Per3mpuan Yang Bahagia Dengan Buku

Salam semuanya. Pernah dengar tentang kaki buku atau pencinta buku? Aku adalah salah seorang dari itu.

Sebelum ini, aku tidak terlalu giat membaca buku tetapi selepas berkahwin, ini menjadi aktiviti yang menenangkan hati selain beribadah.

Jika berjalan ke pusat membeli-belah, hanya dengan melihat kedai buku dari jauh sudah mampu membuatkan aku teruja.

Dan di sini, aku hendak berkongsi apa-apa kebaikan yang aku pernah temui sepanjang menjadi seorang pencinta buku yang tegar.

1. Mengenali ramai penulis yang mempunyai karya yang baik.

Sebelum ini, aku sebenarnya tidak begitu membaca novel-novel cinta tetapi setelah membaca senaskhah novel ini, kalau tak silap tajuknya My Precious Iris karya Melur Jelita,

Aku mulai percaya setiap penulis mempunyai genre tersendiri dalam penulisan serta mampu memberi pengajaran, didikan, teladan dan manfaat kepada masyarakat yang membaca karya mereka.

Maka mulai itu, aku membuka diri membaca novel-novel cinta yang ternyata banyak menyelitkan unsur-unsur ilmu agama yang sebelum ini, aku langsung tidak pernah tahu.

Hal ini mendidik itu agar jangan bersangka dengan karya orang lain, dan selalu mencari kebaikan yang ada dalam karya tersebut.

Aku juga mula pandai memilih karya-karya yang memberi manfaat dan kini, suka membaca novel cinta juga.

Aku teringat Buya Hamka, seorang ulama Indonesia yang juga menulis novel cinta. karyanya menyentuh bahkan setelah beliau tiada.

Aku membaca karya-karya Hamka dan juga Habiburahman El Shirazy, penulis novel Ketika Cinta Bertasbih dan Ayat-Ayat Cinta.

Untuk penulis tempatan, aku banyak membaca karya-karya penulis baharu dan lama seperti Hana Efriena, Fathi Fatim, Wawa Taufik, Anjell, Rehan Makhtar dan ramai lagi sebenarnya yang ada.

Bukan sahaja novel genre cinta, aku juga membaca karya novel misteri, seram bahkan karya Indie untuk mencari kelainan pada waktu tertentu.

Aku membaca juga buku Fixi tetapi ini aku sarankan remaja berusia 18 tahun ke bawah agar tidak membacanya atas sebab sebab tertentu.

Buku Fixi banyak yang menarik, begitu juga dengan terbitan Karangkraf, Buku Prima, Karnadya dan Dear Novel (ini antara rumah penerbitan karya seram dan misteri yang aku ingat).

Karya penulis yang aku suka gaya penulisannya Anuar Darwisy, Muhammad Fatrim, Ilya Abdullah, Maria Kajiwa serta beberapa nama lain, maaf aku tak berapa nak ingat.

Aku suka gaya penulisan mereka, karya juga sarat dengan mendidik audiens pembaca dan semoga selepas ini, lebih banyak karya yang mendidik ummah akan dihasilkan dengan mata pena mereka.

Ini sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sumber merakam kisah-kisah fiksi untuk pengajaran masyarakat tempatan, yang semakin tandus nilai kemanusiaan.

Penulis, kalian ada amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mendidik. Semoga dapat digalas dengan sepenuh hati.

2. Memotivasikan diri dengan membaca karya non-fiksyen. Selain membaca novel, aku juga banyak membaca buku-buku non fiksi. Orang sekarang kata, buku healing. Setiap bait kata bagaikan magik yang menyembuhkan.

Kalau singgah ke kedai buku, buku buku healing ini sudah banyak dijual bahkan di tiktokshop dan di instagram juga banyak yang sudah membeli buku sebegini. Di shoppe juga ada.

Antara buku non fiksyen yang pernah ‘menyembuhkan’ aku dari luka zaman silam adalah Dalam Dekapan Ukhuwah karya A. Sallim Fillah, seorang penulis dari Indonesia.

Karyanya masyaaAllah benar-benar menyentuh jiwa, seakan aku merasakan penulis itu sendiri yang sedang bercakap dengan aku.

Sejak itu, aku jadi pengumpul tegar karya-karya beliau untuk memotivasikan diri aku sendiri yang mudah nak down dan tertekan dengan situasi.

Kalau karya tempatan, sekarang aku membaca buku Tentang Dewasa karya Hafizul Faiz.

Banyak sebenarnya buku yang aku baca tetapi itu yang aku ingat, mungkin kerana memberi kesan yang mendalam kepada aku.

3. Memaknai karya-karya sasterawan dan tokoh bahasa, ini antara yang paling suka aku lakukan. Aku akan membaca karya-karya tokoh-tokoh ini dan menyiasat apa yang terjadi di sebalik pembikinan karya mereka.

Contohnya karya SN Datuk A.Samad Said, novel Salina yang diambil dari kisah zaman selepas peperangan zaman lampau.

Aku siap pergi ke program beliau ya hanya nak mendengar pengalaman beliau bercerita tentang proses pembuatan manuskrip.

Datuk A.Samad Said pernah bercerita zaman peperangan ketika beliau masih kecil dan disebabkan itu, aku tidak hairan jika karya-karya beliau banyak yang menyentuh tentang kekejaman penjajah dan kesan peperangan.

Begitu juga dengan karya-karya SN Shahnon Ahmad seperti novel SH1T yang pernah menimbulkan kontroversi suatu ketika dahulu.

Aku pernah dengar seseorang berkata, selepas baca novel SH1T, dia tak lalu nak makan untuk beberapa tempoh waktu.

Begitu juga dengan karya SN Datuk Zurinah Hassan, banyak yang tersembunyi dalam karya beliau dan amat menarik ya untuk dikaji,

Contohnya macam cerpen Kaduk, Ayam dan Raja serta buku bertajuk Pujangga Tidak Bernama, banyak kritikan sosial di dalam karya itu.

Seronok apabila kaji satu-persatu, betapa Malaysia ini kaya dengan karya-karya yang membina namun tidak ramai yang tahu. Sayang seribu kali sayang.

4. Mencipta bahagia dengan buku.

Dengan buku, aku boleh lari sebentar dari masalah dunia dan kalau membaca, suami aku sudah faham benar tabiat aku yang fokus dan orang kata, kalau bom meletup di sebelah pun mungkin aku tak sedar, huhu.

Suami aku beri duit nafkah bulanan dan duit itu memang aku khaskan untuk membeli buku, suami aku sudah faham benar kalau ada parcel datang ke rumah hehe sudah pasti itu buku akulah.

Mana ada orang lain hantu buku di rumah selain aku. Saat mencium bau buku yang baru, ya Allah nikmatnya itu bagaikan sangat bahagia hahaha.

Andai dapat aku berkongsi rasa, pasti aku mahu seluruh dunia juga merasakan kebahagiaan aku saat membeli buku, masuk ke kedai buku dan menghabiskan waktu terluang bersama helaian halaman buku.

Baiklah, ini sahaja yang hendak aku kongsikan. Kepada pencinta buku di luar sama, apakah kita ada rasa yang sama? hehe selamat menikmati buku anda dengan penuh cinta. Salam.

– Cik Bunga Matahari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *