Bismillah.. Aku seorang ibu diusia awal 30an. Aku tidak pasti adakah pengakuan ini akan disiarkan oleh admin atau tidak, tapi harapnya sudilah admin menyiarkannya agar ringan sedikit bebanan di hati.
Apa yang ingin aku ceritakan adalah kisah yang berlaku berpuluh tahun yang lepas sewaktu aku masih seorang remaja, secara tepatnya pada 2003. Pada ketika itu aku baru melangkah kaki ke sekolah menengah.
Seperti sekolah-sekolah yang lain, sekolah aku juga mewajibkan agar setiap murid menyertai unit beruniform. Maka aku menyertai satu unit beruniform yang agak aktif keluar berkhemah.
Setelah beberapa bulan, pengerusi kelab telah membuat satu program perkhemahan dan mewajibkan semua ahli baru untuk menyertainya.
Tujuannya sebagai pengenalan program kepada kami. Aku akur dan tidak membantah, lagipun tempatnya hanyalah di pantai negeri aku tinggal dan hanya mengambil masa 2 hari 1 malam sahaja.
Sampai di sana, kami diberi penerangan tentang aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan. Fasilitator kami semua pada masa itu adalah abang dan kakak tingkatan 5.
Aku lupa adakah ada cikgu pengiring yang menyertai sama atau tidak, yang aku ingat kebanyakan aktiviti dirancang oleh abang dan kakak fasilitator kami.
Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah tiba waktu malam. Disebabkan beberapa kekangan maka aktiviti yang sepatutnya dijalankan pada malan itu terpaksa dibatalkan.
Disinilah penyesalan aku bermula. Malam itu kakak dan abang fasilitator minta kami berkumpul untuk mengelakkan kami merayau. Oleh kerana tiada aktiviti dan untuk mengelakkan kami semua bosan, mereka membuat keputusan untuk bermain permainan “Truth or Dare”.
Tiada pertaruhan yang pelik-pelik pun dilakukan. Semuanya normal sehinggalah nama aku dipanggil. Aku diberi pilihan untuk pilih “Truth” atau “Dare”, dan aku memilih untuk memberitahu kebenaran.
Entah macam mana, terpacul soalan “Dalam banyak-banyak cikgu, cikgu apa awak paling tak suka?”.
Mulanya aku agak berat untuk menjawab soalan itu tapi itu permainan dan aku perlu jawab untuk mendapat mata. Maka aku dengan jujur memberitahu nama cikgu yang aku benci.
“Kenapa?” tanya pulak abang yang lain. Suasana senyap, semua menantikan jawapan dari aku. Aku nyatakan sebabnya, dan secara tiba-tiba seorang abang yang lain bangun dan ikut sama mengumpat cikgu yang aku benci tu, biasalah pelajar lelaki ada yang nakal-nakal sedikit.
Merasa seperti ada sokongan, aku semakin galak mengata, mengeji dan mengumpat cikgu tersebut termasuklah menghina fizikal cikgu tersebut. Macam-macam aku hamburkan lebih-lebih lagi bila penonton cuma gelak-gelak dengan apa aku kata.
Aku pun tak tahu kenapa aku benci sangat cikgu tu sedangkan cikgu tu tak pernah berkelakuan buruk atau memberi masalah pada aku, cikgu tu cikgu yang baik je sebenarnya, sentiasa semangat untuk mengajar walaupun pelajar seringkali memperolokkan beliau.
Sedang aku rancak bercakap, tiba-tiba kami semua dikejutkan dengan tangisan yang kuat yang datang dari kalangan penonton. Seorang pelajar perempuan yang lebih kurang baya-baya aku teresak-esak menangis. Kakak-kakak mula cemas dan meluru ke arah pelajar tersebut.
Rupa-rupanya pelajar tersebut adalah anak kepada cikgu yang aku kutuk tadi. Beliau merasa amat sedih melihat ayahnya dihina sedemikian rupa di hadapan semua pelajar.
Sungguh aku tak tahu anak cikgu ada di kalangan kami. Kakak-kakak tarik pelajar itu ke tepi untuk memujuk, dan aktiviti kami pada malam itu diberhentikan serta merta. Kami disuruh untuk masuk tidur
Esoknya kami semua kemas dan pulang ke sekolah. Perkara itu berlalu begitu saja, tiada kata-kata maaf dari aku kepada pelajar perempuan tersebut. Difikiran aku yang tidak matang pada waktu itu, aku tidak membuat sebarang kesalahan.
Semua orang berhak menyatakan apa yang difikirannya tanpa perlu memikirkan orang lain. Itu yang aku fikir pada masa itu. Kat sekolah pun aku tidak pernah terserempak dengan pelajar tu jadi peristiwa malam tu memang aku lupakan terus, berlalu seperti angin.
Sekarang aku dah dewasa, dah matang. Tiba-tiba Allah kembalikan semua memori itu dalam fikiran aku. Aku terduduk, aku rasa berdosa yang amat sangat.
Aku ada anak dan aku terfikir macam mana emosi dan mental anak aku jika ada seseorang memperlakukan dia seperti yang aku buat.
Aku rasa aku pembuli, aku telah membuli seorang budak perempuan tanpa aku sedar. Peristiwa silam tu menari-nari dalam minda aku tapi aku tak dapat nak minta maaf pada mangsa. Nama cikgu itu pun aku dah tak ingat apatah lagi nama budak perempuan tu.
Hari-hari aku doa dalam solat agar Allah ampunkan dosa aku, semoga tidaklah aku mati dalam keadaan tidak sempat meminta maaf pada manusia. Aku doa agar anak aku tidak mengulangi apa yang aku buat, dan tidak juga menjadi mangsa buli orang lain. Aku betul menyesal.
Tujuan aku bercerita sebagai ikhtiar terakhir untuk meminta maaf kepada budak perempuan itu.
Awak, jika awak ada terbaca cerita saya dan awak masih ingat setiap perinci kejadian malam itu, saya betul-betul minta maaf. Saya nak awak tahu yang awak ada ayah yang hebat, cikgu yang komited dengan kerjayanya.
Maafkan saya untuk segala yang buruk-buruk yang telah saya tuturkan. Saya tahu permintaan maaf sahaja tidak mungkin mampu mengubat hati yang telah dalam tercalar, tapi saya betul harap awak dapat maafkan kebodohan dan ketidakmatangan saya. Saya menyesal sangat
Untuk pembaca sekalian, doakan agar dosa aku diampunkan Allah dan anak cikgu serta cikgu tersebut maafkan aku ya.
Sekarang aku sedang didik anak aku agar menghormati perasaan orang lain, moga-moga beliau membesar menjadi manusia yang disenangi semua, Aamiin…
Terima kasih sudi baca luahan aku yang tidak seberapa. Semoga syurgalah tempat terakhir kita semua kelak.
– Bekas Anak Murid (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit