Assalamualaikum semua. Terlebih dahulu izinkan saya perkenalkan diri sebagai Jasmine. Seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri. Menetap dan bekerja di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Alhamdulillah, saya telah mendirikan rumahtangga selama 11 tahun. Ujian, suka dan duka, susah dan senang sepanjang bergelar isteri dan ibu saya tempuhi dengan hati terbuka dan berlapang dada.
Hatta saya diuji oleh Allah apabila suami mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain selama lima tahun, walau remuk hati saya, saya masih mampu menerima suami kembali ke sisi.
Saya bekerja di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota hampir 15 tahun. Dua tahun yang lalu saya telah bertukar ke unit baru di tempat saya bertugas.
Hasil kesabaran saya selama ini, Allah permudahkan segala urusan saya. Tempat saya bertugas sekarang ini, hanya sepuluh minit dari rumah.
Tugas menghantar anak-anak ke sekolah adalah rutin saya setiap hari. Jadi sejak bertukar ke unit baru, ringan sedikit beban yang saya pikul selama ini.
Berbalik kepada suami, semenjak kecurangan suami terbongkar setahun yang lalu, Alhamdulillah suami telah jauh berubah. Dari tidak solat, sekarang dah mula solat.
Mula mendalami ilmu-ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa. Sungguh saya bersyukur di atas perubahan suami.. Doa saya selama ini, Alhamdulillah Allah perkenankan.
Tapi kini saya tidak pasti adakah saya diuji atau diri saya sendiri yang keji??
Untuk pengetahuan pembaca semua, sejak bertukar ke unit yang baru, hati saya tertarik dengan salah seorang kakitangan lelaki di pejabat saya iaitu A. A juga telah mendirikan rumahtangga.
Tidak tahu dimana silapnya dan apakah sebabnya hingga wujud perasaan ini. Hina? Ye, itu lah yang saya rasa sekarang ini.
Saya rasa diri saya terlalu hina. Saya malu dengan diri saya sendiri. Saya malu dengan Allah SWT dan saya malu dengan Nabi Muhammad SAW.
Saya juga malu dengan A. Saya malu bilamana hati saya punya rasa seperti itu terhadap lelaki selain suami saya sendiri.
Apakah jiwa saya yang kosong atau hati saya yang lalai? Solat lima waktu saya tidak pernah tinggal. Solat sunat jarang terabai.
Kalam suci amalan disetiap malam saya. Zikrullah sentiasa meniti di bibir. Tapi mengapa mesti wujud perasaan ini di hati saya? Semakin saya nafikan semakin kuat dan mendalam perasaan ini terhadap A.
Walaupun begitu, tidak pernah sekalipun saya menghubungi A walaupun saya bekerja satu unit dengannya. Jauh sekali untuk berkomunikasi. Seboleh-bolehnya saya akan elak untuk berkomunikasi dengannya. Begitu juga dengan A.
Dua tahun bekerja di bawah unit yang sama, tidak pernah sekalipun kami berkomunikasi. Allah masih pelihara semuanya.
Saya tahu, A perasan saya selalu memandangnya. Allah pelihara ikhtilat tapi maksiat mata dan hati masih berlaku. Hampir setiap masa saya akan ingat pada A. Hinggakan saya tertanya-tanya apa yang A telah buat apa saya?
Setiap kali usai solat, saya mohon pada Allah agar Allah hapuskan segala rasa yang ada di hati saya terhadap A. Saya pohon pada Allah hingga menangis agar kami dijauhkan antara satu sama lain.
Saya terlalu takut dengan perasaan yang tidak pernah saya izinkan untuk ada di hati saya ini. Saya takut jika Allah tidak terima amalan saya.
Saya takut jika pahala saya sebagai seorang isteri lebur begitu sahaja. Sungguh saya takut dan malu. Terasa seperti saya pijak maruah diri saya sendiri.
Pembaca yang budiman, apa yang perlu saya lakukan? Tips apa yang perlu saya buat? Doa apa yang perlu saya amalkan agar cepat diperkenankan? Ingin minta tukar ke unit yang lain, saya selesa dengan jarak rumah ke pejabat yang dekat.
Kerana selama ini saya terlalu letih terpaksa menghadap traffic jammed pagi dan petang ditambah dengan rutin menguruskan anak-anak untuk ke sekolah.
Ingin berhenti kerja, suami masih memerluka saya untuk membantunya dalam hal kewangan rumahtangga. Saya buntu.. dengan perasaan yang tidak pernah saya undang ini..
– Jasmine (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit