Perang Psikologi Antara Menantu Dan Mentua

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera…

Niat saya menceritakan semula konflik rumah tangga saya bukanlah untuk mengaibkan sesiapa tetapi saya berharap pembaca yang masih terperangkap dalam konflik ambil iktibar kisah saya dan fokus kepada langkah bagi menghadapi situasi sebegini atau seumpama…

Pertama, kena faham berkaitan aib…

Membuka Aib yang Dibenarkan Syarak

Aisyah RA meriwayat sepotong hadis, kata beliau:
قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik’”

(Riwayat Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang:

1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.

2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.

3. Meminta fatwa daripada mufti.

4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.

5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.

6. Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.

Kerana Islam itu indah dan memartabatkan wanita, kita yang pilih jalan menzalimi diri sendiri. Jika kita jadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan InshaAllah ujian berat terasa ringan…

LATAR BELAKANG SAYA:

– Anak tunggal kepada arwah ibu saya.

– Ibu bapa dah meninggal dunia selang setahun ketika usia saya awal 20-an.

– Ada ibu tiri (isteri pertama) yang baik tapi kurang sihat serta tinggal bersama kakak.

– Poligami harmoni, dengan izin dan membesar bersama walaupun kedua ibu tinggal berbeza negeri. Arwah ayah sentiasa berusaha berlaku adil. Zmn kanak-kanak yang harmoni.

– Keluarga ibu tiri juga menganggap arwah ibu saya sebagai keluarga mereka kerana arwah ibu saya anak yatim piatu di usia awal 20-an dan merantau.

– Berpendidikan sekolah agama dan berprinsip percintaan selepas nikah walaupun berpenampilan moden. Bukan hafizah tetapi saya tau ada hukum sekian² dalam surah sekian². Saya suka merujuk orang yang alim untuk pengesahan kekeliruan bab hukum hakam.

– Kerjaya bahagian pemulihan dalam sektor kesihatan dan mengaplikasi ilmu psikologi manusia semua peringkat usia dalam pemulihan. Ada beza tingkahlaku dan kognitif manusia tipikal dan atipikal. (Saya rahsiakan nama kerjaya saya kerana kerjaya saya ni unik dan tak ramai. Mudah sangat nak kenalpasti)

LATAR BELAKANG SUAMI (cerita sebelum konflik tercetus) :

– Anak tunggal kepada ibu tunggal(bercerai).

– Awal perkenalan, langsung tak bercerita tentang ayahnya dan mengatakan ayahnya menceraikan ibunya sejak dia dalam kandungan.

– Kakak ibunya (mak C) yang mengambil alih tugas seorang bapa membesarkan suami saya.

– Berpendidikan sekolah agama dan degree sub-bidang agama. Bukan hafiz Quran tetapi fasih bercakap Arab serta boleh tahu surah yang baca tu salah dan di mukasurat mana, surah apa.

– Kerjaya bidang teknokrat.

LATAR BELAKANG MERTUA (cerita sebelum konflik tercetus) :

– Seorang isteri yang tersakiti membesarkan anak tunggal sendirian dan bangga tak tuntut apa-apa dari bekas suami termasuk nafkah anak.

– Seorang menantu yang disayangi mertua walaupun dah berpisah. Kahwin sepupu, kalau tak sayang sebagai menantu pun masih ada rasa sayang sebagai anak saudara.

– Seorang mertua yang lemah lembut dan kuat amalan sunat dan wajibnya.

– Keturunan yang dihormati penduduk kampung kerana arwah ayahnya bekas berjawatan disegani.

PENCARIAN JODOH

Hukum Berkahwin Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan bahawa hukum asal berkahwin adalah sunat (Al-Jaziri, 1999). Asasnya adalah kerana perkahwinan berkait rapat dengan keinginan nafsu manusia secara fitrah (Al-Zuhaili, 2015). Setiap manusia mempunyai keinginan secara semula jadi untuk berpasang-pasangan.

Hukum berkahwin yang asal ini boleh berubah kepada hukum lain bergantung kepada situasi atau keadaan individu yang ingin berkahwin.

Hal ini bermakna setiap individu Muslim mempunyai hukum berkahwin yang berbeza di antara satu sama lain, sekiranya keadaan dan situasi mereka berbeza. Fuqaha telah menjelaskan hukum ini seperti mana berikut:

i.Sunat

Bagi seseorang yang kecenderungan dan keinginannya untuk berkahwin berada dalam keadaan sederhana yang mana dia tidak khuatir dirinya akan terjebak dalam perkara maksiat sekiranya dia tidak berkahwin pada ketika itu. Dia juga tidak khuatir akan menzalimi pasangannya sekiranya berkahwin.

Pada masa yang sama, dia juga mempunyai kemampuan untuk menyediakan bekalan perkahwinan seperti mas kahwin dan nafkah (Mustafa Abd al-Ghayy, 2001).

ii.Wajib

Bagi seseorang yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin dari aspek penyediaan harta seperti mas kahwin dan nafkah, mempunyai keinginan nafsu yang tinggi untuk berkahwin dan berkeyakinan sekiranya dia tidak berkahwin pada waktu itu, keadaannya itu boleh mengundang kepada berlakunya perkara yang membawa kepada kebinasaan seperti berzina dan sebagainya (Mustafa Abd al-Ghayy, 2001).

Individu seperti ini yakin bahawa tiada cara lain yang boleh menyelamatkan dirinya daripada jatuh dalam lembah kebinasaan meskipun melalui ibadat puasa (Al-Zuhaili, 1997) melainkan hanya dengan berkahwin sahaja (Al-Jaziri, 1999).

iii.Makruh

Bagi seseorang yang khuatir tidak akan melaksanakan tanggung jawab sebagai pasangan rumahtangga dalam memberi hak kepada pasangannya.

Keadaan ini merangkumi bagi seorang perempuan yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin dan juga tidak berhajat untuk mendirikan rumahtangga. Bahkan dia tidak merasa khuatir akan berlakunya kebinasaan berbentuk maksiat sekiranya dia tidak berkahwin pada waktu itu.

Begitu juga bagi seorang lelaki yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin dalam keadaan tidak berkemampuan untuk menyediakan mas kahwin dan nafkah (Al-Jaziri, 1999).

Dimakruhkan juga berkahwin bagi seseorang yang meskipun berkemampuan dari aspek penyediaan harta seperti mas kahwin dan nafkah, tetapi mempunyai penyakit yang boleh menghalang dirinya untuk bersekedudukan dengan isterinya seperti penyakit-penyakit yang diharuskan untuk tuntutan fasakh (Baafdhal, t.t.).

PIHAK SAYA

Sejak ibu bapa saya takda, saya tinggal sendirian di rumah pusaka arwah ibu. Dan mak tiri saya jenis tak boleh tinggal sorang, nanti dia bosan. Rumah taman pulak tu, kedai jauh. Saya pulak banyak outstation atas tuntutan kerja masa tu dan untuk hilangkan rasa sunyi saya juga sambung belajar jarak jauh ulang-alik ke KL.

Taman tu pulak taman penuh surirumah dan geng pencen(seusia arwah ayah ibu). Disebabkan saya bujang, saya tak dimasukkan pun dalam group taman sebab ada perkara yang orang bujang tak sesuai baca katanya.

Tapi sebenarnya ada yang takut saya ngorat suami diorang la, ada yang memantau takut saya bawak lelaki ajnabi balik rumah buat maksiat la. Bukannya nak kesiankan saya yang sedih ni, berfikiran negatif lagi.

Iman saya masih utuh lagi, ingat anak diorang ja lulusan agama oversea kuat iman, anak orang lain lulusan Malaysia ni iman lemah dipijak-pijak sampai nak berzina kena tunggu ibu bapa meninggal dulu. Dahla bergosip kat mak tiri saya pulak tu.

Sejak tu mak tiri saya tak nak bercampur dengan manusia negatif macamtu, sengaja mencari-cari keburukan orang.

Tak cukup lagi, kebetulan saya ni bertugas di luar bandar dan untuk jawatan saya kalau luar bandar walaupun muda, kerja seorang dan dah jadi ketua unit. Jadi insecure la isteri-isteri orang kat situ takut la staff lelaki bujang kat situ kahwin dengan saya. Apa la nasib staff bujang situ.

Saya ni kalau nak menggatal, boleh sangat. Siapa taknak perempuan macam saya, ada harta, ada kerjaya jawatan, cuci kaki je kahwin dengan saya. Tapi saya kekalkan sikap profesional.

Saya hanya jumpa untuk urusan kerja tanpa guna nada lemah gemalai sebab ton suara saya memang tak lemah lembut mana pun, mungkin sebab tu takda lelaki berani gurau gatal dengan saya atau berani tegur nal kenal kecuali urusan kerja.

Macam saya cakap antara tugas saya memberi rawatan pemulihan pada yang ada masalah kesihatan mental. Ada yang stress sebab masalah pasangan tak memahami.

Jadi kadang sesi tu kena meluah kat saya yang bujang ni, kadang saya dah pesan untuk sesi seterusnya bawa pasangan sebab nak dengar dari pasangan dan fahamkan pasangan tentang masalah kesihatan dia.

Tapi kadang ada yang tak bawa sebab pasangan sibuk. Jadi saya risau dengan kerjaya saya ni nanti satu hari jadi fitnah dan kena serang dengan pasangan yang sakit tu pulak.

Jadi satu hari datang idea gila-gila saya, saya pun up status FB nak mencari jodoh untuk sesi taaruf. No couple, ada interview je.

PIHAK SUAMI (tahu lepas kawen)

Mertua dah ada calon yang dia berkenan tapi semua suami saya taknak. Sebab suami saya cuma nak calon isteri tu mesti anak yatim piatu dan serba tunggal. Suami saya siap cari calon di rumah anak yatim, pun takda.

Tiba-tiba ada saudara jauhhhh suami saya dia terdengar gosip atau kewujudan saya yang melengkapi syarat suami saya tu dari rakan baik kakak saya.

Sebenarnya kawan kakak saya tu nak kenalkan dengan orang lain, tapi biasalah kuasa mulut ke mulut ni entah sapa-sapa je yang dapat info tu dan sailang. Kebetulan calon yang nak dikenengkan tu pun tak nak teruskan. Jadi diorang pass la maklumat saya kat suami saya.

TAARUF

Taaruf berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu “ta’rafa – yata’arafu” yang bererti “saling mengenal”.

Dalam bahasa mudahnya, maksud taaruf adalah sesi perkenalan, ice breaking, berkenalan, dan apa sahaja yang sama maksud dengannya.

Dari segi istilah pula, maksud taaruf adalah sebuah proses perkenalan antara dua insan untuk mencari keserasian menuju kehidupan berkeluarga yang dikenali sebagai pernikahan.

ADAB TAARUF

– Luruskan niat taaruf untuk serius menikah bukan untuk mempermainkan orang lain.

– Menjaga pandangan mata dan hati dari yang diharamkam.

– Topik pembicaraan tidak mengandungi dosa dan tidak berkisarkan tentang berahi.

– Tidak bersentuhan fizikal.

– Masing-masing melindungi aurat diri.

– Tidak melakukan khalwat atau berdua-duaan.

PROSES TAARUF

1. Bertanya sebanyak yang boleh,

Antara soalan saya tanya:

– Berkahwin atas paksaan orang tua atau ikhlas kerana tertarik pada personaliti saya?

– Sudikah dia redha dengan kerjaya saya untuk masyarakat dan berjanji tidak akan memaksa saya berhenti kerja?

– Adakah segala keputusan rumahtangga kami nanti akan dipengaruhi mak C nya dan maknya?

– Adakah dia mampu menerima segala kekurangan saya dan saling melengkapi?

– Andai diuji mendapat anak kurang upaya atau tidak dapat melahirkan zuriat, sudahkah dia bersedia mental dan fizikal termasuk keluarganya menerima ujian tersebut? (ni saya minta dia bincang dengan ibu dan mak C nya)

2. Menggunakan orang tengah

– Mula-mula mesej melalui mak dia. Lepastu kami mesej berdua saja untuk urusan repair komputer dan urusan bertunang dan bernikah.

3. Mengadakan pertemuan

– Pertemuan semasa merisik di rumah kakak saya. Ada juga wakil dari keluarga mak tiri saya.

4. Jelaskan matlamat perkahwinan yang ingin dibina

– Syarat yang saya tekankan berkali-kali:

– Saya bekerja outstation + hujung minggu travel untuk belajar jarak jauh, jadi saya memang tak mampu menjadi menantu idaman atau isteri idaman yang boleh siapkan kerja rumah dan luangkan masa seperti normal pasangan berkahwin lain. Masih nak kahwin dengan saya ke?

– Selepas kahwin saya nak tinggal di rumah sendiri.

– Suami tidak akan paksa saya pindah tinggal bersama mertua.

– Tanya perancangan beliau sanggup untuk ulang alik kampung ke rumah pusaka ibu saya ug sekarang atau tidak?

– Perjawatan kerja saya amat sedikit dalam Malasyia ni dan tak mudah untuk mohon berpidah berdekatan kampung beliau (kerana nak dilepaskan kena ada pengganti, tapi siapa nak kerja luar bandar), saya minta dia janji tidak akan paksa saya berpindah kerja.

5. Tidak mengambil masa yang lama

– Pihak saya minta beri tempoh sehingga saya habis semester sebab pihak lelaki amat tergesa-gesa, bertunang selepas 2 minggu merisik dan majlis selepas 3 bulan bertunang. Malah mak C nya memang dah tunjuk redflag yang agak tidak beradab terhadap keluarga besan.

Lagipun takda sapa boleh bantu saya urus persiapan kahwin sebab perkahwinan ni tak terancang, jadual rawatan saya dah penuh sebab saya lah ketua unit, saya lah juga perawat. Jadi saya dah bgtau majlis sebelah saya memang ala kadar saja, dalam Islam pun menuntut majlis untuk menghebahkan perkahwinan.

6. Jaga keselamatan diri

7. Istikharah dengan bersungguh-sungguh

– Dalam berdoa, istikharah, saya juga mengharapkan kalau suami saya ni bukan jodoh saya. Tolonglah halanglah perkahwinan ni dengan apa cara sekalipun. Saya redha.

Malah hampir setiap hari saya berpesan pada suami, kalau nak putus tunang jangan segan bagitau saya. Sampai sehari sebelum nikah & majlis sebelah saya pun saya beri lagi peluang jika nak batalkan perkahwinan.

Sebabnya saya rasa macam “smooth” sangat, macam “rare” sangat nak jumpa ibu tunggal yang ada anak tunggal tapi tak “control” . Sebab mak C dia memang nampak “control” sangat tapi suami saya cakap mak C dia duduk KL jadi jarang balik kampung.

*Too good to be true” sangat situasi masa tu tapi saya sedapkan hati saya mungkin saya ni bersangka buruk sebab banyak sangat urus kes rumahtangga orang. Mungkin memang betul bakal mertua ni mertua kiriman syurga.

PERJANJIAN PERTAMA YANG DIMUNGKIRI

1. Semasa tempoh bertunang, saya dah bagitau majlis kawen ala kadar saja dan tolong beritahu keluarga dia jangan over expectation. Kalau tak setuju, boleh putuskan tunang.

Keluarga belah suami termasuk mertua kecewa sangat-sangat kerana majlis saya melambangkan saya tak meraikan mereka dan tak ikhlas nak berkahwin.

Malah saya langsung tak dimasukkan dalam group keluarga dengan alasan tu untuk anak cucu cicit ja bukan untuk ipar duai. Saya tak kisah sangat bab group whatsapp sebab saya jarang respon even dalam group whatsapp family saya.

2. Saya bagitau saya ni susah cuti tapi saya kosongkan jadual saya untuk seminggu selepas majlis sebelah lelaki untuk kami pergi honeymoon + dating yang sebenar. Sebab taaruf dalam telefon ja kot.

Mertua tak bagi ke mana-mana seminggu tu sebab nak suruh kami ronda rumah sedara mara, bau-bau bacang kat kampung tu seolah olah saya ni pergi kerja tak kembali. Macam takda hari lain nak suruh ziarah. Apa guna buat kenduri kalau nak kena kenalkan diri satu-satu.

Last-last mujur ada pak C tolong backup suami, dapatlah kami keluar honeymoon dua kali itupun 2 hari semalam disertai gangguan telefon tanpa henti oleh maknya. Dating serupa tak dating.

3.. Saya pernah tanya nak kahwin dengan saya sebab personaliti saya atau sebab paksaan orang tua. Suami saya kata sebab dia sendiri pilih nak kahwin dengan saya.

Terkantoi pulak masa pergi ziarah rumah sedara suami. Diorang tercakap “Akhirnya makbul juga nak kawin dengan yatim piatu anak tunggal, boleh tinggal dengan mak sekali”.

Anda rasa macamana perasaan saya masa tu? Pernah kena “scam” ? Begitulah rasanya tapi saya cuba kawal sebab jaga aib suami. Sedara dia perasan tersalah cakap sebab riak muka saya berubah, terus ubah topik.

MISI MENGAMBIL HATI MERTUA

Saya ni jenis husnuzon sebab personaliti dan juga kerjaya saya ni memang kena empati kat orang lebih. Jadi banyak redflag tapi saya anggap tu perkara remeh dan cuba langkah-langkah asas seorang menantu nak mendekati mertua.

Sebab saya dengan suami bergaduh banyak sebab ketidakpuasan hati mertua dari awal taaruf sampai kami dah nikah yang diulangsiar setiap hari dan suami wajib tegur saya serta pikat hati mertua. Sakit hati tu ya sebab sekarang kelihatan pihak suami play victim tapi saya memilih untuk membalas bunga pada si pemberi racun.

LANGKAH 1: MENGALAH DAN AMBIL HATI

Tak kira kita diuji macamana pun. Mulakan duli dengan langkah pertama berbuat sebanyak kebaikan yang boleh. Sebab kuta nak tau mertua ni memang tak boleh terima kita sebab dia belum mengenali kita dengan rapat atau memang mertua dah tetapkan dia benci kau sampai mati.

Macam kes yang saya pernah urus, ada yang mertua dia lembut hati dengan kebaikan menantu dan akhirnya dapat terima menantu. Tapi ada juga kes sampai mati pun taktau kebaikan menantu dan meninggal dalam keadaan memfitnah menanti serta tak sempat meminta maaf pun.

KEBAIKAN DIBALAS TUBA

1.Beri hadiah

– Pakai sekadar ambil hati, lepastu pulangkan semula. Kita beli buku untuk mertua, dia pulangkan balik alasan dah tua, saya yang patut menuntut ilmu banyak. Tapi kalau orang lain yang mertua berkenan bagi apa-apa tak pernah pulangkan pun. Duit pun taknak.

2. Sambut hari jadi

– Pesan lepasni jangan buat, mertua tak suka makan luar, jalan-jalan. Nak duduk rumah. Tapi bila keluarga adik dia ajak berjalan, boleh pulak ikut sampai rentas negeri. Sampai keluarga tu bg nasihat kekonon kami ni rajin-rajinla bawak mertua tu berjalan. Diorang taktau mertua tu yang takmau itu ini.

3. Ulang alik rumah mertua

– Dah pesan kat mertua, yang mana tak larat tak payah paksa buat. Nanti saya buat. Tapi mertua ni jenis nak orang ikut cara dan urutan masa dia buat kerja. Pantang larang pun banyak.

Dahla saya ni diwajibkan balik hujung minggu yang takda kelas ke rumah menantu, rumah pusaka mak ayah saya sendiri tak terkemas. Letih mental, fizikal masa ni dengan suami tak memahami & tak membantu, tahu komplen je. Jauh ye walaupun satu negeri umpama Utara ke Selatan jaraknya.

Mertua cakap menanti si polan siap ulang alik rentas negeri lagi, kenapa saya tak boleh? (unsur-unsur nak suruh pindah duduk serumah, sebab kesian anak laki dia letih ulang alik)

Akhirnya dipendekkan cerita, saya kemalangan dan akibat trauma dapat dipindahkan tanpa pengganti. Bermulalah episod tinggal di rumah mertua.

SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT

Bermula dengan aduan remeh yang diperbesarkan dan diulangsiar setiap hari pada suami(sebagai orang tengah).

Contoh aduan remeh:

– Tidak suka saya minum teh ais. Air ais lain takpa mcm Milo ais. Sampai kena seludup teh ais dalam beg. Apa dosa teh ais tu?

– Basuh pinggan jangan bunyi, tanda protes buat kerja.

– Masak pun jangan bunyi macam chef, tanda protes buat kerja.

– Jangan simpan kuah lama-lama, penuh peti ais. Sebab saya sorang je makan pedas, dan saya akan masak semangkuk untuk ulang makan berkali-kali.

– Jalan jangan bunyi, biadap protes. (lantai kayu, saya jln mcm jnis berbunyi tu)

– Masuk bilik kelamin saya dan suami untuk ambil baju kotor suami dan baju yang dilipat disusun dalam almari suami. Pakaian saya, saya urus semua sendiri.

– Larangan saya tengok handphone, TV siaran myTV. Bagi tapi komplen belakang, serupa tak bagi la.

– Keluar bilik air nak ke bilik tidur kena lintas dapur dan bilik mertua dulu. Kena pakai menutup aurat penuh. Itupun dituduhnya saya berkemban dan tak hormat mak mertua tak tutup penuh. Takda ajnabi pun dalam rumah tu.

– Tak boleh tertinggal ayat atau ubahsuai ayat yang sampaikan maksud sama, kadang terlupa tertinggal ayat. Terus cop saya suka cakap putar belit dan menipu. Tu malas cakap dah.

Disebabkan serba serbi tak kena, dan terlampau banyak larangan. Cara paling efektif nak kurangkan point mertua cari keburukan saya, saya memilih banyak duduk dalam bilik. Sedangkan saya ni peramah, orang tua muda budak-budak, cukup suka sembang dengan saya.

Kejutan budaya juga bila keluar mertua tak boleh melawak langsung. Sebab setiap pergerakan saya menjadi satu point kesilapan saya. Anda rasa anda boleh hidup ke situasi macamtu? Saya ada rumah sendiri, tapi dipaksa duduk dengan mertua.

Dah mengalah untuk duduk sekali, layan kita macam mengemis atau menumpang menyusahkan orang tua pulak. Saya ada group whatsapp kerja dengan group belajar sebab saya buat 2 in 1. Memang saya buat surat atau powerpoint yang simple edit melalui handphone saja.

Sesekali tengok cerita kat phone sebab takda TV. Dosa besar sangat kalau mertua nampak. Last-last kena tuduh menantu tu asyik tidur dalam bilik.

Pernah tahun pertama kawin, sedara mara puji nampak perubahan pada suami saya dah pandai bergurau, menyakat. Dulu diam hadap kerja dia je depan komputer. Tak sangka hal sembang kosong macamtu pun jadi masalah bagi mertua.

Dia mengadu pada suami saya, tak suka perubahan suami saya. Dia anak dia yang dulu. Lagipun dia kata saya ni talam dua muka depan orang, tak suka orang puji saya. Pulakkk macamana nak tahan tetamu dari cakap pasal saya dah kalau rumah tu macam RnR, ada je yang menyinggah.

Suami saya ni pulak bukan jenis melepak. Jadi dia memang takda kawan nak meluah atau kongsi rasa. Saya lah kawan dia tapi bab macamni bila dia luah kat saya, akan jadi konflik mertua-menantu la. Saya dah tegur suami, dia kena minta orang alim lain nasihatkan kami berdua.

Tapi dia kata mak dia tak salah, saya punca segalanya. Tapi konsep suami saya bukan nak berbincang lebih kepada nak respon pada aduan dan arahkan saya berubah ikut kehendak mak dia. Kerana itu tercetuslah pertengkaran.

Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak.

Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”
(Surah Ali-Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.

Apabila berhadapan dengan keluarga dan pasangan yang play victim atau bersifat narsistik, anda kena mula mencari ilmu dan memperbaiki kepincangan diri terlebih dahulu.

Sebab anda akan di brainwash hari-hari anda la punca, andalah jahat, andalah yang tak reti itu ini, andalah segalanya yang buruk. Bila anda di provok sebegitu dan cuba mengingatkan pasangan tentang hakikat, anda akan dituduh pula mengungkit seperti lirik lagu,

“Bukannya sengaja ku mengungkit

Tapi kau sengaja yang membangkit

Akulah tempat engkau mengadu

Dan akulah juga yang tertipu ” – lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit

– Healer (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *