Penunggang Agama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Terima kasih diucapkan kepada admin sebab sudi siarkan kisah ini. Nama aku Athirah, tujuan aku menulis di sini hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman, tetapi bukan lah untuk mengaibkan sesiapa. Moga kisah ini boleh jadikan ajaran pada semua orang yang faham agama supaya golongan macam kami yang ingin mencari terus bersemangat memahami agama kerana dorongan kamu semua. Kadangkala kerana racun setitik rosak susu sebelanga. Menjadikan orang seperti kami takut untuk belajar agama lagi.

Aku dan Intan dipertemukan dengan En.Hilmi dalam satu bengkel usahawan di bawah syarikat kami bekerja. Pada sesi bersama usahawan, aku dan Intan berbual bersama En.Helmi mengenai perniagaan yang dijalankan. En.Helmi pun menceritakan yang dia merupakan pengusaha snek kudap-kudapan di samping menjadi pengasas bagi sebuah madrasah di Melaka.

Memandangkan aku dan Intan tidak pandai sangat mengaji dan sedang mencari ilmu agama maka En.Helmi pun meninggalkan no telefon dan mempelawa kami belajar mengaji bersama isterinya Hawa. Tujuan aku dan Intan datang memang untuk belajar mengaji, dan kelas mengaji tu di adakan di madrasah milik En.Hilmi dan Puan Hawa. Jumlah penghuni madrasah tu semua 12 orang,berusia usia 8-17 tahun yang merupakan anak anak fakir dan yatim piatu. Penghuni nya semua perempuan. Mereka juga nyatakan konsep madrasah ini ialah tidak meminta-minta, dan tugas pelajar hanya mengaji al-quran dan menjadi hafizah.

Untuk permulaan, Puan Hawa dan En Hilmi banyak berkongsi pengalaman mereka dalam penyebaran agama Islam. Katanya, dia dah banyak islamkan orang dan dia pernah bertapa dalam gua di Yaman selama 40 hari, manakala suami dia pulak pernah bertapa dalam gua Hira, tujuan dia bertapa tu kami tak pasti lah. (Masa ni kitaorang dah rasa aneh-aneh je fahaman diorang ni).

Setelah 5 bulan mengikuti pembelajaran di madrasah, korang percaya tak yang aku dan Intan langsung tak diperkenalkan dengan iqra semua tu. Asal pegi kelas je,dia selalu tadabbur ayat, cerita pasal neraka, serta benda yang sama dan berulang-ulang. Kami binggung kenapa cerita benda yang sama berulang-ulang? Sedangkan dalam Al-Quran surah Al Alaq: 1-5 dah minta kita Bacalah. Bukan aku dan Intan tak pernah tanya bila nak mula mengaji, tapi asal tanya je end up Puan Hawa akan tukar topik.

Kelas ngaji kami dari pukul 8 malam – 11.30 malam, tapi mengaji nye dalam 15 minit camtu je dan baki masa yang lain Puan Hawa cerita pasal snek kudapan dia sampai kita orang rasa hampir meluat. Bayangkan sehingga lewat malam kadang-kala sehingga pukul 2 pagi, dan kami sering bagitahu Pn.Hawa kami perlu pulang kerana telah terlalau lewat, namun Pn.Hawa hanya menjawab “Kalau kamu mati dalam perjalanan, kamu dikira syahid kerana menuntut ilmu.” Tidakkah Pn.Hawa tahu kami masih mempunyai ibu bapa dan keluarga.

En Hilmi pulak, banyak kali suruh kami sertai program pengislaman semula untuk menyambung tadabur ayat yang berulang-ulang selama lima bulan itu. Jika kami tidak mengikuti pengislaman semula, kami tidak akan tadabur ayat-ayat lain. Aku dan Intan tanya lah untuk apa program pengislaman tu dan program tu macam mana. Menurut En Hilmi, program tu untuk mengaku kita ni Islam dan kena mengucap syahadah serta kena baca aku janji. Kami terpingga-pingga dan kami bersyukur sehingga hari ini kami tidak mengikuti program itu, kerana kami lahir sebagai islam dan kenapa kami perlu melalukan perkara seperti itu? Program itu akan di adakan di Selangor dan setelah selesai program tersebut kami akan ditempatkan dan bergerak mengikut jemaah. Jemaah apa tu aku tak pasti lah, sebab kami tak join pun upacara tu. Sebab pelik lah, kot ade ritual sembah-sembah tengkorak ke naya je.

Aku kadang-kadang rasa macam si Puan Hawa ni ambil kesempatan kat kita orang, mana tak nya, ada satu hari tu madrasah buat majlis doa selamat dan minta aku dan Intan masakkan untuk 250 orang tetamu, ingat kami ni tak ada kerja lain ke?. Aku bukan berkira pasal tenaga ke wang ringgit ke, tapi kami pun ada tugas hakiki ada mak ayah. Tak ke terkejut mak ayah aku, tetiba aku masak ayam sambal sampai sekawah kang. Padahal rumah kami cuma ada periuk besar bukan kawah.

Tak cukup dengan itu, Puan Hawa pernah minta izin nak pinjam kereta Intan untuk ke Kedah sebab nak ambil bahan buat kudapan dia tu. Intan memang tak nak bagi dia pinjam kereta, melainkan Intan yang drive untuk Puan Hawa, tapi Puan Hawa taknak sebab dia nak suami dia yang drive. Kau ingat senang-senang ke nk bagi orang drive kereta kau wei, yelah manusia ni kan macam-macam perangai. Bukan nak bersangka buruk, tetapi bak kata orang beringat sebelum kena. Sekali dia selit dadah ke apa cemana, lagipun kita org baru je kenal dgn En.Helmi dan Puan Hawa ni. Bila si Intan taknak bagi pinjam kereta, mula lah Puan Hawa ni miong tarik muncung sehingga boleh ditanjur.

Ada satu hari tu, aku dengan Intan pegi mengaji kat madrasah, masa ni kita orang dah masuk Iqra 1 guys, (selepas sekian lama ber tadabbur). Si Intan anggun bergaya pakai tudung labuh bulat macam ustazah biasa pakai tu. Aku pulak pakai tudung bawal bidang 60 lepastu kan Puan Hawa cakap camni kat aku “Athirah, saya tengok biasa je awak pakai tudung bidang 60 tu, takde lah labuh sangat”. “Kenapa awak taknak istiqomah pakai macam ni pergi kerja”. Zupp terus aku diam, emm padu betul teguran dia ni. Untuk pengetahuan semua, aku biasa pakai tudung bidang 45 untuk pergi kerja, dan bidang 60 untuk mengaji. Memang aku dan Intan dalam usaha untuk bertudung sempurna, tapi biarlah secara perlahan-lahan dan biarlah dari hati. Sekali lagi ditekankan untuk mengikuti program pengislaman semula supaya dapat memakai niqob.

Ditambahkan cerita, Puan Hawa dan Encik Hilmi pernah tanya kami kenapa tak kahwin lagi sebab kami dah berusia hampir 25 tahun. Maka Puan Hawa menyusun strategi untuk kenalkan Intan dengan Afiq yang berusia 39 tahun. Intan ada lah juga tanya dekat Puan Hawa tentang pekerjaan Afiq, Puan Hawa hanya jawab “Afiq bekas penagih dadah yang masih ingin berubah, takda kerja tetap tapi cukup lah dia boleh bimbing awak ke syurga”. Puan Hawa desak agar Intan terima dan berkahwin dengan Afiq. Bila si Intan reject Afiq, makin meradang lah Puan Hawa. Pernah kami datang untuk mengaji Pn.Hawa sampai tidak bertegur seperti selalu dengan Intan. “Hai Pn.Hawa, tidakkah Pn.Hawa mengenali dahulu suami Pn.Hawa sebelum bernikah?” Percintaan selepas nikah adalah sangat tidak relevan dalam situasi zaman fitnah ini, dan mahukah anak Pn.Hawa bernikah dari golongan orang yang demikian.

Aku kenal Intan dah lama, memang betul Intan ingin bersuamikan lelaki yang ada agama. Walaupun lulusan pondok yang tiada SPM pun Intan nak je terima,tapi biarlah yang lebih elok dan berhak untuk Intan. Intan ni merupakan golongan daripada akademik yang sangat rajin bekerja dan masih mengikuti “professional license training” untuk masa depan nya. Yang mengejutkan, Pn.Hawa meminta Intan untuk menipu ibu bapanya dengan memaklumkan Afiq berkerja sebagai warden madrasah dengan pendapatan sekitar Rm1500.00.

Kini kelas mengaji pun diorang dah tak buat kat madrasah, dia buat dirumah. Masa 1st time kita orang pergi rumah dia, keadaan rumah umpama dibedil Israel. Dengan pampers anak yang dah guna bertaburan dekat depan pintu masuk, halaman rumah berantakan, pakej dengan mesin pembancuh snek kudapan dia yang dikerumuni lalat yang tidak berbasuh. Kena pulak time tu anak dia yang kecik sekali dalam usia 2 tahun dan 7 bulan yang sentiasa selsema, dengan hingus meleleh-leleh lagi lah aku loya. Masa tu aku saja lah tanya, “Puan Hawa tak bawak anak ke klinik ke”. Lepastu dia jawab “Athirah, anak saya memang tak pernah di bawa klinik dan anak saya tak pernah di vaksin sebab vaksin tu haromm”. Tepuk dahi aku dengar nya.

Macam-macam lagi lah sikap dan kelakuan aneh Puan Hawa ni, tujuan asal aku dengan Intan ke sana hanya untuk belajar mengaji. Tapi, dia suruh kami pasarkan dan jadi stokis kudapan dia, harga kudapan dia RM 9.00 untuk 100gram. Dia ni ada juga minta aku taip surat itu ini, nak laminate lah apa lah. Tapi she ask for free, woii tu harta ofis aku lah !. Setakat laminate sekeping dua tak kisah, ni berpuluh keping. Kemudian, Puan Hawa ada juga minta kami cari dana untuk tampung bil utiliti rumah kediamannya yang bernilai RM 2400 sebulan, gila kan .. Tu belum bil utiliti untuk madrasah, bil utiliti madrasah pulak RM 500 sebulan dengan kekuatan penghuni seramai 5 orang (5 orang dah berhenti dari madrasah). Aku tau pasal jumlah bil ni pun sebab Puan Hawa sendiri yang tunjuk kat kami. Puan Hawa juga ada minta aku dan Intan minta dari orang yang berpengaruh, katanya untuk pembangunan madrasah. Tapi aku rasa, duit tu masuk ke tekak Puan Hawa jugak sebab dia terus beli kereta baru wei. Kadang kala kami tertanya kami ini untuk ke madrasah belajar agama atau menjadi orang suruhan seperti Afiq.

Aku dengan Intan ada lah jugak tanya pelajar situ kenapa yang lagi 6 orang tu berhenti pengajian. And dia jawap ada pelajar hampir patah tulang pinggul kena denda sebab tak buat kerja khidmat. Kami tanya lagi denda macam mana, dia kata kena buat solat taubat 40 rakaat, ada pelajar lain yang jatuh bilik air sampai patah tangan dan kaki, ada yang dah kahwin dengan lelaki pilihan Puan Hawa (mungkin si Afiq) dan segala macam lah. Kadang-kadang aku rasa macam Puan Hawa ni jual orang pun ada jugak, yelah sebab ada satu hari tu aku dengar ada lelaki call Puan Hawa. Aku dengar perbualan tu, yang si lelaki minta carikan calon isteri dalam usia 13-16 tahun. Usai tamat je perbualan diorang , aku tanya lah berapa umur lelaki tu, dan Puan Hawa kata usia lelaki yang call tu 48 tahun dan merupakan seorang suami orang. Seram tak seram, macam paedophilia je. (Jangan ada yang samakan usia pernikahan Sayyidatina Aisyah Binti Abu Bakar yang ketika itu berusia 9 tahun).

Ada satu hari tu, tengah syok makan tengahari kat kedai makan aku dengan Intan ternampak pelajar ni menjaja kudapan tu kat kedai makan lain sambil bawa tabung untuk infaq ke madrasah. Masa ni aku dengan Intan rasa geram, macam nak letup-letupkan je muka Puan Hawa tu. Kau kata tugas pelajar hanya mengaji al-quran ni kau suruh minta dana !

Sejak dari tu, aku dengan Intan memang dah malas nak ada kena mengena dengan Puan Hawa, En. Hilmi dan madrasah. Dengar kata mereka sekarang dah berpindah ke tempat lain. Harapan dan doa aku agar kasihanilah orang yang teraniaya terutamanya budak-budak madrasah yang dari kalangan yatim piatu dan asnaf. Serta kasihani lah kami yang betul-betul ingin mencari ilmu Allah untuk belajar mengaji ni. Dengan adanya manusia penunggang agama sebegini, maka lagi ramai saudara baru waima orang Islam sendiri yang ragu-ragu dengan keindahan Islam. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah SWT dan yang buruk itu dari aku sendiri.

-Ilmi Athirah & Intan Farhana –

– -Ilmi Athirah & Intan Farhana –

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *