Perangai Sesetengah Orang Buku Malaysia

Pembaca, penulis, penerbit di negara ni semua ada perangai masing-masing. Siap terbahagi kepada beberapa kluster.

Aku cerita pasal pembaca dulu. Pembaca ada dua kluster. Satu, kluster yang mass. Mereka ni peminat tegar novel cinta jenis suamiku suamimu suaminya, papa Megah Holdings dan mak mertua kejam yang selalunya diadaptasi ke drama ataupun filem.

Memang dahsyat mereka ni, penyumbang utama kepada jualan genre tertinggi sepanjang masa.

Kluster ni ada fan club yang fierce. Kau jangan kecam novel penulis kesayangan mereka. Habislah kau kena hentam beramai-ramai, dengan ayat dan perkataan yang tak menggambarkan mereka ni para pencinta yang romantis.

Tak tahulah, mungkin mereka lebih terpengaruh dengan dialog mak mertua daripada dialog hero heroin novel.

Pembaca kluster kedua, adalah kluster acah intelijen. Mereka ni kalau ke kedai buku, tak pandang langsunglah seksyen novel cinta yang makan lima ke enam rak tu.

Mereka sangat elitis, banyak baca buku ilmiah, kalau baca novel pun hanya yang wataknya ada sebut Karl Marx, Nietszche, Kafka, Murakami, Mufti Menk, Hamka, Syed Naquib al-Attas.

Genre romantik bagi mereka menggelikan dan nonsense (aku tak pasti dalam hidup mereka ni ada cinta ataupun tidak),

Jadi mereka cuma pandang novel yang ada elemen falsafah, sejarah, politik, isu sosial, pendidikan, kesihatan mental, time travel, hikayat, sains fiksyen, dan sebagainya. (Ada ke novel macam ni di Malaysia? Ada, my friends. Ada.)

Baik, kita ke kategori kedua, penulis. Mengikut persepsi masyarakat, ini golongan cerdik pandai. Tapi di sini kita cuma khususkan kepada penulis novel a.k.a novelis.

Kluster novelis yang pertama, jenis bantailah tulis cerita apapun, termasuk storyline yang klise. Yang dikatakan jadi permintaan ramai. Iaitu tak lain tak bukan, kisah cinta lelaki CEO dengan perempuan miskin, segala jenis suami, papa Megah Holdings, dan mak mertua zalim.

Ada antara mereka ni, penulis tanpa sengaja. Mereka asalnya pembaca novel yang storyline macam itu, rasa boleh tulis juga, tulis di blog, penerbit jumpa, novel terbit, lalu tergelarlah mereka sebagai penulis.

Novel tak perlu ada falsafah dan perjuangan pun. Asalkan berjaya buat pembaca terawang-awang dan emo sangat, bestseller.

Kluster kedua, novelis yang banyak baca novel berat, novel Indonesia, twist berpintal macam drama Korea, buku falsafah, dan tonton filem Nolan. Apa sahaja yang di-input akan jadi output yang sama. Maka mereka ini menulis seperti yang dibaca.

Novel berfalsafah, ada perjuangan, isu sosial, kesihatan mental, kembara, sains fiksyen, hikayat, sejarah, geopolitik, jenayah, dan macam-macam lagi. (Yes, my friends, macam-macam genre novel ada dalam negara kita ni sebenarnya.)

Sub kluster novelis yang ini adalah yang acah sasterawan. Mereka menulis novel sastera, okey, bagus.

Masalahnya, mereka asyik menghentam novelis yang menulis novel popular. Mereka mewujudkan pemisah tebal dan tinggi di antara mereka yang elitis dengan novelis popular yang mereka gelar “picisan”.

Golongan acah sasterawan ini meletakkan diri setinggi langit dan memandang novelis lain serendah rumput. Padahal di rak kedai-kedai buku, kedudukan buku adalah sebaliknya.

Kluster ketiga, ini yang seharusnya digelar “sampah”. Penulis novel lucah. Dibuat watak suami isteri demi menghalalkan babak-babak atas katil dan dalam kain.

Beberapa tahun lepas, penulis novel lucah ini dah mula terbit sendiri novel beratus-ratus halaman tebal macam kitab, dikatakan limited edition, dan harga satu naskhah novel boleh mencecah RM800.

Ada yang tak ada ISBN pun, tak tahulah kenapa. Dan ada yang berani jual novel begini secara terbuka di pesta-pesta buku. Dan fan club penulis novel lucah ini jauh lebih fierce, boleh aku katakan perangai menghampiri gangster.

Jadi, kluster mana satu yang berperangai suka screenshot kritikan pembaca dan ajak geng kecam beramai-ramai?

I would say, semua kluster ada penulis yang berperangai begitu. Tak kiralah elitis ataupun pop. Sama egonya. Maklumlah, penulis – golongan yang masyarakat pandang bijaksana.

Bila dihentam, mesti bergaduh segera dan berbalas screenshot. Buku tak laku belakang kira. Pembaca memerhati dan menilai sikap penulis, dikemudiankan. Yang penting, ego kena tegakkan dulu. Yes.

Seterusnya, tentang penerbit novel.

Kluster DBP adalah yang paling jenuh nak tunggu novel terbit. Entah berapa lapis tapisan yang dibuat, dan berbulan-bulan, malah ada yang makan bertahun-tahun proses penilaian manuskripnya.

Sampai penulis pun dah lupa dia pernah hantar manuskrip kepada DBP. Dah menunggu begitu lama, akhirnya novel pun terbit, dengan cover design 1980-an. Tepuk dahi.

Tapi, kalau mahukan konten novel berkualiti, salah satu pilihan yang ada ialah terbitan DBP. Ini tak dinafikan. Kalau kau pembaca tegar sejak kanak-kanak macam aku, sesungguhnya ingatlah zaman kita kecil dulu, novel DBP memang sedap.

Kluster kedua ialah penerbit yang penerbitannya lebih laju daripada DBP – sebab mereka tidak didanai oleh kerajaan dan ada KPI bulanan, tapi masih tak mengabaikan kualiti konten.

Cover design pun sesuai dengan citarasa 2020-an. Dalam kluster ini ada penerbit besar, sederhana, dan kecil. Kau boleh tengok saiz penerbit yang aku maksudkan ini di pesta-pesta buku. Novel yang selain genre romantik ada diterbitkan oleh penerbit dalam kluster ini.

Aku beri contoh; Karangkraf, PTS, Iman Publications, Jejak Tarbiah, Hilal Asyraf, Katapilar, Legasi Oakheart, FIXI, terbaru The Patriots pun dah mula terbit novel dengan imprint Mahakarya, dan dulu ada Jemari Seni.

(Secara peribadi, aku agak terkilan Jemari Seni ditutup, sebab inilah penerbit yang terbitkan novel cinta tanpa hero CEO.)

Kluster ketiga ialah penerbit novel popular. Ini memang kurang ambil kira kualiti konten, yang terbitkan novel dengan storyline asyik sama (aku malas nak ulang taip).

Novel mereka banyak diadaptasi jadi drama dan filem, rapport baik dengan industri hiburan, dan kalau di pesta buku, mereka yang paling meriah dengan kehadiran artis popular dan juga crowd yang besar.

Tapi aku tak boleh nak kata penerbit begini hanya terbitkan novel storyline basi dan tak ada manfaat.

Fakta: ada novel mereka yang bagus, berilmu, yang bukan romantik semata-mata, malah Islamik yang memang patuh syariah – bukan sekadar bertajukkan Kaabah, tasbih, sejadah, mimbar, dan segala keperluan solat.

Tapi tak dinafikan juga, ada pula yang berunsur cabul yakni tak sampai melucah. Ada babak mukadimah romans suami isteri, yang sebenarnya tak perlu ditulis pun kalau premis, plot, karakter, dan dialognya kuat.

Kluster keempat, yang paling baru, dan makin banyak tumbuh, iaitu kluster swaterbit atau penulis terbit sendiri. Kebanyakan penulis swaterbit ini datangnya daripada mereka yang kecewa dengan penerbit.

Sama ada kes followers di media sosial tak cukup 25000 maka penerbit tak nak terbitkan novelnya, ataupun kes penerbit tempat berpayung gulung tikar lalu mereka tak tahu nak pergi mana, ataupun kes asyik kena scam dengan penerbit – tak bayar royalti walaupun mendakwa novel terjual beribu naskhah.

Dengan penerbit swaterbit ni, pembaca perlu hati-hati. Bukan apa, ada yang betul-betul jaga kualiti – dari konten sampailah persembahan layout dan cover – siap upah profesional untuk uruskan.

Tapi, ramai juga yang tak peduli kualiti. Nak terbit sendiri tapi cheapskate. Edit, layout, cover buat sendiri guna Power Point. Letak gambar dari Google tak peduli resolution apatah lagi copyright.

Jual nak RM30 senaskhah tapi penuh typo, layout berterabur, saiz font sampai kena guna kanta pembesar baru puas baca, margin kiri kanan macam teks nak tertumpah keluar dari buku,

Ada gambar tapi dah macam daripada kamera pemburu entiti, cover nak letak segala objek berkaitan sampai dah rupa scrapbook budak sekolah rendah, dan bahasa? Tak usah cakaplah, malu pada budak UPSR.

Kemudian bila kena kecam dek pembaca, triggered. Screenshot. Mengamuk di media sosial. Boikot pengulas buku. Padahal?

Okey, sebenarnya kalau nak dikira betul-betul, ada banyak lagi kluster pembaca, penulis, dan penerbit. Tapi yang aku tuliskan ini yang besar saja. Ya, aku orang dalam this so-called “industri” buku negara, jadi semua ini dalam pengetahuan aku.

Kepada pembaca, sebenarnya kita ada banyak pilihan buku. Maaf sebab banyak judul buku tak sampai ke pengetahuan anda. Penerbit banyak kekangan juga.

Tapi aku harap dengan rancaknya jualan buku di Shopee, buku-buku yang tak terdengarkan ini makin mudah ditemui sekaligus dibeli dan dibaca oleh para pembaca yang dahagakan novel dengan storyline segar, yang berbeza daripada yang aku dah malas nak taip tu.

Kepada penulis, kalau anda menulis novel kerana mengikut-ngikut novel cinta pop trendy, aku sarankan pause dulu kerja penulisan tu.

Dalam dunia ni ada hampir 8 bilion manusia, dan setiap manusia ada isu tersendiri. Bacalah lebih banyak dan lebih pelbagai, tonton bukan saja drama dan filem cinta, malah dokumentari untuk dapatkan idea segar.

Kau masih boleh menulis watak hero CEO muda anak chairman Megah Holdings, tapi yang menderita prosopagnosia. Ataupun kisah mak mertua yang feminis sebab back story dia hidup dalam keluarga patriarki.

Ataupun kisah suami yang kacak dan romantik menatang isteri yang distimia.

Ataupun kisah struggle seorang lelaki mantan juruterbang yang sekarang kerja penghantar Foodpanda, nak meyakinkan kesetiaan terhadap tunang yang self esteem-nya merudum sebab menghidap talasemia major.

Tak pun, kisah suri rumah yang ambil keputusan masuk RELA sebab suami terlalu sibuk berceramah motivasi sana sini. Boleh tulis genre cinta, tapi masukkan ilmu, manfaat, dan tajamkan pemikiran pembaca.

Dan kepada penerbit, semoga anda semua lebih berani merintis sesuatu genre, ataupun berani mengubah selera pembaca, dan mempopularkannya.

Semoga anda memiliki jiwa bisnes yang kuat sehingga mampu membuka ruang kepada novelis yang menghantar manuskrip novel tak klise.

You guys are the trendsetter. Kurangkan jumlah cetakan, untuk kurangkan ketakutan lambakan buku tak laku. Lebihkan bajet untuk pemasaran dan syaratkan penulis untuk sama-sama memasarkan.

Penerbit besar dan pop di Indonesia, Korea Selatan, Jepun, serta banyak lagi negara orang putih, cukup berani tampilkan tema segar dalam novel terbitan mereka dan bekerja keras untuk pemasaran sehingga merentas pasaran dunia,

Adakah anda pada tahun 2020 ini masih mahu salahkan pembaca?

– Orang Buku (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *