Penumpang Terakhir

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera. Anda semua sihat?

Biasanya saya bercerita kisah-kisah lama yang pernah saya alami. Hari ni saya nak kongsikan satu kisah yang terjadi kepada kawan saya yang bekerja sebagai grab.

Cerita ni cerita baru tau. Baru berlaku pada kawan saya beberapa bulan lepas. Saya namakan dia sebagai Am untuk memudahkan saya bercerita.

Am ni bawa grab, bujang dan masih tinggal bersama ibu ayah. Am ni seorang yang agak celupar mulut dia. Semua benda dia nak tegur kalau nampak khususnya yang pelik-pelik. Mesti akan terpacul soalan daripada mulut dia.

Contohnya masa kem kadet polis dahulu, dia nampak pokok keladi yang agak pelik, mesti dia akan tanya pokok apa tu, kenapa pokok tu rupa macam tu.

“Macam tengkorak doh rupa tunggul tu…” Haaa itulah Am.

Am ni mulut dia sangat menyakitkan hati bila tiba masa dia mengutuk walaupun sekadar bergurau. Saya pun pernah jadi mangsa kutukan dia. Katanya saya ni jerangkung sebab kurus dan tinggi.

“Kau ni tak gemuk-gemuk, macam tu jer, tak cukup makan ke dah rupa jerangkung dah..?” Haaa sakit tak hati?

Kalau yang chubby pulak…

“Kau punya berjalan, semua bergegar… Pokok pun boleh tumbang kalau berlari…” Makan dalam kan?

Baik, nak dijadikan cerita, pada lewat malam tu dia dapat pelanggan. Seorang lelaki yang agak gempal tapi pendek (melalui cerita dia lah). Lelaki tu minta Am hantarkan ke Cherating.

Memandangkan itu lah tugas last dia pada malam tu, maka dia pun bersetuju lah.

Semasa lelaki tu naik kereta di bahagian penumpang, Spring kereta Am ni ‘loward’ lah sikit menjadikan kereta dia agak senget sedikit.

“Melantak apa lah kau ni berat semacam jer” Omel Am dalam hati.

Masa Am bercakap dalam hati tu, lelaki tu pandang Am.

“Nak saya duduk di belakang ke bang?” Soal lelaki tu.

“Duduk bahagian tengah dik, tempang kereta abang ni nanti…” Ujarnya dengan niat bergurau.

Bila sampai ke destinasi penumpang, lelaki tu pun turun tapi kereta Am ni tetap juga senget macam bawa muatan berat. Apa lagi menyumpah seranah lah dia di sepanjang perjalanan pulang.

Keesokan harinya Am bawa lah kereta pergi baiki, tapi mekanik kata semua okay, spring okay, absorber, drivershaft okay dan semua okay lah. Am jadi macam blur lah sebab kenapa dia rasa kereta tu senget.

Beberapa orang kawan di minta untuk test drive keretanya, rata-ratanya mengatakan bahawa kereta dia tidak ada masalah senget tu. Am cuba pula bawa kereta kawan-kawannya.

Betapa terkejutnya Am bila mendapati masalahnya bukan pada kereta tetapi pada diri dia. Maka tahulah dia hal itu ada bersangkut paut dengan penumpang terakhir dia tempoh hari.

Walaupun begitu Am tetap merahsiakan kejadian itu sebab Am risau akan menjejaskan reputasi dia yang tidak percayakan benda-benda halus ni.

Lama kelamaan bukan kereta jer yang dirasakan senget, bumi yang dia pijak pun dia rasa senget. Untuk mengimbangi dirinya, Am terpaksa berjalan senget sedikit supaya dia tidak rasa pening dan mual.

Melihat keadaannya begitu, abangnya yang mula bertanya. Puas didesak barulah Am bercerita tentang kejadian tempoh hari. Am dibawa berjumpa dengan perawat. Malangnya Am tetap begitu.

Malah semakin lama semakin teruk sebab dia langsung tak boleh makan dan minum dengan betul. Jika makan dan minum, semuanya akan keluar (situasi seperti mulut kebas selepas cucuk nak cabut gigi, nak minum air pun susah).

Am cuba menjejaki lelaki tu melalui alamat yang diberikan pada malam itu. Malangnya rumah yang dia lihat sudah tinggal tangga batu sahaja. Menurut orang kampung memang dah lama rumah tu runtuh.

“Dah makan tahun tangga tu kat situ..” Begitulah jawapan penduduk di sekitar kawasan itu bila Am bertanya mengenai tuan rumah.

Memandangkan saya ni ‘pelik’ jadi setiap yang aneh-aneh pasti mereka akan cari saya untuk bertanya. Begitu juga dengan Am.

Untuk tidak mengusutkan lagi keadaan saya cuma minta Am pada setiap kali solat, sedekah kan AL Fatihah kepada penumpang tersebut (melalui nama yang di beri ketika melanggan grab).

Am ada tanya saya apa benda tu, saya cuma jawab tak tahu saja. Malas nak panjang-panjang nanti terserlah lagi kepelikan saya ni pula.

Orang macam Am tak boleh cerita aneh-aneh sebab akan jadi bahan lawak dia jer nanti. Tak pasal-pasal bertambah lagi kesengsaraan dia. Dah lah pasal jerangkung tu saya tak minta dia ‘bayar’ lagi.

Bayangkan masa ‘senget-senget’ itu pun dia masih boleh lagi buat lawak kata orang tu gemuk macam belon. Laju jer saya minta dia istighfar. Saya mula bayangkan dah lah senget jalan pula terloncat-loncat macam belon, nauzubillahi min Zalik.

Alhamdulillah, Am menurut. Setiap kali lepas solat dia akan sedekahkan al Fatihah kepada penama tersebut. Mula-mula macam terpaksa, lama kelamaan ikhlas tu datang.

Sekarang Am dah normal semula. Ambil masa 2 ke 3 bulan juga lah. Alhamdulillah.

Kawan-kawan… Sekiranya berlaku hal seperti Am ini, keterlanjuran kata-kata yang membuatkan badan kita binasa, tak perlu jumpa perawat pun. Sebab kesalahan itu datang daripada kita sendiri.

Cukup dengan kita insaf dan bertaubat di atas kesalahan kita serta berniat untuk meminta maaf sesama makhluk dan sedekah AL Fatihah kepada nya tanda kita ikhlas.

Kenapa macam tu dik?

Sebab, jika berpunca daripada mulut dan kelakuan kita sendiri, sebenarnya makhluk itu masih ada dengan kita. Tunggu kita minta maaf di atas khilaf kita.

Mesti akan ada komen, buat apa nak minta maaf dengan jin? Khurafat, syirik… Baik kita minta ampun dengan Allah SWT.

Salah tu, mereka juga hamba Allah. Jika kita buat salah sesama manusia, kita juga wajib minta maaf.

Sama juga dengan hamba Allah yang lain. Itu dinamakan sebagai adab sesama makhluk. Kecuali lah kita dah minta maaf, eh dia lebih-lebih pulak. Haaa baru boleh kita isytihar ‘perang’.

Elakkan berkata buruk dengan orang yang kita tidak kenal kerana kita tidak tahu siapa mereka. Apa keturunan mereka.

Mungkin mereka adalah keturunan raja yang berdaulat sehingga kita mendapat tulah hasil daripada kelancangan mulut kita, kebiadapan kelakuan kita kepada mereka.

Benar, mereka bukan tuhan tapi kebiasaannya mereka ini adalah golongan yang ada pendamping atau khadam. Jadi makhluk-makhluk itulah yang akan membalas untuk mereka.

Hati-hati ketika komen di sosmed. Jangan sesekali celupar bahasa, bimbang mendapat masalah di kemudian nanti.

Siapa disini bawa grab atau penghantar makanan, Jom kongsi pengalaman dengan saya. Mesti best kan sebab macam-macam hal awak dah hadap.

– Adik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Allahu… seram rasanya.
    Btw, berkenaan kena body shaming tu, perit rasa hati hanya Allah yang tahu. Saya pun selalu dipanggil lonjong, zirafah, galah waktu belajar kat ipta dulu. Bagi mereka sangat pelik kalau tengok perempuan tinggi 175. 🤣
    Nak tak nak, kita pun belajar sabar dan lebihkan rasa syukur. Diam sambil senyum je la. Nak doa yg buruk2 pada mereka pun, x smpai hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *