Penyembuh Sakit

Assalamualaikum wbt buat semua pembaca IIUMC.

Aku terpanggil untuk berkongsi pengalaman aku bergelut dengan sihir dan aku nak berkongsi cara untuk sembuh, sebab aku berjaya setakat ni dan akhirnya sembuh sedikit demi sedikit, dengan izin Allah swt.

1. Jangan mensyirikkan Allah swt.

Ye, ini benda paling utama sebelum apa-apa sekalipun. Jangan sebarangan jumpa bomoh pawang dan pengamal perubatan yang tidak berlandaskan Islam ya.

Selidik dulu tempat berubat tu, jangan sebab nak cepat sembuh sampai membelakangkan Allah swt. Kalau jatuh syirik, anda sembuh pun takde guna. Allah tak redha.

Penyakit tu untuk hapuskan dosa dan ujian yang didatangkan untuk mendekatkan kita pada Allah swt. Jangan jadikan penyakit punca kita jauh dari Allah swt.

Takde sesiapa pun tahu perkara ghaib. Jadi jangan sebarangan percaya.

2. 95% dari usaha kita, 5% dari perawat.

Jangan hanya bergantung sepenuhnya untuk sembuh pada perawat. Sebab kebergantungan makhluk hanya pada Allah swt.

Kita yang berubat ni perlu usaha tingkatkan amal ibadah. Solat awal waktu, banyakkan baca Al Quran, zikir, solat sunat Taubat, Tahajjud dan Hajat.

Perawat membantu kita meruqyah kita dengan ilmu dan kelebihan yang mereka ada. Tapi kita sebagai pesakit sendiri perlu berusaha lebih juga untuk sembuh.

Sebab tu orang pesan USAHA + DOA + TAWAKKAL.

3. Lembutkan hati.

Memang sebagai pesakit ni, kita tak lari dari menjadi seorang yang degil, keras hati, pemarah; maklumlah ada jin & syaitan mahupun saka yang mempengaruhi diri kita.

Lawanlah sedaya upaya.

Bila lembut hati kita jadi lebih senang untuk mengikut pesanan perawat, lembut hati untuk lawan bisikan syaitan dengan amal ibadah.

Bila lembut hati, kita jadi lebih mudah menangis mohon penyembuhan dari Allah swt.

4. Maafkan.

Bukan mudah jika orang sihirkan kita, dan kita perlu memaafkan mereka. Tapi percayalah, kuasa penyembuh adalah dengan memaafkan si penyihir, redhakan ujian Allah swt ni, dan tidak bertanya kenapa dan mengapa kita diuji sebegini.

Memang ada rasa marah pada mulanya tapi semua yang berlaku pun atas keizinan Allah swt.

Ada hikmah kenapa Allah swt izinkan ianya berlaku.

5. Jauhkan diri dari segala yang lagha.

Perawat biasanya berpesan jangan keluar lepas Asar, dan kalau boleh malam pun jangan keluar lagi- lagi time Maghrib, jika tiada kepentingan.

Hiburan keterlaluan kalau boleh elakkan. Jika dulunya kita lalai dengan lagu-lagu, tukar kepada bacaan Al Quran. Jika ada audio Al Quran, pasang sepanjang masa dalam rumah.

Pesakit biasanya memang mudah hanyut leka lalai. Jin & syaitan suka hiburan, maka kita yang sakit ni perlu lawan sedaya upaya.

6. Jangan pernah putus asa.

Sihir & gangguan ni memang tujuannya untuk melemahkan kita, nak bagi kita putus asa. Lawanlah sedaya upaya.

Jangan putus asa walau duit habis, makan masa bertahun dan memang tak dinafikan ia adalah perjalanan yang sangat perit untuk diri pesakit tu sendiri malah ahli keluarga dan teman rapat juga turut terkena tempias.

Tiada penyakit yang tidak ada penyembuh.

**********************************

Jangan buat main sihir dan saka ni. Boleh hancur hidup jika dibiarkan. Walau kita hidup di zaman moden, serba-serbi canggih ni, tapi percayalah apa yang tertulis di dalam Al Quran.

Usah terlalu mendongak langit jika tak diuji. Segala benda kononnya boleh diperjelaskan dengan saintifik, medical etc.

Al Quran adalah Kalam Allah.

Tiada kitab yang sesempurna Al Quran.

Hanya orang sombong sahaja yang menidakkan adanya sihir, gangguan & ‘ain. Diri sendiri tak kena, lalu semudah itu melabel orang yang terkena sihir ni hanya berpura-pura dan paling teruk terus melabel pesakit sihir ni gila, sakit mental, skizofrenia.

Sekadar hanya berkongsi. Moga bermanfaat pada pesakit sihir seperti aku. Moga kita yang diuji Allah swt dengan ujian ini diberi kesembuhan, dan mungkin ujian ini menjadi asbab untuk kita lebih dekat pada Allah swt.

– Syifa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *