Perangai Bos Designer

Assalamualaikum semua. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih pada admin sebab siarkan kisah aku sebelum ni – Aku, Graphic Designer. Kepada para pembaca, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk baca kisah yang tak seberapa tu, terima kasih juga pada yang memberi nasihat. Dan terima kasih admin kalau dapat publish sekali lagi confession aku ni. Kali ni aku nak cerita pasal bos aku. Pernah bekerja oversea, pernah bekerja dalam syarikat besar, pernah pegang jawatan tinggi, dan sangat berbakat, otak kreatif. Successful dalam usia yang muda, tapi dia tinggalkan pangkat dan kesenangan dia untuk melangkah dunia baru – buka company sendiri. Dan aku, staf pertama dia dalam company tu (ada 2 orang staf saing aku tapi kerja tak lama). Bos aku ni seorang yang merendah diri dan peramah yang terlebih sampaikan dengan orang gila pun dia boleh ajak berbual. Aku pasti ramai yang tak puas hati bila aku kata gaji tertunggak untuk beberapa bulan. Kenapa aku tak berambus? Baiklah, aku ceritakan. Pastikan baca sampai habis.

Selain daripada job design, bos aku juga seorang photographer. Dulu dia memang ambil job wed photog, cuma sekarang dah kurang sebab dia kata ‘kamera saya dah tua’ & ‘takde org nak hire photographer veteran’, haha. Aku sempat merasa ikut dia pergi ambil gambar pengantin few times, terasa awkward sangat sebab aku bukan jenis budak grafik yang usung kamera ke sana sini. Lagipun kamera yang aku pakai semua pinjam orang. Aku cuma tahu setting basic untuk guna kamera, klik klik asal jadi. Bila aku ikut dia pergi ambil gambar wed, automatik dapat makan nasi minyak free bila hujung minggu hehe. Dan setiap kali tu juga, bos aku akan bagi ‘upah’ sebab tolong dia masa kat majlis tu. Aku pernah mention, makan pakai aku sentiasa cukup. Sebab pasal pakaian memang aku bukan jenis kaki shopping nak beli baju seluar baru setiap minggu. Pasal makan, haa ni lah aku nak ceritakan ni.

Selain tu, bos aku ambil gambar produk makanan. Most of customer bos aku memang jenis berniaga produk makanan. Bila nak buat design, bos aku akan suggest letak gambar produk diorang sekali. Dan di sinilah bermulanya kisah aku ‘takde gaji tapi cukup makan’. Setiap kali ambil gambar makanan, customer akan provide makanan tu as ‘tester’. Lepas ambil gambar, kitorang boleh makan untuk bagi komen. Lagi-lagi bos aku memang sensitif bab makanan, bukan memilih tapi teliti bila melibatkan perniagaan makanan ni. Bos aku siap boleh bagi resepi, suggest bahan, komen rasa pada customer dia. Macam pengkritik makanan pun ada juga. Dan aku, jadi pembantu tukang perabis makanan hahaha. Bayangkan dalam satu menu, ada 10 jenis makanan / 10 jenis air. Siap bungkus bawa balik, simpan buat stok makanan kat rumah haha. Dalam masa 2 bulan, berat aku naik 6kg weh! Dah dua kali raya Aidilfitri, aku bawa balik kuih raya 10 balang daripada customer. Ibu aku rilek rilek je kat rumah tak payah susah nak buat kuih raya sebab tahu anak dia bawak balik kuih haha.

Bos aku jenis yang cepat kesian pada customer. Selalunya dia akan bagi customer berhutang dengan dia, nak-nak lagi kalau customer tu buat ayat kesian takde duit nak bayar. Ada pula jenis customer nak minta diskaun minta murah sedangkan dia jual produk dengan keuntungan 5x ganda. Pun bos aku bagi juga harga diskaun walapun untung yang bos aku dapat cuma sesen. Bila aku tanya, kenapa bagi muka sangat kat customer sedangkan customer tu orang yang mampu sebenarnya? Aku bebel, aku pertikaikan, aku tanya, kenapa kenapa kenapa? Dia jawab, “Niat saya nak tolong MELAYU, tolong bangsa sendiri. Saya suka tengok bangsa MELAYU ni berjaya dalam bisnes, saya rasa bangga”. Aku geleng kepala jelah sementara bos aku heheh heheh.

Bos aku tak pernah kedekut walaupun orang tu dia tak kenal siapa. Makan aku, memang setiap kali dia ada kat office dia akan belanja aku makan. Lunch dengan dinner. Kadang-kadang dapat job dari customer kat hotel, dapat pula merasa makan kat hotel huhu. Percaya tak, bos aku pernah ajak orang gila makan semeja dengan dia. Orang tu baring kat kaki lima, bos aku panggil dan ajak makan sekali. Mungkin kalau orang lain, jangan kan duduk semeja, nak lalu sebelah orang gila pun boleh rasa geli, kan? Entah siap halau pakej maki sekali kat orang gila tu, kan? Sesekali dia takde kat office, dia pesan ambil duit dari ‘peti cash’ untuk duit makan aku. Ayat yang dia tak pernah lupa nak cakap ‘Kalau awak nak pakai duit, nak beli apa-apa, nak bayar apa-apa, bagitahu saya’.

Dan ye, ramai yang bengang bila aku bagi pinjam duit kat bos aku kan? Meh aku cerita lagi. Satu hari, kereta aku rosak kat JB. Aku terpaksa tinggalkan kat tepi jalan sebab kereta tu langsung tak boleh hidup. Sepatutnya aku balik rumah sewa malam tu juga, tapi sebabkan kereta aku rosak dan aku tak sempat beli tiket bas, aku inform bos aku malam tu pasal situasi aku. Esok harinya, aku balik ke BP naik bas dan malam tu juga bos aku dengan adik dia (pomen) ikut aku ke JB untuk towing kereta aku balik ke BP. Atas ihsan, bos aku tanggung semua kos towing, upah pomen, beli spare-part. Aku cakap nanti aku bayar semula total sebab dah susahkan dia, dia kata ‘Tak perlu bayar semula. Awak staf saya, maksudnya awak tangunggjawab saya’. Kereta aku rosak banyak kali dan dia tanggung banyak kali. Kalau aku cerita pula berapa banyak duit dia perabis nak betulkan kereta buruk aku tu, korang pun boleh tepuk dahi garu kepala. Spare-part susah cari, harga bukan murah. Silap-ii korang pula kata bos aku bodoh sebab pi tolong staf dia sampai macam tu. Tipikal, haha. Dan kes kereta rosak ni terjadi sebelum cerita aku bagi pinjam duit. Pasal hutang dia dengan aku, itu antara dia dengan aku juga jadi tak perlu aku cerita lebih.

Selama aku bekerja, tak pernah sekali pun bos aku maki atau marah aku tak tentu pasal. Benda yang dia tak berkenan, memang dia akan tegur tapi dengan cara bergurau. Apa yang buat aku paling hormatkan dia, tak pernah sekali pun dia lokek ilmu. Tanyalah segala benda pasal design, dia jawab dari A sampai Z. Aku kirakan pengalaman dia dalam bidang design mungkin kira-kira lebih 20 tahun, tapi masih lagi dia akan tanya aku kalau dia tak faham nak guna Illustrator CS6. Zaman dia CS3 paling advance katanya. “Saya masih lagi belajar, tak pernah pun rasa diri saya tahu semua benda. Saya pun nak improve diri saya juga, orang tua lah katakan”, itu ayat dia yang selalu aku dengar bila dia minta aku ajar dan tunjuk demo. Pasal software yang aku tak pernah belajar, pasal tempat yang aku tak pernah pergi, pasal kamera yang aku tak pernah guna, dia ajar aku macam Cikgu ajar budak tadika – Aku dari 0. Dia dedahkan aku dengan dunia design ni, sangat besar, sangat bercabang. Dia ajar aku untuk buka bisnes sendiri. Asas akaun, asas bisnes, asas pengurusan, semuanya dia bagitahu. Dan selalu dia kata, ‘Saya nak tengok awak berjaya dalam dunia design, bukan sebab makan gaji tapi dengan company awak sendiri’. Aku boleh dikira rapat dengan isteri dan anak bos aku. Aku rasakan mesra macam keluarga angkat, disebabkan keluarga aku yang jauh dan Abah aku sudah meninggal dunia. Mungkin juga cara dia layan aku diibaratkan seperti ‘anak angkat’, aku pun rasa macam ada seorang ‘ayah’ yang ambil berat pasal aku.

Untuk pengetahuan, memang aku ada buat freelance design untuk side income dan aku ada buat part-time lain selain job design. Aku taklah segila dan sebodoh yang disangka, kan? Haha. Aku tahu duit tu memang keperluan. Bila gaji aku dah start tertunggak, aku tahu cari inisiatif sendiri untuk tambah duit poket. Aku lihat ramai yang condemn bos aku. Haha, sorry bos. Dan aku dah agak mesti ada yang tak setuju dengan tindakan aku bertahan dalam company tu. Masalah company aku mengalami krisis ekonomi hingga menyebabkan gaji aku tertunggak tu tak berlarutan sampai 2 tahun. Cerita ‘gaji tertunggak’ tu hanya untuk beberapa bulan, lepas tu aku dibayar ‘per job’. Setiap kali customer bagi bayaran, bos aku akan ketepikan duit design – masuk poket aku. Jadi aku tak risau sangat, hari-hari ada duit makan. Dan lepas tu masalah ‘gaji tertunggak’ tu dah takde lagi dah.

Akhir ceritanya, sekarang aku dah pun berhenti kerja. Alhamdulillah, sekarang company ni semakin pulih dan aku harap satu hari nanti bila aku ada company sendiri aku mampu bertahan. Aku tak pastilah, apa yang aku ceritakan ni dapat mengubah sedikit sebanyak persepsi korang terhadap bos aku. Aku masih rasa tak cukup dengan ilmu yang aku dapat daripada dia, tapi Insyaallah mungkin aku akan dapat ilmu di tempat lain pula. Pada aku dia bukan sekadar bos, tapi dia juga seorang guru untuk aku menuntut ilmu dan kawan baik tempat aku mengadu. Tak mungkin dapat gantikan Abah, tapi cukup untuk buat aku rasa macam aku ada ‘ayah’. Apa yang aku nak bukan sekadar pengalaman, tapi tapi juga ilmu daripada seorang ‘guru’. Aku tahu juga masih ada yang akan kata ‘Move on, kau kena tinggalkan tempat ni untuk masa depan yang lebih baik’. Walaupun susah, walaupun pahit, walaupun dikata bodoh, tapi aku tak pernah menyesal. Disebabkan kerja kat company ni, aku dapat mencapai ‘kepuasan menuntut ilmu’. Syukur, sentiasa aku rasa syukur walaupun gaji sikit.

Lastly, aku ceritakan pengalaman ni bukan untuk memburukkan company tu. Aku hanya mahu berkongsi cerita. Nama pun pengalaman, maksudnya benda yang dah lepas. Bukan nak tunjuk aku ni cekal, tapi aku nak korang faham TUHAN datangkan ujian setiap orang berlainan. Dan ini ujian aku, aku terima dengan redha. Aku dah dedahkan apa yang perlu, jadi terpulang pada korang sendiri untuk menilai sebagai manusia yang cukup akal fikiran. Sekian.

– Rii

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit