Assalamualaikum & salam sejahtera untuk pembaca confession IIUMC.
Saya sebenarnya jarang membaca confession di sini, tapi tajuk-tajuk berkaitan novel yang muncul minggu ni berjaya menarik minat saya untuk buka dan teliti isinya.
Jadi saya mahu mengambil kesempatan ini untuk luahkan juga apa yang saya rasa (dalam tahun ni).
Untuk peminat novel, diminta anda hela nafas dalam dan lapangkan fikiran sebelum mula membaca luahan saya ini.
Saya tak mahu sentuh isu klise atau genre yang katanya mengajar pembaca untuk berangan saja. Pada saya, hal ni mudah. Beli apa yang anda suka, tinggalkan apa yang anda tak mahu.
Bila terlalu sibuk hendak mengambil tahu tentang perkara yang memang anda tahu anda tidak suka, hati akan mengomel dan mulut pun akan mula mengeluarkan bicara negatif.
Apa yang hendak saya suarakan sekarang adalah kekecewaan saya dengan beberapa jenis penerbitan novel masa kini.
Saya mula membaca novel semasa saya berumur 13 tahun. Saya masih ingat novel apa yang saya baca dan reaksi saya ketika itu.
Betapa kuatnya kesan yang novel itu tinggalkan pada saya sehinggakan saya masih ingat perasaan saya 17 tahun selepasnya.
Untuk pengetahuan semua, saya baca bermacam-macam jenis genre novel. Saya tidak memilih. Jika 2-3 bab pertama buat saya tertarik, saya akan meneruskan bacaan tanpa mengambil kira apa genrenya.
Komik, anime, drama luar dan dalam negara, TV Series, filem Tamil, Filipina, novel luar, semuanya saya sambar dan tonton asalkan ceritanya sedap dan lunak.
Sejak-sejak PKP awal tahun tempoh hari, saya banyak meluangkan masa mencari bahan bacaan dalam media sosial.
Saya baca teaser-teaser yang penulis dan rumah penerbitan kongsikan untuk menarik minat pembaca. Saya jadikan itu panduan untuk saya membeli.
Ketika itulah saya sedar ada satu perkara sedang menular dan makin membusung dalam dunia novel sekarang.
Kualiti.
Kualiti novel dan ebook yang dihasilkan, ada masanya membuatkan saya hampir mencampak telefon/ novel saya ke dinding.
Saya rasa tertipu apabila apa yang saya beli tak setimpal dengan apa yang sudah saya laburkan.
Saya tidaklah tahu banyak tentang perjalanan bagi menghasilkan sebuah novel dan ebook.
Tapi fikiran dangkal saya ni masih mampu berfikir secara logik. Saya yakin, ada tapisan yang perlu dilalui sesebuah buku sebelum dilepas masuk ke pasaran.
Jadi mengapa selepas melalui beberapa lapisan pemeriksa ini, masih ada kesalahan yang tak dapat diterima akal ditemui dalam novel/ ebook?
Setakat beberapa typo masih boleh diterima. Saya faham editor juga manusia yang mungkin terlepas pandang kerana mata sudah berpinar melihat terlalu banyak susunan abjad.
Yang hendak saya suarakan sekarang adalah struktur ayat, penggunaan perkataan yang salah, dan ayat BI yang nampak terlalu mencuba sehingga kedengaran janggal dan grammar terbang entah ke mana.
Kesilapan mengeja perkataan mudah BI pun perlu berkali-kali dibetulkan oleh editor yang lebih rela membaiki sendiri daripada menegur penulis tentang kesalahan itu.
Jangankan isi di dalam, promo pendek di kulit belakang buku pun seperti tidak melalui tapisan editor.
Tanda bacaan koma dan noktah digunakan sesuka hati sedangkan perkara ini sudah diajar dan ditekankan sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Satu lagi perkara yang saya perhatikan, semua perkara ini majoritinya berlaku dalam novel yang diterbitkan secara sendiri.
Bukan niat hendak memperlekehkan keluaran sendiri. Saya malah ikut rasa bangga melihat usaha penulis yang tidak lagi tersekat hanya pada menulis.
Saya juga ikut faham mengapa harga novel keluaran sendiri ini lebih mahal daripada novel keluaran penerbit-penerbit yang sudah dikenali.
Tapi apabila apa yang saya lihat tidak mencapai kualiti yang sepadan dengan harga, saya kecewa.
Makin tambah terseksa apabila sedar saya tak mampu mengubah semua ini menjadi lebih baik kerana saya cuma seorang pembaca yang apabila menegur,
Terus dibalas dengan kata-kata sinis mengatakan saya tidak menyokong karya tempatan, telalu cerewet dan hanya mahu mencari salah.
Lebih parah, penulis berkongsi apa yang berlaku dan akhirnya saya diserang pengikut fanatik penulis yang tak dapat menerima penulis kesayangan mereka dikritik.
Penulis, didiklah peminat anda menjadi peminat yang boleh dibanggakan. Sama-sama melatah tak mahu kalah apabila penulis kesayangan dikritik, sebenarnya adalah sikap yang tidak sesuai dipamerkan di mata umum.
Bimbang luarannya nampak seperti menyokong, tapi hakikatnya, mereka yang akhirnya membawa rebah.
Prinsip saya, kalau tak suka, tinggalkan saja. Jangan pandang, jangan peduli. Tapi untuk hal yang satu ini, saya tak dapat berpaling begitu saja.
Saya sayangkan Bahasa Melayu dan apa saja yang diajar bersamanya untuk menghasilkan sepotong ayat yang cantik. Inilah antara sebab mengapa saya suka membaca novel.
Ayat yang ditulis para novelis sangat indah dan membuai rasa. Mereka bijak menjalinkan setiap ayat menjadi satu cerita yang bila dibaca membuatkan saya terasa seperti saya sedang mendengar nyanyian merdu.
Namun sayang, ramai penulis yang tidak peduli dengan semua ini. Teknik menulis masih mentah, tapi tidak diasah menjadi lebih tajam dan lebih berseni.
Ayat masih kebudak-budakan dan ada masanya mengulang perkara yang sama sepertinya pembaca ini anak kecil yang perlu diajar berkali-kali.
Alangkah eloknya jika editor dan penerbit mengambil inisiatif mengajar teknik penulisan yang lebih kreatif, seiring dengan penulisan novel yang pada saya adalah satu kreativiti yang tidak dikurniakan pada semua orang.
Memang benar idea cerita dan seni penulisan itu berbeza. Ada yang sangat bijak mencipta kisah, tetapi masih belajar menjalin ayat. Ada pula yang kelebihannya pada membina ayat, tetapi ideanya masih tidak dapat diterima ramai.
Untuk penulis yang masih amatur, saya sarankan untuk belajar teknik penulisan yang lebih memikat.
Seperkara lagi yang rasanya perlu untuk saya suarakan juga di sini.
Semasa saya menjelajah dunia novel di media sosial, ada juga beberapa penulis yang menggunakan medium lain seperti whatsapp, telegram dan wattpad.
Dalam proses cuba mengenali mereka, saya sekali lagi agak terkejut bilamana ada penulis menjadikan medium ini sebagai tempat untuk berkongsi gambar dan cerita yang tidak senonoh dengan tujuan menarik perhatian pembaca.
Gambar wanita pun seeloknya janganlah terlalu mencolok mata.
Penulis, berhati-hatilah semasa berkongsi gambar kerana anda tidak tahu mata siapa yang akan melihat. Bila ditegur, pembaca akan dicop sebagai ustazah jadian.
Tak suka, boleh tinggalkan group.
Suka untuk saya ingatkan di sini, untuk wanita muslim, aurat seorang lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut. Ini, adalah antara ilmu paling awal diajarkan kepada seorang muslim dalam pengajian agama islam di sekolah.
Rasanya cukup sampai di sini saja luahan saya. Maaf, kalau ada ayat dan hakikat yang menggores hati.
Manusia menegur, kerana sayang. Bukan kerana mahu menunjuk dirinya tahu lebih banyak dan amalannya jauh lebih hebat daripada orang lain.
Saya sayang dunia penulisan di Malaysia. Dunia novel terutamanya kerana saya sangat suka membaca novel.
Pada yang menganggap BM itu mudah, boleh ditulis sekadar ada, sekadar untuk membuatkan pembaca faham apa yang penulis hendak sampaikan, saya mohon, berhentilah memperlekehkan bahasa ibunda kita.
Hakikatnya, ramai penduduk di Malaysia suka membaca novel. Novel cinta juga tak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan novel genre lain.
Ilmu dan moral yang diselit dalam setiap cerita, tidak sama cara penyampaiannya. Ada yang dibentang jelas dalam dialog dan naratif.
Tapi ada juga yang memerlukan pembaca berfikir secara backward. Perlu diteliti dari pelbagai sudut untuk melihat sisi pengajaran di situ.
Saya tak minta novel yang sempurna dari segala segi kerana saya tahu, tak ada manusia yang sempurna.
Penulis juga manusia. Tapi saya yakin, jika penulis benar-benar berusaha untuk memberikan yang terbaik, In Sya Allah hasilnya tidak akan mengecewakan. Pembaca pasti boleh menerima seadanya.
Sekian dari saya, Anon, pembaca yang sayangkan dunia novel di Malaysia.
– Anon (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit