Hi semua. Hari ini aku menulis bagi menjawab pertanyaan sahabat sekalian. Di mana ini entri terakhir aku bagi menjawab perkara berkaitan tips-tips pemilihan rumah dari entri sebelumnya.
Entri seterusnya adalah proses membeli rumah akan aku tulis setelah aku menerima kunci di mana tidak lama saja lagi.
Bagi rujukan aku telah punya 2 entri.
1) Pengurusan Kewangan Untuk Mendapatkan Rumah Yang Pertama, (https://iiumc.com/pengurusan-
2) Tips Untuk Memilih Rumah Pertama, (https://iiumc.com/rmhprtm/).
Terima kasih kepada yang membaca dan memberi kata-kata yang positif. Terima kasih kepada yang menegur kesilapanku berkaitan dengan jenis-jenis rumah dan sebagainya. Ilmu dan pengalaman ku amat cetek dalam bidang ini.
Berkaitan pengesahan LHDN, aku telah menghubungi pihak yang terlibat pada januari 2020 sebelum pkp bermula dan mereka menyatakan bahawa sewa rumah diterima bagi bagi pengesahan pendapatan.
Perlu menyediakan surat perjanjian rumah, penyata bank yang terlibat dan hadir ke pejabat. Ini sebelum pkp ya sahabat-sahabat.
Mungkin setelah pkp ada sedikit pindaan namun secara peribadi, tidak salah bagi kita menyediakan dokumen tersebut andai beberapa bulan kemudian mereka menerima sewa rumah sebagai pendapatan terus kita boleh dapatkan pengesahan.
Mengapa aku tidak memilih rumah strata sebagai rumah idaman/ impian?
Sahabat sekalian “nama pun rumah idaman/ impian”. Itu hanya pilihan peribadi. Ada kenalanku memilih untuk tinggal di kondo, apartment dan sebagainya. Bergantung kepada kehendak masing-masing.
Ada yang memilih rumah strata kerana rasa lebih secure berbanding rumah landed. Bergantung kepada kehendak masing-masing. Aku jadikan rumah idaman sebagai misi untuk aku capai.
Rumah idaman/ impianku adalah rumah yang mempunyai tanah untuk aku bercucuk tanam, kejiranan yang harmoni tidak kira bangsa, sekolah, kedai dan fasiliti yang baik.
Rumah yang aku sewa sekarang merupakan rumah idamanku cuma dengan gaji pokok hanya RM1500 aku tidak akan mampu.
Rumah yang aku beli ini merupakan permohonan yang ke dua. Mengapa? Permohonan aku yang pertama di tolak ekoran gaji pokok yang kecil dan komitmen yang besar.
Gaji aku hanya lepas loan bagi rumah berharga 120k kebawah sahaja. Aku tidak memilih untuk menamatkan Asb kerana aku bercadang menjadikan asb sebagai simpanan tua ku.
Aku bekerja swasta sahabat sekalian. Perlu ada perancangan bagi masa hadapan. Duit dividen tidak ku sentuh, aku biarkan sahaja menjadi simpanan kecemasan.
Disebabkan itu aku memilih untuk melabur di kawasan strata berada di tengah bandar, ada warga asing namun fasiliti yang lengkap bagi penyewa.
Aku sendiri pernah menyewa di kawasan strata sama seperti yang aku beli.
Bagi seorang penyewa aku memang tidak selesa dengan kejiranan namun kemudahan pengangkutan, pasaraya, klinik, akses jalan raya dan kos yang rendah menjadi keutamaan aku.
Kemudian aku membeli di bawah harga pasaran, di mana setelah 5 tahun kerajaan tidak akan mengenakan cukai andai aku mahu menjual rumah tersebut.
Ya, aku tidak bercadang tinggal di rumah tersebut. Aku mengutamakan untuk mencari pendapatan pasif.
Aku tidak memilih untuk berkongsi slip gaji dengan keluargaku bagi membeli rumah kerana aku risau akan kemudian hari. Di samping itu, “partner” aku sudah punya aset hartanahnya tersendiri.
Aku membeli rumah kos rendah sebagai pelaburan kerana aku memerlukan kewangan yang stabil bagi membina rumah-rumah kecil 1 bilik di kampung.
Ini bagi mendapatkan pendapatan pasif dikemudian hari di samping aku dapat membantu keluarga yang memerlukan dengan menawarkan harga sewa yang paling minimum.
Sebelum aku membeli rumah strata tersebut, aku melabur membeli tanah yang amat kecil di kampung. Harga tanah di kampung tidak semahal di bandar.
Selain itu pemilik tanah tersebut turut memerlukan wang yang cepat kerana terkesan dengan pkp sebelum ini dan masalah yang lain nya.
Harga lot tanah kecil tersebut kurang dari 10k. Masih dalam urusan dengan pejabat tanah namun pemilik merupakan kenalan bapaku jadi urusannya agak mudah.
Selain itu turut aku laburkan dengan menanam getah di lot yang sama. Pasti ada yang bertanya mengapa bukan kelapa sawit? Aku memilih getah walaupun harga getah menjunam jatuh kerana bapa dan ibuku merupakan penoreh getah.
Di mana aku turut punya pengalaman menguruskan getah. Dari menanam hingga menoreh dan mengutip getah. Modal hanya biji getah dan bapa ku “mengahwinkan” anak getah itu sendiri.
Kelapa sawit aku tidak mampu. Sama masih dalam proses menanam dan masih jauh perjalanan ku.
Lot tanah tersebut merupakan liabiliti bagi ku, kerana getah hanya boleh ditoreh selepas 6 tahun. Wang bagi membina rumah kecil masih tidak aku ada.
Disebabkan oleh itu aku memilih untuk melabur dengan membeli rumah strata bagi mendapatkan wang bulanan di samping meningkatkan jumlah gaji pokok aku.
Ini merupakan cara aku untuk mendapatkan pendapatan pasif bagi persediaan masa yang akan datang. Sama ada untuk membeli rumah ke dua sebagai pelaburan mahupun sebagai rumah idaman. Aku berharap agak sahabat sekalian tidak salah faham.
Aku bukan mahu menunjuk, aku hanya berkongsi cerita bagi aku mendapatkan pendapatan pasif dengan melabur dalam bidang ini.
Andai pihak sahabat punya pendapat yang lebih bernas amat aku hargai dari pihak sahabat sekalian amat aku hargai.
Terima kasih kerana masih sudi membaca entri aku.
Sekian.
– Cik Muna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit