang aku sedangkan dia ada banyak komitmen dan hutang juga. Atas sebab hutang juga lah, aku memilih untuk bekerja dan mempunyai pendapatan tetap.

Alhamdulillah aku juga ada sedikit simpanan untuk kegunaan kecemasan, bukan untuk diri aku seorang tetapi juga untuk suami dan anak-anak. Kita sendiri tak tahu apa akan terjadi di kemudian hari.

Sediakan payung sebelum hujan, jadi dengan pendapatan yang aku perolehi aku buat simpanan untuk keluarga aku. Dalam kes aku, suami aku belum mampu untuk buat simpanan tetap, jadi aku sendiri ambil inisiatif untuk buat simpanan. Lagi-lagi untuk pendidikan anak-anak aku nanti.

Aku juga rasa seronok dan teruja apabila mampu bersedekah dengan duit pendapatan aku sendiri. Tak kiralah bersedekah kepada mak, adik beradik, anak-anak, suami, anak-anak buah, rakan sekerja, masjid, badan-badan kebajikan hatta seekor kucing sekalipun.

Ye aku akui bersedekah bukan hanya dengan wang ringgit, tapi untuk aku, aku cukup bersyukur pendapatan yang aku dapat mampu untuk aku bersedekah sedikit.

Aku pernah ada seorang kenalan wanita. Dia berbeza pendapat dengan aku. Tak mempunyai pendapatan, tiada simpanan, tiada pendidikan tinggi, tiada rumah sendiri, tiada kenderaan sendiri, tiada lesen, anak 4 orang, umur masih muda belum 30 tahun pun lagi. Dan dia mengambil keputusan untuk bergantung sepenuhnya dengan suami.

Pendapatan suaminya boleh dikira selesa tetapi bukan mewah, ditambah dengan tanggungan suaminya dengan 3 orang anak-anak dengan bekas isteri (suaminya seorang duda sebelum mereka berkahwin). Dan ini juga adalah perkahwinan ke-2 kenalan aku itu.

Semasa gagal dalam perkahwinan pertama, dia sehelai sepinggang. Hidup menumpang sana sini. Tapi rezeki mendapat seorang lelaki yang mampu menyara kehidupannya. Aku ingatkan dia akan ambil iktibar dari kesusahan dulu, rupanya tidak. Kadang aku terfikir, kalau sesuatu terjadi kepada rumah tangga ke-2 ini atau kepada suaminya, apa nasib anak-anaknya?

Ayah tiri tak perlu bertanggungjawab, ayah kandung anak-anaknya kurang berkemampuan, ke mana dia nak pergi? Ibu bapa dia sendiri hidup sekadar cukup makan, usia pula makin lanjut. Bila aku ingatkan dia tentang simpanan anak-anaknya, dia kata simpanan dari TAWAS & ADAM50 memadai. Aku hanya geleng kepala.

Aku bukan nak kecam perempuan yang tidak ada sumber pendapatan. Aku cuma highlight kebaikan-kebaikan jika seorang perempuan tidak bergantung hidup sepenuhnya kepada orang lain. Menjadi suri rumah bukan penghalang untuk tidak ada sumber pendapatan.

Ramai sahabat aku suri rumah, tetapi bisnes kencang, bawak anak kecil ke sana ke sini untuk COD barang, pos barang. Aku paling kagum dengan wanita-wanita seperti ini. Lebih kuat dan hebat berbanding aku yang bekerja tetap 8-5, anak di pengasuh.

Tapi aku sendiri tak suka lihat perempuan dianggap lemah, berada di bawah kawalan orang lain sehingga hak diri sendiri terabai. Aku tak suka tengok perempuan yang hidup terumbang ambing bila kehilangan tempat bergantung.

Wanita, anda juga ada kudrat, anda juga ada tulang 4 kerat. Berusahalah. Jangan terlalu selesa dengan kehidupan sedia ada, kehidupan bergantung dengan orang lain. Anda bukan beban, anda bukan menyusahkan, tetapi anda perlu beringat hak anda mungkin dinafikan.

– Azie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *