Percayakan Aku Pada Takdir

Assalamualaikum wbt, readers. Aku memperkenalkan diri aku pada kalian sebagai I. Aku merupakan anak sulung daripada enam beradik dan juga penuntut didalam bidang sains di sebuah Universiti.

Pada saat ini aku sangat memerlukan nasihat dan sokongan kalian untuk membantu aku terus percaya pada takdir, untuk terus yakin pada diri aku dan untuk terus berjuang dalam kehidupan aku.

Seperti yang kita semua sedia maklum, sekarang musim konvo. Bagi aku, impian setiap mahasiswa dan mahasiswa yang menuntut di mana-mana IPT tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun, akhirnya adalah untuk menamatkan pengajian mereka.

Begitu juga dengan para ibu bapa, pasti pada hari graduasi anak-anak mereka, merekalah manusia paling bahagia. Melihat kejayaan anak-anak, melihat senyuman pada wajah anak-anak adalah kebahagiaan terbesar bagi mereka walaupun sebelum waktu itu, mereka berpenat lelah mencari rezeki untuk membiayai perbelanjaan ana-anak mereka di IPT.

Inilah dilema yang aku hadapi sekarang… menamatkan pengajian dan membawa emak dan adik-adik aku menjadi saksi kejayaan aku. Akan tetapi, aku sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan semua ini.

Pada penghujung tahun 2018 aku disahkan menghidapi Major Depressive Disorder, Depression. Sewaktu itu aku sudahpun berada dalam semester 1 tahun 3 pengajian, tetapi malangnya setelah diserang penyakit misteri tiada suara dan wajah ini.

Aku terpaksa mengambil cuti pada semester itu sedangkan sahabat-sahabat seperjuangan aku sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan pada semester itu. Sakit! Sedih! Hanya aku dan Allah yang tahu bagaimana perasaan aku ketika itu.

Pada semester seterusnya aku pulang ke universiti dengan harapan aku kuat untuk menghadapi ujian ini. Ya, aku tidak melanjutkan cuti aku untuk jangka masa yang panjang, kira-kira hanya dua bulan aku bercuti untuk menenangkan jiwa dan perasaan aku. Tetapi sayangnya, sekali lagi aku diuji apabila aku diserang anxiety yang melampau dan panic attack pada semester itu.

Aku tidak mampu menjalani kehidupan aku sebagai seorang mahasiswi seperti sahabat-sahabat aku yang lain. Didalam perjalanan ke kelas aku pasti akan berdebar-debar seperti baru selesai marathon atau takut akan sesuatu seolah-seolah mengancam nyawa, aku akan berpeluh, menggigil dan akhirnya menangis sambil menuju ke kelas.

Kadang-kala walaupun sudah sampai di hadapan banggunan fakulti, aku pasti akan berlari pulang ke asrama semula. Ada waktunya, aku cuba melawan perasaan itu dan ya, aku berjaya tetapi “the black dog” tidak mahu meninggalkan aku, apabila didalam kelas pula… aku mula berasa sesak nafas seakan sudah tidak ada udara disekeliling aku.

Aku mula berasa panas dan berpeluh dan akhirnya aku menangis. Terlampau banyak tekanan dan situasi aku perlu hadapi yang datangnya dari diri aku sendiri. Dan akhirnya aku perlu mengambil cuti sekali lagi kerana kedatangan kelas aku tidak menunjukkan penambahbaikkan.

Setelah bercuti hampir 4 bulan, aku kembali dengan semangat baru, ya semester ini. Semester ini sepatutnya merupakan semester terakhir aku dan rakan-rakan aku. Sahabat-sahabat aku akan bergraduasi pada tahun hadapan yang mana sepatutnya aku jugaakan bergraduasi bersama mereka tetapi malangnya takdir aku tidak tertulis sebegitu rupa.

Semester ini, pada awalnya aku bersemangat ke kelas dan Alhamdulilah, aku tidak lagi diserang anxiety dan panic attack.

Tiga minggu awal berlalu dengan baik dan bahagia dan tenang, kawan-kawan aku gembira melihat keadaan aku, apatah lagi diri aku sendiri dan keluarga aku, para pensyarah juga menerima kedatangan aku dengan baik dan terus memberikan kata-kata positif untuk aku terus bersemangat… tetapi siapa sangka, aku akan diuji sekali lagi.

Semester ini penyakit aku seperti bersembunyi dari pandangan aku akan tetapi menyerang aku secara tiba-tiba disaat aku mulai mengatur pelbagai rancangan untuk menjadi lebih baik. Minggu keempat aku sudah mula tidak ke kelas sehinggalah minggu keenam.

Dan apabila berada didalam kelas aku mula berasa seperti didalam bilik yang sangat luas tetapi seakan sempit. Aku berasa ‘pressure’ yang datang secara tiba-tiba.

Bukan itu sahaja, akan ada satu waktu badan aku menjadi bertenaga dan aku sangat bersemangat. Aku mampu mengulang kaji pelajaran, menyiapkan tugasan-tugasan kuliah sewaktu aku ‘relapse’ , in a row. Bahkan aku boleh mencuri sedikit masa untuk membasuh baju, melipat baju, mengemas bilik dan membuat aktiviti lain dalam satu masa.

Tetapi keadaan itu tidak akan bertahan lama, selalunya hanya akan berlaku dalam masa 1-2 hari dan bukan berlaku dalam mingguan atau bulanan (dia nak over energetic, dia over energeticlah, takda warning alert!) dan selebihnya aku akan kembali lemah, tidak bersemangat dan kembali hidup dalam keadaan yang tidak teratur dan serabut.

Minggu ini sudah memasuki minggu ke 11 dan aku sudah tidak hadir ke kelas selama sebulan lebih (+-) dan sudah sepatutnya aku ‘dibarred’ dari mengambil peperiksaan.

Keadaan aku sekarang seperti keadaan aku mula-mula menghidapi depression, menangis tanpa sebab, berasa kosong, lemah, tidak bersemangat dan sudah kerap kali aku fikirkan untuk mengambil nyawa aku sendiri… perkara yang paling aku takut akan terjadi dan berulang, ya aku pernah melakukan ‘suicide attempt’ sebanyak dua kali cuma mungkin belum masanya kerana itu aku terselamat.

Dan dalam masa seminggu ini aku sudah mula berfikir untuk quit study aku. Terus-terang aku katakan aku tidak mampu lagi menjalani kehidupan disini. Sudah tiga kali berada pada tahun ketiga dan aku gagal menjalani kehidupan aku dengan normal.

Sejujurnya aku sayang pada Universiti ini, terlalu sayang tetapi aku tidak mampu untuk meneruskan semua ini. Aku merancang untuk berhenti dan melanjutkan pengajian aku didalam bidang yang aku minati selama ini.

Ya, bidang sains ini hanyalah untuk memenuhi permintaan keluarga tetapi bukan permintaan emak aku. Ini demi memenuhi permintaan keluarga arwah ayah aku. Ayah aku meninggal pada tahun 2014, sehari selepas keputusan SPM aku keluar.

Dan kerana buntu, tidak tahu mana arah hendak dituju, aku ambil sahaja jalan yang ada dihadapan aku. Tetapi, aku tidak menyalahkan mereka, mungkin sahaja takdir hidup aku sebegini kerana bagi aku mereka hanya berniat untuk membantu kerana ketiadaan ayah aku.

Masalah utama aku sekarang adalah, aku overthinking. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan. Aku tahu andai aku benar-benar berhenti belajar disini, banyak pihak yang akan marah pada aku dan orang yang paling terdekat akan terpalit dari semua masalah ini adalah emak aku. Maafkan aku, kalau ayat aku dah mula tidak tersusun, aku agak sensitif apabila menyentuh perihal emak aku.

Emak aku sudah mengizinkan aku untuk berhenti. Katanya, dia sudah tidak mahu melihat aku sakit dan tertekan, dia tidak mahu melihat keadaan aku yang terseksa dan tidak terurus. Dia tidak mahu keadaan aku bertambah teruk apabila belajar dalam bidang yang bukan ada didalam jiwa aku. Dia mahu melihat aku sihat dan gembira seperti dahulu. Dia mahu aku berehat dan menyambung pengajian dalam bidang yang aku minati aitu bidang penulisan.

Buat masa ini, aku sudah ada tempat yang menawarkan bidang yang aku minati, hanya perlu proceed dengan proses untuk aku berhenti belajar. Tetapi, kini aku asyik berfikiran negatif seakan sudah tidak ada lagi postive vibes dalam hidup aku.

Aku asyik memikirkan… umur aku apabila aku grad dalam bidang itu nanti kerana pengambilan pelajar baru pada bulan September tahun hadapan tetapi sebenarnya itu tidak menjadi masalah kerana aku telah siasat bahawa ramai penuntut disana juga tidak habis pengajian di IPT lama mereka dan menyambung pengajian disitu demi meneruskan minat masing-masing didalam bidang seni.

Tetapi yang menggangu fikiran aku apabila melihat rakan-rakan sebaya aku dari sekolah sudahpun bergraduasi dan tahun hadapan sahabat-sahabat aku disini pula akan bergraduasi tanpa aku!

Dan, aku asyik berfikir andaikan aku tidak dapat masuk ke insitusi itu iaitu ASWARA yang mana menawarkan program penulisan kreatif dimana aku perlu menduduki temuduga sebagai syarat untuk menyambung pengajian disana. Aku terfikir andai aku tidak mampu memasuki ASWARA, kemana lagi hendak aku atur langkah aku.

Aku juga asyik berfikir adakah keputusan aku untuk berhenti ini keputusan yang baik untuk aku dan semua orang? Bagaimana jika aku masih ada peluang walaupun dengan paksaan? Aku perlu mengahadapi 3 atau 4 sem lagi jika aku meneruskan pengajian dalam bidang aku sekarang.

Dan paling sakit sekali apabila aku dah mulai mempersoalkan kemampuan aku untuk menyambung pengajian dalam bidang penulisan.

Bagaimana jika aku tidak mampu melakukannya walaupun inilah ‘passion’ aku dari dahulu? Bagaimana harus aku sesuaikan diri aku disana dengan penyakit aku ini? Bagaimana aku mahu cuba berusaha menjadi pelajar yang normal? Terlalu banyak persoalan yang menakutkan aku setiap waktu dan persoalan ini kekal didalam minda aku.

Mungkin bagi sesetengah orang sijil tidak penting, tetapi bagi aku ia penting kerana sebelum memperolehi sijil aku akan memperolehi banyak ilmu didalam proses untuk mendapatkan sijil itu. Aku ada impian dan cita-cita yang memerlukan aku untuk memiliki sijil kualifikasi.

Bagi aku dengan kejayaan aku suatu waktu nanti, aku dapat membantu masyarakat untuk kembali cintakan ilmu pengetahuan, mungkin juga dapat memberi motivasi dan semangat pada orang senasib aku. Dan, perkara paling utama adalah kerana adik-beradik aku. Selama ini mereka look up on me apabila melihat kakak sulungnya berjaya dari satu tahap ke tahap lain.

Alhamdulilah, adik-beradik aku buat masa ini sangat cemerlang dan kehadapan dalam pelajaran mereka. Dan selalunya akulah yang menjadi rujukan mereka dalam pelajaran ataupun dalam apa-apa keputusan berkaitan cita-cita dan impian, mereka akan meminta pendapat aku.

Jadi, aku harap kalian faham kenapa aku sangat mementingkan sijil. Aku tidak mahu menjadi punca adik-beradik aku hilang semangat atau arah tuju seperti aku dahulu.

Maaf andai terlalu panjang luahan ini untuk kalian baca, tetapi aku mengharapkan sedikit ihsan untuk membantu aku. Aku tidak mampu membantu diri aku buat masa ini dan aku memerlukan bantuan kalian.

BANTULAH AKU UNTUK KEMBALI PERCAYA PADA DIRI DAN TAKDIR.

Sekian aku,

– Iqwertyuiop (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *