Perang Emosi Seorang Anak

Assalammualaikum, terima kasih pada admin kerana sudi menyiarkan confession ini. Terlebih dahulu aku mohon maaf jika setiap patah kata aku bisa menyakiti setiap hati yang membaca.

Hangat diperkatakan kini tentang Ustaz yang menceraikan isterinya ketika berbadan dua. Tulisan ini bukanlah untuk bercerita tentang hukum agama atau mengeluarkan apa-apa fatwa kerana aku bukan pakar dalam bidang ini. Tulisan ini bukanlah tentang perkahwinan. Tulisan ini lebih menjurus tentang suara hati anak mangsa penceraian dan anak-anak tak sah taraf.

Aku tidak mahu menunding jari kepada pihak perempuan atau pihak lelaki atau orang ketiga di dalam hubungan siapa-siapa. Aku hanya mahu menyuarakan perang emosi seorang anak. Ya ia lebih kepada perang emosi seorang anak yang mungkin kalian tak pernah menyedarinya.

Sekali lagi aku mohon maaf jika ada yang tersinggung. Apa yang akan kalian baca nanti adalah cebisan kisah aku dan aku dapat rasa bahawa anak-anak senasib aku sahaja yg akan faham tentang rasa ini.
Bincara tentang nasib setiap orang memang tak akan sama. Penerimaan kita apabila ditimpa dugaan, dan cara kita menanganinya adalah berbeza. Sedar tak sedar, cara kita hadap dan terima dugaan itu bergantung kepada diri kita sendiri dan juga orang persekitaran kita.

Apa yang aku boleh katakan, orang kita sangat-sangatlah negatif. Selalu kata “alah relaks la ada yang lagi teruk daripada kau. So kau chill sudah.”

Tapi adakah kalian faham apa yg dirasai sebelum keluar kata-kata yang acah-acah strong dan membina itu?

Mungkin aku berbaur sinis dan penuh kebencian, tapi aku mahu kalian faham, aku begini kerana tiada siapa ada bersama aku untuk mengharungi hari-hari sukar. Hanya kenalan rapat yg datang sekejap lalu pergi. Kepada yg masih bersama, aku sangat menghargai kalian. Namun aku yakini hanya Allah sahajalah yang paling memahami dan mengerti.

Wahai ibu bapa dan bakal-bakal ibu bapa diluar sana.. Jagalah perasaan seorang anak. Tahu tak betapa peritnya hati kami bila mengetahui bahawa kami ini adalah anak yang dibuang kalian. Dibela keluarga angkat, ada yang di rumah anak yatim. Ada yg bernasib baik dan ada yang tidak. Mungkin kami dilihat gembira, tapi dalam hati, setiap malam pernah tak kalian merasai perit yang kami tanggung?

Adakah kalian merasakan kami cukup faham tentang ketidak serasian antara kalian? Penceraian yang terjadi atas orang ketiga adalah sesuatu yg membuatkan kami buntu untuk memahaminya. Dikala akal yg masih kecil kami terpaksa untuk cuba menerima perpisahan yang kalian minta. Ada yang terpaksa menerima muka-muka baru dalam keluarga mereka. Mungkin ada yang suka tapi berapa ramai yang duka?

Bagaimana kami nak menghadap orang sekeliling? Lagi-lagi berbin dan berbintikan Abdullah. Di hari kami mahu berjumpa bakal mertua, yang perempuan jenuh nak mencari mana walinya sedangkan ibu langsung tak mahu berbicara. Yang ayah diam seribu bahasa walau kau tahu ada warismu yang ditinggalkan tanpa pernah kau menjenguknya.

Mungkin pada pasangan kami dia okey, tapi mungkin tidak okey pada keluarganya. Zaman moden sekarang ni jangan pernah bilang tiada yang masih mementingkan keturunan. Masih ada orang-orang seperti ini dan memandang jijik kepada anak-anak seperti kami.

Tahukah kalian berapa ramai antara kami dilukai hanya kerana status tidak sah taraf? Yang lelaki mungkin boleh tarik nafas lega. Manakala yang perempuan berlinangan air mata. Jika diketahui asal usul dari kecil, mungkin tiada masalah. Tapi apabila mengetahui status diri ketika beberapa bulan sebelum majlis berlangsung, remuk seluruh jiwa dan raga.

Jangan fikir tiada bawang di luar sana yang masih sibuk mahu mencari punca penceraian kedua ibu bapa. Hasad dengki ni, sampai kiamat pun takkan pernah habis. Kepada sesiapa yang berjumpa dengan yang baik alhamdulillah. Dan aku yakin, yang pernah dihina itu adalah dugaan. Dugaan untuk lebih kuat di masa hadapan. Akan kita ketemui orang yang baik satu hari nanti. Dan satu hari nanti itulah yang tidak pasti.

Seperti yang aku katakan tadi, setiap nasib manusia berbeza. Aku terpanggil untuk berbicara dan semoga tulisan aku ini dapat mendamaikan dua jiwa yang mungkin dalam proses perpisahan. Semoga tulisan yang tak seberapa ini juga mampu menyedarkan anak muda dari terus bermaksiat sampai melahirkan anak luar nikah.

Baca dengan hati yang tenang dan fahamkan. Setiap sesuatu itu terjadi ada sebabnya. Wahai ibu bapa dan bakal ibu bapa di luar sana. Tak mudah untuk seorang anak bina keyakinan semula terhadap instituisi kekeluargaan yang telah dirapuhkan kalian. Bukan mudah, dan tidaklah sukar untuk kami yakinkan diri semula dengan kasih sayang dari kalian dan orang di sekeliling kami.

Akhir kata maaf sekali lagi dan semoga kita semua saling mengasihi antara satu sama lain tanpa memikirkan status dan asal usul seseorang itu.

– Inamie

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *