Hi semua. Assalamualaikum. Tajuk cringe, kan? Sudahlah meniru drama TV. Tapi… aku tak dapat cari tajuk lain yang lebih sesuai.
Nak meluah sahaja. Baik di sini sahaja. Di ruang anonymous yang tiada siapa kenali. Panjang kot. Maklumlah, meluah perasaan.
Sedikit mengenai aku. Wanita yang bakal menjejak usia 30 tahun hadapan. Berkerjaya stabil. Keluarga aku rapat & penyayang. Kawan-kawan walaupun sedikit, tapi jenis berkualiti.
Mak ayah dah mula bising suruh kahwin. Masalahnya aku ni, perempuan dalam pasungan. Aku terpasung dengan tanggungjawab dan figura cinta pertama aku.
Tanggungjawab aku, sebab aku anak sulung. Masa aku kecil, keluarga aku senang sampai tahap aku ada 2 maids. Menghampiri usia remaja, tiba-tiba ekonomi keluarga aku merudum teruk ke tahap kami jadi penerima zakat pendidikan.
Oh ya, mak ayah aku tak mahu terima zakat sara hidup. Mereka kata, tulang empat kerat masih mampu cari rezeki, malu mereka kalau makan duit zakat. Tetapi, untuk pendidikan tak mengapa. Mereka suruh kami bayar balik apabila berjaya kelak.
Secara perlahan, akhirnya kami adik-beradik kini dikira berjaya. Hidup jauh lebih selesa. Mampu pula bayar zakat pendapatan. Alhamdulillah.
Tapi, kau orang tahu? Aku jadi trauma hidup susah. Aku rasa, kalaulah aku lahir-lahir memang dah susah dan kemudiannya berjaya, tidaklah aku trauma begini.
Tapi, kau bayangkan bagaimana seorang budak berusia 11 tahun nak hadam yang “oh, hidup dah berubah” secara drastik. Sebelum itu, hampir semua kemahuan mudah sahaja dipenuhi. Kemudian, aku kena hadam yang hidup kami bukan macam dulu lagi.
Aku sebenarnya agak cemburu sebab adik-adikku tak berapa ingat pun yang kami pernah hidup senang sebab mereka terlalu kecil ketika itu.
Mereka tak ingat pun bagaimana muka mak ayah aku ketika mereka divert permintaan kami. Iya, aku seorang yang sensitive terhadap facial expression & body languages sejak kecil. Muka sedih & kecewa mereka, dan pandangan mata mereka…
Aku janji pada diri, aku akan kembalikan kesenangan pada keluarga kami. Mak ayah tak perlu risau keinginan kami tak dapat dipenuhi.
Aku suka tunjuk apa yang aku beli… mak cukup bahagia bila nampak kami membeli. Tapi kalau belanja dia & ayah, bising sampai bulan dia membebel hahhaha.
Dia selalu kata “tak payah…Kamu belikan yang dulu pun dah cukup. Kamu beli apa yang kamu suka.”
Sebenarnya, tiap kali aku dengar ni, aku sedih. Sebab aku faham kenapa mak aku cakap begitu. Dan selaku anak sulung yang sinonim keras kepala,
Aku makin jadi bersemangat bekerja cari duit nak limpahkan kemewahan pada mak ayah aku sampai diorang yakin yang membelanja mereka adalah hal enteng buat aku.
Aku risau, kalau kahwin & bina keluarga sendiri, risau aku terkesampingkan mereka. Dan selaku perempuan, aku risau juga adakah bakal suami akan tak kisah langsung aku mewahkan keluarga aku.
Aku terpasung pada janji aku pada diri sendiri. Dan terkurung dalam kerisauan tentang hal yang tak pasti.
Kemudian, hal cinta pertama aku.
Iya, cinta monyet kiranya atas faktor umur ketika itu. Cinta di belasan tahun. Tapi, siapa yang letakkan taraf cinta ini? Kira cinta monyet kah kalau kesannya begitu mendalam?
Aku tahu beza cinta monyet & cinta pertama. Sebab sebelum aku jatuh cinta padanya, memang benar aku pernah bercinta monyet semasa umur 7 tahun. Lain. Sangat lain.
Aku ini, orangnya keras hati, kental mental & sangat kuat keazaman. Apa yang aku hendak, aku usahakan sampai dapat. I was a sore loser.
Kalau tak dapat, aku akan cari apakah kesalahan & kelemahan aku, dan akan perbaiki. Contohnya kalau kalah pertandingan pengucapan awam dahulu, aku akan pinta guru & rakan pengiring beri kritikan mereka ketika dalam kereta lagi. Tidak aku tangguh.
Jadi, aku tahu, aku ini orangnya bersifat seperti api. Api, perlukan tanah sebenarnya untuk menjadi normal. Kalau air, habislah hahaha.
Terus tak produktif pula.
Cinta pertama aku, orangnya umpama tanah subur di perbukitan. Tenang, sabar, jujur & amanah. Tak pernah mencaci orang, apatah lagi berkasar bahasa.
Pernah menjadi mangsa buli, tapi tak pernah dia burukkan pembuli. Siap aku dapat tahu, pembuli itu akhirnya berbaik dengannya asbab pembuli itu dah putus asa nak membuatnya marah.
Mula-mula, aku marahkannya sebab dia dapat satu spot dalam satu pasukan ini kerana identitinya selaku anak guru. Aku rasa sangat tidak adil & enggan menerima hal itu.
Tapi, aku akhirnya faham perasaan bekas pembuli itu. Apa pun aku buat, apa pun aku katakan padanya, dia cuma senyum. Lepastu puji aku perkara yang baik-baik.
Aku terpaut atas sikapnya itu. Tanpa disangka, dia pun menaruh hati pada aku juga. Pujiannya bukan kosong. Dia tak puji fizikal ku, sesuatu yang buat aku meluat pada budak lelaki lain. Dia selalu puji nilai diriku. Dan dia tertarik memang atas nilai-nilai tersebut.
Yang aku paling terkesan, apa yang disebutnya adalah aku yang sebenar. Dia dapat melihat diri & perasaan aku yang sebenar apabila aku sedayanya menyembunyikan dengan bersikap perengus & bermuka tiada perasaan terhadap sebarang perlian.
Lebih aku terkesan, dia mempertahankan aku di depan seorang senior yang memburuk-burukkan aku. Walhal, orangnya tenang sahaja tak banyak bersuara. Tapi, tidak bila hal aku disentuh. Dan, dia tak peduli pun hal aku anak orang miskin keras kepala yang tamak haloba nak kaut semua anugerah di sekolah ini.
Bahasa cintanya juga aku suka. Dia gemar berikan aku makanan. Walaupun zaman itu, frasa perempuan & makanan itu tak begitu terguna pakai macam sekarang.
Oh ya, rupa parasnya kacak. Agamanya bagus pula. Bukan rakan setingkatan sahaja, habis junior senior juga minat padanya. Eh, alih-alih si muka kayu selekeh tak sedar diri ini yang dia suka. Aku tahu ramai juga yang mengata.
Kami putus asbab kebodohan & keegoan aku sendiri. Sebab mulut senior perempuan yang sama juga. Aku merajuk ketika itu. Sengaja mengada-ada sebenarnya.
Aku suka bila dia memujuk dan menghantar berbagai jenis makanan berserta nota kecil melalui junior-junior. Aku sangat sukakan nota-nota itu sebenarnya.
Ada seorang “kawan” bertanya terus padanya. Ketika itu, sepupu “kawan” tersebut terbuka sukakan dia juga. Dia bertanya, “Pia (bukan nama sebenar) kau nak letak mana?”
Dia jawab “Tak perlu aku fikir pun” Ditanya lagi “Anom?” Dia senyum dan berkata ” Yang itu, aku nak letak di rumah”
(Posto kecil juga yang menyampaikan padaku. Dia suruh aku berhati-hati dengan “kawan” tersebut. Budak ini memang jujur orangnya.
Banyak rahsia pasangan di asrama tersebut yang dia simpan sebenarnya, sementelah ramai yang menagih khidmatnya. Dia memang takkan beritahu sesiapa pun.
Pernah tertangkap semasa nak hantar hadiah senior, tapi dia rela dirotan dari membocorkan maklumat. Sebab itulah ramai percayakannya)
Yang membuatkan aku marah & sangat terluka hati, sebab senior itu mula menghina sore spot insecurity aku. Dan dia cuma marahkan senior itu dengan satu ayat sahaja.
Malam itu juga, aku minta Posto kecil asrama itu untuk pulangkan segala pemberiannya, nota-notanya, serta aku bayar semula dengan setiap sen yang aku ada. Aku anggap, dia bersetuju dengan senior tersebut. Dan itu sangat melukakan hati aku.
Pening posto kecil tersebut sebab si dia suruh beri semula, bertambah satu nota kecil yang aku tak pandang langsung.
Posto itu macam nak menangis bila aku berkeras suruh beri juga. Agaknya mengenali aku & kesiankan si posto, dia ambil kembali tapi pulangkan duit aku. Katanya, tak perlu. Dia ikhlas.
Tapi, aku yang ego dan bodoh sombong ini, berkeras suruh ambil juga. Aku katakan, aku bukan charity dia. Aku miskin, tapi tak kebulur lagi hendakkan makanan dari dia. Kasar betul, kan?
Aku bodoh dan terlalu mengikut perasaan. Hinaan senior itu tajam sehingga aku yang biasanya cepat membalas kata ni pun, tergamam.
Jadi, apalah yang aku expect dari dia yang memang semulajadi pendiam orangnya?
Dia berusaha lagi memujukku. Tapi, aku Yang keras hati ini, tak pedulikan langsung. Pula, tarikh peperiksaan penting semakin hampir. Dia akhirnya senyap tanpa sebarang pujukan lagi. Cuma selalu memandang & menjagaku dari jauh
Aku agak pelupa. Selalu terlupa mengambil beg kembali selepas pertandingan. Dialah yang menjaga sampai aku datang balik & ambil. Dia beritahu melalui orang lain untuk peringatkan aku.
Tapi aku & dia membisu sahaja keduanya. Sebenarnya, aku sangatlah tersentuh. Aku ingat, mahu berbaik selepas tamat peperiksaan besar tersebut.
Aku lupa. Aku si miskin ini manalah ada telefon bimbut untuk hubunginya selepas itu. Bertitik-tolak dari sini lah, kekesalanku datang.
Selepas dari itu, mana-mana lelaki yang datang, tanpa sedar akan aku bandingkan dengannya. Kualiti yang ada padanya sangatlah sukar aku cari pada lelaki lain.
Pernah aku jalinkan hubungan sekejap dengan seorang lelaki ini semasa mula bekerja. Tapi, sebentar sahaja. Sebab aku tersedar yang hakikatnya, aku sukakan lelaki tersebut sebab menyamai ciri-ciri dia.
Jadi, aku bukannya cintakan lelaki itu. Aku masih cintakan bayangan cinta pertamaku.
Benar sekali kerana, aku hanya merasa lega lepas putuskan hubungan. Mungkinlah rasa bersalah sedikit, tapi tiada perasaan cinta tersisa langsung.
Sejak itu, aku berhati-hati. Aku akan reflect diri sendiri jika aku tertarik dengan seseorang – adakah aku tertarik padanya kerana dirinya sendiri, atau sebab I saw the ghost of him? Setakat ini, semuanya sebab I saw the ghost of him.
Iyalah, aku ada adik lelaki. Aku tak mahu berlaku zalim pada anak lelaki orang lain. Aku sayangkan adik-adikku dan tak mahu mereka terkena tempiasnya jika aku menyakiti hati orang dengan cara begitu. Nobody deserves to be a rebound. It’s cruel and unfair.
Aku menunggu dia datang padaku kembali. Tapi, mungkin tersumpah juga aku ini.
Beberapa tahun lepas, dia berkahwin. Kelakarnya, isterinya punya nama yang menjadi insecurity aku.
Tak, isterinya tak pernah bersekolah sama pun. Tetapi nama isterinya sangat common yang selalu orang katakan padan dengan nama dia jika digandingkan. Nama isterinya selalu muncul di mimpi burukku.
Dan nama sama juga, ada di sekolah aku dahulu yang aku pernah dibandingkan – segalanya yang tiada pada diriku.
Anak orang kaya (aku bekas anak orang kaya), cantik putih melepak kemerah-merahan bermata bundar (aku putih pucat bermata sepet), keluarga baik-baik beragama (keluargaku biasa-biasa sahaja), manja (aku cengil), easy-going (aku tense), dan disukai semua (aku tersisih).
Bila aku tahu berita tersebut, aku runtun. Jiwa aku runtuh. Aku menangis semahunya malam tersebut sampai demam.
Mak ayah, ketahuilah yang kakak tak pernah sekalipun anti-perkahwinan. Kakak suka & bahagia melihat kawan-kawan kakak berkahwin & membina keluarga.
Kakak bersyukur bagi pihak mereka – cinta mereka berakhir indah. Doa perkahwinan yang dilagukan Maher Zain itu, kakak doakan seikhlas & sesungguhnya buat setiap pasangan yang kakak hadiri majlis mereka.
Cuma, kakak tak bersedia lagi. Kakak tak mahu menganiaya anak orang. Kakak nak kejar cita-cita lagi. Nak lunaskan hutang pada diri kakak yang terpaksa digantung sebentar semasa mula berkerjaya dahulu. Tapi, Wallahi kakak tidak anti perkahwinan.
Anak kalian cuma perempuan dalam pasungan. Aku terpasung pada janjinya untuk meletakkan aku di rumahnya. Dan terpenjara di indahnya masa lalu. Terantai oleh kekesalan silam yang tak mungkin terulang.
Kau orang tak perlu risau. Aku tak pernah mengganggu rumah tangganya. Aku hanya melihat & mendoakan dari kejauhan. Seperti yang pernah dia lakukan dahulu.
Ikhlas, aku bahagia melihatnya bahagia. Takkan pernah aku cemari. Jika dia berubah atau mencariku, tetap aku akan menolaknya. Sebab ini bermakna, dia bukan lagi dia yang aku cinta.
Aku hampir boleh move on. Kini, ada seorang lelaki yang buat aku berasa selesa & boleh bayangkan berteman hingga tua bersemanya. Ya, bukan cinta. Tapi berteman hingga tua-renta, saling menghibur dikala galau melanda.
Ramadhan semalam, Allah anugerahkan aku satu mimpi yang aku selalu minta Allah hadirkan. Aku bermimpi dia dan aku menjadi suami isteri.
Aku dapat mendengar dia menyebut “….. SUAMI AWAK ni…….” Dan “Awak kan ISTERI SAYA” . Aku rasa macam tak mahu bangun tidur.
Tapi, aku bersyukur. Dapat aku dengar walaupun dalam mimpi.
Ia macam satu ‘closure’.
Aku kira, Allah anugerahkan sebab aku mohon supaya Allah beri aku kekuatan untuk benar-benar move on, dan berikan jalan. Itulah closure supaya aku dapat berlalu dari rasa kesal.
Hmmm… panjang betul coretan. Maaflah kalau tak faham. Itu coretan meluah perasaan. Dah lama aku tak menulis bahasa jiwa. Hari-hari biasanya tulisan penuh angka & rangka untuk mencari laba sahaja.
Semoga, semua yang bercinta berakhir bahagia. Yang mencintai diri sendiri berhasil menggapai cita-cita. Yang kandas dapat keluar dari sesak di dada. Yang mencuba keluar dari pasungan, semoga kita berjaya.
Doakan aku.
– Heartless (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit