Dia yang pertama.
Sentiasa ada,
saat kita butuhkan apa saja.
Namun dialah terakhir diambil kira.
Mengalah, mendahulukan setiap kita.
Dia,
dewasa sebelum usia.
Tak pandai meminta,
hatta sisi kecilnya belum puas dimanja.
Dia memerhati tanpa bunyi.
Dia memahami segenap inci.
Setiap gerak-geri,
penuh hati-hati,
kerana banyak hati,
dia perlu santuni.
Sedangkan diri sendiri terabai & tersakiti.
Di balik bebanan, berusaha menenangkan,
walau dia kepenatan.
Keadaan menekan,
hingga tak punya sebarang pilihan.
Dia tetap mainkan peranan,
dan terus bertahan.
Sebagai anak.
Sebagai kakak.
Pelekat keluarga agar terus terletak.
Dahan bergantung dari jatuh terhentak.
Tanah tempat berpijak dari lopak.
Benteng pertahankan segala hak.
Kubu ketika dunia berpaling pihak.
Dia terlihat kuat,
bukan kerana dia hebat,
tapi yang dipikulnya, BERAT.
Dek terbiasa jadi penolong,
dia bingung,
tak tahu bagaimana cara meminta tolong.
Terlalu banyak dia pendam.
Dia lebih memilih diam.
Supaya luka tak bertambah dalam.
Luaran nampak teguh, kukuh.
Dia sebenarnya rapuh,
menanti runtuh.
Jika ditanya,
Jawabnya sentiasa,
“Tak ada apa-apa.”
“Saya ok saja.”
Jarang berkongsi cerita.
Jarang meluah segala terbuku di dada.
Ramai lupa.
Dia manusia.
Mana mungkin sempurna.
Andai terlepas bicara,
percayalah, dia bukan sengaja.
Andai tindak-tanduknya menduga,
pasti isi kepala berkecamuk sekian lama.
Benar, jiwanya besar.
Tapi usahlah dibiar.
Dia juga mahu bahu untuk bersandar.
Pinjamkanlah telinga.
Walau sekejap cuma.
Dakaplah dia erat.
Izinkan dia berehat.
Dia, usahlah dipersia.
Kerana,
jika jiwa mati rasa,
tanda parah terluka,
maka terbunuhlah raga.
Bila bicara mengundang rasa serba tak kena,
terjadilah komunikasi tanpa suara.
Diam itu bukan reaksi tiba-tiba.
Diam adalah lahir daripada hati yang putus asa.
Sepurnama,
belum tentu reda.
Dia takkan lagi sama.
Dia, bukan lagi dia.
Perginya orang kecewa,
mungkin selamanya.
Tiada kembali semula.
Hingga hilang waktu bersama.
Dia,
tak ingin dipuji,
janganlah pula dikeji.
Tak pernah impi diangkat juara,
cukup sekadar tak dibalas tuba.
Dia,
pada kita,
bukan sesiapa.
Tapi dia,
perempuan pertama,
srikandi keluarga.
– nhazr (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit